Ahad, 24 Oktober 2010

BILA UMAT TIDAK BERTAQWA



Bila umat tidak bertaqwa, mereka lupakan Tuhan. Mereka menganggap Tuhan tidak ada peranan dalam hidup mereka. Dalam masalah hidup mereka, mereka tidak rujuk kepada Tuhan.

Rasulullah SAW ada bersabda:
“Setelah aku wafat, setelah lama aku tinggalkan, umat Islam akan lemah. Di atas kelemahan itu, orang kafir akan menindas mereka bagai orang yang makan dengan rakus.”

Ada Sahabat bertanya,
“Apakah ketika itu umat Islam lemah sehingga musuh begitu kuat ?”

Sabda Rasulullah,
“Bahkan masa itu mereka lebih ramai tetapi tidak berguna, tidak bererti dan tidak menakutkan musuh.Mereka ibarat buih di laut.”

Sahabat bertanya lagi,
“Mengapa seramai itu tetapi macam buih di laut ?”

Jawab Rasulullah,
“Kerana ada dua penyakit iaitu mereka ditimpa penyakit Al Wahan.”

Sahabat bertanya pula,
“Apakah itu Al Wahan?”

Rasulullah bersabda,

“Cinta dunia dan takut mati.”


Oleh kerana umat Islam cinta dunia maka Allah hukum sedikit demi sedikit. Allah tarik rasa cinta pada Allah. Apabila sudah tidak cinta padaAllah, maka terhakislah cinta terhadap yang lain. Hilang cinta sesama umat Islam. Hilang cinta sesama keluarga. Hilang cinta antara suami isteri. Hilang cinta Antara ayah, ibu dan anak.

Kerana cinta itu semua berpunca dari cintakan Allah. Cintakan Allah lah yang menghidupkan cinta-cinta seperti itu. Bila cinta kepada Allah berpindah kepada Cinta dunia, maka cinta-cinta seperti itu akan hilang. Oleh itu, hilanglah perpaduan dan kasih sayang.

Umat Islam takut mati. Takut mati ini ialah takut mati kerana Allah. Umat Islam masih berani mati kerana dunia, kerana perempuan, kerana glamour, kerana nama atau kerana negara. Maka Allah cabut rasa takut dengan Allah dari hati-hati umat Islam dan Allah ganti dengan bermacam-macam rasa takut yang lain. Takut tidak makan, takut miskin, takut hilang kerja, takut hilang jawatan, takut isteri, takut tidak ada masa depan dan sebagainya.

Akibatnya umat Islam hilang wibawa, hilang kekuatan, berpecah-belah dan lemah. Umat Islam mundur di mana-mana, kalah dan terhina di mana-mana. Masalah inilah yang memeningkan para ulama dan pemimpin. Masing-masing tidak tahu kenapa umat Islam lemah dan terhina dan tidak tahu bagaimana untuk menjadikan umat Islam ini kuat. Oleh itu mereka hanya mencuba dan mengagak- agak. Buat cara trial and error. Walhal semuanya telah diterangkan dengan jelas melalui Hadis Rasulullah SAW.

Semua orang menganggap bahkan mereka yakin bahawa dunia ini dan manusia ini tidak akan selamat dan tidak akan bahagia kalau duit tidak cukup atau ilmu tidak tinggi atau jawatan tidak ada atau pangkat tidak tinggi atau pembangunan dan kemodenan tidak tercapai. Tegasnya kalau kita tidak tiru apa yang dibuat oleh Barat atau kita tidak jadi macam Barat, kita tidak akan selamat dan kita tidak akan bahagia.

Maka berlumba-lumbalah kita mengejar Barat. Seluruh jentera kemodenan dan pembangunan dikerahkan ke arah tujuan itu. Semua menjadi yakin kalau kita jadi Barat, akan bahagialah dan akan senanglah hidup kita.

Hingga hari ini, sedikit sebanyak kita sudah membangun seperti yang kita kehendaki. Negara kita sudah agak cantik, berkat meniru pembangunan Yahudi dan Nasrani. Ekonomi kita pun seakan-akan sudah pulih, walau belum ada seorang pun umat Islam yang telah berjaya membangunkan supermarket atau megamarket di mana-mana shopping centre di negara kita.

Walaupun masih banyak gerai-gerai orang Melayu di tepi-tepi jalan, ianya tidak kekal dan pendek umur. Walaupun ikan-ikan tangkapan orang Melayu banyak, ia masih menjadi sumber kekayaan orang tengah dan kaum kapitalis yang terus-menerus menghisap darah para nelayan.

Dari segi ilmu, bolehlah dibanggakan memandangkan jumlah universiti yang kian bertambah dan orang Melayu yang berdegree bertambah ramai. Namun para ilmuan itu tetap tidak boleh hidup kalau tidak diberi gaji. Yang tidak diberi kerja jadi bebanan pula pada negara. Mereka tetap tidak mampu berdikari untuk membina perusahaan, pembangunan dan perindustrian sendiri yang bebas dari makan gaji. Di samping itu, akhlak para lulusan tinggi tetap tidak jauh bezanya dengan akhlak orang yang berkelulusan rendah. Sikap mereka sama sahaja bahkan ada yang lebih teruk lagi.

Soalnya, hingga di tahap ini, adakah kita sudah mendapat masyarakat bahagia yang hidup penuh aman damai seperti yang kita idamkan?

Memandangkan pada gejala dan penyakit masyarakat yang bertimpa-timpa dan kian kronik dan masalah yang tidak habis- habis, tentu kita belum boleh mengatakan masyarakat kita sudah bahagia. Memang mungkin ada individu-individu atau keluarga-keluarga yang bahagia, tetapi ini bukan majoriti. Ini tidak boleh mencorak masyarakat.

Secara umumnya orang- orang yang ada kuasa tidak bahagia kerana dilanda penyakit gila kuasa. Orang kaya pula tidak bahagia kerana penyakit gila dunia. Orang miskin tidak bahagia kerana sering rindu pada kekayaan dan harta. Ibu bapa hilang bahagia kerana anak derhaka. Guru tidak bahagia dengan perangai anak muridnya. dan bermacam-macam lagi penyakit yang sedang meragut kebahagiaan hidup semua golongan dalam masyarakat kita.

Dalam keadaan ini apakah peranan pembangunan, kemodenan, ekonomi, jawatan dan ilmu yang tinggi yang diagung-agungkan tadi? Mampukah ia menyelesaikan segala masalah ini?

Lihat di Barat! Kemodenan hidup telah menghantar manusia ke kancah kehidupan yang derita, sengsara dan bergelora. Keinsanan dan kemanusiaan rosak. Manusia sudah hilang moral, keperibadian dan tatasusila. Kasih sayang tidak ada jenayah berleluasa. Sebagai contoh, sudah ramai orang Barat yang lebih rela hidup berdua dengan anjing atau bertemankan kucing atau itik atau ayam daripada hidup dengan manusia lain. Kebahagiaan dengan sesama manusia sudah tidak ada. Kalau begitu, apalah erti segala pembangunan dan kemodenan yang dikejar itu?

Kebahagiaan sebenarnya bukan terletak pada mata, tangan, kaki atau anggota-anggota lahir. Rasa bahagia itu tempatnya di hati. Kalau hati senang, dalam miskin pun boleh rasa bahagia. Sebaliknya kalau hati rosak binasa maka ilmu tinggi mana pun, kaya raya macam mana pun dan sebesar mana pun pangkat, tetap tidak akan hidup bahagia.

Itu bukti yang cukup jelas yang memang sudah menjadi pengalaman hidup semua orang. Kerana itu, untuk mencapai kebahagiaan hidup untuk individu mahupun untuk masyarakat, apa yang mesti diutamakan ialah mendidik individu-individu manusia dengan iman dan taqwa. Bukan dengan duit, pangkat, ilmu tinggi, kemewahan, pembangunan, kemajuan dan kemodenan.

Iman dan taqwa boleh membuatkan orang miskin terhibur dengan kemiskinannya. Iman dan taqwa boleh membuatkan orang kaya pemurah dengan hartanya dan rasa terhibur kalau dapat menyumbang kepada masyarakat dan menderma kepada fakir miskin. Iman dan taqwa boleh membuatkan orang-orang yang berkuasa rendah hati dengan rakyatnya serta terhibur kalau dapat berkhidmat pada rakyat.

Iman dan taqwa membuatkan anak-anak terhibur untuk taat kepada ibu bapa, isteri suka dan terhibur untuk taat kepada suami, pengikut terhibur mentaati para pemimpin, anak murid terhibur untuk hormat dan kasih kepada guru, dan pemuda terhibur untuk memikul tanggungjawab dan menyumbangkan tenaga.

Bila manusia sudah berada dalam keadaan seperti ini, barulah duit banyak akan membawa bahagia. Barulah pangkat tinggi berguna dan segala kemodenan, kemajuan dan pembangunan akan menjadi sumber keselesaan hidup yang bermakna.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan