Rabu, 13 Oktober 2010

Rahsia kekuatan Umat Islam



Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Puji dan
syukur pada Allah SWT. Rahmat dan keredhaan Allah pada Rasul-Nya
Muhammad SAW. Semoga selamat kita semuanya berserta
hamba-hamba-Nya yang baik.

Taqwa itu sangat penting. Ia merupakan aset umat Islam dunia dan
Akhirat. Ia adalah keselamatan dunia danAkhirat. Ia adalah kemenangan
dunia dan Akhirat. Ia adalah juga perlindungan dunia dan Akhirat.

Semenjak dahulu, inilah faktor yang membawa kepada bantuan Allah SWT
di dalam segala usaha ikhtiar umat Islam.Terutama di kalangan para
Sahabat. Allah buka pintu hati manusia sehingga mudah menerima
kebenaran, mudah menerima Islam dan mudah dalam perjuangan.

Allah buka laluan kepada perkembangan Islam yang pesat. Allah buka
laluan dengan didatangkan para pendokong yang berkemampuan
membangunkan umat. Allah datangkan rasa berani yang luar biasa kepada
umat Islam dan rasa ketakutan yang amat sangat kepada para penentang.

Di zaman para Tabiin di mana golongan taqwa masih ramai di tahap
pemimpin hingga ke rakyat biasa, maka Allah buka pintu ilmu pengetahuan
dalam bidang kehidupan. Ketika Barat masih dalam era kegelapan, Islam
pula sedang pesat berkembang dengan berbagai penemuan baru dalam ilmu
pengetahuan.

Tetapi itu semua telah berlalu dan sudah menjadi fakta sejarah. Telah
berlaku satu zaman di mana umat Islam asyik dengan Allah dan merindui
Akhirat. Berlaku juga satu zaman yang telah Allah curahkan segala-
galanya kerana kebanyakan umatnya bertaqwa.

Kini, umat Islam sudah tidak bertaqwa lagi. Bila tidak bertaqwa, hati
jadi lemah dan mudah menyerah kepada keadaan lantas kita melupai Allah
SWT. Hati tidak bergantung kepada Allah lantas Allah melupai kita.

Sepertimana tidak ada kuasa yang dapat menahan apabila Allah kehendaki
umat Islam berjaya, begitu jugalah tidak ada sebarang kuasa yang berdaya
untuk menebus kekalahan dan kehinaan umat Islam apabila Allah kehendaki
ia berlaku begitu.

Taqwa memang penting bagi umat Islam. Sebab itu ia menjadi rukun khutbah.
Ertinya kalau tertinggal maka khutbah tidak sah. Bila khutbah tidak sah,
tidak sahlah sembahyang Jumaat dan tidak sahlah sembahyang sunat hari raya.

Ini menunjukkan besarnya sifat taqwa hingga ia menjadi rukun khutbah.
Namun taqwa itu bukan sahaja tidak dihayati malah kurang difahami oleh
umat Islam.

Taqwa ini telah disalah ertikan. Ia telah diremehkan, diambil ringan dan
tidak dititikberatkan. Fahaman tentang taqwa ini telah dipermudahkan. Taqwa
hanya ditakrifkan sebagai buat apa yang disuruh dan tinggal apa yang di
arang. Pengertian seperti ini tidak mempunyai roh atau tidak membabitkan
pengertianyang mendalam. Maka jadilah ia sesuatu yang hambar.

Akibatnya, umat Islam seolah-olah terasing dan terpisah dari persoalan
taqwa. Taqwa tidak lagi menjadi teras dalam kehidupan umat Islam. Ia hanya
tinggal sebutan yang ramai umat Islam tidak faham apa sebenar maksud,
hakikat dan tuntutannya.

Oleh kerana taqwa ini adalah syarat dan landasan untuk umat Islam mendapat
kan dunia dan Akhirat, maka tanpa taqwa, umat Islam terumbang-ambing dalam
kehidupan. Akhirat terlepas, dunia berciciran.

Umat Islam terpaksa meniti di atas landasan orang kafir. Sebab itu umat
Islam terhina di mana-mana, ditindas dan diperkotak-katikkan, miskin,
mundur dan berpecah belah. Umat Islam tidak ada wibawa, tidak ada maruah
dan tidak ada kekuatan.

Ramai yang memahami bahawa sifat taqwa itu adalah bekalan untuk negeri
Akhirat semata-mata.Tidak dapat dinafikan itulah yang paling penting.
Itulah Yang paling asas.

Namun, kalau orang mukmin hendak senang juga di dunia, mestilah berbekal
kan sifat taqwa. Kerana sifat taqwa itu merupakan jalan atau landasan untuk
mendapatkan dunianya. Hendak mendapatkan keuntungan dalam ekonomi mesti
dengan sifat taqwa.

Hendak mendapat kemenangan dalam perjuangan mesti ada taqwa. Hendak men
dapat bantuan dan pertolongan Tuhan juga adalah kerana taqwa. Hendak ter
lepas dari bala bencana atau azab penderitaan di dunia juga mesti berdasar
kan sifat taqwa.

Kalau orang Islam itu tidak ada sifat taqwa, Tuhan bantu juga. Tuhan bagi
makan juga. Tuhan bagi ilmu juga selama mana mereka hidup. Tapi cara ini
bahaya. TakutTuhan bagi secara tidak redha. Ini samalah caranya Tuhan bantu
orang kafir iaitu atas dasar istidraj yakni dengan kemurkaan. Akhirnya dengan
bantuan seperti itu, dia terjun ke Neraka.

Dengan bantuan seperti itulah dia akan membuat kezaliman dan kejahatan di
atas muka bumi. Kerana mendapat sesuatu dari Tuhan secara tidak sihat, maka
hasilnya tidak sihat dan natijahnya juga tidak sihat. Ia rosak dan merosakkan.

Amalan taqwa pula bukan setakat sembahyang sahaja. Bukan setakat membaca
Quran, berwirid dan berzikir. Bukan juga bersuluk dan beruzlah, menjauhkan
diri dari orang ramai. Taqwa bukan sahaja di surau dan di masjid.

Taqwa merangkumi segala perkara yang berlaku dalam kehidupan, di mana sahaja,
baik dalam kehidupan bermasyarakat seharian, dalam ekonomi, pembangunan,
pendidikan, kenegaraan, kebudayaan, pentadbiran, kesihatan dan sebagainya.

Yang penting,

setiap amalan itu ada rohnya, dihayati dan dijiwai. Barulah setiap
amalan itu menjadi amalan taqwa.

Kita mesti bertaqwa kepada Allah sejauh yang termungkin.
‘Sejauh yang termungkin’ di sini bermaksud

turun naik nafas, mendengar, melihat, makan minum, berjalan dan berhibur,
kesemuanya mesti dijadikan amalan taqwa.

Jangan ada satu hembusan nafas yang tidak jadi taqwa.
Jangan ada seulas nasi yang tidak jadi taqwa.
Jangan ada satu pendengaran atau penglihatan yang tidak jadi taqwa.

Sebenarnya erti taqwa itu terlalu besar. Ia aset untuk orang Islam dunia dan
Akhirat. Kalau ini difahami dan dihayati, barulah kita akan selamat dunia Akhirat.


Wabillahil hidayah wa taufik.
Wassalam

Allayarham Ustaz Hj. Ashaari Muhammad
30 Disember 2004 18 Zulkaedah

Tiada ulasan:

Catat Ulasan