Ahad, 8 Mei 2011

Jika Bangsa Melayu Mahu Berjaya


Orang melayu atas nama bangsa melayu tidak sepatutnya hanya berpuas hati dengan kuasa politik. Kuasa politik tidak memberi erti apa-apa jika orang melayu masih di takuk lama dalam pelbagai bidang, ekonomi dan pendidikan terutamanya.

Mengapa saya berani berkata begini?

Atas nama orang melayu, mereka kena sedar, Tuhan yang menguasai langit dan bumi, yang khazanah alam Dia yang punya, yang Dia itu memegang hati-hati manusia ciptaanNya, hanya akan membantu dan menolong sesuatu bangsa itu atas nama agama Islam. Maksudnya atas nama bangsa, Tuhan tak tolong. Tapi Tuhan nak tolong atas nama Islam. Dalam Islam, jika bangsa itu bersedia mengubah diri mereka menjadi orang yang bertaqwa, maka di situ nanti terbuka segala macam bantuan Tuhan.

Firman Tuhan:
Tuhan sekali-kali tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum itu selagi kaum itu tidak mengubah apa yang ada dalam diri mereka.

Ayat ini jelas memberitahu, Tuhan hanya akan bantu jika sesuatu kaum atau bangsa itu mahu berubah menjadi orang bertaqwa. Bukanlah ayat ini menyeru agar mengubah yang lahir-lahir. Yang lahir-lahir senang nak ubah. Tak ubah pun tak apa. Jika ubah sekalipun, kenalah atas dasar taqwa. Barulah akan mendapat rahmat dari Tuhan.

Kesan daripada sekadar mengubah yang lahir sahaja, telah timbul berbagai side-effect yang negatif. Negara kita, Malaysia sudah 50 tahun membuat perubahan lahir dan sejak 10 tahun kebelakangan ini perubahan berlaku secara drastik dan mega. Namun, apa yang terjadi, di sebalik pembangunan lahir yang terancang, maju dan moden, pembangunan insan menyembah bumi. Jatuh merudum tanpa kasihan. Timbul berbagai masalah sosial yang merosakkan manusia, seperti rasuah, rompakan, pelacuran, permusuhan, penyalah gunaan dadah dan hiburan melampau ala barat. Inilah hasilnya bila kita mengenepikan pembangunan insan. Jangan salah faham dengan pembangunan insan. Ramai orang memperkatakan pembangunan modal insan dan yang difokuskan adalah memajukan akal fikiran dengan ilmu-ilmu keduniaan.

Pembangunan insan yang sebenarnya adalah memajukan rohaniah kita melalui penghayatan sembahyang, penghayatan Al-Quran dan menghiasi hati dengan sifat mahmudah dan membuang sifat mazmumah. Kesannya nanti, jadilah kita orang yang benar-benar bertaqwa. Dengan taqwa ini sahaja, bangsa kita mampu membangun dan berjaya.

Kelemahan ketara bangsa melayu perlu diperhalusi daripada sekarang. Puncanya bukan kerana masalah lahir-lahir ini. Tapi puncanya kerana tidak mengusahakan taqwa. Tidak menjadikan taqwa itu sebagai pakaian kehidupan.,

sudah tiba masanya untuk tidak terus tersilap langkah. Mulakan daripada saat ini untuk mengusahakan taqwa dan kelak anda akan dapati hasilnya bangsa anda akan menguasai bukan sahaja negara tetapi dunia.


Sekian.

Nota tambahan
Pandangan terhadap potensi Islam di Alam Melayu pada abad 21

Mahmud Bajahji
Perdana Menteri Iraq pada tahun 1946 dalam satu majlis perjumpaan dengan pembesar- pembesar Liga Arab di Kaherah ketika proklamasi kemerdekaan Indonesia baru diisytiharkan, beliau berkata

“ kami orang Arab telah letih setelah ribuan tahun berjuang. Saya tidak nampak orang Arab akan kembali membangunkan Islam seperti zaman dahulu . Semua bangsa yang memeluk Islam telah mencapai zaman kegemilangannya kecuali bangsa ini (sambil menunjuk kepada utusan Indonesia yang hadir) .Bangsa inilah yang akan memimpin dunia Islam di belakang hari nanti.“

Turut hadir dalam pertemuan itu ialah Prof. Muchtar Lintang

Malik Bennabi
Pemikir Islam dari Algeria yang banyak menulis mengenai Islam dalam bahasa Perancis berpendapat

“Selepas perang dunia kedua , Islam akan berpusat di Jakarta. Tidak lagi berpusat sama ada di Mekah, Mesir, Turki atau Yaman Selatan”

Alvin Toffeler

Peramal barat yang Masyhur dengan karya seperti Future Shock,The Third Wave dan Power Shift berkata

“ The center of Islam will move from the middle East , Its original locality to this place ( Malaysia and Indonesia )


Bangsa Yang Tidak Mempunyai Cita-cita

Bangsa yang tidak ada cita-cita,
bangsa yang hanya ada cita-cita peribadinya sahaja
Yang difikirkan hanya makan minum, tidur, rehat, kahwin kemudian mati
Bagaimana mahu senang, kalau sudah senang
bagaimana mahu lebih senang lagi
Jika di dalam kesusahan,
bagaimana hendak menghilangkan kesusahannya

Agama, bangsa, negara tidak ada di dalam otak mereka
Pada mereka agama urusan ulama, negara dan bangsa urusan negara
Kalau saya ulama barulah agama urusan saya,
kalau saya pemimpin negara,
negara dan bangsa barulah urusan saya

Hidup individualistik sangat ketara
Hanya memikirkan diri dan keluarga, orang lain begitu juga
Corak pemikiran bangsa yang sedemikian rupa,
tanda bangsa itu tidak akan maju dan bersatu
Untuk mewujudkan kekuatan sendiri pun tidak akan mungkin terjadi
Apatah lagi untuk menjadi satu bangsa yang menguasai dunia

Cita-cita agama, bangsa dan negara
mestilah menjadi cita-cita bersama tidak ada kecuali
Makan, minum, rehat, nikah kahwin itu adalah perkara tabie
Tidak payah diasuh, tidak payah didorong-dorong,
ia keperluan fitrah semulajadi
Cita-cita agama, bangsa dan negara
kenalah dipupuk dari kecil lagi
Ia hendaklah ada di dalam sukatan pendidikan dan pelajaran

Disuburkan setiap masa,
hingga mendarah mendaging dan menjadi fikiran dan jiwa
Hingga bangsa itu sangup mati kerananya
Ia akan dipertahankan, dijaga, diperjuangkan
kerana ia adalah maruah bangsa
Bangsa yang ada cita-cita ini
akan menjadi bangsa yang kuasanya besar,
sekalipun bilangannya kecil

Semangat semacam itulah yang sudah mati
di kalangan bangsa-bangsa
yang beragama Islam

28.2.2004 – 1
Waktu Dhuha / Menjelang Zuhur
Allahyarham Ust. Ashaari.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan