Sabtu, 9 Jun 2012

perang fikiran bab 4




Hakikat Peperangan

Sekarang ini heboh pasal perang. Amerika Syarikat sedang berperang dengan Afghanistan. Sebelum ini, Rusia dengan Afghanistan. Rusia berhenti berperang dan pulang ke Negara asal. Orang Afghanistan terus juga berperang sesama sendiri. Perang saudara namanya.

Pelik juga. Selepas perang dengan musuh, perang pula dengan saudara. Rusia pula, setelah berehat buat seketika, berperang semula. Kali ini dengan orang Chechnya. Di Kosovo, perang juga. Orang Serb dengan orang keturunan Albania. Sebelum itu di Bosnia Hezegovina di antara orang Serb dengan orang Islam Bosnia.

Selepas revolusi Iran, Iraq dan Iran berperang. Ini diikuti peperangan di antara Iraq dengan Amerika Syarikat yang dibantu oleh sekutu-sekutunya atas isu Kuwait atau dalam erti kata yang lain, atas isu minyak. Britain memilih untuk berperang dengan Argentina bagi merebut kepulauan Falklands. Tempatnya jauh sedikit dari kawasan sibuk di dunia tapi peperangannya hebat juga.

India dan Pakistan sudah pernah berperang. Hasilnya, terbentuk negara Bangladesh. Arab dan Israel sudah lama tidak berperang tetapi kawasan Palestin masih panas.

Demikianlah halnya dengan dunia ini. Tidak habis-habis dengan perang, terutama perang bersenjata. Hingga apabila disebut sahaja perang, itulah yang kita faham iaitu perang bersenjata. Kita lupa bahawa banyak lagi perang yang lebih besar, lebih rumit dan lebih mencabar yang tidak melibatkan penggunaan apa-apa senjata.

Sebenarnya perang itu ialah perlawanan, perjuangan atau penentangan. Tidak semestinya perang itu perang bersenjata. Apa sahaja yang dilawan, diperjuangkan, dan ditentang, maka peranglah namanya.

Di dalam Al Quran, Tuhan ada menyebut tentang tiga bentuk peperangan iaitu:

Perang melawan hawa nafsu
Perang melawan syaitan
Perang melawan orang kafir.

Pernah pada satu masa Rasulullah SAW, ketika sekembalinya dari suatu peperangan yang hebat dengan para Sahabat,

Rasulullah SAW Bersabda

Maksudnya:
 Kita kembali dari satu peperangan yang kecil kepada satu peperangan yang lebih besar.?

Sahabat bertanya,Ada lagikah Ya Rasulullah perang yang lebih besar dari peperangan ini ?

Rasulullah menjawab,
 Ada, iaitu perang melawan hawa nafsu.?

Nafsu itu adalah sebahagian dari diri rohani kita. Ia satu dari wajah roh kita. Apabila roh kita berperanan untuk berfikir, bertafakkur, menimbang-nimbang, menimba dan menyimpan ilmu, ketika itu roh kita dinamakan akal.

Apabila roh kita berperanan untuk merasa seperti rasa sedih, gembira, gementar, takut, cinta, gerun, rasa hebat, rasa kagum dan sebagainya, maka ketika itu roh kita dinamakan hati.

Apabila roh kita berperanan untuk mengajak dan mendorong kita untuk berbuat dan melakukan sesuatu sama ada perkara jahat mahupun perkara baik, sama ada perkara ibadat mahupun maksiat, ketika itu roh kita dinamakan nafsu.

Perang yang pertama melawan hawa nafsu

ini ialah berjuang dan bermujahadah melawan nafsu ammarah yang ada dalam diri kita. Sesungguhnya nafsu ammarah itu sangat mendorong kepada kejahatan. Kalau dia dapat berbuat maksiat dan kemungkaran, dia rasa seronok. Tidak ada rasa berdosa, rasa takut, rasa malu atau rasa bersalah. Tidak ada penyesalan. Malahan dia rasa megah dan mahu semua dunia tahu yang dia telah berbuat maksiat dan kemungkaran.

Nafsu ammarah ini ialah peringkat nafsu yang paling keji. Orang yang mempunyai nafsu ammarah ini seperti haiwan bahkan lebih hina daripada haiwan. Dia haiwan yang bertopengkan manusia. Dia beraja di mata dan bersultan di hati.

Nafsu ammarah ini tempatnya ialah Neraka. Nafsu ammarah ini mesti ditingkatkan kepada peringkat yang lebih tinggi. Jalannya ialah dengan berjihad dan berperang dengannya. Memang nafsu ini sifatnya tidak boleh dimanja-manja atau dipujuk-pujuk. Dia mesti dikekang. Dia mesti ditekan. Dia mesti disakiti. Dia mesti diseksa. Kehendaknya mesti dilawan, tidak boleh dilayan. Mana tidak. Asalnya nafsu ini, dengan Tuhan pun dia sombong.

Di alam roh, bila Allah tanya nafsu;
Siapa engkau dan siapa Aku ?

Nafsu menjawab;
Engkau, Engkau, aku-aku.?

Allah humbankan nafsu ke dalam Neraka selama seribu tahun. Itu pun saki-baki sombong dan angkuh itu masih ada.

Bermujahadah dan berperang dengan hawa nafsu ini hakikatnya ialah berperang dengan diri sendiri. Ia sungguh sakit, perit dan menyeksakan. Ia sungguh rumit dan mencabar. Ramai orang boleh jadi hero dan wira dalam perang dan pertempuran senjata tetapi tidak ramai yang sanggup lebih-lebih lagi yang berjaya berperang melawan nafsu ammarahnya sendiri.

Itu sebab Rasulullah SAW mengatakan bahawa perang melawan hawa nafsu ini lebih besar dari perang bersenjata. Orang yang boleh menundukkan hawa nafsunya ialah wira yang sejati. Dia selamat di dunia dan selamat di Akhirat.

Nafsu ammarah perlu ditingkatkan kepada nafsu lawwamah Nafsu lawwamah ini baik sedikit. Kalau dia buat dosa, dia rasa malu dan bersalah. Dia rasa tak patut. Rasa-rasa ini boleh mendorongnya untuk bertaubat. Dari peringkat lawwamah  nafsu perlu ditingkatkan lagi ke peringkat mulhimah Nafsu mulhimah ini, kalau dia terbuat dosa, dia sangat menyesal. Malahan dia akan hilang kebahagiaan. Dia akan benci dirinya sendiri kerana maksiat tersebut dan akan cepat-cepat bertaubat. Ini peringkat nafsu yang agak sudah selamat.

Seterusnya nafsu itu boleh ditingkatkan lagi ke peringkat mutmainnah iaitu nafsu yang tenang. Seterusnya ke peringkat radhiah mardhiah dan kamilah Nafsu peringkat atas ini tidak lagi akan mendorong ke arah kejahatan seperti nafsu ammarah malahan akan mendorong ke arah kebaikan. Ia akan mendorong kepada kebajikan, ibadah, mencari ilmu, berjuang, berkorban dan sebagainya.

Nafsu itu adalah sebahagian daripada keinsanan. Ia tidak boleh dibuang atau dibunuh. Kalau nafsu dibunuh maka rosaklah keinsanan dan manusia akan mati. Kalau dibiarkan pula, nafsu akan tawan hati dan akan bermaharajalela. Rosak juga akhirnya. Bukan kita sahaja akan rosak, orang lain dan seisi dunia ini juga akan turut rosak. Kita mesti sentiasa bermujahadah dan berperang melawan hawa nafsu. Hukumnya wajib.

Perang yang kedua ialah perang melawan syaitan.

Nafsu yang tidak terdidik dan tidak terkawal akan rakus mengejar dan merebut dunia kerana dunia ialah gelanggang bagi nafsu. Kejar-mengejar, rebut-merebut, rampas-merampas dan tindas menindas ini akan menyebabkan timbulnya berbagai-bagai penyakit rohani yang akan melekat di hati seperti tamak, haloba, cinta dunia, gila puji, gila nama, hasad dengki, pemarah, pendendam, iri hati, cemburu, bakhil, kedekut, angkuh, sombong dan bermacam-macam lagi. Sifat-sifat mazmumah atau sifat-sifat keji ini ialah pintu-pintu bagi syaitan untuk menggoda dan menipu kita.

Lagi banyak sifat mazmumah yang melekat di hati, lagi mudah dan lagi banyaklah pintu bagi syaitan untuk menipu kita supaya kita jauh dari jalan kebenaran. Justeru itu, untuk melawan tipuan syaitan, kita harus tutup segala pintu-pintu ini dengan memperbaiki diri dan mengembalikan hati kita kepada keadaan fitrah semula jadinya yang suci murni dan penuh dengan segala sifat-sifat mahmudah.

Kaedah Takhalli dan Tahalli perlu kita applykan.

Takhalli
ialah mengosongkan dan membersihkan hati dari segala sifat-sifat mazmumah atau sifat-sifat yang keji. Ini boleh dibuat dengan cara mencari-cari pasal. Kalau kita rasa diri kita bakhil contohnya, maka hendaklah kita pejamkan mata dan paksa diri kita bersedekah. Pada mulanya, ia memang terasa sakit tetapi lama-kelamaan ia akan jadi mudah. Ketika itu akan kuranglah sifat bakhil kita itu. Kalau kita rasa kita ini penakut contohnya, paksa diri berjalan seorang diri pada waktu malam di tempat-tempat yang sunyi. Ataupun kita paksa diri kita tidur seorang diri di kawasan kubur. Ini, kalau dibuat selalu akan dapat mengurangkan sifat takut. Begitulah seterusnya dengan sifat-sifat mazmumah kita yang lain.

Cara kedua ialah dengan meningkatkan rasa-rasa kehambaan dalam hati kita. Ini termasuklah rasa berdosa, rasa bersalah, rasa hina di sisi Tuhan, rasa kita ini dhaif, lemah, rasa bergantung harap dengan Tuhan, rasa tidak berdaya, tidak upaya dan sebagainya. Dengan rasa-rasa kehambaan yang kuat mencengkam hati ini, maka sifat-sifat mazmumah akan gugur dari hati kita dengan sendirinya.

Sifat angkuh dan sombong
contohnya tidak akan dapat melekat pada hati yang sentiasa merasa bersalah, berdosa dan hina-dina di sisi Tuhannya. Rasa-rasa kehambaan yang kuat itu akan memusnah dan membakar sifat-sifat mazmumah yang bersarang di hati kita.

Tahalli
pula ialah mengisikan hati dengan segala sifat-sifat mahmudah atau sifat-sifat yang terpuji. Selepas kita buang dan ungkai sifat-sifat mazmumah dari hati kita melalui proses takhalli maka perlu kita isi pula hati kita itu dengan sifat-sifat mahmudah yang berlawanan. Kalau kita sudah buang sifat bakhil contohnya, maka perlu kita gantikan tempatnya dengan sifat pemurah. Sifat pemarah dengan sifat pemaaf. Sifat sombong dengan sifat tawadhuk dan rendah diri. Sifat tamak dengan sifat qanaah. Cinta dunia dengan cinta Akhirat dan seterusnya.


Ini boleh dibuat dengan meningkatkan rasa bertuhan di hati kita seperti rasa Allah itu Maha Agung, Maha Perkasa, Maha Hebat, Maha Gagah, Maha Pemurah, Maha Pemaaf dan sebagainya. Rasa-rasa bertuhan yang kuat mencengkam hati ini dapat menyuburkan sifat-sifat mahmudah. Rasa bertuhan dan rasa kehambaan boleh ditajamkan dengan berzikir. Zikir yang paling agung ialah solat iaitu solat yang dapat difahami, dihayati dan dijiwai (khusyuk). Kita mesti sentiasa ikhlas. Kita perlu berdoa selalu agar Allah khaliskan hati kita. Ikhlas itu ialah benteng yang kuat lagi ampuh bagi menangkis tipu daya syaitan. Ketika iblis dilaknat kerana tidak mahu sujud kepada Nabi Allah Adam, dia telah meminta untuk menyesatkan anak cucu Adam. Allah memberi izin tetapi Allah tambah dalam

firman-Nya: Maksudnya:

 Iblis berkata: Demi kekuasaan Engkau, aku akan sesatkan mereka semuanya kecuali hamba-hamba-Mu yang ikhlas di antara mereka.?

(Surah Sod: 82-83)

Syaitan dan iblis tidak ada daya upaya untuk menipu hamba- hamba Allah yang ikhlas. Ini jaminan Tuhan. Tipu daya syaitan itu hanya akan berkesan pada hati-hati yang tidak ikhlas atau yang ada kepentingan lain selain dari Allah. Namun, ikhlas itu ialah satu rahsia dari rahsia-rahsia Tuhan yang dicampakkan ke dalam hati manusia yang disukai-Nya.

Kita sebagai manusia tidak tahu apa sebenarnya hakikat ikhlas itu ataupun sama ada kita ini ikhlas atau tidak. Kalau kita rasa di hati bahawa kita ikhlas, besar kemungkinan kita tidak ikhlas. Lebih-lebih lagi kalau kita sebut kita ikhlas, nyata bahawa keikhlasan tidak ada pada diri kita. Justeru itu, ada baiknya kita khususkan segala ibadah kita, hidup kita dan mati kita hanya untuk Allah. Bukan kerana hendakkan balasan Syurga-Nya. Bukan kerana takutkan seksa Neraka Nya. Bukan kerana hendak mengumpul fadhilat dan pahala. Tetapi untuk mendapatkan Allah, untuk mendapatkan kasih sayang-Nya, rahmatNya dan keampunanNya.

Satu lagi jalan untuk mengelak dari tipu daya syaitan ialah dengan berguru terutamanya guru yang mursyid. Syaitan itu ibarat serigala. Kita ibarat kambing. Guru mursyid umpama pengembala. Tidak mudah bagi serigala untuk membaham kambing yang ada pengembalanya. Dengan adanya guru, kita sentiasa dipimpin, dididik, dipantau, diawasi dan salah silap kita ditegur dan diperbaiki. Tambahan pada itu, guru yang mursyid bukan sahaja mampu untuk mengawasi hal-hal lahiriah kita tetapi juga hal-hal batiniah dan rohaniah dan hal-hal hati kita yang bersifat seni dan maknawi.

Begitulah secebis tentang perang melawan syaitan. Ia bukanlah satu peperangan yang mudah.

Allah berfirman: Maksudnya:

 Bukankah Aku telah memerintahkan kepadamu hai Bani Adam supaya kamu tidak menyembah syaitan? Sesungguhnya syaitan itu ialah musuh kamu yang amat nyata.?

(Surah Yaasin: 60)

Wajib bagi kita berperang dengannya kerana dia memang sentiasa hendak merosakkan kita hingga kita terjerumus ke dalam Neraka bersama-samanya. Banyak kisah yang boleh kita baca mengenai godaan dan tipu daya syaitan ini untuk digunakan sebagai iktibar. Di antaranya ialah kisah Barsishah yang sangat terkenal lagi masyhur.

Perang yang ketiga dan Akhir sekali
ialah peperangan melawan orang kafir. Orang kafir ini berbagai kategori. Bukan semua orang kafir boleh diperangi. Ada kafir harbi, ada kafir zimmi, ada kafir mustakman dan ada kafir muahad.

Kafir harbi memang musuh yang sentiasa mahu memusnahkan kita. Kita diizinkan berperang dengan mereka. Kafir zimmi sanggup taat di bawah pentadbiran Islam.Mereka ini wajib dilindungi dan hak-hak mereka dijaga dan dipenuhi. Kafir mustakman ialah kafir yang hidup aman damai dengan orang Islam. Kafir muahad pula kawan pun tidak, musuh pun tidak dan mereka tidak mengganggu umat Islam. Kedua-dua jenis kafir mustakman dan muahad ini juga tidak boleh diperangi.

Bentuk peperangan dengan orang kafir juga berbagai-bagai.

Ada perang ekonomi. Ada perang pendidikan. Ada perang politik, perang sosial, perang kebudayaan dan ada perang bersenjata. Perkara ini ramai umat Islam tidak sedar dan tidak memahami.

Bagi mereka, perang dengan orang kafir hanya terhad kepada perang bersenjata sahaja. Oleh itu, apabila orang kafir isytihar perang terhadap kita dalam bidang ekonomi, kita tidak sedar dan kita tidak pun melawan. Awal-awal lagi kita surrender dan kita ambil sistem ekonomi kapitalis yang mereka lagangkan dengan ribanya, monopolinya, penindasannya dan matlamatnya yang hanya mementingkan keuntungan yang besar tanpa memikirkan soal halal dan haram dan kepentingan masyarakat.

Bila orang kafir memerangi kita dalam bidang pendidikan, kita tidak pun melawan. Kita terus terima bulat-bulat system pendidikan mereka yang bersifat sekular, keduniaan dan kebendaan dan kita tinggalkan sistem pendidikan Islam yang boleh membawa kita kepada Tuhan dan yang boleh membina insan kita. Akhirnya jadilah anak-anak kita pemburu-pemburu dunia yang rosak iman, rosak akhlak dan rosak moral mereka.

Begitu jugalah halnya dengan peperangan dalam bidang politik. Orang kafir lagang demokrasi, kita pun terima demokrasi. Hasilnya sampai sekarang kita tidak habis-habis bergaduh, berbalah dan berpecah-belah sesama sendiri disebabkan demokrasi ini kerana dalam demokrasi itu ada unsure pertandingan untuk merebut kuasa.

Perang sosial dan kebudayaan pun sama. Kita sudah lama kalah. Kita sudah lama surrender. Tak melawan pun. Belum perang sudah kalah. Sistem sosial kita sudah ala barat. Kebudayaan terutama di kalangan muda mudi pula sudah lebih barat dari barat. Dengan punknya, skin headnya, rapnya, pop, rock, metal dan bermacam-macam lagi aliran muzik yang liar, ganas dan tidak bermoral. Masyarakat penuh dengan pergaulan bebas, acara-acara sukan dan berbagai lagi kegiatan sosial dan kebudayaan yang merosak dan melalaikan.

Begitulah ringkasnya hakikat perang. Kita tidak boleh lari dari peperangan terutama perang melawan hawa nafsu dan syaitan. Perang ini perang yang berpanjangan dan berterusan. Kalau kita kalah, kita akan terseksa di dunia dan di Akhirat.

Dengan kafir harbi pula, perang bersenjata sudah tentulah perlu kita hadapi. Tetapi jangan pula kita lalai dengan peperangan di bidang-bidang dan sudut-sudut yang lain. Kalau kita amati betul-betul, perang senjata dengan kafir harbi itu ialah untuk memaksa kita mengikut telunjuk dan cara hidup mereka.

Mungkin kita tidak berperang dengan orang kafir di waktu ini kerana sudah tidak perlu lagi. Mungkin kita sudah pun lama kalah dengan orang kafir kerana telah pun mengikut telunjuk dan mengamalkan cara hidup mereka.

Kita sudah kalah sebelum berperang. Malahan kita tidak sedar pun bahawa kita telah diperangi dan kita telah dikalahkan.

Ustaz Ashaari Muhammad

Tiada ulasan:

Catat Ulasan