Ahad, 20 Februari 2011
RUMUSAN TENTANG RUKUN TAQWA
Kini baru kita tahu bahawa rukun taqwa itu ialah Iman, Islam, dan Ihsan. Dalam ke tiga-tiga perkara tersebut ada pula rukun-rukunnya lagi yang dikatakan rukun dalam rukun. Dalam rukun Iman ada empat rukun, dalam rukun Islam ada lima rukun dan dalam rukun Ihsan ada satu rukun. Kebanyakan rukun-rukun tersebut menyuluh hal dalaman atau batiniah. Hanya satu sahaja yang menyuluh hal luaran atau hal lahiriah (fizikal).
Jadi apa yang kita dapat faham dari hakikat ini, taqwa itu sebenarnya adalah 90% sebenarnya faktor dalaman, 10% sahaja faktor luaran. Ertinya Tuhan mesti dihayati.
Ibadah mesti dihayati. Tidak cukup ibadah sekadar syarat, rukun, sah dan batal sahaja. Tidak ada makna kalau ibadah itu cukup syarat, rukun dan sah pula pada hukum syarak tetapi tidak dihayati atau dijiwai. Tuhan mesti dihayati supaya lahir rasa kehambaan. Ini yang Tuhan mahu. Inilah jalan mendapat taqwa.
Dalam sembahyang contohnya, tidak munasabah kita sembah Tuhan kalau kita tidak kenal Tuhan dan kita tidak rasa yang Tuhan itu hebat. Apa erti penyembahan kalau kita tidak kenal siapa yang kita sembah. Macam kita kenal harimau. Tidak payah berusaha hendak rasa takut. Automatik kita takut sebab kita kenal harimau. Begitu juga dengan Tuhan. Kalau kita kenal Tuhan, tidak payah berusaha untuk rasa takut. Takut akan datang sendiri. Kita tidak rasa takut sebab kita belum kenal Tuhan. Sembahyang bukan setakat penyembahan fizikal. Ia adalah pergerakan roh, hati dan perasaan. Oleh itu hendak menjadi orang bertaqwa, faktor dalaman inilah yang paling penting sebab ia merangkumi 90% dari taqwa.
Kalau setakat buat yang lahir sahaja walau sebanyak mana sekalipun, ia baru 10% dari taqwa. Contohnya, katalah seorang ahli ibadah yang ibadahnya cukup banyak, segala sembahyang fardhu dan sunat dia buat. Sembahyang sunatnya sahaja ada sunat Isyrak, Dhuha, sunat Wudhuk, sunat Mutlak, sunat Tahiyatul Masjid dan bermacam-macam sembahyang sunat lagi yang ada tiga puluh tiga jenis kesemuanya. Begitu juga dari segi puasa. Puasa Ramadhan dan segala macam puasa sunat dia buat. Begitu juga haji. Segala macam jenis haji dia buat termasuk umrahnya sekali. Ditambah pula dengan membaca Al Quran, wirid dan zikir. Ini semua bukan mudah untuk dilaksanakan. Kita boleh jadi letih dan lesu. Tidak ramai orang mampu buat semua ini.
Namun kalau ada pun orang yang larat dan mampu buat semua itu, ianya baru 10% dari taqwa. Walaupun ditambah dengan berjuang dan berdakwah, tetap ianya 10% juga. Dengan segala amal, usaha dan ibadah lahiriah itu, seseorang itu tidak akan dapat jadi orang yang bertaqwa. Peluang untuk mendapat taqwa hanya 10%. Begitulah orang abid atau ahli ibadah. Walaupun ibadah lahiriahnya banyak dan hebat, rukun dalamannya tidak diambil berat.
Rukun dalaman yang mencakupi 90% dari taqwa itu bagaimana ?
Buat yang 10%, tinggal yang 90%, masakan boleh berjaya.
Di sini jelas dan terbukti bahawa taqwa itu ditentukan oleh faktor dalaman sekadar 90%. Faktor luaran hanya 10%. Kalau orang boleh memperhebatkan dalamannya dan yang luar buat hanya yang wajib sahaja pun sudah cukup. Dengan itu, peluang mendapat taqwa lebih banyak.
Tetapi kalau faktor luar hebat, dalaman sedikit sangat, dia tetap dianggap zalim atau fasik. Nerakalah tempatnya kalau tidak diampun Tuhan. Jangan kita tertipu dengan luaran sahaja. Jangan kita tertipu dengan banyak sembahyang, banyak puasa, banyak wirid, banyak baca Quran, banyak berdakwah kerana itu luaran sahaja. Taqwa itu 90% faktor dalaman.
Ada satu contoh yang berlaku di zaman Rasulullah.
Pada satu masa, ada seorang Sahabat yang menceritakan kepada Rasulullah SAW,
“Saya ada seorang jiran yang kuat ibadahnya. Malam dia bertahajud, siang dia berpuasa sunat. Tetapi perempuan itu ada sedikit cacatnya. Dia sering menggunakan lidahnya
untuk menyakiti hati jirannya.”
Rasulullah berkata,
“Dia adalah ahli Neraka.”
Kalau dilihat pada lahiriah perempuan itu, memang hebat tetapi itu baru 10%. Dalamnya rosak sebab ada hasad dengki.
Walaupun cacatnya satu sahaja tetapi ia besar. Macam orang cantik tetapi dalam badannya ada barah. Apa erti cantik, apa erti hidung mancung dan apa erti kulit putih melepak kalau dalam badan ada barah.
Umat Islam tertipu bila bangga dengan sembahyang, bangga dengan haji, bangga dengan umrah, bangga dengan sedekah, bangga dengan berjuang, bangga dengan berdakwah. Tetapi faktor dalaman tidak pernah dijaga. Mazmumah bersarang dihati. Rasa bertuhan tidak ada, rasa hamba tidak ada, rasa cinta Tuhan tidak ada, rasa Tuhan hebat tidak ada, gerun dengan Tuhan pun tidak ada. Maka yang luar tidak ada nilai apa-apa. Itupun kalau yang luar dapat dibuat semuanya. Kalau dapat buat sikit-sikit dapatlah beberapa peratus.
Selalunya kalau faktor luar bukannya kita akan dapat 10% hanya 3% sahaja. Bukannya kita larat hendak buat 33 jenis sembahyang sunat dan ibadah-ibadah sunat yang lain.
Jadi, umat Islam hari ini hancur, pecah belah, haru-biru adalah kerana faktor dalaman tidak selesai. Rukun kepada rukun iman sudah jatuh. Rukun kepada rukun Islam sudah jatuh. Rukun kepada rukun Ihsan sudah jatuh. Akhirnya, rukun Iman, Islam dan Ihsan tidak ada erti apa-apa lagi.
Sembahyang banyak mana pun tidak ada apa-apa makna. Hafal rukun iman pun tidak ada peranan apa-apa. Maka tidak pelik kalau perangai tidak berubah. Masih lagi mengata orang, menghina dan marah orang. Sebab memang tidak pernah diajar bahawa faktor dalaman itu penting. Yang dianggap penting selama ini ialah faktor luaran.
Dalam Islam, faktor dalaman penting. Tetapi ini tidak pernah diajar. Taqwa itu ditentukan oleh faktor dalaman 90% dan faktor luaran hanya 10%.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan