Khamis, 4 November 2010

NILAI TAQWA YANG SEBENAR

Taqwa terlalu mahal harganya. Ia aset bagi orang mukmin dunia dan Akhirat. Kalau umat Islam tahu akan nilai sebenar taqwa, mereka akan bergolok-bergadai untuk memperolehinya. Tetapi oleh kerana mereka tidak tahu, mereka menganggap taqwa itu tidak ada nilai apa-apa dan tidak berharga. Mereka tidak sanggup berusaha untuk mendapatkannya.

Namun kalau kerana duit, harta, kuasa, nama, glamour dan perempuan, Mereka sanggup bersusah payah dan berkorban apa sahaja.Kalau kita setakat hendak menjadi Islam, itu mudah. Setakat hendak digelar sebagai orang Islam, itu senang. Hanya dengan mengucap dua kalimah syahadah, kita sudah Islam. Kalau sudah bersyahadah, orang tidak boleh kata seseorang itu kafir. Kalau orang itu mati, ditanam di kubur orang Islam. Tetapi setakat Islam sahaja tidak memadai. Ia belum selamat dan menyelamatkan. Kalau kita baca Quran dan Hadis, tidak ada satu ayat un yang mengatakan bahawa orang Islam itu selamat. Allah dan Rasul tidak pernah menjanjikan apa-apa kepada orang yang hanya semata-mata Islam.

Taqwa adalah keselamatan bagi orang mukmin di dunia dan Akhirat. Kita kena bersungguh-sungguh mendapatkannya. Kita kena berhempas pulas. Kalau boleh guna duit untuk mendapatkan taqwa, gunalah duit. Kalau boleh guna tenaga, gunakanlah tenaga. Kalau boleh guna fikiran, gunalah fikiran. Kalau boleh guna ilmu, gunalah ilmu. Kalau perlu berkorban dan bersusah payah, kenalah berkorban dan bersusah payah. Kerana taqwa itu terlalu mahal dan sangat berharga.

Kalau kita sanggup berkorban dan bersusah payah untuk mendapat dunia, kekayaan, jawatan yang tinggi dan gaji yang besar, kenapa kita tidak sanggup berkorban dan bersusah payah untuk mendapat taqwa ?

Kalau kita sanggup mati, sanggup sakit,sanggup menempuh segala macam halangan, sanggup tinggal-kan anak isteri, sanggup bertungkus-lumus mencari ilmu hingga sampai ke Eropah, England dan Mesir yang nilainya separas bumi, kenapa kita tidak sanggup bersusah payah untuk mendapatkan taqwa yang nilainya setinggi langit malahan lebih tinggi dari itu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan