Ahad, 13 Mac 2011
HATI INSAN MUKMIN
Hati adalah alat bagi mengingat dan berzikir kepada Tuhan. Tempat untuk kita sedar dan insaf bahawa ALLAH itu wujud dan kita ini hamba dan ciptaanNya. Hati adalah tempat untuk merasa berTuhan. Untuk merasakan bahawa ALLAH itu Maha Berkuasa, Maha Agung, Maha Hebat dan Maha Kaya. Untuk merasakan ALLAH itu Maha Pemurah, Maha Pengasih, Maha Pengampun dan Maha Penyayang. Untuk merasakan ALLAH itu Maha Melihat, Maha Mengetahui, Maha Bijaksana dan sebagainya.
Hati yang berzikir kepada Tuhan ialah hati yang merasa berTuhan iaitu yang merasakan segala sifat-sifat Tuhan yang Maha Sempurna. Hati yang merasa hebat, gerun dan takut pada ALLAH Hati yang rasa dilihat, diawasi dan dikawal oleh ALLAH.
Hati yang merasakan Tuhan ada peranan dalam hidupnya dan dalam pentaadbiran alam ini. hati yang merasakan bahawa tidak ada sesuatu pun yang terlepas dari pengetahuan dan penguasaan Tuhan.
Hati yang merasa bersyukur di atas segala nikmat Tuhan. Yang merasa perlu kepada Tuhan dan yang merasakan bahawa akhirnya nanti kesemua ciptaan ini akan kembali kepada Tuhan.
Rasa-rasa seperti ini pasti ada kesan pada hati. Apakah kesannya?
Ada yang berkata berzikir dan merasa berTuhan ini akan menenangkan jiwa. Mereka merujuk kepada ayat Al Quran yang bermaksud Dalam satu ayat, Allah menyebut,
maksudnya:
“Ketahuilah hanya dengan mengingati Allah, hati menjadi tenang.”
Memberi faham kepada kita, bila kita ingat dan terhubung dengan Allah, hati kita akan tenang.
Namun, dalam ayat lain, Allah menceritakan bahawa:
“Orang Mukmin itu bila disebut nama Allah, gementar hati mereka”.
Pada kedua-dua ayat itu berlaku apa yang dikatakan sebagai “zikrullah”. Atau dalam ertikata lain, ada terhubung dengan Tuhan. Tetapi, walaupun kedua-duanya berlaku zikrullah, satu ayat sebut hati menjadi tenang dan satu ayat lagi sebut hati menjadi gementar. Bagaimana boleh menjadi begitu?
Apakah bila kita dengan Allah, adakala hati menjadi tenang dan adakalanya hati menjadi gementar?
Jawapannya begini:
Bukan maksud hati orang mukmin itu berubah-ubah bila terhubung dengan Tuhan. Hati mereka sebenarnya mempunyai dua keadaan pada masa yang sama. Iaitu berkeadaan tenang dan juga berkeadaan gementar.
Yang dikatakan tenang itu ialah tenang dengan dunia. Atau lebih terperinci lagi tenang menghadapi perkara-perkara dunia yang melalaikan. Atau dengan perkara-perkara yang boleh memesongkan hati daripada Tuhan.
Lebih tepat lagi, maksudnya di sini, hati mereka tenang daripada dipengaruhi cinta dunia. Cinta dunia adalah ibu segala kejahatan. Dari cinta dunia, timbul berbagai kejahatan lain seperti riyak, ujub, hasad dengki, bakhil dan pemarah. Dari cinta dunia, orang menjadi lalai dan melupakan Tuhan. Sehingga mereka sanggup meninggalkan suruhan Tuhan termasuk sembahyang.
Tenang dari perkara dunia juga membawa pengertian bahawa hati mereka itu tidak tergugat dengan ujian kesusahan seperti kemiskinan, sakit dan cercaan manusia. Malah semua itu menjadi hiburan apabila hati sudah kuat terhubung dengan Tuhan serta memahami maksud ujian Tuhan tersebut.
Yang dikatakan gementar pula, ialah bila hati terhubung dengan Tuhan, timbul rasa takut dan cemas dengan Tuhan. Takut dengan Tuhan inilah yang membuatkan hati gementar. Mana tidaknya, orang mukmin itu sentiasa merasa berdosa. Rasa berdosa inilah yang membuatkan mereka takut sangat dengan Tuhan. Takut Tuhan murka. Takut taubat tidak diterima Tuhan. Takut Tuhan hukum di dunia lagi. Takut Tuhan hukum di Akhirat dengan mencampakkan ke Neraka.
Rasa takut dan cemas inilah yang datang. Lebih-lebih lagi orang mukmin itu hatinya sentiasa mencintai Tuhan. Ketakutan bagi orang bercinta ialah putus cinta atau cinta tak berbalas. Itulah sebabnya hati orang mukmin menjadi gementar dengan Tuhan. Gementar itu membuatkan hati mereka sentiasa berkata-kata:
“Maafkan aku, Tuhan”
“Jangan tinggalkan aku, Tuhan”
“Aku banyak dosa Tuhan”
Begitulah hati orang mukmin yang sudah menghayati Tuhan. Hati mereka tidak tenang dengan Tuhan sebaliknya sentiasa bergelombang atau bergelora. Hanya sanya mereka itu tenang dalam menghadapi cabaran dan ujian perkara-perkara dunia.
Begitulah sepatutnya rasa-rasa hati kita apabila zikrullah. Ada tenang dan gementar. Tenang dengan dunia dan hal-hal dunia tetapi gementar dengan Tuhan. lagi kuat gementar dan bergeloranya hati seseorang dengan Tuhan , maka lagi tenang hatinya dengan dunia. Tenang dengan dunia itu rahmat. Gementar dengan Tuhan itu juga rahmat. Kedua-dua itu ada kemanisannya.
Sebaliknya gementar dengan dunia itu azab. Itu tanda kita diperhamba oleh dunia. Sudahkah hati kita menjadi seperti itu?
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan