Cara mendapatkan taqwa adalah satu pakej yang terdiri dari tiga perkara. Tiga perkara inilah yang paling penting dan paling asas dari keseluruhan usaha mendapatkan taqwa itu. Kalau tiga perkara ini tidak diperolehi dan tidak dihayati, maka usaha yang lain itu tidak ada erti apa-apa. Kalau dibuat pun sia-sia belaka.
Tiga perkara dalam pakej itu yang dinamakan rukun taqwa adalah:
1.Iman
2.Islam
3.Ihsan
Kita biasa dengar tentang Iman sampai sudah lali. Kita biasa dengar tentang Islam sampai sudah lali. Kita pun sebut Ihsan sampai sudah lali. Tetapi kita tidak pernah tahu ketiga tiga itu adalah rukun taqwa. Ketiga-tiga perkara di atas yang dijadikan satu pakej dinamakan rukun taqwa. Kalau rukun tidak ada kita tidak dapat tegakkan taqwa. Ibarat rumah, kalau tiang tidak ada, kita tidak boleh tegakkan rumah. Selama ini kita tidak pernah belajar atau diajar tentang rukun taqwa ini. Ia adalah asas, tapak atau benih taqwa.
Memang itu salah kita. Kita belajar pun tidak pernah habis. Belajar sedikit, pindah. Belajar sedikit, tinggal. Kalau hendak dikupaskan lagi, ketiga-tiga istilah ini bolehlah dikaitkan dengan Tauhid, Syariat dan Tasawuf. Iman itu Tauhid.Islam itu Syariat dan Ihsan itu Tasawuf.
Setiap perkara dalam ajaran Islam itu ada rukun dan ada syaratnya. Ada sah dan ada batalnya. Sembahyang misalnya, ada rukun, ada syarat, ada sah dan ada batalnya. Begitu juga dengan puasa dan haji, ada syarat, rukun, sah dan batalnya. Dengan taqwa tentulah lebih-lebih lagi kerana ia lebih besar dari sembahyang, lebih besar dari puasa dan lebih besar dari haji. Tentu ada rukun, syarat, sah dan batalnya. Orang tidak pernah ceritakan hal ini. Iman, Islam dan Ihsan adalah rukun taqwa. Rukun itu ertinya tiang. Kalau tidak ada tiang ertinya taqwa tidak boleh dibangunkan.
Iman ada pakejnya. Islam ada pakejnya. Begitu juga Ihsan ada pakejnya. Contohnya, Islam itu yang asasnya ialah rukun Islam. Yang tambahannya banyak seperti sembahyang sunat, puasa sunat, berjuang dan lain-lain. Itu semua syariat. Gabungan semua itu, barulah jadi rukun kepada taqwa.
RUKUN DALAM RUKUN
Walaupun rukun taqwa itu ialah Iman, Islam dan Ihsan tetapi dalam rukun taqwa itu ada pula rukun-rukun tambahan yang lain. Ia rukun di dalam rukun. Rukun di dalam rukun ini diperjelaskan seperti berikut:
1. Iman
Iman di sini ialah apa yang diterangkan di dalam rukun iman yang enam iaitu percaya akan Allah, malaikat-Nya, kitab-Nya, Rasul-Nya, hari Akhirat dan qada’ dan qadar. Dalam rukun iman yang enam ini pula, ada empat perkara yang menjadi rukun iaitu rukun dalam rukun. Dalam hendak membangunkan iman diatas enam rukun iman itu, ada empat rukun lagi iaitu:
i.Ilmu
Keenam-enam rukun iman itu tidak boleh dibangunkan kalau tidak ada ilmu. Kalau kita sekadar percaya tetapi tidak berdasarkan ilmu, tiang pada iman sudah runtuh. Rukun pada rukun iman itu sudah tidak ada. Membangunkan iman mesti atas dasar ilmu supaya kefahaman kita terhadap enam rukun iman itu betul dan tepat.
ii.Faham
Ilmu itu pula mesti difahami yakni ia tidak boleh terhenti di akal. Ia mesti diserapkan ke dalam hati. Memahami itu adalah dengan akal dan hati.
iii.Yakin
Selepas ilmu tentang enam rukun iman itu jelas dan difahami, kita kena yakin dengannya. Keyakinan ini tidak boleh dicelahi oleh syak, zan atau waham. Keyakinanlah yang akan mendorong kita menghayatinya. Namun hendak yakin dengan Tuhan dan lain-lain perkara dalam rukun iman berdasarkan ilmu bukan senang.
iv.Penghayatan
Hendak menghayati inilah yang susah. Menghayati itu maksudnya merasa bertuhan. Merasakan Tuhan ada peranan dalam hidup kita. Merasa hebat, cinta dan takut dengan
Tuhan. Merasakan Tuhan sentiasa melihat, mengetahui dan mengawasi kita. Begitu juga penghayatan tentang rukun-rukun iman yang lain.
Jadi ada empat perkara dalam satu pakej yang menjadi rukun kepada rukun iman yang enam. Yakni berlaku atau tidaknya rukun iman yang enam itu ditentukan oleh empat tiangnya iaitu ilmu, faham, yakin dan penghayatan. Di sini, tidak ada satu perkara pun yang bersifat lahiriah. Kesemuanya bersifat maknawiyah
Rukun iman itu bukan percaya begitu sahaja. Kita mesti yakin. Mungkin percaya atas dasar ilmu, mudah. Tetapi untuk yakin, itu susah. Ia perlu kepada kefahaman. Untuk menghayati lebih-lebih lagi susah. Contohnya ada disebut dalam Al Quran dan Hadis:
Maksudnya:
“Barangsiapa yang bertawakal kepada Allah, nescaya Allah akan mencukupkan (keperluannya). Sesungguhnya Allah melaksanakan urusan (yang dikehendaki)-Nya.”
Tuhan berkata lagi: Maksudnya:
“Barangsiapa pemurah, dia tidak akan papa bahkan Tuhan akan pemurah dengannya. Tuhan akan lepaskan dia dari masalah dan diberi rezeki dari sumber Allah.”
Walaupun ini kita percaya tetapi dalam realiti hidup, sandaran kita bukan pada Tuhan. Itu yang susah. Kita percaya sumber rezeki kita dari Tuhan tetapi sandaran kita pada duit. Kita percaya tetapi sandaran kita pada kerja. Kita rasa kalau tidak ada kerja, kita tidak boleh makan. Kita percaya Tuhan memberi rezeki tetapi sandaran kita dengan ilmu. Kita percaya dengan Tuhan tetapi kita rasa kalau tidak bersandar dengan menteri atau kuasa politik, kita tidak boleh berniaga, tidak boleh makan. Susah hendak yakin.
Percaya, memanglah percaya tetapi hendak yakin, susah. Sedangkan iman itu satu pakej iaitu ilmu, faham, yakin dan penghayatan. Kalau tidak cukup pakejnya, cacatlah iman. Kalau besar cacatnya, jadi kafir. Kalau kafir, sembahyang dan puasa pun tidak berguna. Kekal dalam Neraka. Kalau dosa kecil ia menjadi besar sebab ia bersangkut dengan akidah. Iman itu perlu ada ilmu, faham, yakin dan dihayati, baru sempurna.
2. Islam
Islam merangkumi lima rukun Islam yang kita semua sudah pelajari di masjid dan di surau. Ia adalah mengucap dua kalimah syahadah, sembahyang, puasa, zakat dan haji. Seperti juga iman, cara untuk membangunkan lima rukun Islam ini ada rukunnya pula sebagai tiangnya. Kalau tidak ada rukunnya atau tiangnya, bagaimana kita hendak bangunkan rukun Islam. Ada lima perkara dalam satu pakej yang menjadi rukun kepada tertegaknya rukun Islam itu iaitu:i.Ilmu
Syahadah umpamanya takkanlah cukup dengan mengucapkan kalimah sahaja dengan tidak ada ilmunya dan tidak tahu tuntutan-tuntutannya. Terjemahannya sahaja tidak cukup. Begitu juga sembahyang. Mesti juga berdasarkan ilmu. Jadi rukun Islam itu mesti berdasarkan ilmu. Amalan tanpa ilmu tertolak.
ii.Faham
Dalam menegakkan rukun Islam, kita mesti faham. Kalau dengan ilmu sahaja, mungkin kita boleh buat yang lahirnya tetapi batinnya rosak. Faham perlu untuk menjaga batin atau roh ibadah.
iii.Yakin
Yakin menjadi syarat. Kita kena yakin dengan ilmu kita dan ibadah kita itu. Ia perintah Tuhan. Bukan suka-suka dan bukan sekadar hobi.
iv.Perlaksanaan (Amalan)
Semua rukun Islam itu mestilah dilaksanakan dan diamalkan mengikut ilmunya. Di sini baru ada perkara yang lahiriah.
v.Penghayatan (Rasa)
Dalam melaksanakan rukun Islam, ia perlu dihayati supaya bukan lahir saja yang berbuat. Hati mesti ikut sama. Sembahyang contohnya mesti ada penghayatan.
Rupanya, dalam rukun Islam ada lima lagi rukunnya dalam satu pakej. Empat berbentuk dalaman atau batiniah dan satu berbentuk lahiriah. Ada ilmu, faham, yakin dan laksanakan (amalkan), itu mudah tetapi untuk menghayati adalah payah. Apa maksud hayati?
Menghayati itu adalah merasa. Contohnya sembahyang. Antara rukunnya ialah membaca Fatehah. Katalah kita ada ilmu tentang surah Al Fatehah. Kita faham tajwid, faham makna dan faham maksudnya. Kita pun baca. Kita boleh baca tetapi belum tentu kita boleh merasa. Kita baca, cantiklah tajwidnya, faham pula makna dan maksudnya, tetapi sudah bolehkah kita rasa?
Dalam sembahyang didapati ramai orang boleh baca tetapi tidak boleh merasa. Doa qunut contohnya, boleh dibaca dan mungkin tahu maksud bacaan itu, tetapi tidak boleh dirasa. Kalau tidak boleh dirasa maka tidak ada kesannya. Ia tidak sampai ke hati. Padahal kalau kita dapat rasa, baru ia tertuju kepada akal dan roh. Sebab itu seorang yang boleh merasa, dia tidak buat amalan sunat pun tidak apa. Amalan wajibnya pun sudah cukup berkesan.
Ada Sahabat Rasulullah yang tidak buat ibadah sunat tetapi Rasulullah kata dia ahli Syurga. Ibadahnya berkesan, walaupun dia buat yang wajib-wajib sahaja. Dalam rukun Islam ini, kita kenalah ada ilmu, faham, yakin, amal dan hayati (rasa).
3.Ihsan
Kalau diterjemah secara bahasa atau secara lughah, Ihsan maksudnya berbuat baik. Tetapi Ihsan yang bersifat rohaniah atau hati lain maksudnya. Ihsan ditakrifkan oleh Rasulullah SAW begini:
“Hendaklah kamu sembah Allah seolah-olah kamu melihat-Nya. Memang kamu tidak boleh melihat Tuhan tetapi hendaklah kamu sedar dan rasakan di dalam hati kamu, bahawa Tuhan melihat kamu.” (Riwayat Muslim)
Ihsan itu ialah apabila roh dan akal sedar bahawa Tuhan sedang melihat. Rasa Tuhan melihat, mendengar, mengetahui dan rasa Tuhan berkuasa mentadbir diri kita. Ada rasa kehambaan dan rasa bertuhan ketika kita laksanakan perintah dan suruhan Tuhan. Itu sangat sulit kalau jiwa tidak hidup yakni kalau rasa bertuhan tidak ada. Rasa bertuhan itu bukan di waktu beribadah sahaja. Waktu tidur dan berehat pun, rasa bertuhan itu patut ada. Bagaimana?
Bayangkan, kalaulah ada seekor harimau di depan kita, bolehkah kita lupakan harimau itu seolah-olah ia tidak ada dan tidak wujud?
Kalau ada harimau di depan kita, bolehkah kita makan dan minum serta melupakan harimau itu begitu sahaja?
Bukan sahaja hendak lupakan harimau, hendak makan pun kita tidak lalu. Tidak tentu arah kita dibuatnya. Harimau tidak sehebat mana. Tuhan maha hebat. Nasib kita di dunia dan di Akhirat adalah di tangan-Nya. Kalau Dia kata mati, matilah kita. Kalau Dia kata miskin, akan miskinlah kita. Jadi, bagaimana kita hendak lupakan Tuhan. Itulah Ihsan.
Yakni, waktu ibadah fardhu dan sunat atau di luar ibadah, terasa Tuhan melihat dan memerhati. Terasa bahawa Dia yang berkuasa diatas diri kita dan serba salah dan tidak tentu arah kita dibuatnya.
Ihsan ini sangat susah untuk diamalkan. Ia ada di dalam ibadah dan ada di luar ibadah. Waktu puasa ada Ihsan, di luar puasa pun ada Ihsan. Waktu sembahyang ada Ihsan, di luar sembahyang pun ada Ihsan. Begitu juga waktu haji. Di dalam dan di luar haji ada Ihsan. Ertinya rasa bertuhan tidak boleh hilang. Rasa bahawa Tuhan itu berkuasa tidak boleh hilang. Rasa Tuhan itu melihat, mengetahui dan berkehendak tidak boleh hilang. Inilah yang dimaksudkan oleh sepotong ayat Al Quran: Maksudnya:
“Orang yang mengingati, terkenang-kenangkan Allah di waktu berdiri, duduk dan ketika berbaring.” (Ali Imran: 191)
Ertinya, bukan sahaja di dalam ibadah malahan di luar ibadah, sewaktu sedang bekerja, sedang membeli belah, sedang berjalan, sedang memasak, semua ingat dan terkenang-kenangkan Allah. Inilah rukun Ihsan.
Rukun Ihsan itu satu sahaja iaitu rasa bertuhan, seperti rasa diawasi, rasa dilihat dan rasa Tuhan sentiasa menguasai kita.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan