Bismillahir Rahmanir Rahim
Mari kita baca satu ayat yang menerangkan bagaimana kita boleh mendapat taqwa dari Allah SWT.
Firman Allah SWT:
'' Ya ayyuhallazi naamanuttaqullaha wabtaghu ilaihil wasilata wajahidu fisabilihi la'allakum tuflihun."
Maksudnya:
"Wahai orang mukmin, hendaklah kamu bertaqwa kepada Allah, hendaklah kamu mencari wasilah atau jalan untuk sampai bertaqwa pada Tuhan dan hendaklah kamu berjuang pada jalannya,moga-moga kamu mendapat kemenangan [di dunia dan di Akhirat]."
( Al Maidah:35)
Taqwa itu penting. Kita telah huraikan sebelum ini bahawa ia merupakan aset umat Islam dunia dan Akhirat. Untuk mendapatkannya seperti dalam ayat yang di atas ada dua jalan:
1.Wasilah iatu perantaraan yang sampai kepada Tuhan termasuk jalan-jalan supaya kita dipelihara Tuhan.
2.Jihad [berjuang] pada jalan Allah.
JALAN WASILAH
Apa maksud wasilah?
Wasilah di sini ada dua pengertian iaitu:
a) Membuat kerja-kerja kebaikan, kebajikan dan amal-amal soleh yang berbentuk hablumminallah dan hablumminannas. Kita akan sampai dipelihara Tuhan nanti. Kita akan sampai kepada Tuhan. Ertinya Tuhan terima, Tuhan redha lalu Tuhan akan jamin keselamatan kita dunia dan Akhirat.
b) Pengertian yang lebih utama dari pengertian di atas ialah kita perlu cari guru/ mursyid untuk memimpin kita kepada Tuhan. Wasilah di sini maksudnya guru/mursyid yang memimpin dan mendidik. Jadi, cari wasilah dengan maksud kedua ialah kena cari guru yang memimpin kita kepada Tuhan supaya sifat taqwa itu dapat kita miliki atau dengan kata-kata lain, kita dapat perlindungan dari Tuhan.
Kalau kita tidak ada guru atau mursyid yang membawa dan memimpin kita maka kita tidak akan 'sampai' kepada Tuhan. Walau seorang itu alim atau kuat beribadah macam mana pun tetapi kalau tidak ada pemimpin/mursyid,
insyaAllah dalam bab agama, syaitanlah yang akan memimpinnya.
Sebab itu Sayidina Ali ada berkata,
" Barangsiapa yang tidak ada syeikh atau guru maka syaitanlah yang akan menjadi gurunya."
Bila kita baca sejarah silam, ramai ahli abid yang sudah zuhud, yang sudah menghabiskan masa dengan beribadah, yang sudah terputus dengan hal-hal dunia hingga kagum kita dengar tetapi ramai disesatkan syaitan.
Dalam Quran diceritakan kisah Bal'am, Barsisa dan lain-lain lagi yang disesatkan syaitan sebab mereka tidak ada guru.
Begitu hebat ibadah mereka sampai tinggal dunia tetapi rupanya dalam bab agama, syaitan menjadi guru atau mursyid mereka.
Kalau di zaman rasul, Rasulullah guru mursyid. Di zaman khalifah maka khalifahlah guru mursyid. Bila ada mujadid maka mujadidlah guru mursyid. Waktu ada mujadid maka ulama patut juga bergurukan mujadid. Kalau mereka bersendiri dan tidak mahu mencari mujadid sebagai mursyid, mereka akan tersesat, sekalipun mereka pakar tafsir, pakar feqah, pakar tasawuf atau pakar usuluddin. Berdasarkan ayat tadi maka wajib kita mencari mursyid.
Maka fahamlah kita bahawa makna wasilah itu ada dua:
1.Wasilah itu adalah amalan-amalan yang boleh mendekatkan kita kepada Tuhan.Iaitu ibadah berbentuk hablumminallah dan hablumminannas.
Banyak ibadah yang kita buat yang boleh mendatangkan kasih sayang dan belas kasihan Tuhan. Melalui ibadah-ibadah tersebut, Tuhan bantu kita dan Tuhan campurtangan dan permudahkan urusan kita. Tuhan jauhkan bala bencana dari kita. Tuhan ampunkan dosa kita.
Disamping ibadah asas, ibadah-ibadah ini termasuklah bertaubat, menebus dosa [istighfar/sedekah], sembahyang malam, bersedekah, berkasih sayang, bermaaf-maafan,sembahyang hajat dan sebagainya.
2.Wasilah itu juga adalah guru mursyid yang boleh memimpin kita kepada Tuhan, yang boleh membawa kita kepada Tuhan, yang boleh mendekatkan diri kita kepada Tuhan. Termasuklah di sini tarekat dan amalan tarekat kerana ia adalah platform untuk mursyid memimpin dan mendidik kita di samping ia adalah saluran barakah.
Tarekat itu termasuk wasilah.
Rugilah orang yang tidak ada atau belum ada tarekat.Ada Hadis yang mengatakan:
Maksudnya:
"Hendaklah kamu bersama Tuhan, kalau tidak boleh, maka hendaklah kamu bersama orang yang boleh bersama Tuhan (yang boleh memimpin kita kepada Tuhan)."
Wasilah melalui perhubungan atau perantaraan orang-orang Tuhan dikatakan juga tawasul. Kita rujuk kepada doa yang kita baca selepas azan yang berbunyi:
"Aati sayyidana Muhammadi nil wasilata."
Maksudnya:
"Wahai Tuhan, Engkau jadikanlah Nabi Muhammad itu wasilah bagi kami."
Maksud doa ini ialah kita minta kepada Allah SWT supaya nabi Muhammad itu menjadi wasilah atau perantaraan kita sebab belum tentu Rasulullah mahu menjadi wasilah bagi kita. Walaupun Rasulullah itu memang berperanan sebagai wasilah (penghubung atau perantaraan) kita dengan Tuhan tetapi belum tentu dia mahu menjadi penghubung untuk semua orang.
Ada orang yang beliau tolak dan tidak mahu menjadi penghubung baginya. Rasulullah SAW hanya mahu menjadi wasilah bagi orang-orang soleh. Ini yang kita takutkan. Oleh itu kita berdoa secara khusus agar Allah SWT menjadikan Rasulullah itu wasilah bagi kita.
Wasilah itu pula ada wasilah lahir dan ada wasilah batin. Contoh wasilah lahir, Rasulullah mendapat wahyu dari Allah dan disampaikan wahyu itu kepada kita. Rasulullah juga belajar dengan Allah bagaimana hendak berakhlak dan bagaimana hendak hidup secara Islam. Kita pun melihat dan kita tiru dia. Kita jadikan dia sebagai contoh. Maknanya ketika itu dia menjadi wasilah lahir kita. Dia jadi perantaraan atau orang tengah.
Wasilah batin pula adalah wasilah yang bersifat rohaniah, Rasululah itu perlu kita kaitkan dalam semua ibadah dan doa kita. Contohnya, dalam dua kalimah syahadah, ada syahadah Allah dan ada syahadah Rasul. Kalau tidak ada syahadah Rasul, maka syahadah kita tidak sah.
Dalam berdoa, kita disuruh bermula dengan selawat dan disudahi dengan selawat kedua. Rasulullah itu boleh membantu dan menolong kita secara rohaniah walaupun Baginda sudah wafat namun rohnya adalah muqaddasah (suci) dan mutasarrif (boleh berperanan).
Disamping Rasulullah SAW, pemimpin yang berwatak rasul atau mujaddid di setiap zaman itu adalah juga sebagai wasilah. Mereka boleh menolong kita secara rohaniah terutama dalam hal-hal membaiki diri dan mengusahakan taqwa.
Itulah maksud wasilah. Mencari wasilah itu untuk tujuan menjaga dan memelihara diri kita, untuk keselamatan kita di dunia dan Akhirat.
Wasilah itu adalah jalan kepada Tuhan.
Wajahidu Fisabilillah - BERJIHADLAH...
Bismillahir Rahmanir Rahim
Firman Allah SWT:
'' Ya ayyuhallazi naamanuttaqullaha wabtaghu ilaihil wasilata wajahidu fisabilihi la'allakum tuflihun."
Maksudnya:
"Wahai orang mukmin, hendaklah kamu bertaqwa kepada Allah, hendaklah kamu mencari wasilah atau jalan untuk sampai bertaqwa pada Tuhan dan hendaklah kamu berjihad/berjuang pada jalannya,moga-moga kamu mendapat kemenangan [di dunia dan di Akhirat]."
( Al Maidah:35)
Tidak ada jihad, tidak boleh pergi. Jadi kalau ditafsirkan ayat tadi, tidak boleh kita pisahkan antara jihad dan wasilah itu sendiri. Hendak laksanakan wasilah kita tidak akan mampu kalau tidak ada jihad. Sama ada jihad melawan hawa nafsu atau jihad melawan musuh-musuh luar yang agak mengganggu.
Yang paling mengganggu adalah nafsu. Walaupun ada wasilah guru penunjuk jalan dan ada wasilah membuat amalan-amalan soleh yang juga adalah hasil dari tunjuk ajar guru tetapi untuk berjaya,ia terpulang pada diri kita sendiri.
Pemimpin sudah tunjuk jalan.
Kejayaannya ditentukan oleh sejauh mana kita boleh berjihad dan bermujahadah.
Kalau boleh bermujahadah, boleh berjihad dengan baik sama ada mengenai musuh-musuh luar lebih-lebih lagi terhadap musuh-musuh batin, di mana jihad itu menggunakan wasilah, barulah boleh 'sampai' kepada Tuhan.
Jadi tidak boleh dipisahkan antara jihad dan wasilah.
Jihad itu sendiri adalah kerana hendak melakukan dua perkara tersebut iaitu hendak menfaatkan wasilah dan hasil dari tunjuk ajar guru supaya dia dapat mujahadah.
Hendak mujahadah itu banyak gangguannya.
Sebab itu Tuhan senaraikan wasilah, selepas itu jihad. Wajahidu fisabilihi. Jadi kalau wasilah itu kita faham dan kita hayati, untuk menjayakannya menggunakan jihad atau mujahadah iaitu mujahadah ke luar dan ke dalam dengan ilmu, dengan faham, dengan pimpinan dan dengan mujahadah maka apa kata Tuhan: " la'allakum tuflihun" moga-moga kamu mendapat kemenangan dunia dan Akhirat.
Itupun Tuhan baru kata 'moga-moga', masih tidak confirm. Padahal Tuhan sudah tunjukkan jalan. Kita pun sudah faham jalan tetapi Tuhan kata 'moga-moga sahaja engkau mendapat kemenangan'. Ertinya di situ ada rahsia. Mungkin dihujung-hujung ada kebimbangan.
Sebab syaitan akan buru kita sampai mati. Takut-takut di hujung di waktu sakaratul maut, kita terkandas. Sebab itu Tuhan berkata, 'moga-moga sahaja engkau mendapat kemenangan'. Tuhan masih tidak menetapkan kerana syaitan tunggu. Walaupun di perjalanan, syaitan tidak berjaya menipu tetapi dia tunggu di hujung.
Begitu berdendamnya syaitan!
Kalau waktu nazak dia dapat menipu, kita sudah tidak sempat bertaubat lagi. Kalau dalam perjalanan, masih ada peluang. Kalau kita fikirkan ini, cemasnya menghadapi kematian. Bukan soal azabnya tetapi takut-takut kita kandas last minute. Sebab itu kalau orang fikir mati, hilang selera untuk buat maksiat.
Jadi taqwa itu penting iaitu semua sifat-sifat mahmudah yang dikehendaki perlu dimiliki. Rupanya hendak memiliki sifat taqwa bukan hanya sifat takut sahaja.Ia tidak cukup. Hendak memiliki sifat taqwa yang di dalamnya ada berbagai-bagai sifat mahmudah mesti ada wasilah.
Wasilah ada dua iaitu
pemimpin dan amalan kita yang berbentuk hablumminallah dan hablumminannas.
Untuk menjayakan wasilah, perlu kepada jihad iaitu mujahadah terhadap musuh luar tetapi yang utama mujahadah terhadap musuh dalam iaitu nafsu dan syaitan yang sangat bahaya , lebih bahaya daripada musuh-musuh luar.
Jadi kalau kita faham erti taqwa, ada ilmunya, dihayati, ada guru yang memimpin dan mendidik kita serta kita gunakan tenaga jihad melalui mujahadah kita, insyaAllah, kita akan dapat kemenangan dunia dan Akhirat.
Allaryaham Ust. Ashaari Muhammad
Tiada ulasan:
Catat Ulasan