Sabtu, 15 Januari 2011
Berlindung daripada Ilmu yang Tidak Diamalkan
Ya Allah! Aku berlindung dengan-Mu daripada ilmu
yang tidak diamalkan
Aku berlindung dengan-Mu daripada ilmu untuk kemegahan
Tuhan, ilmu itu adalah cahaya penyuluh kehidupan
Jangan pula kehidupan orang tersuluh, kehidupanku kegelapan
Tuhan aku memohon kepada-Mu
janganlah ilmu itu menjadi beban
Di Akhirat kelak menjadi hujah dan saksi
mengapa aku tidak amalkan
Ya Allah, aku memohon kepada-Mu bertambah ilmu,
bertambah amalku
Jangan sampai usahaku orang lain selamat, aku tidak
Biarlah usahaku ini selamat menyelamatkan
Ya Allah, aku berlindung dengan-Mu
daripada ilmu untuk mujadalah
Bukan membantuku untuk beribadah dan bertaqwa
Tuhan aku berlindung dengan-Mu
jangan sampai ilmuku melaknatku semula
Kerana bermegah-megah dan tidak mengamalkan
Jadikanlah aku bertambah ilmu, bertambah dekat dengan Tuhan
Bertambah ilmu, bertambah ibadah dan amalan
Tuhan! Jadikanlah ilmuku mensyafaatkan aku di Akhirat kelak
Bukan melaknatku
Ya Allah! Jadikanlah ilmuku boleh memimpin diri
dan orang lain
Boleh menyuluh kehidupanku dan kehidupan orang
Mampu menyuluh hatiku dan menyuluh hati orang
Seterusnya jadikanlah ilmu ini
sentiasa memberi manfaat dan syafaat
Selepas Isyak
03 – 09 – 1999
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan