Sabtu, 14 Januari 2012
Zon 4 : Tahiyat
Akhirnya pertemuan ini Tuhanku, terasa hatiku bagaikan dibawa ke Sidratul Muntaha.
Di sana, setelah kusembahkan seluruh salam-salam keberkatan dan doa-doa yang Kau ajarkan, lalu Kau kenalkan aku pada kekasih-Mu, Rasulullah SAW. Yang kerananyalah maka aku sampai terbawa ke sini, ke sisi-Mu.
Dapatlah aku mengucapkan salam pada manusia yang paling berjasa itu. Bahkan terasa ada jawapan salam dari baginda. Kau Tuhan... mengajarkan aku mengagih-agihkan cinta pada para kekasih-Mu yakni dengan Kau bisikkan begini :
"Wahai hamba-Ku, tidak cukup kalau kau hanya mempunyai Aku.
Bersama kita ada saudara-saudaramu sehati sejiwa.
Mereka juga buah-buah hati-Ku.
Mereka sangat berusaha agar manusia merasakan cinta Tuhan.
Kita tidak terhubung pun kalau tidak hasil perjuangan mereka.
Kalau begitu doakanlah mereka.
Yakni sesudah engkau mendoakan dirimu
-Sepanjang mikraj ini dapat benar-benar menyaksikan kebenaran-Ku."
Aku bersaksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah
Aku bersaksi bahawa Nabi Muhammad SAW Pesuruh Allah
Aku minta pada-Mu, selamat sejahterakanlah
Sayidina Nabi Muhammad SAW dan keluarganya
sepertimana dilakukan kepada bapaku Nabi Ibrahim dan keluarganya.
Ku pinta lagi Tuhan, berkatilah kekasih Junjungan Sayidina Muhammad
dan keluarganya sepertimana diberkatinya Nabi Ibrahim
serta isreri-isteri mereka dan anak-anak semuanya.
Sungguh wahai Tuhan, mikraj ini memperlihatkan padaku
bahawa di atas ciptaan alam ini seluruhnya,
hanya Tuhanlah yang layak untuk dikatakan Maha Terpuji lagi Maha Mulia.
Maka dengan itu aku kembalilah ke dunia semula,
bertemu dengan sekalian ciptaan kesayanganku,
adik-beradikku, saudara-maraku di kalangan manusia,
malaikat, roh-roh muqaddasah, jin-jin Muslim
dan lain-lainnya dengan doa.
Assalamualaikum w.r.m.t.
Moga-moga semuanya dalam keadaan selamat.
SELESAI SOLAT
Selesai sudah kembara mencari kebenaran. Kembalilah kita bersama rasa takut dan cinta kepada Tuhan. Pulang membawa perpaduan dan kemenangan.
Sembahyang membuatkan kita takut kepada Allah. Juga cinta yang mendalam kepada-Nya. Dengan taqwa itu, nafsu dapat dilembutkan. Besar diri dapat dicabut dari hati kita.
Cinta pada Tuhan mencairkan rasa-rasa tamak, hasad dan gila dunia. Kita akan balik berkasih sayang dengan sesama manusia. Rukuk dan sujud umpama pil-pil yang mengubat sakit degil, keras kepala dan mementingkan diri. Kita jadi patuh, rendah diri dan bertolak ansur.
Rasa hina diri dan rasa hamba yang diperolehi dari Tuhan akan mengajar kita bagaimana untuk bersabar, redha dan mengalah sahaja dengan orang lain. Lalu jadilah rukun-rukun sembahyang ini sebagai modal besar untuk dapatkan perpaduan.
Manakala TAQWA, PERPADUAN DAN KESELARASAN itu pula adalah rahsia kejayaan mukmin mendapatkan kemenangan di dua empayar dunia dan Akhirat.
TAMAT...
link
Heliconia's Weblog @ Malaysia
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan