Khamis, 6 Jun 2013

PERINGKAT-PERINGKAT ILMU ULAMA MUJTAHID




peringkat ilmu ulama yang ada dalam Islam

DALAM Islam, ilmu dipandang begitu tinggi dan penting.Kerana ilmulah yang akan membuka segala rahsia dunia dan Akhirat. Dan yang paling tinggi nilainya ialah ilmu yang boleh membuatkan manusia kenal Tuhan Penciptanya, tahu bagaimana berhubung dan menerima titah perintah dan larangan-Nya. Kemudian barulah ilmu tentang  tugas sebagai khalifah Tuhan di bumi,untuk mentadbir dunia ini mengikut undang-undang ALLAH. Agar dunia mencapai tamadun insan dan material yang tinggi, indah dan mulia.

Anjuran menuntut ilmu terlalu banyak sama ada oleh AlQuran mahupun Hadis.Pujian terhadap orang berilmu juga begitu tinggi. Sehingga manusia disuruh belajar sampai ke liang lahad, sampai ke Negeri China. Dan ilmu yang ALLAH bukakan untuk manusia melalui Quran dan Hadis itu bagaikan lautan luasnya siapa yang mencedok dan menggali tidak akan jumpa penghujungnya.

Maka untuk mentaati kehendak ALLAH, berlumba-lumbalah umat Islam mencari dan memburu ilmu. Hingga mereka mencapai tahap ilmu yang begitu tinggi, yakni  membolehkan mereka menjadi mujtahid, iaitu orang yang mampu berijtihad dalam segala bidang.

Sepanjang sejarah umat Islam, kita lihat ada peringkat-peringkat mujtahid yang berbagai, yang dicapai oleh masing-masing mereka dalam perlumbaan mendapat ilmu ini.

Saya akan menyenaraikan peringkat-peringkat mujtahid yang ada dalam Islam. Mereka itu merupakan ulama pakar di bidang feqah. Yakni yang mampu berijtihad di bidang hukum-hakam atau syariat. Tapi tidak di dalam soal aqidah.


Kerana bidang aqidah tidak boleh diijtihad dan diikhtilafkan.

Siapa yang menganut aqidah yang keluar dari aqidah asal, yakni Ahlil Sunnah Wal Jamaah (aqidah Nabi dan para Sahabat), maka ia jadi kafir atau membuat bid’ah berdasarkan sabda baginda:

Demi diriku Muhammad di tanganNya,akan berpecah umatku kepada 73 puak. Satu puak masuk Syurga dan72 puak bakinya masuk Neraka.

Siapa (yang masuk Syurga) wahai Rasulullah?

Sabdanya:
Iaitulah AhlusSunnahWalJamaah.

(Riwayat At Tabrani)

Ertinya ikhtilaf atau perbezaan umat dalam soal aqidah tidak dibenarkan.

Tapi dalam soal hukum-hakam atau furu’iyah yang menjadi panduan kehidupan lahiriah dan duniawi manusia, Islam membuka pintu ijtihad. Bahkan digalakkan berijtihad bagi mereka yang mampu, hinggakan kalaupun ijtihad itu salah, diberi satu pahala.Sebab Islam bukan menyusahkan kehidupan tetapi menyelamatkan dan memudahkan, selagi di atasjalan yang benar. (Bukan ambil mudah menurut nafsu dan syaitan).

Rasulullah SAW bersabda:
Perselisihan pendapat di kalangan umatku itu satu rahmat.
(Riwayat Al Baihaqi)

Ertinya dengan berijtihad itu masing-masingakan dapat laluan mudah untuk kehidupan masing-masing.Sedangkan tanpa berijtihad, hal yang mudah bagi seseorang mungkin susah bagi seorang yang lain.

Maka dalam bidang feqah, lahirlah ulama-ulama besar feqah, yang masing-masing mempunyai ijtihad yang tersendiri dalam soal hukum-hakam yang ada dalam Islam itu. Mereka ini lahir selepas Rasul dan Sahabat sudah tidak ada. Warisan yang tinggal Cuma Al Quran dan Hadis.

Kitab-kitab yang menghurai secara detail tentang bagaimana perlaksanaan hukum yang dimaksudkan oleh Al Quran dan Hadis pun belum ada.Jadi mereka mesti cuba memahami sendiri Al Quran dan Hadis tanpa melihat praktikalnya.

Lalu berijtihadlah mereka tentang ayat-ayat hukum dari AlQuran dan Hadis berdasarkan ilmu, akal, hati, pengalaman hidup mereka dan ilham dari ALLAH SWT.

Masing-masing mempunyai tafsiran yang berbeza dengan yang lain.Sebab itu lahir banyak mazhab feqah. Sepanjang sejarah lahirlah lima

kategori mujtahid dan ulama di kalangan umat Islam. Mereka ialah:

1. Mujtahid Mutlak
2. Mujtahid Mazhab
3. Mujtahid Fatwa
4. Mujtahid Tarjih
5. Ulama Muqallidin



1. MUJTAHID MUTLAK

Inilah peringkat ulama yang paling alim yakni paling tinggi dan hebat ilmunya dalam sejarah Islam. Keupayaan luar biasa yang ALLAH berikan pada mereka ialah dapat memahami, mentafsir dan mengeluarkan hukum-hakam (istinbat) dari AlQuran dan Hadis secara langsung tanpa bersandar dengan mana-mana ulama dan tanpa merujuk pada mana-mana kitab. Memang pada awalnya mereka juga belajar ilmu tentang Al Quran dan Hadis. Tapi dalam mengistinbat hukum dari ayat-ayat tentang hukum, mereka ada ijtihad tersendiri dan masing-masing. Mereka mampu mengeluarkan hukum sedangkan hal itu tidak terbuat oleh kebanyakan ulama. Mereka ini ibarat pakar-pakar carigali yang dapat menemukan dan mengeluarkan emas-emas dari perut bumi tanpa bersandar pada sesiapa atau tanpa membeli dengan sesiapa. 

Boleh dikatakan mereka adalah tauke lombong emas. Fikiran dan ilmu mereka begitu tajam dan tinggi dalam memahami semua maksud ALLAH melalui firman-firman-Nya dan Hadis-Hadis Nabi (di bidang hukum) yang terlalu tinggi dan luas itu. Kemudian hasil penyelidikan itu ditulis kan dan ada yang kekal sampai ke hari ini.

Kebanyakan ulama besar ini hidup di zaman salafussoleh (yakni sekitar 300 tahun sesudah Rasulullah). Bilangan mereka tidak ramai. Sepanjang sejarah cuma ada sebelas orang sahaja.

Antaranya:

Imam Hanafi,
Imam Syafi’i,
Imam Malik,
Imam Ahmad Hambal,
Imam Auza’i,
Imam Sofian As Sauri,
Imam Daud Zohiri,
Ibnu U’yaynah,
dan Imam Ath Thabari.

Mereka inilah yang terkenal sebagai imam-imam mazhab. Kerana ilmu mereka melalui kitab-kitab karangan mereka itu diambil sebagai ikutan oleh orang lain. Yakni orang-orang yang tidak mampu menggali sendiri ilmu ALLAH itu. Maka diikutlah salah seorang dari ulama besar tadi. Sepatutnya ada sebelas mazhab berdasarkan sebelas ulama yang boleh berdiri sendiri ini.

Rasulullah membenarkan ini dengan sabdanya:
Perselisihan pendapat di kalangan umatku itu satu rahmat.
(Riwayat Al Baihaqi)

Perbezaan dalam soal-soal hukum-hakam, feqah atau syariat, Islam membenarkan. Tetapi tidak dalam soal-soal aqidah dan tauhid.

Tapi sayang dari sebelas orang itu, Cuma tinggal empat orang yang masyhur dan diikuti sebagai imam mazhab. Sebab kitab mereka masih ada untuk rujukan dan panduan pengikut. Sedangkan kitab-kitab karangan imam-imam yang lain itu semuanya sudah lenyap terutamanya dimusnahkan oleh tentera Mongol yang menyerang Baghdad. Jadi yang tinggal cuma empat orang sahaja.

Di antara kitab-kitab mereka ialah:

a. Kitab Al Wasit oleh Imam Hanafi.
b. Kitab AZ Muwuththo’ oleh Imam Malik.
c. Kitab Al Uum oleh Imam Syafi’i.
d. Sunan lmam Ahmad oleh Imam Hambali.

Dengan adanya kitab-kitab yang mereka tinggalkan, maka anak murid dan pengikut-pengikutnya dapat mengembangkan ilmu dan kaedah untuk generasi di belakang, hingga ke zaman kita ini.Pengikut ajaran Imam Hanafi disebut bermazhab Hanafi. Pengikut Imam Malik disebut bermazhab Maliki. Pengikut Imam Syafi’i disebut bermazhab Syafi’i, dan pengikut Imam Ahmad Ibnu Hamball disebut bermazhab Hambali.

Perbezaan mazhab ini cumalah dalam soal-soal furuk (cabang), bukan dalam soal pokok (aqidah).Dan ini dibenarkan sedangkan perbezaan aqidah itu terlarang sama sekali.

Rasulullah bersabda:
Demi diriku Muhammad di tanganNya akan berpecah umatku kepada 73 puak. Satu puak masuk Syurga dan 72 puak bakinya masuk Neraka.

Siapa (yang masuk Syurga) wahai Rusulallah ?
Sabdanya: Itulah Ahlus Sunnuh WalJamaah.
(Riwayat At Tabrani)

Aqidah yang dibenarkan Cuma aqidah Ahli Sunnah WalJamaah. Sebab itu keempat-empat Imam Mazhab menganut aqidah Ahli Sunnah Wal Jamaah. Tanpa kitab yang ditinggalkan kepada murid-murid,maka tidak bersambunglah satu-satu ajaran itu.

Sedangkan sesudah mereka itu tidak ada lagi orang yang mampu memahami keseluruhan maksud yang tersurat dan tersirat ayat-ayat Al Quran dan Hadis yang ditinggalkan oleh Rasulullah dan para Sahabat.



2. MUJTAHID MAZHAB

Golongan para ilmuan dari kategori ini,tidak lagi mampu mengambil terus ilmu dari Al Quran dan  Hadis. Ertinya mereka tidak boleh berijtihad langsung tentang maksud-maksud ALLAH dan Rasul.

Jadi untuk memahami Al Quran dan Hadis, mereka merujuk dan belajar dari guru-guru yang bertaraf Mujtahid Mutlak tadi. Yakni mereka mengkaji apa kata Imam-Imam Mazhab itu terhadap mana-mana ayat AlQuran atau Hadis. Mereka kaji apa kata Imam Hanafi, Imam Maliki, Imam Syafi’i dan Imam Hambali.

Hasil kajian itu mereka huraikan pula dalam kitab-kitab mereka. Mereka bagai kan tauke-tauke emas yang mengambil emas yang sudah digali untuk diproses dan dipasarkan.

Sedangkan Mujtahid Mutlak tadi ialah tauke lombong yang mengeluarkan emas dari perut bumi. Kerja pertama adalah sulit, manakala yang kedua pun masih sulit juga. Sebab bukan senang juga untuk memahami kitab-kitab besar dari empat ulama besar itu.

Sebab itu mujtahid yang boleh faham keempat-empat mazhab dan mengembangkan kepada orang kemudian tidaklah ramai.

Di antara mereka ialah:

a. Imam Abu Yusof (Mazhab Hanafi)
b. Imam Muhammad bin Hassan (Mazhab Hanafi)
c. Imam Abu Saur (Mazhab Syafi’i)
d. Imam Ar Rabi’ Sulaiman (Mazhab Syafi’i)
e. Imam Abu Ibrahim IsmailAl Muzani (Mazhab Syafi’i)



3. MUJTAHID FATWA

Ulama peringkat ini pula bukan saja tidak mampu memahami sendiri secara luas dan tersirat tentang Al Quran dan Hadis, bahkan tentang keempat-empat mazhab pun tidak tercapai oleh ilmu pengetahuannya. Ulama ini Cuma mendalami salah satu mazhab dan mampu berijtihad menurut imam mazhab yang dianutinya. Dengan kata lain mereka ini Cuma mampu untuk berfatwa di atas ajaran mana-mana satu mazhab yang empat itu. Namun peringkat ilmu ini pun sudah payah hendak dicapai oleh mana-ulama zaman ini. Yakni mengikut satu-satu mazhab dengan mempunyai dalil yang jelas diambil dari imam mazhabnya.

Antara contoh mereka adalah:

a. Imam Ath Thahawy (Mazhab Hanafi)
b. Imam Al Ghazali (Mazhab Syafi’i)



4. MUJTAHID TARJIH (MUJTAHID MENILAI)

Ulama ini kebolehannya ialah mentahqiqkan atau menentukan dalil dari tiap-tiap Imam Mazhab terhadap sesuatu hukum. Dari sana, dinilailah dalil mana yang kuat dan mana yang lemah. Ulama ini tidak mendalami satu-satu mazhab sedalam-dalamnya. Tapi bidangnya Cuma mengkaji pendapat imam-imani mazhab tentang dalil mengenai beberapa hal atau hukum-hakam. Kemudian ditentukan imam mana yang lebih kuat hujahnya.

Biasanya dan sepatutnya ulama ini juga menganut mana-mana satu mazhab kerana mereka sendiri tidak mampu membuat mazhab baru. Ilmu mereka bukan bertaraf mujtahid mutlak.Jadi tentu mereka malu untuk menolak mana-mana mazhab kerana katanya mazhab itu lemah, sedangkan hakikatnya ilmu mereka sendiri jauh lebih rendah dari ilmu imam-imam mazhab.

Ibarat seorang lulusan SPM mahu menolak ilmu seorang profesor dengan alasan hujah profesor itu lemah. Apa pendapat anda?

Ada pula mereka yang berpendapat,

kita tidak mahu terikat dengan satu-satu mazhab tapi mahu mengambil semua mazhab. Yakni dalam keadaan mazhab itu mempunyai hujah yang paling kuat dalam satu-satu perkara itu.

Maksudnya,

kalau dalam hukum A, Mazhab Hanafi lebih kuat maka mereka menganut ajaran Hanafi.Tetapi dalam hukum B, Syafi’i lebih kuat hujahnya, diambillah dari Mazhab Syafi’I dan begitulah seterusnya yang lain-lainnya. Mereka mahu gabungkan hujah-hujah dari imam-imam mazhab untuk mencipta mazhab baru.

Teori ini memang menarik.
Tapi mana dia ulama yang mampu melakukannya ?

Sedangkan semua Mujtahid Mazhab itu pun tidak melakukan yang sedemikian itu. Walhal merekalah orang yang paling tahu tentang empat-empat mazhab.

Mereka lihat ada empat buah rumah yang sudah sempurna. Cuma tiap-tiap satu ada lebih kurangnya. Mereka Cuma pilih salah satu yang mereka minati.

Mereka tidak pula berusaha membuat rumah kelima (konon dengan alasan tiap-tiap rumah yang empat itu ada kurangnya).Sebab mereka bukan tukang buat rumah. Cuma kebolehan mereka menilai-nilai dan mengkaji-kaji rumah yang sudah siap itu.

Kalaulah dibuat rumah kelima, sedangkan mereka bukan tukangnya, gambarkan apa hasilnya ?

Antara contoh-contoh mereka adalah:

a. Imam Ar Rafi’
b. Imam An Nawawi
c. Imam Ibnu Hajar


Tiada ulasan:

Catat Ulasan