Sabtu, 20 November 2010
BILA IMAN LEMAH
Akal manusia dan fikirannya boleh menjelajah dunia sehingga tidak ada pelosok dunia yang otaknya tidak menjejaki dan menjelajahinya. Kaki otaknya begitu panjang sekali, tidak ada ruangan-ruangan dunia ini yang tidak dipijak manusia. Kerana itu berbagai-bagai ilmu, bermacam-macam maklumat, berbagai-bagai pengalaman yang manusia perolehi.
Manusia boleh tahu di atas gunung, di dalamnya, di bawah bumi, apatah lagi di dasarnya, di lautan dan di dasarnya. Habis semuanya dijelajahi. Padang pasir, gurun, di perut bumi, sungai kecil dan besar, otaknya selongkari hingga terdedah dan terbongkar semuanya.
Otak manusia menerokai empat penjuru dunia, Kutub Utara, Kutub Selatan, Timur dan Barat. Otaknya boleh teroka dan jelajahi hutan belantara. Berbagai-bagai kehidupan dapat diketahui di samping khazanah bumi yang lain. Habis seluruh khazanah dunia ini otak mereka kumpulkan.
Seolah-olah dunia ini kecil sebesar dulang, manusia berada di hadapannya melihat seluruh isinya. Tidak ada apa yang tidak dapat dilihat dan pastikan. Semuanya dapat manusia perhatikan dan mengetahui rahsia-rahsianya.
Sungguh hebat otak manusia, boleh mengembara ke seluruh dunia, menjelajahi seluruh pelosoknya, menjejaki bukit dan lurahnya. Apatah lagi kalau kaki manusia boleh membawa mengembara sama otaknya ke seluruh dunia. Maka otak bertambah rata lagi.
Mengembara di pelosok dunia, melihat dari dekat, dapat mengesan lebih dalam lagi rahsia dunia ini, lebih banyak lagi rahsia bumi dan alam Tuhan ini menjadi maklumatnya.
Begitulah kebolehan otak manusia, ia boleh mengetahui rahsia dunia dan seluruh isinya sebagai maklumat seolah-olah otak manusia macam burung, boleh terbang di seluruh dunia. Atau dunia ini macam sebesar dulang, seluruh apa yang ada di dalam dulang dapat dilihatnya.
Kalau begitulah keadaan otak manusia, otak seolah-olah bebas, merdeka, terlalu jauh perjalanannya, terlalu luas dunia kehidupannya. Begitulah kebolehan otak yang dicipta oleh Allah Taala yang Maha Berkuasa, kebolehannya luar biasa.
Namun begitu, walaupun kemampuan otak manusia bebas, merdeka, gelanggang kehidupannya begitu luas, tapi apabila jiwa manusia itu sempit kerana tidak ada iman atau lemah iman kerana tidak bersama dengan Tuhan, manusia tetap hidup terseksa, sengsara, seolah-olah hidup di dalam jel yang sempit, gelap-gelita pula. Di waktu itu otak tidak boleh buat apa-apa, tidak berfungsi, dia tidak boleh menolong manusia. Dia juga ikut sama hidup di dalam kurungan yang sempit itu. Kakinya ikut terbelenggu, seolah-olah dirinya tidak boleh pergi ke mana-mana. Di waktu itu fikiran buntu oleh penjara itu, ilmu dan maklumat-maklumat tidak berguna lagi di waktu itu.
Apa buktinya?
Banyak sangat buktinya kerana ia sering berlaku di dalam kehidupan ini. Contohnya, apabila datang ujian atau bala bencana, seperti jatuh miskin, dileter oleh isteri, bankrapsi, dibuang kerja, sakit yang berat, patah kaki, kena tangkap, dimasukkan ke dalam jel, dan lain-lain lagi, masya-Allah, jiwanya yang sempit kerana tidak beriman atau lemah iman itu seolah-olah menjerit-jerit cuma tidak didengarinya. Terasa sakit.
Bumi yang luas dirasakan sempit, badan macam kena himpit seolah-olah masuk ke bumi. Fikiran yang selama ini begitu bebas, merdeka, mempunyai maklumat yang luas, telah terbang dan hilang kecerdikannya, tidak boleh membantu. Keadaan berfikir pun tidak menentu. Perasaan jadi tidak normal dan melulu, sesetengah pegangan hilang, keyakinan berubah 90 darjah.
Baru kita faham, kalau akal sahaja kuat dan merdeka sedangkan jiwa lemah dan tidak merdeka, akhirnya akal juga turut lemah hingga tidak berfungsi mengakibatkan segala-galanya berubah. Berubah sikap, berubah watak, berubah tabiat, berubah akhlak, berubah pakaian. Yang tidak berubah hanyalah nama dan warna kulit.
Tapi yang bersifat maknawi dan rohaniah berubah semuanya. Amat terkejut dan mengejutkan, hairan menghairankan, tercengang-cengang orang dibuatnya.
Begitulah apabila jiwa lemah kerana kelemahan iman atau sudah tidak ada iman, jiwa rasa sempit apabila kena ujian atau ditimpa bala. Macam burung duduk di dalam sangkar yang sempit, menggelupur tidak keruan, menyondol sana, menyondol sini hingga tercabut bulu, terkopek kulit kepala.
Sebab itulah Islam menyuruh penganutnya jangan hanya menguatkan akal semata-mata tapi yang penting daripada itu hendaklah sentiasa kuatkan jiwa. Jiwa hendaklah dikuatkan dengan iman dan sifat-sifat taqwa agar apabila diuji, jiwa tidak sempit. Jiwa tidak menderita. Segala keyakinan dan pegangan beragama tidak hilang atau tidak berubah. Fikiran tetap dengan kemerdekaannya kerana jiwa stabil dan normal , tidak terjejas oleh ujian.
Oleh itu jangan kita biarkan jiwa kita terkurung oleh dunia dan masalah. Jangan penjarakan dia di dalam keseksaan nafsu yang memang tidak suka jiwa kita bebas dan merdeka. Jangan biarkan dia diseksa oleh ujian-ujian yang mendatang.
Sepatutnya kita biarkan dia terbang hingga bukan sahaja menjelajahi dunia ini tetapi biarkan dia menjelajahi alam malakut, alam rohaniah yang lebih tinggi lagi atau alam ukhrawiah agar dia bebas sebebas-bebasnya, agar dia merdeka, supaya jangan terasa dia hidup sempit dan terhimpit.
Di samping itu yang lebih penting lagi hendaklah manusia jadikan jiwanya selalu bersama Tuhan. Pergilah dan bawa kemana-mana bersama Tuhan, jangan biarkan dia keseorangan. Kita jadikanlah Tuhan sebagai kawan jiwa kita. Janganlah lepaskan dia daripada berkawan dengan Tuhan.
Firman Allah SWT:
Maksudnya:
“Mereka yang sentiasa mengingati Allah dalam waktu berdiri, berbaring dan di waktu duduk, mereka sentiasa memikirkan tentang kejadian langit dan bumi seraya berkata, “Wahai Tuhan kami, tidak Engkau jadikan semua ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, jauhilah kami dari azab api Neraka.” (Ali Imran: 191)
Di waktu itu masalah kehidupan dunia tidak akan menggugat. Ujian dan bala bencana tidak akan dapat mengurungnya. Nafsu tidak akan dapat memenjarakannya. Di waktu itu jiwa kita tidak akan tergugat, dia tetap bebas dan gagah
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan