Selasa, 31 Julai 2012

Kuliah Al Fatihah: Ayat Ke Dua - Alhamdulillah


Setelah kita hurai Bismillah, bahas dan nilai, barulah terasa munasabah selepas itu kita puji Tuhan. Yakni selepas bismillah, alhamdulillah...

Setelah kita terasa banyaknya nikmat dan rahmat Tuhan, setelah kita sudah terasa kita tidak boleh hidup tanpa Tuhan, setelah kita terasa kita ini hambaNya yang patut merendah diri pada Nya, sebab pada Tuhan ada segalanya, yang mana pada Dia lah keselamatan kita, setelah kita rasa patut kita cintai dan takut denganNya.

Maka barulah rasa sedap hendak sebut alhamdulillah itu. Bila sebut alhamdulillah itu, kita sudah terbayang begitu rahmat dan nikmat Tuhan yang sangat melimpah ruah. Kalau tidak, kita sebut alhamdulillah, kita tidak rasa apa-apa.

Tamsilnya ibarat kita kenal seseorang A yang dia itu orang yang baik dan membantu, tentu kita akan cerita dengan orang lain B yang tidak tahu sangat hal  A itu. Kita puji A itu baik sebab kita yang memujinya terasa dan tahu A itu suka menolong dan suka memberi. B yang kita ceritakan padanya tentang kebaikan A tadi, mungkin percaya atas dasar kita puji. B mungkin tidak terasa apa-apa sebab itu bukan pengalaman dia. Sekadar dia baik sangka sahaja terhadap A.

Begitulah selama ini kita puji Tuhan Tuhan tidak terasa apa-apa. Kadang-kadang alhamdulillah jadi wirid pula Alhamdulillah, alhamdulillah, alhamdulillah... hanya sekadar tidak prejudis, baik sangka, merasakan ia perkataan baik yang patut disebut selalu tetapi kita tidak terasa apa-apa.

Kalau tidak terasa apa-apa, yang berlaku ialah ia tidak membangunkan jiwa. Jiwa tidak hidup dan tidak terangsang. Lain sekali dengan orang yang memuji Tuhan dan dapat merasa yang mana akal serta perasaannya terus dimandikan oleh rahmat dan nikmat Tuhan.

Sama ada yang mata boleh melihat, yang tangan boleh sentuh, yang boleh difikirkan dan yang ada dalam perasaan. Maka dalam keadaan itu, bila dia puji Tuhan, dia sangat terasa, sangat terhibur, sangat bahagia, sangat terbangun perasaannya. Orang yang begitu bila puji Tuhan, terutama bila dijadikan zikir, sangat indah, sangat lazat, sangat terhibur dan sangat bahagia sebab ada satu rasa yang tidak boleh hendak digambarkan.

Sebab dia puji Zat yang Maha berkuasa, yang sudah memperlihatkan pada dirinya, rahmat dan nikmat Tuhan itu. Seolah-olah di depan matanya, nikmat dan rahmat Tuhan itu macam salji turun. Maka indahlah bila dia sebut alhamdulillah.

Orang yang tidak nampak nikmat Tuhan sekalipun melalui matanya, tidak terasa oleh hati, lebih-lebih lagi nikmat atau rahmat yang bersifat rohaniah, dia baca alhamdulillah sekadar untuk cari fadhilat. Ianya tidak dapat bangunkan syahsiah dan akhlak. Ia tidak mampu sebab apa yang dia sebut itu tidak menggugat perasaannya. Tidak terasa apa-apa.

Maka patut sekali Tuhan letakkan Alhamdulillah itu selepas Bismillahi rahmanir rahim. Kalau kita faham Bismillah itu seperti yang  disyarahkan, maka kita pun cakap Alhamdulillah... ia akan jadi sangat indah, sangat memberi kesan dan sangat memberi erti. Kalau tidak, kita tidak akan rasa apa-apa. Maha Besar Tuhan.

Mari pula kita terokai isi atau intipati alhamdulillah. sama ada yang bersifat mata, akliah atau rohaniah.
'Segala puji bagi Tuhan'. 

Apakah 'puji' itu ?

Erti Puji: Ungkapan-ungkapan perkataan yang baik untuk ditujukan pada seseorang (kalau orang) atau pada Zat (kalau Tuhan), yang mana ungkapan-ungkapan itu layak bagi orang itu atau yang layak bagi Zat itu.

Kalau itulah takrif pujian atau itulah isi pujian, kalau kita kata Alhamdulillah,
maka bagaimanakan segala puji bagi Tuhan itu berdasarkan takrif tadi ?

Bagaimanakan untuk memuji Tuhan mengikut takrif itu ?

baiknya Tuhan, hebatnya Tuhan, maha kuasanya Tuhan, pemurahnya Tuhan dan maha agungnya Tuhan. Semua itu layak bagi Tuhan. Kalau kita hendak puji Tuhan atas dasar kelayakannya, ia bukan sekadar itu. Kalau Tuhan izinkan, katalah kita boleh hidup sejuta tahun, sepanjang sejuta tahun itu kalau kita hendak puji Tuhan, tidak akan habis. Mengapa ?

Sebab sifat kesempurnaan Tuhan itu tidak terhingga dan tanpa batas. Kalau Tuhan izinkan kita hidup sejuta tahun yang mana kita sentiasa memuji Nya dengan lazat, tanpa rasa susah, tanpa terleka, maka sejuta tahun itu tidak cukup kerana ia tidak ada kesudahan. Maha besar Nya Tuhan.

Patutlah selepas Bismillah, ialah alhamdulillah sebab perkataan yang layak bagi Tuhan itu tidak ada kesudahan. Jadi kalau kita hendak puji Tuhan, ia tidak akan berkesudahan. Oleh kerana umur kita pendek, tidak mungkin kita boleh buat. Kalau dipanjangkan umur kita berjuta-juta tahun pun, Tuhan lihatkan pada kita kesempurnaan Nya, tidak akan ada stop.

Jadi kalau kita faham, baru sedap menyebut alhamdulillah sebab kita nampak mengapa patut kita puji Tuhan itu, sebab sifat yang patut bagi Tuhan itu tidak terhingga. Maha bijaksana Tuhan meletakkan perkataan Bismillah kemudian Alhamdulillah.

Memuji Tuhan ini ada 3 peringkat:

1.Memuji dengan yang ada hubungan dengan Zatnya
2.Memuji dengan yang ada hubungan dengan sifat-sifat Nya
3.Memuji atas rahmat dan nikmat Nya

Jadi memuji Tuhan itu adakalanya berhubung dengan Zat Nya, adakala berhubung dengan sifat-sifat Nya dan adakala atas rahmat dan nikmat Nya. rahmat dan nikmat itu sudah kita perkatakan, yang ada yang bersifat mata, yang bersifat akal dan bersifat rohaniah.

1. Contoh kita memuji Tuhan atas di atas Zat Nya:

"Wahai Tuhan, Engkau yang maha kekal. Wahai Tuhan, Engkau maha esa. Wahai Tuhan, Engkau tidak perlukan ruang. Wahai Tuhan, Zat Engkau tidak menyerupai segala yang baru. Ya Tuhan maha suci Engkau dari mengambil tempat, berada dalam masa dunia dan akhirat".

2. Contoh pujian kita ke atas Tuhan berkait dengan sifat-sifat Nya: 

"Engkau Maha pengasih, Maha penyayang. Engkau maha pengampun. Engkau maha lembut. Engkau maha qahhar (keras) dan jabbar. Engkau maha bersykur, Engkau maha lemah lembut. Engkau maha agung, Engkau maha tinggi, Engkau maha pemarah (Tuhan memang layak)" Itulah pujian yang memang layak ke atas Tuhan.

3.Memuji Tuhan di atas pemurah dan penyayang Nya:

 "Pemurahnya Engkau Tuhan, Engkau beri aku makan, beri aku ilmu (ada hubungan dengan nikmat akli). Terima kasih Tuhan kerana kenalkan Diri Mu padaku. Terima kasih Tuhan kerana Engkau jadikan Engkau Tuhan aku (itu nikmat dan rahmat). Terima kasih kerana memberi aku kesenangan, anak, pakaian, kesihatan, beri pemandangan yang indah dan macam-macam lagi."

Jadi memuji Tuhan itu, yang semuanya layak untuk Tuhan, adakalanya pada Zat Nya, adakala pada sifat-sifatNya, adakala pada nikmat dan rahmat Nya.


Pembahagian pujian itu pula ada 5 iaitu:

1.Puji Tuhan pada diri Nya.

Tuhan memuji diri. Ini banyak terdapat dalam Al Quran dan Hadis.

Contohnya:
"Aku Tuhan, sembahlah Aku. Tidak ada Tuhan selain Aku. Aku adalah qahhar. Aku jabbar. Aku pengasih dan penyayang."

Dia memuji diri Nya. Ada Hadis mengatakan,
"Aku kasih pada hamba Ku, lebih dari seorang ibu mengasihi anaknya."

Apakah hujah untuk membenarkan Tuhan memuji diri Nya ?

Sebab Tuhan memang layak. Lagipun mana ada yang lebih atas dari Tuhan. Kalau dia hendak puji diri Nya, siapa yang hendak hukum Dia. Kalau kita hendak puji diri sendiri, nanti ada yang lebih atas yang akan tegur sebab ada orang yang lebih layak. Kalau Tuhan puji diri Nya. Dia pun memang tiada tandingan.

Sebab itu ada amalan-amalan khusus kerana kita tidak mampu untuk puji Tuhan maka kita berkata,
"Aku puji Engkau Tuhan sebanyak mana Engkau puji diri Engkau sendiri. Anggaplah ini juga pujianku untuk Mu".

Ini termasuk rahmat Tuhan. Ini cara short cut sebab kita pun tak larat hendak puji Tuhan. Tuhan boleh terima, kan in tidak boleh masuk akal. Secara logik mana boleh kongsi tetapi itulah yang disebut rahmat Tuhan itu luas. Dengan Tuhan tidak payahlah ikut prosedur yang logik-logik macam kepercayaan sesetengah golongan.

2.Pujian Tuhan pada hamba Nya:

Contohnya:
"Aku suka pada orang yang bertaubat."
"Aku suka orang yang bertaqwa"
"Aku suka orang yang pemurah"
"Aku suka orang yang buat dosa dan kemudian bertaubat atas dosanya"
"Aku lebih suka pada orang yang merintih atas dosanya daripada tasbih para aulia"

3.Pujian seorang hamba pada Tuhannya.
Itu mudah kita faham. Selemah-lemah kita, kita mesti ada puji Tuhan.

4.Puji hamba kepada hamba.

Contohnya:
A kata B ini pandai dan sabar. Tetapi elok memuji dibelakangnya, takut dia tak tahan hendak bawa. Sebab puji di depan itu macam letak kayu balak di bahu. Ada ke orang yang boleh pikul kayu balak 10 ton atas bahunya ?

Pujian dibolehkan kerana hakikatnya dia puji Tuhan. (Barangsiapa yang tidak bersyukur pada manusia, hakikatnya dia tidak bersyukur pada Tuhan). Kalau kita puji manusia, hakikatnya kita puji Tuhan. Sebab orang itu dapat nikmat dari Tuhan. Nikmat itu bukan hakiki

5.Pujian seseorang atas dirinya sendiri.

Itu tidak boleh kecuali atas dasar hendak sebut nikmat Tuhan yang ada pada dirinya. Tetapi itu kena berhati-hati.

Contohnya:
Nabi-nabi terpaksa puji dirinya. Macam Rasulullah SAW kata,
" Saya adalah seorang yang paling takut dengan Tuhan."

Kalau Rasulullah tidak sebut, umat akan terkeliru. Jangan ada orang yang anggap, ada orang yang lebih takut pada Tuhan dari Rasul.  Dia ceritakan nikmat Tuhan pada dirinya bukan kerana megah tetapi kena berhati-hati. Takut berbunga di dalam hati.

Rasulullah mengatakan,
"Saya adalah orang yang paling fasih menyebut (huruf) dhad." Sebab menyebut huruf dhad itu susah. Memuji diri itu tidak digalakkan kecuali atas dasar hendak sebut nikmat Tuhan seperti oleh Rasul setelah diilhamkan.

Selepas sebut Bismillah, baru seronok hendak katakan alhamdulillah, iaitu segala puji hanya layak bagi Tuhan. Yang lain tidak layak dipuji.

Itulah huraian dan tafsirannya bagi yang dikatakan

"Segala puji hanya layak bagi Tuhan”.


Kuliah Al Fatihah: Ayat ke Dua - Rabbil Alamin

Assalamualaikum wr wb
Bismillahir rahmanir rahim
Anak-anakku yang dikasihi,

Kita sedang memperkatakan surah Al Fatihah. Kita baru sahaja di permukaannya. Setelah membahas Bismillah, hinggalah kita baca sampai akhir, rupanya setiap ayat itu satu sama lain berkait. Ada munasabahnya ia tidak terpotong-potong tetapi berhubungkait.

Bila kita bahas tentang Bismillah, kita nampak rahmat, dan nikmat Tuhan itu terlalu banyak. Terasa kita tidak boleh terlepas dari Tuhan. Kita merasa kita benar-benar hamba yang mengharapkan bantuan Nya. Setiap yang berlaku, kita terhubung dengan Tuhan. Kalau kita lakukan dengan kesedaran maka munasabah, selepas Bismillah, ayat satu dari Fatihah itu, Alhamdulillahi rabbil 'alamin.

Sekarang kita hendak sambung , 'rabbil 'alamin'.
"Segala puji hanya untuk Allah...".

Setelah kita bahas dari Bismillah lagi, layaklah pujian itu hanya untuk Tuhan sahaja. Orang lain tidak boleh ambil. Kalau kita sandarkan juga pujian pada manusia, itu hanya pemberian Tuhan kepada orang itu, sebagai saluran Tuhan melalui nikmatNya. Walaupun sebagai saluran, bukan miliknya tetapi Tuhan suruh puji juga, berdasarkan hadis yang mengatakan,

"Siapa yang tidak bersyukur dengan nikmat-nikmat, dia tidak bersyukur kepada Ku."

Jadi walaupun mulut memuji orang itu, hati tetap memuji Tuhan. Kita puji manusia itu dengan mulut kerana manusia itu ada hak. Pemberian Tuhan itu hak dia sementara waktu. Sebab itu mulut kita puji tetapi hati kita tetap memuji Tuhan.

Jadi kita puji orang itu hakikatnya, secara indirect memuji Tuhan. Sebagaimana Rasul-rasul yang kadang-kadang memuji dirinya tetapi hakikatnya hatinya memuji Allah kerana dia hanya memuji nikmat yang Tuhan beri kepadanya. Ini adalah ulangan supaya ada hubungan dengan kuliah hari ini.

Rupanya pujian itu hanya untuk Tuhan yang orang lain tidak boleh ambil. Kalau pun ada hanya nisbi, bukan hakiki.

Jadi kalau nikmat dan rahmat itu adalah segala-galanya dari Tuhan, tidak ada sumber lain, maka layaklah Dia itu rabbil 'alamin (mentadbir alam). Jadi layaklah Tuhan itu mentadbir alam atau mendidik alam. Mengapa di sini Tuhan menggunakan 'rabb'?

Orang Arab, kadang-kadang dia panggil tuan rumah itu dengan panggilan rabbul bait. Mengapa Tuhan tidak katakan, "Alhamdulillah khaliqul 'alamin? atau 'Alhamdulillahi jaa ilin 'alamin (Pujian bagi Tuhan yang menjadikan alam).

Sebab kalau dikatakan 'Khaliqul ataupun 'jaa 'ilin, hanya bertanggungjawab menjadikan alam sahaja, selepas itu dibiarkan. Tidak perlu bertanggungjawab lagi. Tetapi Tuhan menamakan diri Nya Rabbil 'alamin'. Maknanya global sedangkan 'Kahliqul ataupun 'jaa'ilin, itu maknanya satu.

Apabila dikatakan pentadbir atau pendidik alam, Dialah yang menjadikan, Dialah yang mentadbir, yang menjaga, yang mengurus, menjaga keselamatan, yang menentukan, yang buat ukuran bagaimana untuk mentadbir alam dan seterusnya.

Barulah kita faham kalimah 'rabb' itu maknanya global. Tuhan dikatakan 'rabbul kaabah'. Dia bukan hanya menjadikan Kaabah bahkan lebih dari itu.

Perkataan 'rabb' di sini ada hubungkait dengan tauhid. Tauhid ada 2 bahagian,

tauhid rubbubiyah (pentadbiran dan pendidikan) dan
tauhid uluhiyah (ketuhanan).

Rubbubiyah itu dari perkataan 'rabb' itu, isim masdar.

Tauhid itu ada 2 bahagian iaitu tauhid ketuhanan dan tauhid pentadbiran.

Daripada sifat 20 atau lebih luas lagi, dari asmaulhusna itu, ia jadi 2 bahagian. Ada yang bersifat rubbubiyah dan ada yang bersifat uluhiyah.

Bagaimana kita hendak bezakan mana yang bersifat ketuhanan dan mana yang bersifat pentadbiran itu ? 
Jawapannya ada 2 iaitu:

 1.Uluhiyah itu bersifat Zat (Contohnya :
Tuhan itu qadim, Esa) Kalau Tuhan tidak ada sifat itu, ia tidak layak jadi Tuhan. (Maha Suci Tuhan).

Ada tak makhluk yang tidak ada permulaan ?
Tidak ada, maka tidak ada makhluk yang layak jadi Tuhan.

Ada tak makhluk yang esa, yang tidak boleh dipecah-pecahkan ?
Tidak ada, maka tidak ada makhluk yang layak jadi Tuhan.

Sifat uluhiyah itu hanya ada pada Allah maka Allah sahaja yang layak jadi Tuhan.

 2.Rubbubiyah pula, ia memerlukan suatu yang bertambah. Kalau kita katakan Tuhan itu esa, perlukan esa itu bertambah ? Tidak.

Tetapi kalau Tuhan itu dikatakan berkuasa maka ada benda yang kena kuasa. Ada benda yang ditambah atau dikena.

Contohnya Tuhan itu 'alim maka ada benda yang Tuhan tahu. Jadi ia bertambah. "alim itu bukan hanya Zat. Contoh lain, Tuhan berkehendak. Ada yang kena. Maka bila ada benda yang berlaku, maka itu kehendak Tuhan.

Rubbubiyah itu berhubung dengan hamba.
 Sifat uluhiyah Tuhan ada 6 iaitu wujud, qidam, baqa', mukholafatuhu, qiamuhubinafsih, wahdaniah. Bakinya, 14 sifat lagi adalah sifat rubbubiyah..

Dengan sebab itu, 'Segala puji bagi Tuhan yang mentadbir sekelian alam', 

di situ ada sifat rubbubiyah. Tidak dikaitkan sifat uluhiyah itu. Dia bukan sahaja menjadikan alam bahkan mentadbirnya. Dia lah yang menentukan samada hendak menyelamatkan atau menghancurkan.

Perlu diingat, bila Tuhan menjadikan suatu  makhluk, kemudian Tuhan mentadbir, bukan sahaja makhluk yang Tuhan hendak jadikan itu sudah Tuhan tentukan dari azali... bagaimana Tuhan hendak mentadbir itupun sudah ditentukan dari azali lagi. Ertinya sejak belum bermula lagi, Tuhan menentukan itu pun tiada permulaan.

Yang ada permulaan itu bila wujud…
tetapi rancangan itu tidak ada permulaan.

Apa maksud dari azali ?

Ertinya bukan Tuhan merancang. Kalau Tuhan merancang, ada tempoh bermulanya. Seperti  zat Tuhan tidak bermula, apa sahaja yang Tuhan hendak jadikan, hendak tadbirkan, itu sejak azali.

Bila Tuhan hendak menjadikan sesuatu, bila sudah terjadi, kejadian itulah yang ada permulaan. Tetapi rancangan untuk menjadikan itu, tidak ada permulaan. Kalau ada permulaan, sudah sama dengan makhluk. Maha Suci Tuhan dari ada permulaan

Begitu juga setiap makhluk yang Tuhan jadikan samada manusia, malaikat, langit, bumi, planet, bukan sahaja merancang itu tidak ada permulaan, bukan sahaja menentukan besar  atau kecilnya itu tidak ada permulaan dan bukan sahaja bila hendak menjadikan sesuatu itu tidak ada permulaan.

Bila satu perkara itu Tuhan jadikan, Tuhan bersifat Rabb tadi, Dia 'rabbil'alamin'.

Bila dikatakan alam itu bermakna, yang selain Tuhan itu adalah alam. Samada alam akhirat atau alam dunia. Kalau hendak dipecahkan lagi, ada alam jin, alam malaikat, alam manusia, alam jamadat, alam kayu kayan dan lain-lain. '

Alamin itu perkataan jamak, global. Bila sebut 'alamin, semua terangkum samada yang berkait dengan dunia dan akhirat.

Apa yang saya hendak maksudkan,

bila Tuhan menjadikan makhluk Nya, alam dunia atau akhirat, malaikat atau manusia, Tuhan yang bersifat Rabb itu. Dia akan mentadbir berdasarkan ketentuan Nya semenjak azali lagi.

Apakah ketentuan Nya ?
Iaitu sunnah yang akan berlaku pada makhluk-makhluk itu, atau sistem yang hendak dilakukan,Tuhan ciptakan.

Setiap makhluk yang Tuhan tentukan sejak azali lagi, tiada permulaan. Bila Tuhan wujudkan, Tuhan akan tadbir sebab Dia itu Rabb. Tuhan akan didik, (Dia Rabb) berdasarkan sistem yang Tuhan tentukan sejak azali, berdasarkan sunnatullah pada makhluk yang hendak ditadbir itu.

Contohnya manusia ada sistem sendiri.Ianya sunnah yang mana kalau manusia hendak hidup, Tuhan tentukan diberi nafas, makan, minum, ada darah. Ini sunnatullah, sistem yang Tuhan jadikan pada diri manusia. Itupun Tuhan sudah tentukan sejak azali.

Bila manusia dijadikan atas dasar ketentuan Tuhan itu, Tuhan tidak ubah. Padahal bila kita bahas kuasa Tuhan, boleh tak manusia hidup dengan air, bukan dengan darah ? Boleh, tetapi Tuhan tidak buat. Tuhan menyebut dalam Al Quran,

"Sekali-kali Tuhan tidak akan ubah sunnah Nya."

Jadi kalau manusia itu hidup dengan nafas, makan, minum dan dengan darah maka Tuhan akan tadbir begitulah. Kalau Tuhan hendak matikan pun, Dia akan rosakkan sistem tetapi Dia tidak ubah. Padahal dengan kuasa Tuhan, Tuhan boleh masukkan air gantikan darah. Tukar oksigen dengan benda lain.

Atas dasar kuasa, Tuhan boleh buat,

tetapi atas dasar Tuhan sudah berjanji,
Tuhan tidak akan ubah sistem Nya atau sunnah Nya. Tuhan tidak akan mungkir janji walaupun Dia berkuasa. Walaupun sebesar habuk, kalau habuk itu Tuhan janjikan ia akan jatuh ke laut, ia tidak akan jatuh di sungai. Maha Besar Tuhan. Kerana Tuhan sudah berjanji maka Tuhan akan tunaikan janji Nya seolah-olah Tuhan mewajibkan diri Nya, "Aku tidak akan mungkir janji."

Itu terhadap makhluk Nya yang sebesar habuk!

Fokus saya di sini ialah, 'rabbil 'alamin',  itu,

Tuhan mentadbir bukan sesuka hati. Dia sudah tentukan sistem Nya dan mentadbir berdasarkan sistem itulah. Kalau Tuhan rosakkan pun, atas dasar sistem itu juga. Tuhan tidak akan buat dengan cara lain. Walaupun Tuhan ada kuasa dan boleh ubah apa-apa atas kuasaNya, tetapi Tuhan sudah janji, setiap makhluk ada sistemnya, ada sunnahnya, maka Tuhan mentadbir setakat itulah. Tidak akan terkeluar dari sistem itu.

Nampaklah keuasaan Tuhan itu.
Itulah yang dimaksudkan 'rabbil'alamin'. Di sinilah tauhid.

Allah tidak mentadbir sesuka Nya. Bagaimana Dia akan mentadbir, Dia telah tentukan Dia akan mentadbir atas sistem sejak azali lagi. Tuhan sudah berjanji dan tidak akan mungkir janji. Saya ulang, walaupun sebesar habuk itu jatuh ke laut, ia tidak akan jatuh ke sungai.

Hebatnya Tuhan, Dia hendak menjadikan suatu perkara itu sejak azali lagi, tanpa dirancang Dia sudah tahu. Bila diwujudkan dengan sistemnya sekali, walaupun sebesar habuk, tidak perlu diubah lagi. Tidak hebat kah ?

Tanpa silap dan tidak perlu repair. Kalau hendak diubah ertinya ada yang tidak kena. Sebab itu Tuhan beritahu,"Apa yang Aku buat, Aku tidak akan ubah lagi," kerana begitu kemasnya sistemNya. Tidak nampakkah kebesaran Tuhan ?

Kita hendak buat kereta pun, berapa kali tukar sistem. Sedangkan sistem Tuhan itu sesempurnanya.Itulah antara kebesaran Tuhan. Kita lihat langit besar tetapi melihat langit besar itu tidak terasa kebesaran Tuhan. Kenapa ?

Kita biar mata sahaja yang melihat. Tidak dikaji dengan rohani. Kalau kita mendapat apa hikmahnya pada rohani, barulah terasa besarnya langit itu, itu adalah kebesaran Tuhan. Inilah salah ulama selama ini. Mereka menyebut langit itu tanda kebesaran Tuhan tetapi itu hanya cakap-cakap. Tidak terasa pun!. Rasa-rasa ini ada banyak peringkat, peringkat mata, peringkat akal, dan peringkat roh. Bila menyentuh roh, barulah  terasa.

Tuhan berkata,
"Tidakkah engkau melihat kebesaran Ku pada penciptaan langit dan bumi ini."

Melihat itu bukan dengan mata tetapi dengan roh, dengan hati.
"Dalam penciptaan langit dan bumi dan perubahan malam dan siang, itulah tanda kebesaran Tuhan bagi orang yang mempunyai hati."

Itulah yang dimaksudkan 'rabbil'alamin', Pentadbir seluruh alam.

Ulasan dan Huraian 'Rabbil 'Alamin'

SOALAN:
Adakah kelahiran Nabi Isa tanpa ayah itu terkeluar dari sistem yang Tuhan tetapkan ?

JAWAPAN:
Itu sudah ditentukan sejak azali lagi. Bukan Tuhan  baru berubah niat untuk tiba-tiba menjadikan manusia tanpa ayah. Maha suci Tuhan dari berubah niat.

Azali: sesuatu yang tidak ada permulaan. Ia tidak dapat dibayangkan. Qadim dan azali itu sama. Ada ulama bahas perbezaan antara qadim dan azali ialah

azali itu termasuk perkara yang ada atau tiada, yang tidak dijadikan. Sedangkan qadim hanya perkara yang ada sahaja tetapi tanpa permulaan. Kedua-duanya bermaksud sesuatu yang tanpa permulaan.

SOALAN:
Nasib seseorang di luh mahfuz itu bukankah  boleh diubah ?

JAWAPAN:
Itu pun sudah ditentukan sejak azali. Ada yang boleh di tolak dengan doa (mengubah yang di luh mahfuz) pun ditentukan sejak azali. Apapun yang kita hendak buat sekalipun sebesar habuk, itu telah ditentukan sejak azali.

Katalah umur 70 nanti saya meninggal. Sekalipun betapa banyak perbuatan saya semenjak lahir hingga umur 70 tahun itu tetapi Tuhan tahu semuanya sebab Tuhan sudah tentukan semua perbuatan itu dari azali.


ULASAN:

Kita memperkatakan sekitar 'rabbil'alamin'. Rabb itu yang lebih penting dibahaskan dan 'alamin' itu adalah memperkatakan tentang alam itu sendiri sudah disistemkan.

Tuhan bukan berbuat sesuka hati. Ini hendak kita applykan bila kita baca Fatihah yang mana kita hendak melihat Tuhan di dalamnya. Rabb itu mencangkup tauhid uluhiyah dan rubbubiyah. Yang itu pun rupanya ia masih belum bertapak di akal kita, masih di awang-awangan. Hendak kita terapkan pun satu masalah.

'Alamin itu memperkatakan satu sistem yang Tuhan telah tetapkan, melibatkan dunia dan akhirat.
Akan datang bila kita baca ,'alhamdulillahi rabbil'alamin', Segala puji hanya layak bagi Allah.

'Segala' itu meliputi segala-galanya, melibatkan seluruh tentang Allah dan tentang alam. Iaitu segala yang berkait dengan zat Allah, sifat Allah dan seluruh pemberian-pemberian Allah.

Pergi kepada  Rabb, kita sangat terpukau dengan perkataan, 'Layaklah Dia jadi Tuhan.' Membahaskan sifat-sifat uluhiyah adalah mempastikan yang Dia benar-benar Tuhan. Siapa yang tidak mempunyai sifat-sifat itu maka dia tidak layak menjadi Tuhan. Selama ini orang sudah tersalah mentafsir dan tersalah fikir hingga mengambil yang tidak layak,  tetapi dituhankan.

Ini menjawab krisis nilai yang salah faham tentang erti Tuhan.

Tuhan mempunyai 6 sifat-sifat uluhiyah yang melayakkan Dia jadi Tuhan.
Di dalam azan, Allah selalu menyebut 'Tiada Tuhan selain Aku'. Ia merujuk kepada 6 sifat inilah, yang bermula dari' wujud' sampai 'wahdaniah.'

Rabb itu memberi maksud kepada sifat-sifat selepas 'wahdaniah' itu. Membahaskan Tuhan itu sendiri, rupanya merujuk kepada 6 sifat itu. Hujah ini boleh digunakan untuk menafikan berbagai pendapat tentang Tuhan. Itulah definasi Tuhan. Di luar definasi, bukan Tuhan.

Rabb itulah memperkenalkan Tuhan yang Pentadbir.

Ada dua kategori iaitu Tuhan yang memang layak jadi Tuhan dan Tuhan kuasaNya sampai mampu menguruskan semua ciptaan Nya. Dia, Tuhan yang bertugas.

Kalau kita tidak masukkan ini dalam bacaan Fatihah kita, maka sia-sialah sahaja bacaan kita kerana kita tidak masuk dalam gudang falsafahnya. Sebenarnya kalau orang yang asyik masyuk dengan sembahyang, dia akan mempunyai peribadi yang besar sekali.

Sembahyang itu mencipta peribadi agung. Ertinya dia sedang membentuk pemikiran yang cukup luas sekali, mencangkup isi dunia dan akhirat. Konsep sembahyang adalah pencetus akal yang besar, kalau ia dipandu oleh rohnya.

'Alamin itu memberitahu kita bahawa Tuhan adalah Bapa Sains dan Teknologi yang maha, maha ajaib.Saintis yang ada hanyalah melukut di tepi gantang Allah. Allah adalah maha pakar pencipta sistem sunnatullah ini.

Saintis bangga dengan penemuan mereka tentang lingkaran planet sedangkan mereka menemui satu sistem yang diciptakan Tuhan. Apa yang hendak dibanggakan dengan penemuan. Silapnya orang yang membesarkan Saintis. Macam orang yang jumpa duit yang banyak ditengah jalan, kemudian ambil duit orang lalu mengaku dialah jutawan.

Tuhan mentadbir bukan tidak tentu arah. Maha suci Tuha dari berbuat begitu. Semua itu ada tanpa permulaan. Akal pun tidak mampu pergi ke situ. Hanya setakat di border sahaja. Di luar permulaan itu, akal tidak boleh pergi tetapi di sanalah Tuhan.

Satu ilmu yang menakjubkan kita bilamana Tuhan mentadbir itu bukan tidak bersistem bahkan Tuhan berjanji dengan Diri Nya bahawa Dia tidak akan memungkiri janji Nya terhadap ketetapan sunnah itu. Sekalipun hanya untuk satu debu, Allah mampu untuk tidak menukar janji Nya.

Begitulah hebatnya Sembahyang kerana didalam sembahyanglah Al Fatihah ini diwajibkan. Fatihah menjadi wajib dan adalah batal sembahyang tanpanya.. Dan batal sebenarnya kalau kita tidak menghayati fatihah itu. Siapa yang membaca Fatihah dengan lalai maka neraka Wail baginya kerana dia mendapat hentakan dari Fatihah itu akibat tidak beradab dengan Fatihah itu.

Fatihah adalah ibu kitab yang mana di sana kita boleh dapat segala yang kita perlukan tetapi kita tidak pernah ambil pun.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan