Khamis, 26 Januari 2012

Kenapa Salahkan Musuh ?



KELEMAHAN, kekalahan dan kegagalan pejuang Islam, bukan salah zionis, tidak juga, Nasrani atau komunis atau juga nafsu dan syaitan. Janganlah musuh disalahkan, walaupun memanglah mereka bersalah. Sebagai musuh Allah dan Rasul, memanglah mereka menentang perjuangan Islam, tetapi urusan untuk menghukum mereka itu serahkan pada Allah.

Tahulah Allah bertindak terhadap hambaNya itu.Tugas kita ialah menyampaikan amanah Allah menyambung lidah Nabi.Di samping berusaha untuk membangunkan hukum Allah dalam kehidupan kita serta anggota jemaah Islam, perjuangan kita bukan marahkan kerajaan kerana tidak melaksanakan pemerintahan dan pentadbiran Islam, tapi ialah marahkan diri kita kerana belum dapat berbuat apa-apa pun.Sekalipun hanya sebuah kampung Islam contoh dan masyarakat Islam yang tulen.

Patutnya kita berkata,
“Kalau aku pun belum dapat melakukan perintah Allah dengan sempurna mengapa aku suruh orang lain melakukannya

Firman Allah: Terjemahan:
.” Sangat besar kebencian di sisi Allah, kerana kamu mengatakan apa yang tidak kamu lakukan
(As Saf : 63)

Kalau benar kita berjuang bagi pihak Allah, tentu kita dapat jadi contoh kepada umat, yakni Islam itu terserlah pada diri dan kehidupan serta dalam jemaah kita.Tapi perjuangan kita ini, tidak begitu bentuknya.Kita jual nama Islam untuk memuaskan keinginan-keinginan pada pangkat dan kedudukan, pada kuasa dan negara.Konon di atas semua itulah Islam dapat ditegakkan.

Walhal Islam hanya boleh hidup di atas peribadi yang kuat iman dan taqwa.Tapi iman dan taqwa tidak dapat tempat dalam majlis-majlis rasmi dan dalam kehidupan kita.Lalu tidak pelik kalau kita lihat pejuang Islam masih lagi berperangai buruk seperti ujub, riak, sombong, takabur, bakhil, gila dunia, hasad dengki, dendam, berburuk sangka, berkrisis sesama sendiri dan lain-lain.

Walhal kelemahan, kekalahan dan kegagalan kita adalah kerana salah kita, dosa-dosa kita, lemahnya iman dan taqwa kita hingga Allah tidak Bantu serta kerana kita tidak melaksanakan sungguh-sungguh ajaran Islam pada diri dan jemaah kita terlebih dahulu. Konon nanti dapat negara baru hendak laksanakan Islam itu,

walhal kalau dalam jemaah yang kecil pun kita tidak dapat membangunkan ukhwah, pendidikan, ekonomi, budaya Islam, klinik dan lain-lain, apa bukti yang kita boleh
melakukannya dalam sebuah Negara ?

Apa kuasa sahaja cukup untuk jinakkan hati manusia untuk tunduk pada Allah dan Rasul ?

Kalau semudah itu, tentu sudah lama kerajaan laksanakan Islam sebab kerajaan kita pun katanya mahukan Islam.Tapi apa yang berlaku tidak begitu.Kuasa bukan syarat utama untuk membuatkan manusia ghairah dengan Allah dan Rasul.

Yang sebenarnya kita mesti menyediakan berbagai-bagai keperluan asas yang diperlukan untuk membina Negara Islam. Untuk itu saya berseru kepada jemaah-jemaah Islam terutamanya anggota jemaah Aurad Muhammadiah, agar bangun dari kelalaian dan kesilapan ini, kemudian bekerjalah menegakkan hukum-hukum Allah

1. Didik dan asuh diri sendiri dan ahli-ahli jemaah Islam untuk jadi orang-orang yang bertaqwa.Sebab taqwa adalah senjata utama untuk perjuangan kita.

Seorang yang gigih berjuang dan berjihad dipanggil mujahid. Mujahid belum tentu bertaqwa kalau ada padanya sombong, takabur, membazir, tidak sabar, tidak tolak ansur dan lain-lain. Orang dermawan dipanggil assakhi (pemurah). Pemurah belum tentu bertaqwa kalau ada padanya pendendam, mengadu domba, berburuk sangka dan lain-lain. Orang yang gigih berdakwah dipanggil da’i atau mubaligh. Seorang da’i belum tentu bertaqwa kalau dia cuai sembahyang, ambil riba, bebas dengan perempuan ajnabi dan lain-lain.

Orang bertaqwa ialah orang yang membuat semua kebaikan yang Allah suruh buat (lahir dan batin, dengan Allah dan dengan sesama manusia), kerana takutnya untuk melakukan dosa walaupun sekecil-kecil dosa.

Pejuang Islam mesti sedar hakikat ini.Jangan mudah-mudah mengaku beriman dan bertaqwa sedangkan banyak lagi suruhan Allah S.W.T yang kita tidak buat.Ertinya kita ini orang berdosa, hamba Allah yang derhaka.Panggilan yang layak untuk kita ialah mukmin yang derhaka atau mukmin yang fasik (asi) atau mukmin yang zalim.Bukan mukmin yang sejati, bukan solihin dan lebih-lebih lagi bukan muqarrobin. Kalau mati ketika ini,dalam keadaan taubat tidak diterima, dosa tidak terampun, nescaya malaikat akan melempar kita ke lubuk neraka. Dituang dengan air yang mendidih dan makan buah zaqqum yang sangat menyeksakan. Itulah janji Allah. Dan Allah tidak pernah mungkir janji.

Kalau begitu kenapa salahkan musuh ?

Berkatalah Sayidina Umar Ibnu Khattab:
‘ Aku lebih takut pada dosamu daripada musuh-musuhmu.
Kerana bila kamu berdosa Allah akan biarkan kamu pada musuh-musuhmu. ’

Maknanya, kegagalan kita ialah kerana dosa-dosa kita, kerana kita tidak bertaqwa. Ertinya salah itu terletak pada diri kita bukan pada orang lain.Dan selagi kesilapan itu tidak dibetulkan, tidak bertaubat dan tidak dididik dan dilatih dengan iman dan taqwa, buatlah macamana pun, insyaAllah kita tidak akan boleh menang:

Sebab kita langgar syarat dari Allah. Syarat taqwa. Janganlah buat helah lain-lain lagi, itu dan ini untuk dijadikan alasan kegagalan kita itu.Mengakulah dengan Allah bahawa kita belum bertaqwa, sebab itu Allah tidak tolong !

Sebab Allah hanya akan menolong orang yang bertaqwa.

Firman-Nya:
Allah pembela orang-orang yang bertaqwa
(Jasiyah : 19)

Jangan pula disalah fahamkan taqwa itu dengan orang- orang yang jumud dan beku. Iaitu orang-orang penunggu masjid yang berpakaian lusuh dan miskin papa, anti kemajuan dan pembangunan.

Generasi taqwa yang jadi contoh ialah salafus soleh,
para sahabat yang hidup mereka digambarkan begini:

Menjadi pendita (abid) di malam hari,
menjadi singa (pejuang) di siang hari.”

Dalam keadaan hati rindu dan takut pada Allah, mereka bertaburan di tengah manusia di seluruh dunia untuk mengubah dunia dari jahiliah kepada Islam. Dari undang-undang taghut kepada kalimah Allah.Dari kekotoran najis dosa kepada kemurnian hati yang bertaqwa.Dari peperangan dan penzaliman kepada keamanan, keadilan, kemakmuran, supaya manusia semua mahu sujud pada Allah, Tuhan yang menciptakannya dan yang akan mematikannya.

Itulah kerja orang yang bertaqwa. Dan kalau kita boleh buat begitu barulah Allah percaya untuk mengamanahkan negara dan dunia ini pada kita. Kalau masih belum, yakni kalau perangai kita masih macam hari ini maka jika Allah serahkan Malaysia ini, lebih-lebih lagi seluruh dunia, habis harta bendanya masuk poket kita pula

Rasulullah mengambil masa13 tahun untuk mendidik iman dan taqwa para sahabat. Setelah10 tahun kemudian barulah baginda merancang pembangunan negara Islam kecil yakni Madinah. Dibangunkan sekolah sebagai kilang mengeluarkan ilmuan yang bertaqwa, penyambung dan pelapis perjuangan.Dibangunkan ekonomi dengan membuka pasar Ansar dengan pengurusnya Sayidina Abdul Rahman bin Auf. Begitulah perjuangan itu berkembang dan terus membesar hingga akhirnya 3/4 isi dunia menyerah diri pada Islam.

Itulah cara memperjuangkan Islam yang dibuat oleh Rasulullah. Dan itulah satu-satunya cara yang benar dan tepat. Habis kenapa kita tidak mahu mencontohinya ?

Kenapa kita ada pandangan yang sangat menyimpang dari apa yang dibuat oleh Rasulullah ?

Konon waqi’ tidak apa,

sedangkan Rasulullah pernah ditawar untuk jadi raja baginda menolaknya sebab bukan cara itu mendidik umat dan itu bukanlah cara yang tepat untuk memulakan satu perjuangan

Konon kita terlalu bimbangkan negara diambil orang,
sebab itu kita mesti pertahankan.

Alasan ini tidak logik sama sekali.Kalau betul takut orang asing memerintah negara ini, cara terbaik sekali bukannya kita bergaduh dan berpecah belah sesama Islam, untuk berebut kerusi pemerintahan.Tentu kita jadi penasihat kerajaan itu tentang apa-apa yang tidak syarie, di samping memandu pemerintah untuk mentadbir negara dengan baik serta berusaha mengIslamkan orang yang bukan Islam.Itukan lebih baik dan lebih menguntungkan umat Islam.

Tetapi kita tidak buat begitu. Kita hentam kerajaan umat Islam di dunia hari ini dari belakang, kita hina dan buruk-burukkan hingga terpecahlah umat Islam kepada dua kumpulan besar. Alangkah bahayanya perbuatan ini.

Tetapi kita tidak terfikir pun begitu. Kita berebut juga kerusi kerana ingin ambil alih tampuk pemerintahan.Dan bila ada sekumpulan kecil manusia yang tidak senang dengan semua itu, kita cap orang itu tidak tahu politik, tidak fikir negara.

Walhal sikap kitalah yang sebenarnya sangat bahaya untuk politik, perpaduan ummah serta keseluruhan umat dalam sesebuah negara.

Tidak mengapa juga kalau perjuangan kita itu benar- benar membawa umat yang cinta Islam itu kepada cara hidup Islam.Tetapi jelasnya tidak begitu.Kita tidak didik mereka dengan iman dan taqwa, Kita hanya beri semangat politik pilihanraya yang kotor, yang mencerca dan memfitnah satu sama lain.Kemudian kita lagakan mereka sekampung. Hancur berkecai perpaduan umat.

Kemudian kita syarahkan perpaduan ummah, negara Islam, dunia Islam.

Bila orang tanya mana dia Islam itu ?

Tunggu ! Tunggu hingga kita dapat kuasa memerintah negara.Alangkah kejamnya perjuangan kita itu. Kita bohongi masyarakat konon Islam tidak boleh bangun tanpa kuasa.

Senjata untuk perjuangan Islam yang utama ialah taqwa. Sebab dengan taqwa Allah akan bantu. Bila Allah bantu, tiada kuasa apa lagi yang boleh mengalahkan kita.

Tapi hari ini pejuang Islam ketawa kalau kita cakap tentang hal-hal begini.Karut kata mereka.Tidak logik.Tidak rasional.Dan lain-lain lagi. Kerana itulah perjuangan mereka macam keretapi rosak enjinnya. Bunyinya kuat tetapi tidak bergerak-gerak. Akibat menolak soal-soal kerohanian, konon hal-hal kerohanian boleh membuatkan orang jumud dan ketinggalan zaman. Tetapi nampaknya tanpa kerohanianlah menyebabkan perjuangan mereka lebih ketinggalan zaman.

Betulkan fahaman kita konon kalau takut-takutkan orang dengan dosa, dengan neraka, nanti orang akan tinggal dunia.Orang tidak membangun dan tidak membina kemajuan dan tamadun..

Pada pendapat mereka, kalau disebut-sebutkan sangat hal itu orang akan lari sebab perkara itu ketinggalan zaman. Soal cinta Allah, rindukan Allah, malu pada Allah, takutkan Allah, tawakal, redha, sabar, syukur dan hina diri pada Allah sangat jauh dari perbincangan mereka apalagi untuk dijadikan amalan rohani mereka.

kerana merasa diri bersih dan sudah baik.akibamya kita terdorong mengata-ngata orang dan menyalah-nyalahkan orang lain

Allah berfirman
Wahai orang yang beriman, hendaklah kamu takutkan Allah dan katakanlah dengan perkataan yang tegas, nescaya Allah akan membaiki kerja-kerja kamu dan ampunkan dosa kamu. Barangsiapa takutkan Allah dan Rasul, maka sesungguhnya dia mendapat
kemenangan yang besar.

(Al Ahzab : 70-71)

Sebab itu Rasulullah sebelum berperang selalu ingatkan tentera supaya yakin dengan Allah dan takut dosa.Jadi kalau kita hendak berjuang atas nama Islam, kita mestilah terima syarat ini dan melaksanakannya.

Barulah betul, kita buat kerja Allah dan terhindar dari sikap memandai-mandai.Tetapi kalau kita perjuangkan Islam, dengan cara yang difikirkan oleh otak kita, ertinya kita berjuang kerana kita, bagi pihak kita, bukan kerana Allah dan bagi pihak Allah.

Kalau ini berlaku, tidak ada apa lagi keistimewaan pada perjuangan itu kerana ia tandus dengan satu tenaga yang luar biasa yakni bantuan Allah.Bila Allah tidak bantu, dalam keadaan ekonomi meleset ini pula, ilmu pun masih diceduk dari orang. . .

Tidak peliklah kalau nasib kita kini bagaikan ayam mati kelaparan di kepuk padi dan itik mati kehausan di dalam air.Malang seribu kali malang !


2. Musuh Islam telah tawan dunia dan fikiran serta jiwa manusia melalui media massa, pendidikan, ekonomi, kebudayaan, politik, perubatan, perkilangan, pengeluaran makanan, penulisan, perfileman, video, televisyen,fesyen, muzik, puisi, ketenteraan, perhubungan, khidmat masyamkat dan seribu satu macam cara lagi.Melalui cara itu mereka telah dapat menjadikan manusia ikut cara hidup mereka, walaupun yang beragama Islam.

Jemaah Islam mesti sedar hakikat ini.Musuh bukan memerintah negara umat Islam hari ini, tapi kenapa mereka boleh corakkan masyarakat kita dengan cara hidup mereka Mereka bukan hantar tentera pada kita.Tapi musuh menghantar fikiran, budaya, cara hidup mereka sama ada dalam berpolitik, berekonomi, bergaul suami isteri, kebudayaan, bersekolah, berpendidikan, perubatan, filem dan lain-lain lagi.Melalui kaedah itu mereka sudah meyahudi dan menasranikan negara-negara umat Islam.

Ertinya mereka meyahudi dan menasranikan umat Islam bukan melalui kuasa memerintah.Tapi dengan dakyah, yakni menyalurkan fikiran dan keyakinan hidup mereka yang batil itu kepada umat Islam melalui berbagai saluran.Bila fikiran itu sampai ke tengah masyarakat, yang ia kelihatan begitu cantik dan menarik pada nafsu kita,

maka tanpa sedar umat Islam sudah berubah kepada fikiran, keyakinan dan cara hidup musuh Islam, termasuk pejuang Islam sendiri.

Kalau begitu mengapa kita pejuang Islam sibuk hendak negara juga ?

Kuasa, tentera dan duit nyata tidak boleh menggugat Amerika.Ghadafi konon tunjuk senjata pada Amerika tapi akhimya lenyap ditelan dek gergasi dunia itu.Arab Saudi yang kayaraya, sudah jadi ceti dunia konon telah mengisytiharkan negara Islam, bawa Al Quran dan sunnah sahaja dengan menolak mazhab-mazhab, tapi kini jadi anak angkat dan anak emas Amerika

Apa kita fikirAmerika akan berdiam diri terhadap kita nanti kalau betul-betul memerintah ?
Apa jaminan tidak akan jadi seperti Arab Saudi dan Iran ?

Tapi kalau kita buat macam mereka, yakni salurkan kandungan Al Quran dan sunnah, tegasnya iman, Islam dan ihsan ke tengah ‘manusia, yang kalau manusia mengambilnya untuk jadi keyakinan dan cara hidup mereka, tentu musuh Islam tidak boleh buat apa-apa. Sekurang-kurangnya musuh hanya boleh kemaskan penyampaian likiran kepada dunia.Itu saja.

Tapi kalau kita boleh ketengahkan Islam secantik-cantiknya, menggunakan saluran-saluran yang digunakan oleh musuh-musuh seperti media massa, pendidikan, budaya dan lain-lain, sesungguhnya fitrah manusia tidak akan menolaknya.

Terjadilah nanti pertarungan fikiran dan keyakinan yang serius dalam diri tiap-tiap manusia dan tidak mustahil nanti yang bukan Islam pun akan menerima kebenaran wahyu dan sabda Nabi.Mereka akan menukar cara hidup jahihah kepada Islam.Cara ini kalau kita dapat laksanakan dengan sebaik-baiknya dan dengan pertolongan Allah, bukan negara saja dapat diIslamkan, tapi dunia pun boleh jadi Islam.

3. Tegakkan sistem hidup Islam dalam kehidupan ahli jemaah Islam.Yakni sistem pendidikan Islam, ekonomi Islam, sosial Islam, pentadbiran Islam, perubatan Islam, media-massa Islam, perkilangan barang-barang keperluan umat Islam, hubungan luar negeri, biro dakwah, kebajikan khusus memikirkan nasib anggota. Misalnya perkahwinan mereka, keperluan biasiswa, menanggung anak yatim dan janda serta lain-lain lagi.

Siapa halang kita dari melakukan ini semua ?
Ahli yang beratus ribu itu mengapa tidak digunakan sebagai tenaga pekerja untuk
menegakkan Islam dalam jemaah ?
Apa yang ditakutkan ?
Atau apa yang tidak ada?

Jika sekiranya jemaah Islam tidak menyediakan system hidup Islam, sekurang-kurangnya sistem pendidikan untuk lahirkan kader, itu maknanya jemaah tersebut belum berjuang, baru berangan-angan. Kalau setakat bercakap itu belum cukup syarat untuk membuktikan yang orang itu benar-benar cintakan hukum-hukum Islam. Sungguh tidak logik jemaah Islam mahu Islamkan negara, sedangkan jemaahnya sendiri belum berwajah Islam. Lagilah tidak logik jemaah Islam hendak ubah sekolah sekular pada Islam.Bagaikan pokok rambutan hendak ditukar jadi durian Mustahil.

Bila jemaah Islam tidak membangunkan system Islam, ertinya mereka tidak memberi kerja pada orang-orangnya, selain mengharapkan undi.Lalu tidak peliklah kalau ramai orang tidak percaya dengan jemaah Islam, tentang kemampuannya untuk memberi keadilan dan keamanan serta keharmonian pada masyarakat.

4. Jadikan jemaah Islam sebagai jemaah dakwah, supaya usaha-usaha menyampaikan ajaran Islam tidak terbatas di musim pilihanraya sahaja. Berdakwah bererti memberi pandangan, nasihat, tunjuk ajar, teguran dan didikan untuk melaksanakan Islam. Berdakwah bukan mesti bercakap sahaja, tetapi dipelbagaikan dengan surat-menyurat, telefon, ziarah ke rumah, melalui kaset dan video, melalui buku, sajak, syair, nasyid, akhbar, majalah dan lain-lain.

Didiklah umat sama ada yang sudah beragama Islam atau yang belum Islam untuk cinta Islam dan mengamalkan ajaran Islam itu. Jangan diulang lagi perbuatan menarik orang kafir kepada negara Islam, sedangkan dia tetap kafir.

Alangkah kejamnya perbuatan tersebut dan sangat bertentangan dengan Islam. Rasulullah berjuang mengIslamkan orang bukan mengIslamkan negara. Tapi kita, biarlah orang masuk neraka asalkan aku dapat kuasai negara!


5. Saya ulangi lagi bahawa kalau tidak boleh buat semua jangan tinggalkan semua. Kuasa memerintah tidakada, sebab itu tidak boleh tegakkan undang-undang jenayah Islam, tapi undang-undang lain masih boleh ditegakkan.Ibadah, muamalah dan munakahat. Jalankan rubu’ ini.

Ajak umat sembahyang banyak dan puasa banyak kemudian korban banyak-banyak (yang ada dua rumah jual satu, rumah sewa wakafkan sebahagiannya) untuk perjuangan Islam. Takkan hendak latih sembahyang, puasa dan berkorban pun nak kuasa negara juga.

Jangan anggap sembahyang, puasa dan berkorban itu kurang dituntut.Bahkan ia fardhu ain yang mana kalau tidak dilaksanakan dengan sengaja boleh membawa kafir. Dulu kafirkan orang kerana tidak buat Negara Islam, kenapa tidak kafirkan orang-orang yang tidak kisah dengan fardhu ain itu ?

Seterusnya menegakkan ekonomi Islam di tempat-tempat kediaman kita, itu pun fardhu kifayah.Hendak buka kedai dan kilang makanan atau lain-lain projek ekonomi, tidak payah tunggu kuasa.Bahkan kerajaan menggalakkan rakyat berdikari. Kenapa tidak bangunkannya, untuk elak dari sistem ekonomi riba yang kita masih terlibat ?


6. Hentikan sikap-sikap yang boleh merugikan jemaah Islam:

1. Suka membesar-besarkan perkara yang kecil dan meremeh-remehkan hal yang besar. Ini terjadi apabila kita tidak setuju dengan sesuatu perkara, maka yang besar pun jadi kecil, tapi apa yang kita setuju, yang kecil pun jadi besar.Orang begini ialah orang yang tidak ada prinsip tertentu, kalau ada maka penyakitnya ialah tidak kuat dan dia tidak tegas melaksanakan prinsip.

Orang yang ada prinsip, perkara yang hak, walau apa orang kata sekalipun, macamana sekalipun, tetap dibesarkan dan dipertahankan. Sebaliknya perkara yang batil, walaupun orang semua setuju dan bagaimana gagah sekalipun tetap dikecil-kecilkan dan ditentang.

Tapi pejuang Islam hari ini bukan hak dan batil timbangannya.Tapi ikut suasana. Misalnya ketika Arafat berjaya, sokonglah perjuangan Arafat Tapi kemudian bila Ghadafi tertonjol, tarik balik sokongan pada Arafat, sokong perjuangan Ghadafi pula. Akhimya bila Ghadafi ditelan zaman, berhentilah meniru cara dan roh perjuangan Ghadafi. Tiba-tiba datang Khomeini dengan revolusi di Iran.Sokong cara Khomeini pula, terima Syiah pula.

Walhal sebelum itu tuduh orang-orang yang baca doa menyebut Sayidina Ali, Siti Fatimah, Sayidina Hussin dan Sayidina Hassan, sebagai berbau Syiah dan karut.Tapi bila Syiah menang, mereka pun peluk Syiah, tidak timbul karut lagi.Rupa-rupanya Iran tidak sampai ke mana juga.Sejuk di tengah jalan, maka sejuklah juga pejuang Islam.Begitulah halnya pejuang-pejuang Islam hari ini.Patutlah tidak berjaya, sebab tidak ada hala yang khusus untuk dituju.

2. Sikap suka memandang hina dan mengutuk serta menuduh-nuduh sesama Islam bahkan sesama jemaah Islam.Sikap ini sebenarnya merugikan kita sendiri, sebab masyarakat akan nampak akhlak kita buruk, suka menghina orang lain.Orang akan lebih simpati pada jemaah yang kita tuduh tadi.Apa baiknya kita mengata-ngata orang ?

Allah benci, manusia pun tidak, suka. Orang akan kata, mereka pun tidak ikut Islam betul-betul, macamana suruh orang lain buat ?

Kalau begitu, tukarlah sikap dan cara berjuang supaya kita benar-benar mewakili Allah (Hezbullah). Berjuang ikut cara dan kata Allah, bukan cara dan kata kita. Itulah di antara langkah-langkah praktikal yang mesti dilaksanakan oleh pejuang Islam demi memperjuangkan Islam di akhir zaman ini.

Sekiranya kita laksanakan dengan baik, nanti kita lihat satu perubahan besar berlaku dalam masyarakat. Dan itulah tanda-tanda bahawa negara ini dan dunia ini akan jadi negara Islam dan dunia Islam. Insya-Allah.

dr buku kenapa salahkan musuh
Allahyarham Ust. hj Ashaari Muhammad

Tiada ulasan:

Catat Ulasan