Tapi hari ini,
perjuangan Islam tidak dimulakan dengan memperjuangkan iman. Kalau ada pun, iman yang diperjuangkan ialah taraf iman ilmu yang mana dengan iman itu manusia belum mampu untuk melawan hawa nafsu hingga masih melakukan banyak maksiat dan dosa yang terlepas dari undang-undang atau kawalan polis.
Padahal iman yang selamat yakni yang boleh menyelamatkan manusia dari melakukan dosa dan daripada api Neraka ialah peringkat iman Ayan, yakni iman orang soleh yang dimiliki oleh umum para salafussoleh. Tapi hari ini orang yang memiliki iman ayan ini boleh dibilang dengan jari.
Kerana iman ini tidak diperjuangkan oleh para pejuang dan pengikut perjuangan Islam. Para pejuang Islam tidak memberi tumpuan kepada iman sebagai teras tertegaknya hukum-hakam ALLAH.
Mereka cuma perjuangkan peraturan dan hukum-hakam saja.Lantaran itu, jadilah teknik perjuangan mereka itu sama seperti apa yang dilakukan oleh
pejuang-pejuang ideologi, yang antara sifat-sifatnya ialah:
1. Undang-undang atau peraturan hidup yang mereka mahu tegakkan dalam masyarakat, bukan berteraskan iman dan keyakinan pada Hari Akhirat yakni bukan kerana taat dan patuh pada ALLAH.
Mereka menganjurkannya atas dasar semangat ideologi itu semata-mata yakni semangat untuk membaiki masyarakat yang mana semangat ini kekuatannya macam panas-panas tahi ayam saja. Bila ada ujian besar atau permintaan pengorbanan yang tinggi, semangat akan jadi tawar dan mereka tidak akan bertanggungjawab lagi atas tugas perjuangan itu.
Ini terbukti dalam negara-negara berteraskan ideologi itu.Di negara komunis misalnya, pemimpin-pemimpinnya didapati menipu rakyat dengan mengatakan mereka juga hidup susah. Walhal mereka kaya-kaya belaka. Sebab semangat ideologi tidak mampu menjaga dan mengawal penganut-penganutnya dalam semua keadaan dan masa. Mereka sendiri yang melanggar ideologi yang mereka perjuangkan itu.
2. Dalam mengajak orang ramai atau rakyat jelata melakukan sesuatu atau mengajak mereka meninggalkan satu perkara yang tidak disukai adalah atas dasar mematuhi undang-undang dan akta, bukannya atas dasar cintakan ALLAH atau takutkan ALLAH
seperti disebut di atas tadi.
Semangat tidak cukup kuat untuk menghadapi ujian dan untuk dorongan berkorban. Maka kerana itu kemahuan untuk patuh pada peraturan tidak kekal.Yang akibatnya undang-undang ditinggalkan orang.
Saya pernah berdialog dengan seorang pejuang fanatik sosialis.
Antara yang saya tanyakan padanya ialah,
“Apakah jaminan saudara bahawa orang-orang sosialis sanggup untuk mematuhi undang-undang atau peraturan sosialis dalam semua keadaan, tempat dan masa ?
Misalnya di waktu berhadapan dengan sogokan wang yang banyak,
apa yang mungkin menghalang dia dari mengambil saja wang itu?
Kalau tiada jaminan yang konkrit saya terpaksa mengatakan, bahawa orang-orang sosialis
juga akan melakukan rasuah sama seperti apa yang sedang dibuat oleh penganut-penganut ideologi yang lain itu.
Mereka itu bukan membenarkan rasuah tapi tidak mampu mengawal diri dari keinginan untuk mengambil wang
Maka kalau sosialis juga demikian, saya yakin sosialis juga tidak mampu menyelesaikan masalah masyarakat ini.Bukan kerana undang-undangnya tidak bagus tapi pengawal undang-undang itu tidak betul-betul mencapai matlamatnya.”
3. Untuk menyekat orang ramai dari melakukan kejahatan atau mengawal mereka agar tidak melakukannya, pejuang ideologi menakutkan rakyat dengan hukuman-hukuman penjara atau denda atau bunuh.
Yang mana sekiranya rakyat itu rasa dia boleh lepas dari hukuman-hukuman itu, maka beranilah ia melakukan kejahatan itu. Hal ini banyak berlaku sekarang hinggakan kejahatan bukannya berkurangan tapi kian menjadi-jadi. Kerana ketakutan pada penjara atau denda atau hukum bunuh.tidak mutlak, yakni masih ada ruang untuk manusia merasa lepas dan selamat.
4. Oleh kerana dasar mereka mahu mencorakkan masyarakat bukan dengan iman tapi dengan semangat dan ugutan, maka tentunya mereka memerlukan kuasa politik. Sebab itu pejuang ideologi mewajibkan urusan mendapat kuasa memerintah Negara sebagai syarat untuk tertegaknya undang-undang ideologi mereka itu.
Yang mana kiranya tidak dapat negara, mustahillah untuk mereka menegakkan cara hidup ideologi mereka itu. Sampai mati pun, kalau tidak dapat negara, tidak merasalah untuk menjalankan teori yang mereka perjuangkan itu.
5. Satu kesilapan besar yang dibuat oleh pejuang-pejuang ideologi ialah, dalam
memperjuangkan kebenaran yang dilaung-laungkan,
mereka mengabaikan kebenaran yang selainnya.
Katalah mereka melaungkan keadilan sebagai tema perjuangan. Maka dalam pergelutan menegakkan keadilan di satu sudut itu, mereka membenarkan penipuan, pembohongan, penindasan, penzaliman, beli pengaruh, fitnah dan mengata-ngata.
Ini boleh kita saksikan dalam masyarakat mereka, masing-masing cuba menjatuhkan lawan dengan segala macam tipu muslihat dan akhlak liar. Jadi di mana lojiknya yang mereka ini kumpulan yang cinta kebenaran dan sangat mempertahankannya. Walhal realitinya mereka sendiri menganjur dan melaksanakan kejahatan.
6. Walaupun kononnya ideologi mereka bersifat universal, tidak terbatas pada sempadan geografi, bahasa dan bangsa tetapi
realitinya perjuangan ideologi banyak terikat dengan suasana negara di mana ia diperjuangkan.
Hingga tumbuhlah perasaan fanatic kebangsaan di kalangan rakyat.Yang hasilnya kita lihat negara komunis bergaduh dengan Negara komunis yang lain. Negara sosialis bergaduh dengan negara sosialis, dan begitu juga negara kapitalis bergaduh sesamanya.
7. Hasil perjuangan ideologi, kita dapat saksikan dalam negara-negara mereka keadaan masyarakat yang tidak pernah aman damai, rakyatnya berakhlak buruk dan krisis tidak pernah selesai bahkan bertambah kusut.
Demikianlah halnya bila melakukan kebaikan atau meninggalkan kejahatan didorong bukan dengan iman yakni bukan dengan rasa taat dan patuh pada ALLAH.Ia tidak dapat menjadi akhlak individu masyarakat. Ia seolah-olah terpaksa. Maka dalam keadaan yang tidak terpaksa, orang akan mengabaikannya.Lalu terjadilah halnya, orang yang sama kelihatan baik di satu tempat tapi tidak di tempat yang lain.Ertinya kejahatan tetap berlaku dalam masyarakat. Undang-undang tidak boleh berjalan.
Hal ini tidak berlaku kalau kebaikan dilakukan dan kejahatan ditinggalkan dengan kekuatan iman, atas dasar cinta atau takut pada ALLAH.
Sebab, bila orang berbuat sesuatu kerana ALLAH yang diyakini sentiasa mengetahui hal dirinya di mana saja dan bila-bila masa, maka dia dapat disiplinkan dirinya dengan segala peraturan yang baik dan meninggalkan yang jahat.
Mari kita buat satu contoh bagaimana iman dapat, mengawal manusia di semua tempat, dalam semua keadaan serta di setiap masa. Kejadian ini berlaku di zaman pemerintahan Sayidina Umar Al Khattab. Satu hari Amirul Mukminin mendatangi seorang budak
pengembala kambing dengan maksud mahu melihat keimanan rakyatnya.Baginda pun berkata kepada budak tersebut:
“Jualkan kepadaku seekor dari kambing-kambing ini.”
Budak itu menjawab:
“Ini bukan kambing saya.Saya cuma pengembala.Kambing ini kepunyaan tuan saya.”
Berkata pula Sayidina Umar:
‘Tapi tuan kamu tidak ada disini.Dia tidak tahu kalau kamu menjualnya seekor. Nanti katakan padanya kambing itu dimakan serigala.”
Dengan pantas budak itu menjawab:
“Sekalipun tuan saya tidak nampak tapi ALLAH nampak.
Beredarlah Sayidina Umar dari situ dengan rasa bangga kerana rakyatnya sekalipun seorang pengembala begitu kental sekali keyakinan pada ALLAH.Yakinlah Sayidina Umar bahawa undang-undang ALLAH dapat berjalan dengan licin dalam pemerintahannya.Budak itu tidak mahu menjual kambingnya bukan kerana takut pada undang-undang yang ada dalam pentadbiran tapi kerana takut pada ALLAH.
Mereka tidak buat sebarang kejahatan bukan takutkan hukuman tapi takutkan ALLAH.
Sekalipun peluang untuk berbuat jahat itu terbuka luas, dalam keadaan yang tersembunyi, tiada manusia yang tahu dan tentunya akan selamat dari hukuman manusia di dunia, namun mereka tetap tidak melakukannya kerana taat dan patuh pada hukuman ALLAH.
Tapi jika tidak beriman atau iman lemah, manusia akan mencuri kalau terdesak atau kalau dirasakannya selamat. Manusia akan berzina kalau peluang terbuka luas dan selamat dari pengetahuan manusia yang lain.Demikian seterusnya.
Hari ini umat Islam Kalau adapun yang benar-benar beriman, boleh dibilang dengan jari.Yang ramainya bukan kerana takut ALLAH tapi takut dengan bos, takut miskin, takut penjara,atau takut macam-macam lagi.
Samalah dengan rakyat di negara-negara yang memperjuangkan ideologi.lagi cuba lihat contoh ini di Arab Saudi dan Pakistan yang disebut-sebut negara Islam.Bahkan dalam jemaah-jemaah Islam atau negeri-negeri Islam lainnya. Suasananya sama saja dengan negara yang memperjuangkan ideologi.
Sebabnya mereka itu memperjuangkan Islam seperti pengikut ideology memperjuangkan ideologi mereka.Kita sorot kembali tujuh perkara yang saya senaraikan di atas tentang ciri-ciri perjuangan ideologi.
Perkara-perkara itulah yang ditiru oleh pejuang-pejuang Islam.Bahkan hari ini ada pejuang Islam yang bukan saja tidak sebut iman bahkan Islam pun tidak hendak dilabelkan atas peraturan Islam yang diminta rakyat laksanakan itu.Betul-betul atas dasar semangat kebangsaan atau fanatik keagamaan dan ugutan-ugutan serta hukuman-hukuman.
Lalu mereka melihat,untuk kejayaan program itu kenalah dapat kuasa memerintah negara.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan