Sabtu, 30 April 2011

Bagaimana Solat Boleh Membina Kekuatan (Sifat Berani)



Bismillahir Rahmanir Rahim

Dalam solat, ada ubat atau pil untuk menjadikan orang penakut itu berani. Malahan sebelum mengangkat takbir solat pun, sudah dirasakan betapa hebantnya kekuasaan Tuhan dan betapa lemahnya makhluk ini.Datang kesedaran bahawa makhluk tidak ada kuasa langsung. Malaikat, jin, harimau dan manusia lain semuanya setaraf, setitik pun tidak ada kuasa dan kekuatan. Cuma kalau ada perbezaan antara satu sama lain adalah kerana Tuhan bagi sedikit kelebihan kepada dia. Tuhan bagi kelebihan tidak sama kepada setiap makhluk.

Yang kuat dan berkuasa itu Tuhan, bukan makhluk. Bukan malaikat, bukan jin, bukan manusia dan bukan harimau. Yang patut dan layak ditakuti ialah Tuhan. Bila Tuhan sebenar-benarnya ditakuti, maka akan lenyaplah takut dan akan timbullah rasa berani terhadap sesama makhluk.

Ini termasuk juga takut kepada miskin, sakit, hilang pangkat dan jawatan, hilang pengaruh, mati dan sebagainya. Kalau kita sedar semua itu adalah dari Tuhan, maka takut itu akan berpindah dari perkara-perkara tersebut kepada Tuhan.

Begitu juga takut kepada bencana alam seperti banjir besar, gunung berapi, gempa bumi dan wabak penyakit. Tuhan kata jadi maka jadilah. Tuhan kata tidak maka tidaklah.Akan datang rasa takut kepada Tuhan lebih takut dari bencana alam itu.Takut pada Tuhan itu adalah takut yang hak dan mesti dikekalkan. Takut pada makhluk adalah takut yang batil. Ia mesti dibuang.


Robeklah Hatiku Dengan Takutkan-Mu

Tuhan! Robek-robeklah hatiku ini dengan takutkan-Mu
Pecah-pecahkanlah hatiku dengan kehebatan-Mu
Hancur luluhkanlah hatiku dengan Jabbar dan Qahhar-Mu
Hiris-hirislah hatiku dengan Rahim dan Rahman-Mu
Kecut dan reput-reputkanlah hatiku dengan Qudrah dan Iradah-Mu

Agar jangan manusia dan kuasanya merobek-robek hatiku
Supaya kebesaran manusia tidak pecah-pecahkan hatiku
Jangan sampai zalim dan kezaliman manusia menghiris-hiris hatiku

Aku berlindung dengan-Mu daripada makhluk yang merosakkan hatiku
Juga aku berlindung dengan-Mu jangan sampai dunia dan nikmatnya merosak hatiku
Tuhan, selamatkanlah hatiku daripada dirosakkan oleh pujian
Peliharalah hatiku daripada nikmat dunia dan keindahannya

Tuhan apalah ertinya aku cintakan Syurga-Mu padahal hatiku tidak mencintai-Mu
Apalah ertinya aku takutkan Neraka-Mu sedangkan hatiku tidak takut dengan-Mu
Tuhan! Hidayah-Mu yang aku pinta
Taufiq-Mu yang aku mahu
Selamatkanlah aku Tuhan!
Peliharalah aku

Pimpinlah aku ke jalan keselamatan
Engkau adalah Tuhanku, pelindungku

Selepas ekspedisi
3.9.99
Allahyarham Ust. Ashaari.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan