Sabtu, 1 Oktober 2011

Mata Hati


Mata lahir nampak,
mata hati tidak nampak
tapi pandangannya tembus

DI dalam diri manusia ada dua mata, iaitu pertama mata lahir, dan kedua mata batin.

MATA LAHIR

Ia adalah mata kepala atau mata fizikal yang kebiasaannya pada manusia ada dua biji. Mengikut ahli biologi , biji mata ini berbentuk bulat . Ada mata putih dan mata hitam. Mata hitam atau anak mata ini terdapat kanta di dalamnya. Kanta inilah yang berfungsi menangkap apa saja objek lahir yang ada di hadapannya sehingga menghasilkan arca-arca (gambar-gambar) yang dapat dilihat oleh mata. Objek-objek yang dapat dilihat oleh mata lahir ini seperti jenis insan, jenis haiwan, jenis jamadat (batu, besi, pasir), jenis nabatat (tumbuhan), jenis cairan dan lain-lain lagi


Kekuatan pandangan mata lahir ini boleh dikategori kepada empat peringkat:

1. Pandangan yang tajam atau luar biasa
Kuasa mata ini mampu memandang atau melihat benda benda lahir yang jauh . Atau mampu melihat benda benda halus tanpa menggunakan alat-alat saintifik seperti mikroskop, teropong dan sebagainya. Ini mungkin terdapat hanya seorang dalam sejuta.

2. Pandangan yang biasa
Ini berlaku pada kebanyakan orang. Yakni mampu melihat benda-benda lahir dari jarak yang sederhana jauhnya. Atau tidak mampu memandang benda atau objek yang terlalu jauh. Atau ia tidak mampu melihat benda-benda lahir yang halus seperti sel, kuman dan lain-lain lagi tanpa dibantu dengan mikroskop dan lain-lain alat-alat saintifik.

3. Pandangan yang rosak atau kabur
Ia terbahagi kepada dua iaitu kabur kuat dan kabur sedikit atau kabur biasa. Berkemungkinan berlakunya kerosakan mata ini kerana diliputi selaput nipis atau tebal. Jadi kekuatan pandangannya samar-samar atau kabur. Dia tahu ada benda ( objek ) di hadapannya tetapi tidak jelas atau tidak tahu dengan tepat apakah jenis objek itu . Kecuali jika dibantu dengan cermin mata, barulah penglihatannya nampak jelas objek di hadapannya.

4. Pandangan yang buta
Ada hal-hal yang terjadi yang menyebabkan mata ini buta, tidak nampak langsung objek yang ada di hadapannya .

Mata ini tidak boleh berperanan atau berfungsi langsung mungkin kerana beberapa sebab biji mata sudah pecah mungkin kerana tercucuk benda benda tajam mungkin tersiram asid atau racun mungkin ditimpa penyakit ketumbuhan

MATA BATIN

Inilah mata hati atau mata rohaniah. Ia bersifat maknawiah atau abstrak. Yakni hanya pada makna saja, tidak pada rupa. Dilihat tidak ada, tetapi terasa adanya. Fungsinya sangat berbeza dengan mata lahir yang hanya mampu melihat objek-objek lahir saja itu.

Mata batin ini berkemampuan melihat benda-benda yang batin atau benda-benda yang ghaib atau benda-benda maknawiah seperti alam roh, alam malakut, alam jin, alam Barzakh, alam Akhirat, Loh Mahfuz, mampu menampung ilmu wahyu, ilmu laduni atau ilmu ilham hatta mampu tajalli terus dengan Allah SWT secara laisakamislihi syaik ( tidak seumpamaNya bagi sesuatu) dan lain-lain lagi dengan izin Allah.

Mengikut kaedah kekuatan mata lahir tadi yang terbahagi kepada empat itu, saya mentafsirkan kekuatan mata batin juga terbahagi kepada empat kategori iaitu:

1. Pandangan mata hati yang tajam atau luar biasa.
Ini hanya dimiliki oleh para rasul dan para nabi. Mata hati mereka mampu melihat alam-alam ghaib tadi dengan izin Allah. Mampu menampung ilmu wahyu dan sesetengah mereka dapat tajalli terus dengan Allah Azzawajalla, yang tidak dapat digambarkan secara material atau secara makhluk atau benda.

2. Kekuatan pandangan mata hati biasa.
Ini hanya di miliki oleh para wali atau orang yang bertaqwa yang mata hati mereka tembus, dapat melihat alam-alam ghaib dan dapat menampung ilmu laduni dengan izin Allah. Walau bagaimanapun kekuatan mata hati para wali ini adalah lebih rendah daripada mata hati para rasul dan nabi-nabi.

3 . Pandangan mata hati yang rosak ( kabur biasa dan kabur kuat).

a. Kabur biasa Ini mata hati orang - orang soleh yang walaupun mereka tidak mampu melihat alam - alam ghaib tetapi di beri keyakinan dan keteguhan hati tentang persoalan iman dan persoalan ghaib. Kalau ada pun golongan ini yang dapat melihat alam ghaib atau menangkap alam rohaniah atau dapat ilmu laduni , itu terlalu sedikit atau sekali - sekala . Mungkin ia dibantu oleh berkat seseorang seperti berkat gurunya.

b. Kabur kuat (hampir buta) Ini mata hati orang mukmin ‘asi atau mukmin yang derhaka atau fasik atau zalim.Mata hati ini sudah ada hijab, tidak dapat melihat alam ghaib dan keyakinan tentang alam ghaib pun tidak begitu padu , sudah samar- samar tetapi tidak menolaknya.

4. Pandangan mata hati yang buta.
Ia langsung tidak nampak alam ghaib. Dan tidak ada keyakinan langsung tentang alam kerohanian dan alam ghaib yang tepat. Ini dimiliki oleh orang kafir atau orang munafik.

Ijtihad saya ini hasil merenung mata lahir. Mata lahir di peringkat 1 dan 2 ini adalah mata yang normal. Ertinya tidak sakit. Manakala mata lahir di peringkat 3 dan 4 adalah mata yang sakit. Oleh itu terpaksalah memakai cermin mata untuk dapat melihat dengan jelas. Boleh jadi juga tidak nampak terus walaupun dibantu dengan alat apa sekalipun. Mata lahir yang tidak sakit, dia dapat menangkap dengan baik dan jelas objekobjek yang ada di hadapannya. Sedangkan kalau ia sakit atau buta, dia tidak dapat menangkap lagi objek-objek yang ada di hadapannya.


Bagaimana pula dengan mata batin ?
Kaedah yang berlaku pada mata lahir ini berlaku juga pada mata batin. Mata batin ini kalau tidak sakit atau tidak berpenyakit, ia dapat menangkap objek - objek maknawiah atau yang berbentuk rohaniah yang Allah hadapkan padanya dengan baik. Kalau ia tidak sakit, ia bersih dan tidak berselaput atau istilah syariatnya, ia tidak ada hijab.

Apa bila hati itu bersih , ia macam cermin yang bersih. Ia dapat menangkap apa saja objek yang ada di hadapannya dengan baik dan jelas. Kalau cermin itu makin bersih kerana rajin menggilapnya maka makin bertambah jelaslah gambar-gambar (arca atau imej) yang ada di hadapannya. Kalau ia terlalu bersih, kekuatan mata hati macam cermin yang digilap dihadapkan setentang dengan Loh Mahfuz yakni tempat segala suratan takdir Allah tercatat di sana sama ada yang sudah berlaku, yang sedang berlaku atau yang akan berlaku. Semua hal ada di sana tanpa tertinggal satu pun.

Bagi hati yang terlalu bersih seperti hati para rasul dan nabi-nabi itu, kekuatan mata hati mereka itu mampu melihat atau menangkap gambaran (objek maknawiah atau rohaniah) yang ada di Loh Mahfuz dengan izin Allah SWT. Hatta mereka dapat terus tajalli dengan Allah Al Khalik dengan secara ‘laisakamislihi syaik’.

Taraf yang di bawah ini ialah hati para wali iaitu mempunyai kekuatan mata hati di peringkat kedua. Yakni mata hati tembus yang dapat melihat alam ghaib. Mungkin dapat melihat alam roh atau alam jin atau alam malaikat, alam Barzakh atau dapat membaca hati manusia atau diperlihatkan hal-hal masa depan yang akan berlaku dengan izin Allah . Itulah yang dikatakan kasyaf. Jika berlaku kepada rasul dan nabi, ia dikatakan sebagai mukjizat maknawiah. Tetapi bila berlaku pada wali-wali, ia dianggap sebagai karamah maknawiah.


Bagaimana hati boleh melihat alam batin atau maknawiah atau alam bukan material itu ?

Umpama burung, hati terkurung dalam sangkar badan. Oleh kerana sangkar itu kuat dan berat, maka burung terpaksa terkurung dalam sangkar yang sempit dan menyeksakan itu .Sempit gelanggangnya ,terbatas juga penglihatannya. Iaitu sekitar dalam sangkar atau di luar sangkar yang jaraknya hanya beberapa depa saja.

Walhal kalau burung itu besar dan kuat, tentu saja dia dapat terbangkan sangkar tersebut. Yakni kekuatan sangkar itu dapat dikalahkannya. Maka dibawalah sangkar tersebut terbang ke merata-rata tempat, sekadar yang termampu. Padahal waktu itu dia masih berada di dalam sangkar. Tetapi sekurang-kurangnya penglihatan, pandangan dan pengalamannya sudah jauh. Bukan sekadar sekitar jarak dua tiga depa saja. Penglihatannya seluas mana dan sejauh mana kemampuannya membawa sangkar itu.

Paling hebat kalau burung itu mampu pecahkan sangkar. Tidak terkurung dan terikat lagi. Di waktu itu ia bebas terbang ke mana saja. Boleh pergi ke jarak yang lebih jauh lagi. Ikut saja kemahuan hati. Tidak ada halangan apa-apa lagi. Dapat terbang sebebas-bebasnya seperti burung-burung yang lain. Atau boleh terbang ke tempat yang burung lain tidak boleh pergi. Tentulah pandangan dan penglihatannya juga makin jauh. Tentu sekali sangat berbeza dari alam sangkar yang sempit sebelumnya.

Demikianlah hati, kalau ia gagah, kuat dan teguh (kerana terlalu bersih), ia mampu menerobos keluar daripada sangkar badan dan bebas terbang ke mana saja ia suka. Atau kalau dia tidak terlalu kuat mungkin tidak dapat bebas daripada sangkar badan tetapi mampu terbangkan badan secara rohaniah. Macam burung yang dapat terbangkan sangkar tadi. Ertinya di waktu itu dia terkeluar daripada pengaruh benda (material). Pengaruh itulah yang menjadi penghalang besar selama ini. Walhal bila pengaruh itu tidak ada lagi, dia cukup bebas, merdeka, boleh berlegar-legar terbang ke mana saja. Sehingga dapat melihat alam yang selama ini bukan alamnya iaitu alam ghaib atau alam rohaniah . Maka tersingkaplah alam ghaib yang penuh rahsia itu.

Kalau burung yang kecil dan lemah terkurung selama-lamanya dalam sangkar, maka hati yang lemah juga akan terkurung selama-lamanya dalam jasad. Roh dan hati yang lemah tidak dapat mengatasi jasad. Pengaruh materiallah yang melemahkan hati. Itulah penyebab utama hati terkurung dan terpenjara. Akhirnya hati itu jadi kabur dan buta. Maka terhijablah ia selama-lamanya daripada melihat alam rohaniah atau alam ghaib.

Bagaimanakah proses terhijabnya mata hati ini ?

Proses yang berlaku pada mata lahir jadi rosak atau buta ialah berpunca daripada penyakit dan sakit, hingga berselaput dan tidak boleh melihat objek-objek yang ada di hadapannya. Proses atau kaedah yang sama juga berlaku pada mata batin. Mata batin juga boleh rosak atau buta di sebab kan penyakit-penyakit batin. Inilah yang jadi selaput atau hijab sehingga tidak dapat melihat alam rohaniah atau alam ghaib serta tidak dapat menangkap sesuatu yang bersifat rohaniah.


Hijab-hijab hati antaranya disebabkan oleh:

1. Penyakit syirik jali atau kekufuran atau kemunafikan.
2. Penyakit syirik khafi iaitu riyak, ujub, sombong, sum‘ah, pemarah, pendendam, bakhil, penakut, cinta pangkat, cinta nama dan lain-lain lagi.
3. Penyakit cinta dunia dalam semua hal . Baik yang halal , haram, makruh dan syubhat.
4. Penyakit cinta dunia yang harus atau halal sahaja.


Jadi hati boleh dikategorikan kepada empat peringkat:

PERTAMA: Hati para rasul, nabi-nabi dan wali-wali Allah
Hati mereka terlalu bersih . Tidak terlibat langsung dengan penyakit-penyakit hati yang menghijabkan. Pada para rasul dan nabi-nabi, Allah perlihatkan alam ghaib, alam malakut, alam Barzakh, alam jabarut, alam Akhirat, alam jin, Loh Mahfuz dan lain-lain lagi.

Mata hati mereka mampu menangkap benda-benda maknawiah iaitu ilmu yang bersifat wahyu. Yakni ilmu yang jatuh ke hati secara direct daripada Allah. Ini adalah anugerah-Nya atau wahbiah yang ianya didapati tanpa usaha ikhtiar, tanpa belajar atau tanpa berguru. Kalau ada perantaraan pun, ianya daripada malaikat. Ini hati peringkat pertama iaitu hati para rasul dan nabi-nabi.

Sementara hati wali-wali berada di bawah sedikit daripada hati para rasul dan para nabi ini. Mereka juga dapat menangkap sesuatu yang berbentuk maknawiah seperti ilham atau ilmu laduni.


KEDUA: Hati orang soleh
Hati mereka ini sedikit terhijab kerana tersangkut dengan hijab keempat iaitu terpaut dengan dunia yang harus atau halal sahaja . Walhal mereka tidak terhijab dengan hijab - hijab lain . Walau bagaimanapun mata hati mereka masih bersih daripada kekufuran, bersih daripada kemunafikan, bersih daripada sifatsifat mazmumah serta terlepas daripada cinta dunia yang haram, makruh dan syubhat. Tahap hati ini mungkin sekali-sekala Allah perlihatkan juga alam ghaib. Atau mungkin dapat menangkap objek-objek (benda-benda) yang bersifat rohaniah atau maknawiah iaitu ilmu yang bersifat ilham atau ilmu laduni. Yakni ilmu yang terus jatuh ke hati, yang datang terus daripada Allah secara wahbiah. Mendapat ilmu tanpa usaha ikhtiar, tanpa belajar dan tanpa berguru. Atau ia juga diberi rasa hati atau gerakan hati yang tepat dan benar, yang disebut juga sebagai ilmu firasat.

Rasulullah SAW bersabda dalam satu Hadis Qudsi: Maksudnya:
“Namun hambaKu itu sentiasa berusaha mendekatkan diri kepadaKu dengan melakukan perkaraperkara yang sunat sehingga Aku mencintainya. Apabila Aku telah mencintainya , Aku menjadi pendengarannya untuk dia mendengar, dan penglihatannya untuk dia melihat.”
(Riwayat Bukhari)

Bagi rasul dan nabi, Allah kurniakan ilmu wahbiah ini melalui perantaraan malaikat saja. Manakala pada wali-wali atau orang soleh, ilmu ilham ini diberi melalui perantaraan malaikat, rasulrasul, nabi-nabi, wali atau jin-jin yang soleh


KETIGA: Hati mukmin yang ‘asi atau yang derhaka
Mata hati mereka terhijab dengan penyakit nombor 2 dan nombor 3. Yakni hati yang cinta dunia dalam semua hal. Tidak kira halal , haram , makruh atau syubhat . Juga mereka masih mengekalkan sifat - sifat mazmumah . Walau bagaimanapun mereka terlepas daripada syirik dan kekufuran serta kemunafikan. Mata hati golongan ini sangat kabur macamlah cermin yang kotor disebabkan habuk, wap atau air. Ia akan gelap atau terus jadi kabur. Akibatnya benda - benda yang di tangkapnya juga jadi kabur dan samar. Tidak dapat menangkap alam ghaib atau alam maknawiah ( ilmu laduni ) . Mereka bagaikan orang yang teraba-raba dalam gelap walhal matanya celik.

KEEMPAT: Hati orang kafir atau munafik
Mata hatinya terhijab dengan penyakit syirik jali iaitu kufur dan munafik . Atau terhijab dengan keempat - empat kategori di atas. Jadi hijabnya sangat tebal. Mata hati jadi buta, gelap dan tidak nampak apa-apa. Macam cermin yang terlalu tebal karatnya hingga menutupi seluruh cermin. Apa saja yang ada di hadapannya, tidak dapat ditangkap gambar (arca) itu. Oleh itu dia tidak nampak tentang alam ghaib, langsung tidak kenal tentang adanya Tuhan , Allah yang wujud itu .

Seperti firman Allah:Maksudnya:
“Dan barangsiapa buta (di dunia) ini akan buta pula di Akhirat dan terlebih sesat lagi dari jalan yang benar.
” (Al Israk: 72)

Untuk golongan ini Allah berfirman: Maksudnya:
“Dalam hati mereka ada penyakit lalu ditambah Allah penyakitnya dan bagi mereka seksa yang pedih disebabkan mereka berdusta.”
(Al Baqarah: 10)

Allah tempelak lagi mereka ini: Maksudnya :
“ Maka apakah mereka tidak berjalan di muka bumi lalu mereka mempunyai hati yang dengan itu mereka dapat memahami atau mempunyai telinga yang dengan itu mereka dapat mendengar ? Kerana sesungguhnya bukanlah mata itu yang buta tetapi yang buta ialah hati yang ada di dalam dada.”
(Al Hajj: 46)

Kini kita telah sama-sama mengenali hati rasul dan nabi, hati orang soleh, hati orang mukmin yang asi, hati orang munafik dan hati orang kafir. Kita juga sudah kenali hati dan mata hati serta peranannya.

Ditegaskan sekali lagi, kalau hati itu bersih, ia akan menjadi tempat jatuhnya pandangan Allah.
Hati itu ibarat wadah. Macamlah kita ada wadah atau bekas. Wadah yang kotor macam pinggan kotor. Mana mungkin kita isi makanan yang sedap di dalamnya ? Kita tidak akan tergamak untuk letakkan barang yang sedap atau benda-benda yang bersih dan berharga itu ke dalam wadah atau bekas yang kotor.

Hati sebagai wadah tempat jatuhnya pandangan Allah,tidak mungkin Allah hendak kurniakan barang berharga dan bernilai ke dalamnya jika ada kekotoran hati ? Tentulah tidak. Kecuali sesudah dibersihkan dan betul-betul bersih, barulah Allah curahkan ke dalamnya barang yang terlalu bernilai itu yang berupa keyakinan, keimanan, ketaqwaan, hikmah, wahyu, kasyaf, ilmu


Madah

1
Jelingan tidak sama ertinya;
jelingan pemimpin mempasti,
jelingan anak takut dimarahi,
jelingan bapa mengawasi,
jelingan kawan meminta simpati,
jelingan musuh sakit hati,
jelingan perempuan jatuh hati

2
Allah diingat,
ibu juga diingat,
ayah pun dingat,
tapi rasa ingatan itu tidak sama.

3
Tidak mesti orang yang banyak melihat itu banyak pengalaman,
sebab pengalaman itu diperolehi hasil melihat dengan perhatian

4
Buta mata tidak nampak cahaya.
Buta akal tidak nampak dunianya.
Buta hati tidak nampak akhiratnya

5
Buta mata hilang pedoman.
Buta akal beku.
Buta hati sesat.

Allahyarham Ust. hj Ashaari Muhammad

Tiada ulasan:

Catat Ulasan