Sabtu, 30 Jun 2012

Rosak Fitrah Maka Rosaklah Agama



Fitrah itu ibarat tanah. Jiwa ibarat pokok yang tumbuh di atasnya. Kalau fitrah itu suci dan bersih, jiwa akan hidup. Kalau ia kotor dan tercemar, jiwa akan luntur dan mati. Jiwa tidak dapat hidup di atas fitrah yang kotor dan tercemar.

Kita dibekalkan oleh Tuhan dengan fitrah yang suci dan murni. Supaya di atas fitrah yang suci dan murni itu, jiwa kita dapat hidup subur. Sucinya fitrah kita itu kerana adanya rasa bertuhan. Ditanam rasa bertuhan itu ke dalam fitrah kita di alam roh lagi

manakala Tuhan bertanya kepada sekalian para roh:

Alastu birabbikum
Bukankah Aku Tuhan kamu ?

Para roh serentak menjawab:

Bala syahidna
Bahkan, kami naik saksi.


Maksudnya:

Firman Allah mengambil kesaksian terhadap roh (seraya berfirman)
Bukankah Aku Tuhan kamu ?

Mereka menjawab Bahkan, kami naik saksi

(Surah al-A'raf: 172)

Akan tetapi fitrah manusia tidak semestinya kekal suci dan bersih. Dia boleh dikotori dan dicemari oleh dunia. Apabila fitrah dipengaruhi oleh dunia, dia akan rosak dan tercemar. Lebih-lebih lagilah kalau dunia sudah masuk dan tersemat di dalam hati sanubari.

Apabila fitrah telah dirosakkan oleh dunia, dia akan jauh dari Tuhan. Lama kelamaan, dia akan lupakan Tuhan. Orang yang sudah rosak fitrahnya ialah orang yang sudah lupa dan kehilangan Tuhan. Tempat Tuhan diganti dengan dunia. Tidak akan berkumpul rasa bertuhan dan rasa cinta dunia dalam fitrah manusia pada masa yang sama. Kalau datang satu, yang satu lagi akan lenyap. Begitu juga sebaliknya. Tuhan tidak jadikan dua hati dalam diri anak Adam. Hati itu, sama ada dia cinta Tuhan atau dia cinta dunia. Dia tidak boleh mencintai kedua-duanya pada satu masa.

Jiwa itu raja dalam diri. Dia akan lemah dan mati, sekiranya fitrah rosak. Bila jiwa sudah lemah atau mati, dia tidak akan dapat berfungsi dan berperanan lagi. Dia seperti raja yang gering atau sudah mangkat. Tidak boleh lagi memerintah dalam kerajaan diri. Akan timbul vakum dalam pemerintahan. Akan terjadi rebutan kuasa.

Yang pertama yang akan menuntut kebebasan ialah nafsu. Bila fitrah sudah dirasuk oleh dunia, nafsu bertambah kuat dan terangsang. Nafsu tidak suka dikongkong. Nafsu suka bebas mengikut apa sahaja kehendak dan kemahuannya. Nafsu akan mengambil alih tampuk pemerintahan. Tidak ada siapa lagi yang akan dapat menahan, mengekang dan mengawalnya. Dia seperti beraja di mata dan bersultan di hati.

Akal pula akan terumbang-ambing. Dia seperti kehilangan tuan. Kalau dahulu dia mengikut arahan jiwa tetapi sekarang dia ditakluk dan dijajah oleh nafsu. Maka akal pun bekerja untuk nafsu. Makin bijak akal, makin terserlah kejahatan nafsu. Nafsu juga, kerana sifatnya yang jahat dan rakus itu tidak pernah puas mengejar dan memburu dunia. Dia berebut-rebut,menekan dan menindas untuk mendapatkan sebanyak mungkin dunia ini. Dia tidak ubah seperti anjing yang merebut-rebut dan mengkeronyok bangkai. Jiwa yang mati ibarat pokok yang sudah tumbang dan reput.

Disebabkan sifat nafsu yang jahat dan rakus ini, maka akan tumbuh pada jiwa atau hati yang mati itu berbagai-bagai penyakit seperti cendawan atau kulat yang tumbuh pada kayu yang reput. Penyakit-penyakit ini ialah sifat-sifat keji atau mazmumah seperti sombong, angkuh, ego, hasad dengki, panas baran, tamak haloba, pemarah, pendendam, bakhil dan berbagai-bagai lagi. Nafsu yang jahat akan menyuburkan sifat-sifat mazmumah.

Penyakit-penyakit hati inilah punca segala kesusahan, kesengsaraan dan penderitaan manusia. Ia punca manusia bergaduh, berkelahi dan berkrisis. Ia punca manusia hilang perpaduan dan berpecah-belah. Ia memusnahkan ukhuwah dan kasih sayang. Ia mendorong manusia melakukan jenayah dan kezaliman.

Akhirnya manusia menjadi jahat, zalim dan tidak berperikemanusiaan. Mereka bunuh membunuh dan berperang sesama sendiri. Yang bergaduh dan berperang itu sebenarnya bukan tangan dan kaki manusia. Yang bergaduh dan berperang itu ialah penyakit-penyakit dan sifat-sifat mazmumah yang tumbuh dan bersarang di hati-hati manusia. Sombong orang ini bergaduh dengan panas baran orang itu. Bakhil orang ini bertembung dengan hasad dengki orang itu dan seterusnya.

Maka huru-haralah hidup manusia. Masyarakat manusia dipenuhi dengan kekejaman, penindasan, penzaliman, rompakan, rogol, zina, arak, dadah, judi, krisis, pergaduhan, peperangan dan bunuh membunuh. Manusia menjadi cemas dan hidup dalam ketakutan dan kebimbangan. Hidup manusia tidak selamat. Hidup di dunia dirasakan seperti dalam neraka.

Inilah akibatnya kalau kesucian fitrah tidak dijaga. Inilah kesannya kalau fitrah dibiarkan tercemar dan dikotori oleh dunia.

Islam itu agama fitrah. Maksudnya bukan sahaja Islam itu memenuhi segala kehendak dan tuntutan fitrah manusia dan bukan sahaja segala hukum hakam dalam agama Islam itu sesuai dengan kehendak dan tuntutan fitrah manusia, tetapi juga Islam menuntut supaya kesucian fitrah itu sentiasa dijaga dan dipelihara.

Kalau kesucian fitrah itu dicemari dan fitrah itu dirosakkan, maka kita akan dapati sukar untuk berpegang kepada Islam. Rosak fitrah maka rosaklah Islam kita. Kita tidak akan dapat mengikuti lunas-lunas Islam, lebih-lebih lagi untuk rasa bertuhan, rasa kehambaan dan untuk mengamal dan menghayatinya lahir dan batin. Kita akan tersimpang daripada Islam. Jiwa kita akan mati dan nafsu kita akan bermaharajalela. Nafsu kitalah yang akan kita turutkan.

Kalau inilah keadaan yang melanda umat manusia masa kini,apakah yang harus kita buat? Apakah jalan keluar yang terbuka untuk kita ?

Tidak lain tidak bukan, kita terpaksa kembali kepada Tuhan.

Mahu tidak mahu, kita terpaksa tanam semula rasa bertuhan dalam hati-hati kita. Kita terpaksa buang jauh-jauh cinta dunia yang bersarang dan mencengkam hati-hati kita itu. Kita mesti gantikan cinta dunia kita itu dengan cinta Akhirat. Tuhan dan rasa bertuhan, rasa kehambaan dan cinta akhirat inilah yang akan membantu kita memperbaiki diri.

Rasa-rasa inilah yang akan membantu kita bermujahadah melawan hawa nafsu. Rasa-rasa inilah yang akan membantu kita membuang sifat-sifat mazmumah dari hati. Rasa-rasa inilah yang akan membantu kita menghias hati kita dengan sifat-sifat mahmudah yang terpuji. Bila ini dapat kita lakukan secara istiqomah, maka lama kelamaan hati kita dari hari ke hari akan menjadi bertambah bersih. Fitrah kita akan kembali kepada keadaan asal semulajadinya yang suci dan murni.

Di atas fitrah yang suci dan murni inilah, jiwa kita akan kembali hidup dan subur. Dia akan kembali berfungsi dan berperanan sebagai raja dan pemerintah dalam diri. Jiwa yang hidup akan terangsang dengan Tuhan dan hari akhirat. Bila jiwa sudah rasa bertuhan, dia seolah-olah mendapat kekuatan dari Tuhan untuk mengawal dan mengekang nafsunya.

Nafsu tidak takut dengan kita. Kalau kita hendak didik nafsu atas usaha kita sendiri, nafsu akan ketawakan kita.

Nafsu hanya takut dengan Tuhan. Oleh itu, untuk mendidik nafsu, kita terpaksa bersandar dengan Tuhan. Kita kena dapat kekuatan dari Tuhan. Kita kena rasa bertuhan.

Pernah apabila Tuhan bertanya kepada nafsu tentang keberadaannya, nafsu menjawab kepadaTuhan

Engkau, engkau, aku aku?

hingga Tuhan rejam nafsu selama seribu tahun dalam neraka. Dengan Tuhan pun nafsu angkuh. Inikan pula dengan kita. Setiap bayi dilahirkan dengan fitrah yang suci dan murni ini. Jangan dicemar atau dikotori fitrah ini. Kalau dicemar atau dikotori, akibatnya manusia akan kehilangan Tuhan. Manusia akan rosak keinsanannya. Jiwa manusia akan mati. Nafsunya akan bermaharajalela dan hatinya akan binasa. Dia akan menjadi haiwan yang bertopengkan manusia.

Rosak fitrah, maka rosaklah agama.




Tiada ulasan:

Catat Ulasan