Ahad, 27 Mac 2011

PERANAN TUHAN



Untuk mendapat iman sangat susah berbanding dengan menghafal. Iman sebenamya campuran di antara percaya dan yakin. Ramai orang percaya Zat Tuhan. Tidak ada orang yang tidak percaya. Bahkan orang kafir pun percaya wujudnya Tuhan. Orang Islam percaya tentang adanya zat yang Maha Agung tetapi itu tidak cukup. Kita hendaklah yakin. Orang tidak yakin kerana dua sebab iaitu; tidak belajar dan susah menerima sesuatu yang dipelajari.

Yang tidak diyakini itu bukan zat Tuhan tetapi tidak yakin dengan peranan Tuhan. Bila tidak yakin dengan peranan Tuhan boleh dilihat cara hidup seseorang itu. Tentu banyak cacat celanya terutama bila Tuhan uji kita. Bagi yang yakin dia akan bersyukur dengan ujian itu dan menganggap Allah hendak menghapuskan dosanya. Terasa Tuhan memberi ujian istimewa kepadanya.

Contoh lain, bersedekah dalam ajaran Islam, bukan sahaja diberi pahala bahkan hidupnya diberkati. Orang yang pemurah, walaupun tidak kaya, tetapi dia tidak akan papa sebab ada berkatnya. Sebagaimana Rasulullah yakin tentang berkat bersedekah. Ada seorang perempuan menjadi tetamunya. Baginda tahu lahir dan batin seseorang. Rasulullah beritahu isterinya supaya perempuan itu tidak tinggal di rumah Rasulullah kerana tidak ada berkat. Perempuan itu diminta meninggalkan rumah Rasulullah dengan dibekalkan sebiji tamar.

Dalam perjalanan, dia sedekahkan tamar itu kepada orang lain. Belum pun perempuan itu pergi jauh, Tuhan beritahu Rasulullah supaya dipanggil semula perempuan itu ke rumah Rasulullah kerana dia telah diberkati Tuhan. Ertinya Tuhan suruh orang bersedekah agar orang itu diberkati. Itu peranan Tuhan.

Ramai orang tahu tentang perkara ini tetapi dia hanya boleh bersedekah apabila disuruh, digesa atau waktu sesekali naik semangat setelah mendengar ceramah. Kita tahu memberi sedekah itu berkat tetapi kita seperti tidak yakin dengan peranan Tuhan memberi berkat kepada sedekah. Sebab itu dia tidak bersedekah. Tuhan memberi kekayaan kepada seseorang dengan tujuan supaya orang itu dapat membuat kebajikan. Orang yang belajar tahu tentang perkara ini tetapi bolehkah dilaksanakan?

Kekayaan seseorang itu hanyalah saluran. Tuhan menyuruh kita mengagih-agihkannya. Kekayaan tidak boleh dinikmati seorang diri. Peranan Tuhan, itulah yang kita tidak yakin. Zat-Nya kita yakin. Percaya dicampur yakin barulah dikatakan beriman.

Hendak yakin peranan Tuhan, itu yang payah. Tuhan berjanji di dalam Al Quran, barang siapa yang takut kepada-Nya, Allah beri rezeki dari sumber yang tidak diduga. Kita selalu ragu dengan janji Tuhan. Kalau berniaga pun kita ragu dengan bantuan Tuhan. Kalau kita berdakwah pun kita tidak yakin pertolongan Tuhan. Bila tidak yakin dengan Tuhan, datanglah sangka jahat dengan Tuhan.

Haram hukumnya bersangka jahat dengan manusia. Bersangka jahat dengan Tuhan lagilah besar dosanya kerana ia berkait dengan aqidah. Kalau seseorang itu kuat ibadahnya sekalipun tetapi bersangka jahat dengan Tuhan, ini amat berat.

Saiyidina Abu Bakar diangkat oleh Tuhan kerana keyakinannya yang kental di hatinya. Bukan kerana ibadah yang banyak atau pengorbanan yang hebat. ltulah kemuliaannya di sisi Tuhan. Kalau setakat percaya mudah tetapi hendak yakin payah.

Itu baru yang kecil-kecil tetapi kalau yang besar-besar, contohnya atas nama negara atau bangsa, bagaimana? Seorang Perdana Menteri mungkin tahu kalau dia membawa negara kepada taqwa, negara akan aman makmur. Kemudian dia berubah dengan tidak mengambil Islam tetapi berpaling kepada ideology seperti komunis, sosialism dan pragmatism. ltupun kerana dia ragu.

Sekarang ini, tidak ada negara umat Islam yang hebat yang mendapat perlindungan Tuhan. Semua ada masalah sedangkan semua sudah merdeka.




FAHAMILAH PERBUATAN TUHAN


JAGALAH perhubungan baik engkau dengan Tuhan
Agar Allah Taala berhubung baik dengan engkau
Sangka baiklah kepada Tuhan mengenai rezeki engkau
Tuhan adalah penjamin rezeki engkau
Bertawakallah kepada-Nya dan yakinlah kepada-Nya
hati engkau akan tenang

Beradablah kepada Tuhan kerana Dia lebih tahu
tentang keperluan-keperluan engkau
Ketentuan Tuhan ke atas diri engkau itu kecuali kekufuran,
ada mengandungi pelajaran
Redhalah menerimanya, walaupun engkau tidak faham,
lambat laun Allah akan memberi faham
Fahamilah perbuatan Tuhan ke atas diri engkau
Agar engkau tidak salah faham
Salah faham terhadap perbuatan Tuhan
akan merosakkan engkau

Sekali-sekala disakitkan-Nya engkau
mesti ada maksud yang tersembunyi oleh Tuhan
Adakalanya engkau dikayakan Tuhan ada tujuan
Di waktu-waktu tertentu engkau dimiskinkan oleh Tuhan
Mesti ada mengandungi pendidikan

Setiap kali Allah Taala ubah kehidupan engkau
Berhati-hatilah menerimanya
Jangan sampai salah terima
Engkau tidak beradab dengan Tuhan
Patutkah kita tidak beradab dengan Zat yang Maha Suci
Yang Maha Mengetahui Lagi Bijaksana
Daripada sebarang kesalahan dan kesilapan
Berhati-hatilah dengan Tuhan !
Jangan sampai kita tidak bersopan dengan-Nya

Tiada ulasan:

Catat Ulasan