Sabtu, 30 April 2011

Bagaimana Solat Boleh Membina Kekuatan (Sifat Sabar)



Bismillahir Rahmanir Rahim

Sabar juga termasuk ciri satu bangsa yang agung. Sifat sabar lebih utama bagi pemimpin. Oleh itu sifat sabar yang tertinggi dihadiahkan Tuhan kepada pemimpin, kepada para Rasul terutamanya yang Ulu 'azmi. Sabar adalah syarat utama bagi seorang pemimpin.

Dalam sembahyang ada ubat dan pil untuk menjadikan seseorang itu penyabar. Sebelum kita mulakan sembahyang pun sudah ada didikan untuk kita bersabar sama ada kita sedar atau tidak, sebab hendak sembahyang bukannya senang, lebih-lebih lagi bagi orang yang belum khusyuk.

Hendak sembahyang pun satu ujian. Bukan senang hendak bangun tidur di waktu pagi untuk sembahyang Subuh. Sebab itu, sesetengah orang dia duduk-duduk dulu. Dia menung dulu. Mengenangkan terpaksa ke bilik air. Kalau tidak sabar, kita tidak akan boleh buat. Kalau tidak sabar kita akan tidur semula. Sebelum sembahyang pun sudah perlu banyak sabar.

Dalam sembahyang lebih-lebih lagi. Bila kita sebut:''Malikiyau middin'' yang bermaksud:''Tuhan yang memerintah di Akhirat'' ia jadi pemangkin untuk kita bersabar. Bersabar melaksanakan segala suruhan Tuhan. Bersabar meninggalkan segala larangan Tuhan kerana takutkan Neraka dan inginkan Syurga-Nya. Biarlah bersusah-susah sedikit. Biarlah sakit sedikit. Biarlah tidak dapat mengikut kehendak nafsu asalkan di Akhirat kita selamat. Dengan itu ia memudahkan kita untuk bersabar.

Samalah dengan orang yang mengejar dunia. Hendak sekolah bukan seronok. Hendak belajar bukan senang.Hendak masuk universiti bukan mudah. Tetapi demi untuk menjadi pandai, supaya dapat kerja dan jawatan tinggi, bersusah payah pun dibuat juga. Orang boleh bersabar menghadapi apa yang dia benci, apa yang dia suka dan apa yang menjemukan, asalkan matlamat dan cita-citanya tercapai.



Sakitnya Mujahadah

Aduh sakitnya mujahadah
Ia meletihkan, menyusahkan dan menjemukan
Tuhan! Kerana Engkau aku lakukan juga walaupun payah
Walaupun meletihkan dan menjemukan aku terus melakukannya
Di dalam susah-susah itu aku teruskan juga
Di dalam menjemukan itu aku paksa juga diriku melakukannya
Aku cuba melawan perasaan jemu itu
Aku yakin dengan rahmat-Mu suatu hari nanti Engkau bantu menjayakannya
Engkau sebenarnya hendak melihat aku bersungguh-sungguh mujahadah atau tidak
Serius melakukannya atau sebaliknya
Engkau sebenarnya hendak menguji aku
Setelah ada kesungguhan tanpa jemu Engkau akan bantu
Bersungguh-sungguh bermujahadah tanpa jemu Engkau berjanji akan tunjuk jalan
Engkau hendak tunggu aku bersungguh-sungguh melakukannya
Setelah berlaku kesungguhan itu Engkau bagi jalan
Jalan menuju-Mu yang lurus, jalan kebenaran
Bantulah aku bermujahadah Tuhan
Agar aku berjaya bermujahadah kerana-Mu
Supaya ……… engkau merentang jalan kebenaran
Agar aku menempuhnya ke jalan keselamatan

4.9.2003 – 2
Menjelang Maghrib
Allahyarham Ust. Ashaari.

SULTAN MUHAMMAD AL-FATEH, PENAKLUK KONSTATINOPEL


PENGENALAN

Sultan Muhammad al-Fateh (Sultan Muhammad II) ialah salah seorang tokoh pejuang Islam dari kelompok pemerintah sama seperti Salahuddin al-Ayyubi. Beliau menerajui umat Islam melalui Empayar Uthmaniyyah yang berpusat di Turkistan (Turki). Gelaran ‘Al-Fath’, yang bermaksud kemenangan, adalah sempena kejayaannya menakluk Konstantinopel (Istanbul).

Rasulullah SAW pernah bersabda:
“Konstantinopel akan ditakluki oleh tentera Islam. Rajanya adalah sebaik-baik raja, dan tenteranya adalah sebaik-baik tentera.” (HR Imam Ahmad)

Hadis ini telah membakar semangat sekian banyak tokoh dan tentera Islam untuk menakluki Konstantinopel yang terkenal dengan keutuhan tembok berlapisnya. Dari semasa ke semasa ada saja pejuang-pejuang yang maju ke hadapan untuk memenuhi maksud hadis tersebut. Sejak zaman para sahabat sehingga 800 tahun kemudiannya, pelbagai usaha ketenteraan telah dilakukan namun kesemuanya gagal menembusi tembok berlapis Konstantinopel. Konstantinopel yang berada di dalam Empayar Byzantine dianggap sangat penting kerana ianya merupakan laluan utama untuk ‘membuka’ Eropah keseluruhannya. Tuhan menzahirkan kebenaran kata-kata Nabi Muhammad SAW itu melalui Sultan Muhammad al-Fateh.

Seorang sahabat Rasulullah SAW bernama Abu Ayyub al-Ansari r.a. syahid berhampiran tembok kota Konstantinopel. Beliau melancarkan serangan pada zaman Kekhalifahan Bani Umayyah. Dikatakan antara hujah Abu Ayyub ke sana ialah kerana dia pernah mendengar Rasulullah SAW bersabda bahawa akan ada seorang lelaki yang akan dikuburkan di sana. Beliau berharap agar dialah orangnya. Selain itu, jika dia gagal membuka Konstantinopel, dia berharap dapat mendengar derap kuda “sebaik-baik raja dan tentera” itu.

ZAMAN KANAK-KANAK

Sultan Muhammad al-Fateh dilahirkan pada 30 Mac 1432 di Adrianapolis yang terletak di sempadan Turki-Bulgaria. Bapanya Sultan Murad II (1401-1451) adalah seorang yang soleh, handal dalam perang dan mempunyai wawasan yang hebat. Dia memberikan didikan yang sempurna kepada anaknya sehingga Muhammad menjadi seorang yang berketrampilan sejak kecil lagi.

Muhammad belajar dan menguasai pelbagai cabang ilmu seperti agama, politik, seni tempur dan beladiri, ilmu peperangan, tasauf, psikologi dan lain-lain. Dia berkebolehan dalam 7 bahasa iaitu bahasa Arab, Turki, Greek, Hebrew, Parsi, Latin dan Serbia. Ini cukup untuk menggambarkan kecerdasannya yang luar biasa.

Kekhalifahan Uthmaniyyah yang bermazhab Ahli Sunnah wal Jamaah bermazhab Hanbali itu amat mementingkan ilmu tasauf kesufian. Pihak istana mengamalkan Tariqat Naqshabadiyyah. Para khalifah mempunyai bilik suluk khas mereka. Tokoh yang banyak membentuk rohani Sultan Murad dan anaknya ini ialah seorang mursyid besar Tariqat Naqshabandiyyah iaitu Syeikh Shamsuddin al-Wali, seorang berketurunan Sayyidina Abu Bakar As-Siddiq r.a. Beliau bertindak sebagai penasihat kepada Kerajaan Turki Uthmaniyyah ketika itu.

Ketika Muhammad masih dalam buaian, Syeikh Shamsuddin pernah berkata kepada Sultan Murad bahawa bukan baginda yang akan menguasai Konstantinopel tetapi anaknya yang ketika itu sedang berada dalam buaian.

ZAMAN REMAJA

Muhammad al-Fateh mula memangku jawatan sebagai pemerintah kerajaan Islam pada tahun 1444 ketika baru berusia 12 tahun. Ketika itu bapanya iaitu Sultan Murad menjalankan urusan di luar kerajaan. Tugas ini dijalankannya dengan baik selama hampir 3 tahun. Pada tahun 1451, ketika usianya 19 tahun, barulah beliau menjawat jawatan khalifah secara rasmi. Sultan Muhammad ialah khalifah Uthmaniyyah yang ke-7.

ZAMAN DEWASA

Sepanjang hidupnya, Sultan Muhammad al-Fateh memimpin sendiri kempen ketenteraan sebanyak 25 kali. Walaupun dia ketua seluruh umat Islam pada zaman itu, namun dia seorang yang berjiwa rakyat. Dikatakan bahawa ketika tentera Islam membina ‘Benteng Rumeli Hisari’, Sultan Muhammad membuka serban dan bajunya lalu turut sama menjadi buruh binaan sehingga ulamak-ulamak dan menteri-menteri terpaksa ikut sama bekerja.
Sultan Muhammad sangat gemar memakai serban, begitu juga dengan tentera dan rakyat Turkistan ketika itu. Selain daripada mempraktikkan sunnah, serban besar mereka itu juga adalah kain kafan mereka sendiri. Hal ini menunjukkan kecintaan mereka untuk syahid pada bila-bila masa selain kecintaan kepada sunnah Rasulullah SAW. Sebab itu kesemua tentera Islam pada zaman itu berserban.

Beliau seorang yang sentiasa tenang, pendiam, berani, sabar, tegas dan kuat menyimpan rahsia pemerintahan. Beliau sangat cintakan ulamak dan selalu berbincang dengan mereka tentang permasalahan negara.Walaupun Sultan Muhammad sudah dilantik sebagai khalifah, tetapi dia masih memerlukan tunjuk ajar bapanya, yang juga gurunya. Oleh itu, sungguhpun Sultan Murad sudah bersara dan mahu memberi tumpuan pada amal ibadah, Sultan Muhammad tetap meminta bapanya ke medan perang. Setelah Sultan Murad uzur, barulah dia dibiarkan berehat. Kata-kata Sultan Muhammad al-Fateh kepada bapanya setelah dia menjawat jawatan khalifah:

“Kalau ayahanda fikir ayahanda masih seorang khalifah, menjadi kewajipan ayahanda untuk turun ke medan perang. Tapi jika ayahanda memandang saya yang khalifah, maka saya perintahkan ayahanda untuk turun berjuang.”

Begitulah lebih kurang. Dengan kata-kata ini, Sultan Murad tidak dapat berhelah lagi. Memang benar, perjuangan tidak ada hari berhentinya.

MEMBUKA KONSTANTINOPEL

Sebelum melakukan kempen ketenteraan ke atas Konstantinopel, Sultan Muhammad membuat persediaan rapi. Beliau belajar daripada sejarah yang menyaksikan kegagalan tentera Islam berulangkali dalam menyerang kota tersebut. Dengan tembok kota berlapis empat, setinggi 25 kaki dan berparit air di hadapannya, kota ini sungguh kebal. Untuk itu perancangan dan persediaan yang luar biasa mesti dilakukan.

Antara langkah awal yang diambil oleh Sultan Muhammad al-Fateh ialah mengerahkan pembinaan meriam paling besar dan berkuasa pada zaman itu. Meriam ini mampu menembak sejauh satu batu dengan peluru antara 300-1600 kilogram setiap biji. Tentera musuh memang gentar akan teknologi ketenteraan umat Islam ini. Meriam ini hanya boleh melepaskan 15 tembakan setiap hari. Hal ini menunjukkan betapa pentingnya untuk umat Islam menguasai teknologi.

Tentera Islam tiba di Konstantinopel dengan jumlah lebih kurang 150,000 orang. Apabila mereka solat berjemaah beramai-ramai, gementar hati tentera musuh melihat betapa ramai, berdisiplin, harmoni, bersungguh-sungguh dan bersatu hatinya tentera Islam. Dari segi psikologi, ianya memberikan kesan yang besar terhadap semangat tentera musuh.

Selain tembok kebal, penghalang besar antara tentera Islam dengan Kota Konstantinopel ialah Selat Bosphorus. Kapal-kapal tentera Islam tidak dapat membuat serangan kerana tentera Kristian sudah memasang rantai besi yang merentangi selat. Strategi ini berjaya menghalang kemaraan tentera Islam untuk tempoh yang agak lama juga.

Sultan Muhammad, yang berusia 21 tahun pada ketika itu, dan tenteranya tiba di Konstantinopel pada 19 April 1453. Mereka menghujani kota itu dengan tembakan meriam selama 48 hari, namun Konstantinopel masih utuh berdiri. Pihak musuh diperteguhkan pula dengan bantuan daripada Pope berupa 5 buah armada perang. Oleh itu, mereka yakin tentera Islam akan kehabisan ikhtiar, kelesuan dan akhirnya akan pulang dengan tangan kosong.

Namun, satu keajaiban berlaku. Pada suatu malam, Sultan Muhammad mengerahkan tenteranya menggerakkan kapal melalui jalan darat. Mereka menarik kapal-kapal itu lalu melabuhkannya di dalam selat. Hal ini memang satu idea yang sungguh luar biasa serta di luar jangkaan musuh.

Esoknya, tentera Kristian terkejut besar melihat sebanyak 72 kapal perang tentera Islam sudah berada di dalam selat dan bersedia melancarkan serangan. Mereka berasa hairan kerana rantai perentang masih tidak terjejas, jadi bagaimana kapal-kapal tentera Islam boleh masuk? Ketika inilah peperangan hebat berlaku.

Sesudah berlalu 53 hari, Konstantinopel masih tetap gagah. Sultan Muhammad tidak boleh membiarkan keadaan ini berterusan. Dengan nekad dia berkata:

“Saya hendak mati! Sesiapa yang mahu mati, mari ikut saya!”

Ucapan ini benar-benar membakar semangat tentera Islam. Seorang pahlawan bernama Hasan Ulubate beserta 30 orang pejuang Islam menyerbu masuk ke kubu musuh. Mereka berjaya memacakkan bendera daulah Islam di dalam kubu. Bendera yang berkibar itu menaikkan lagi semangat tentera Islam. Mereka bertarung sambil mengharapkan syahid. Dengan izin Allah, akhirnya Konstantinopel berjaya ditakluki oleh tentera Islam. Hasan Ulubate dan 30 orang perajuritnya gugur syahid akibat terkena anak panah musuh yang bertali arus.

Pada 29 Mei 1453, Kota Constantinople akhirnya jatuh ke tangan Islam. Sultan Muhammad dengan tawadhuknya melumurkan tanah ke dahinya, lalu melakukan sujud syukur. Semenjak peristiwa inilah beliau diberi gelaran “Al-Fateh” iaitu yang menang kerana kejayaannya menakluk Konstantinopel.

Sultan Muhammad kemudiannya menukar nama Konstantinopel kepada ‘Islambol’ yang bermaksud ‘Islam Keseluruhannya’ (Nama Islambol kemudiannya diubah pula kepada ‘Istanbul’ oleh seorang musuh Allah bernama Mustafa Kamal Attarturk laknatullah). Sultan Muhammad juga menukar Gereja Besar St. Sophies kepada sebuah masjid yang diberi nama ‘Aya Sofia’ (Sekarang telah dijadikan muzium). Selepas itu Sultan Muhammad menyebarluaskan lagi agama tauhid ke Hungary, Bosnia, Serbia, Albani dan sekitarnya.

SEBAIK-BAIK RAJA DAN SEBAIK-BAIK TENTERA

Selepas berjaya menakluki Konstantinopel, sampailah ketikanya untuk tentera Islam mengerjakan solat Jumaat yang pertama kalinya di sana. Timbul satu masalah, siapakah yang akan bertugas sebagai imam?

Sultan Muhammad al-Fateh bertitah kepada tenteranya:
“Siapakah antara kamu yang pernah meninggalkan solat fardhu setelah baligh, sila duduk.”

Tidak ada seorang pun dalam ribuan perajurit itu yang duduk. Maksudnya mereka tidak pernah meninggalkan kewajipan solat fardhu. Beginilah salah satu ciri sebaik-baik tentera.

“Siapakah antara kamu yang pernah meninggalkan solat rawatib setelah baligh, sila duduk.”

Sebahagian daripada tenteranya duduk.

“Siapakah antara kamu yang pernah meninggalkan solat tajahud setelah baligh, sila duduk.”

Semua tenteranya duduk, kecuali Sultan Muhammad sendiri. Hal ini menunjukkan bahawa beliau tidak pernah meninggalkan solat fardhu, solat rawatib dan solat tahajjud sejak akil baligh!

AKHIR HAYAT

Sultan Muhammad al-Fateh meninggal dunia pada 3 Mei 1481 di Hünkârcayırı, Gebze. Ada pendapat mengatakan dia meninggal kerana menderita penyakit ghout. Ada pula yang mengatakan dia diracun oleh seorang Yahudi bernama Maesto Jakopa. Ada orang mengaitkan putera Sultan Muhammad sendiri dalam hal ini.

Wallahua’lam.

Ahad, 24 April 2011

Mencari Tuhan Dalam Kehidupan



Tuhan itu wujud. Tuhan itu sentiasa berperanan dalam setiap detik kehidupan kita. Mana mungkin kita boleh lupakan Tuhan. Mana mungkin Tuhan boleh dipinggirkan begitu sahaja. Bahkan tiap masa dan ketika, kita kena merasakan kehadiran Tuhan dalam hidup kita. Bukan itu sahaja, kita juga kena rasakan pelbagai kebesaranNya. Dialah Maha Pemurah , Dialah Maha Penyayang. Dialah Maha Memberi rezeki. Dialah Maha Menciptakan. Dialah Maha Memerhati dan Maha Mendengar. Dialah Maha segala-galanya.

Tuhan mempromosikan diriNya pelbagai cara. Sudah tentu Tuhan memperkenalkan dirinya itu agar manusia kenal dan dapat mendekatiNya. Agar manusia sedar yang Dia wujud, Dia berkuasa dan Dia berperanan dalam hidup manusia. Salah satu cara yang Tuhan lakukan untuk tujuan itu ialah melalui ciptaanNya. Dia jadikan langit, bumi, gunung-ganang, bukit-bukau, sungai dan lautan juga manusia, haiwan dan tumbuh-tumbuhan supaya manusia memerhati dan memikirkan semua itu agar manusia dapat merasakan kewujudanNya.

Tuhan ada menyebutnya di dalam Al-Quran,

“Sesungguhnya tentang kejadian langit dan bumi, dan pertukaran malam dan siang menjadi tanda (kekuasaan Allah) bagi orang-orang yang berakal. (Al-Imran:190).

Tuhan menyambung lagi dalam ayat seterusnya,

“iaitu orang-orang yang mengingati Allah ketika berdiri, duduk dan waktu berbaring dan mereka memikirkan kejadian langit dan bumi, (sambil berkata), Ya Tuhan kami, tidaklah Engkau jadikan semua ini dengan sia-sia”.

Perkataan “yazkuru” atau “mengingati“ dalam ayat tersebut bukanlah sekadar ingat atau memikir di akal sahaja. Maksud “yazkurunAllah”, ini yang lebih tepat lagi ialah merasa-rasa pelbagai kebesaran Tuhan, bilamana kita memerhati dan memikirkan kejadian langit dan bumi. Bila ini berlaku, barulah kita dapat kenal Tuhan. Barulah terkait ciptaan Tuhan tersebut dengan diri kita sebagai hamba. Ia memberi kesedaran kepada kita, semua ciptaanNya itu selain untuk manfaat kegunaan manusia, tetapi ada maksud Tuhan itu sendiri. Agar manusia kenal Tuhan dalam ciptaan-ciptaan Tuhan. Kalau ini berlaku, tidak timbullah masalah hamba yang tidak mengenal TuhanNya. Selama ini, manusia itu mengaku hamba Tuhan, menyebut, “kami ada Tuhan”, malah menyembah Tuhan, namun ramai di antara manusia yang tidak kenal Tuhan.

Oleh itu carilah Tuhan dalam kehidupan. Kenalilah Dia, datanglah kepadaNya. Ini boleh dilakukan dalam kehidupan seharian kita dengan memerhati serta memikirkan tentang kejadian ciptaan Tuhan. Maha suci Tuhan, tidak Tuhan jadikan segala sesuatu itu dengan sia-sia.

Mengapa Kita Berzikir?


Hari ini ramai orang berzikir. Ada yang tahu tujuan mereka berzikir. Ada juga yang tidak tahu kenapa. Bila ditanya kenapa awak berzikir?

Sekadar ikut-ikut sahaja, kata mereka. Kami berzikir sama seperti orang-orang terdahulu berzikir. Yang tahu pula terbahagi kepada dua. Satu, memang betul-betul diniatkan kerana Tuhan. Kedua, bukan kerana Tuhan, tetapi kerana dunia. Yang berzikir kerana Tuhan, mereka berzikir nak cari keredhaan Tuhan. Atas dasar cinta dan takut Tuhan. Nak membesar dan mengagungkan Tuhan. Orang seperti inilah yang digambarkan Tuhan di dalam Al-Quran, maksudnya:

“Orang-orang mukmin itu apabila menyebut nama Allah, gementarlah hati-hati mereka.”

Gementar itu adalah kerana mereka benar-benar menghayati zikir tersebut. Ucapan zikir itu bukan sekadar pada sebutan sahaja. Tetapi ia terasa di hati. Zikir itu sudah menjadi penghayatan. Jadi, bila nama-nama Allah itu disebut, terus ia menangkap di hati. Terasa kebesaran Tuhan yang tak terhingga. Terasa kehebatan Tuhan. Datang takut. Datang gementar. Disebabkan bimbang yang teramat sangat dengan kekuasaan Tuhan, yang boleh berbuat apa sahaja terhadap dirinya. Disebabkan teringat dosa-dosanya kepada Tuhan yang memungkinkan dia terlepas daripada kasih sayang Tuhan. Atas rasa-rasa ini, zikir mereka mengubah perangai mereka. Mereka menjadi orang yang berakhlak dengan Tuhan dan berakhlak sesama manusia.

Yang berzikir bukan kerana Tuhan, mereka berzikir tetapi ada kepentingan dunia di situ. Bermakna direndahkan taraf zikir itu menjadi dunia. Walhal zikir itu ada nilai akhirat kalau tepat cara dan perlaksanaannya. Mereka berzikir ada maksud untuk mendapat kelebihan-kelebihan. Baca sekian ayat, dapat kaya. Baca sekian ayat, dapat kebal. Baca sekian wirid, orang akan hormat.

Demikianlah jadinya. Orang begini zikir itu sekadar sebutan sahaja. Tidak lebih daripada itu. Zikir tidak difahami, jauh sekali hendak dihayati. Itu sebab zikir itu tidak datangkan rasa-rasa di dalam hati. Itu sebabnya lagi banyak berzikir, tidak berubah akhlak. Malah, lagi berzikir lagi tak cinta dan tak takut Tuhan. Inilah yang patut direnungkan oleh kita semua yang berzikir. Moga-moga ada manfaatnya untuk kita bersama.

Penghibur manusia di dunia


Sudah fitrah semula jadi manusia ingin berhibur
Hiburan itulah sebahagian kebahagiaan manusia
Hiburan adalah makanan jiwa manusia
Semua orang memerlukannya tidak kira apa bangsa
Hiburan itu berbagai-bagai sifatnya atau caranya

Ada orang yang miskin diberi bantuan
kewangan dan makanan,
ada yang sakit, diziarahi tanda ikut sedih
dengan kesakitannya
Orang yang salah diberi kemaafan,
yang bersalah meminta maaf,
hiburanlah namanya

Orang yang membuat jahat buat baiklah kepadanya
Ada orang yang buntu fikiran berilah buah fikiran,
hiburan juga
Orang yang sesat jalan tunjuklah jalannya
Di waktu membawa kereta utamakan orang lain,
berilah dia jalan
Di waktu makan di restoran belanjalah orang
di kiri dan kanan
Di waktu membeli-belah bayarkanlah orang
yang bersama-sama kita membeli-belah
untuk keperluan,
sekadar yang termampu untuk kasih sayang

Di ketika naik bas, tempat duduk penuh,
utamakan orang lain duduk
tidak mengapa kita berdiri
Di waktu berjalan-jalan berilah salam
atau angkatlah tangan tanda kemesraaan
Sekali-sekala lihatlah jiran,
hulurkan bantuan itulah hiburan
Para-para tetamu kenalah hormat
dan muliakan mereka sejauh yang terdaya
Pemungut-pemungut sampah di rumah kita,
sekali-sekala berilah dia hadiah
Atau memberi makanan atau minuman
Berbudilah bahasa kita kepada mereka
tanda mengenang jasanya
Memungut sampah di rumah kita

Alangkah gembiranya jiwa mereka,
kerana budi bahasa kita

Ya Tuhanku jadikanlah aku penghibur manusia
di dunia
Agar aku diberi hiburan di Akhirat sana

Nukilan: Allahyarham Ust Hj Ashaari Muhammad

Ahad, 17 April 2011

KATEGORI MANUSIA BERAGAMA


Di antara nikmat yang pertama Tuhan anugerahkan kepada manusia, iaitu manusia diciptakan oleh Tuhan. Tetapi nikmat itu belum tentu menjadi rahmat, kerana nikmat dan rahmat ada perbezaan. Apabila disebut rahmat, ertinya termasuk nikmat. Tetapi apabila disebut nikmat, tidak semestinya bersama rahmat. Kita kena faham perkara ini.

Nikmat yang kedua daripada Tuhan setelah diciptakan manusia, iaitu rasa ber Tuhan. Rasa berTuhan merupakan nikmat kedua, belum tentu menjadi rahmat, sekadar nikmat saja.

Dari sinilah manusia mudah beragama, cuma agama tu benar atau tidak. Jadi rasa berTuhan itu fitrah. Manusia tidak boleh membohongi diri mereka sendiri. Kalau kita persoalkan, terdapat manusia yang tidak mempercayai Tuhan terutama orang yang berfahaman komunis, itu bohong. Dia marah dengan orang beragama, sebab orang beragama ada yang berbohong, menipu, merompak, membunuh samada agama yang hak atau yang sesat. Lantas mereka mengatakan Tuhan tidak ada. Sebenarnya tidak, mereka berkata begitu kerana marah dan sakit hati dengan orang yang beragama. Rasa berTuhan itu fitrah, nikmat kedua daripada Tuhan. Tetapi nikmat itu tidak semestinya menjadi rahmat.

Daripada rasa berTuhan ini, lahirlah agama, setidak-tidaknya 3 kategori agama:

1. Agama dari Tuhan.
Agama dari langit (dari Tuhan), agama yang diwahyukan daripada Tuhan dengan kedatangan Rasul-Rasul atau Nabi-Nabi.

2. Agama yang telah dirosakkan.
Asalnya agama dari langit, tetapi dalam jangka masa yang panjang agama tadi telah dirosakkan oleh penganut-penganutnya sendiri seperti agama Yahudi, Nasrani dan lain-lain.

3. Agama Animisme.
Ini berlaku kepada orang yang duduk di gunung-gunung, hulu-hulu yang tidak bercampur dengan orang lain. Contohnya orang asli. Oleh kerana rasa ber Tuhan itu wujud maka, mereka beragama mengikut rasa, mereka-reka agama tidak bersumberkan wahyu.

Agama yang rosak tadi, asalnya agama wahyu dari Tuhan yang disampaikan kepada Rasul-rasul, Nabi-nabi, tetapi dirosakkan oleh ulama-ulamanya dan para pengikut yang datang kemudian.

Sebagai orang berjuang, saya akan memberi ilmu, kerana kita berhadapan dengan manusia yang beragama bukan Islam atau orang yang tidak beragama.

Sebenarnya, agama yang asalnya dari langit yang dibawa oleh Rasul-rasul dan Nabi-nabi, itu benar. Tetapi dirosakkan oleh ulama-ulama atau para pengikutnya yang datang kemudian. Sama ada dirosakkan dengan sengaja atau tidak sengaja. Saya tidak sebut yang disengajakan, kerana hal itu memang dirancang, dibuat. Saya mahu memperkatakan, yang tidak disengajakan.

Nabi-nabi banyak diutus oleh Tuhan. Ada riwayat yang mengatakan bilangan nabi-nabi seramai 124 ribu (124000). Sedangkan agama yang Tuhan turunkan kepada mereka, untuk dirinya sendiri, bukan untuk orang lain. Tetapi tidak salah untuk disampaikan kepada orang lain dan tidak salah pula, orang lain mengikutnya. Jadi, Nabi-nabi ini, tidak mengembangkan agama pada orang lain sebab tidak wajib bagi mereka. Tetapi oleh kerana agama yang dibawa itu daripada Tuhan, mereka berakhlak tinggi, mereka tawadhuk, tidak mengganggu orang bahkan orang hormat dan sayang pada mereka. Jadi apabila mereka mati, oleh kerana mereka menolong orang, menyelamatkan orang, berbuat baik, bertolak-ansur pada orang, maka nabi-nabi itu di ‘Tuhan’ kan orang.

Jadi lahirlah agama baru seperti agama Budha, Hindu, dll. Sebab itu Gautama Budha, mungkin seorang nabi. Tetapi selepas kematiannya, orang menjadikannya sebagai ‘Tuhan’ . Orang yang selepas kematiannya itu yang sesat. Sedangkan dia tidak sesat.

Jadi, para pengasas Budha, Hindu, Konfusius mungkin, adalah nabi. Tetapi apabila mereka mati, oleh kerana para pengikut sayang dengan mereka, maka orang ramai membuat kesilapan dengan menuhankan mereka. Oleh kerana itulah, kalau kita membaca tentang agama Budha, Hindu terdapat ajaran-ajaran di dalamnya, terutama mengenai akhirat sama dengan ajaran Tuhan. Oleh kerana mereka di ‘tuhan’kan, sedangkan Tuhan mesti disembah dan dibesarkan, maka cara menyembah ‘Tuhan’ itu direka-reka.

Timbullah penyembahan dan ibadah dari mereka. Walaupun asalnya mungkin peribadi itu nabi. Ajarannya itu sesuai dengan ajaran Tuhan, tetapi orang yang kemudian menuhankan mereka. Maka, cara mana mahu membesarkan, mengagungkan dan menyembah mereka, itulah yang direka-reka. Akhirnya, lahirlah penyembahan yang sesat. Padahal sumber agama itu tidak sesat. Mungkin dia nabi.

Agama Animisme itu pula lahir daripada rasa berTuhan. Ibadahnya langsung tidak bersumberkan apa-apa. Animisme ini banyak dibuat oleh orang-orang asli. Jadi, daripada rasa berTuhan itu, lahirlah keinginan mahu membesarkan Tuhan, mahu Tuhan itu disembah, maka cara membesarkan dan menyembah ‘Tuhan’ itu direka-reka. Agama jenis ini lebih mengarut dan lebih sesat lagi.


Kedatangan Rasulullah saw adalah Rasul yang terakhir,
yang membawa agama Tuhan yang paling sempurna dan paling global. Agama untuk semua etnik, semua kaum dan semua bangsa. Walapun begitu, apabila zaman sudah jauh, masa sudah beredar, keadaan sudah berubah, maka agama yang sudah ditinggalkan Rasulullah saw pada umatnya 1500 tahun dahulu, mungkin agama ini sudah cacat.

Dicacatkan oleh cinta dunia, dicacatkan oleh kejahilan, dicacatkan oleh setengah faham, setengah tidak faham, dicacatkan oleh mazhab yang datang kemudian. Maka kalau kita kategorikan umat Islam hari ini, entah berapa banyak kategori. Oleh kerana Islam sudah jauh dari Rasulullah saw, maka boleh disebut begini:

1. Atas dasar keturunan.
Ada yang mengaku Islam atas dasar keturunan. Sedangkan dia sendiri tidak tahu sama ada dia Islam atau tidak.

2. Islam akidah sahaja.
Golongan ini, hanya tinggal akidahnya sahaja Islam. Akidahnya betul, mengenal Tuhan betul tetapi tidak ada syariat lagi, sehingga sembahyang pun tidak dilaksanakan. Dia masih orang Islam, tetapi masuk neraka lama sangat.

3. Orang Islam yang zalim atau fasik
Akidahnya betul, mengenal Tuhan pun betul. Tetapi syariat yang diambil hanya bidang ibadah sahaja. Bidang-bidang lain seperti ekonomi, pendidikan, perhubungan, semuanya tidak mengikut syariat. Bab nikah kahwin tidak mengikut syariat. Tinggal ibadah saja. Kategori ini termasuk orang zalim atau fasik.

4. Golongan yang fasik tetapi tipis.
Umat Islam yang akidahnya betul. Manakala syariatnya, disamping ibadah berlaku juga syariat dalam kehidupan. Tetapi tidak memikirkan apakah syariat itu dibuat dalam keadaan ria’, sombong & hal-hal rohani yang penting secara lahir yang dilakukannya. Soal makan minum, pergaulan, sembahyang, puasa dia jaga, tanpa memikirkan riak ke?, kerana Tuhan ke?, kerana orang ke?. Ini termasuk orang-orang yang fasik, tetapi tidak setebal fasik tadi (kategori 3).

5. Kategori orang soleh
Orang Islam yang akidahnya betul dan menjalankan syariat, sama ada dibidang ibadah mahu pun dalam bidang kehidupan. Cuma dia khusyu’, rasa takutkan Tuhan di waktu ibadah saja. Di luar sembahyang, di luar ibadah, tidak ada rasa takut, tidak rasa bertuhan. Kita anggap mereka orang soleh, tetapi bertaqwa belum.

6. Kategori orang bertaqwa
Orang yang dapat menghayati Tuhan waktu ibadah, takut dengan Tuhan di dalam dan luar ibadah. Tetapi dalam pada itu, ada lalainya, ada ketika lupa dengan Tuhan, sekali sekala dalam kehidupan dia lalai dengan Tuhan. Itu orang bertaqwa.

7. Kategori Siddiqin
Lahir dan batinnya dengan Tuhan. Sama ada dalam keadaan ibadah atau tidak ibadah, hatinya sentiasa dengan Tuhan. Lahir dan batin sama. Lahir menggambarkan batin dan batin menggambarkan lahir. Itu orang yang siddiqin. Mereka terdiri daripada kalangan Rasul-rasul, Nabi-nabi atau wali-wali besar.

Jadi, ilmu yang kita perkatakan ini untuk kita ketahui supaya kita faham mengapa adanya agama-agama yang sesat. Sebab fitrah semula jadi manusia itu rasa berTuhan. Kalau cacat pun, dia beragama. Sebab rasa berTuhan itu memang wujud. Jadi setelah kita mendengar kuliah tadi, kalau kita sebagai umat Islam yang sudah ditinggalkan jauh oleh Rasulullah saw, agak-agak kita di kategori mana ?

Nak dapat kategori taqwa susah, paling baik orang soleh saja, kebanyakan fasik, zalim. Nak pergi kepada kategori orang soleh dah susah.



Jarang Berlaku Syirik Dengan Zat Tuhan

Di kalangan umat Islam, berlaku syirik terhadap zat Allah mungkin kurang
Jarang berlaku mereka berkeyakinan bahawa Tuhan itu berbilangan
Atau tidak berlaku rasanya ada yang mengatakan zat Tuhan itu ada penyerupaan
Syirik yang seperti ini terlalu jarang berlaku di kalangan umat Islam

Yang sering berlaku sama ada secara sedar atau tidak ialah syirik dengan sifat Tuhan
Umpama dia terasa ada kuasa menentukan nasib orang ketika dia ada kuasa
Seseorang itu pandai dia merasa kepandaiannya dialah yang empunya
Dia merasakan kemampuannyalah yang menjadikan dia berkuasa,
kaya, pandai, kuat dan sebagainya

Contoh yang lain kalau aku tidak ada pelajaran, aku tidak boleh cari makan!
Kalau aku tidak ada pelajaran, bagaimana masa depan saya?
Bukan Tuhan yang mentakdirkan masa depannya tapi pelajaran, syirik khafilah dia
Mencari pelajaran adalah wajib, itu adalah perintah Tuhan
Tapi pelajaran bukanlah yang dapat menentukan nasib manusia

Jadi di sini barulah kita faham ramai manusia syirik dengan sifat dan perbuatan Tuhan
Jarang berlaku syirik dengan zat Tuhan
Syirik khafi termasuk dosa besar yang payah disedari
Cuma belumlah seseorang itu jadi kafir atau murtad
Kenalah belajar aqidah yang tepat
Agar dapat dielakkan di dalam kehidupan dan sikap

16.4.2003
Selepas Asar
Allahyarham Ust. Ashaari.

KENALI DAN HAYATI SIFAT-SIFAT TUHAN AGAR KITA DAPAT MENCINTAI-NYA



Roh sebelum dihantar ke alam dunia ini memang sudah mengenali dan mengakui bahawa Allah adalah Tuhan yang wajib disembah.

Pernah Allah bertanya kepada roh:
"Tidakkah Aku ini Tuhan kamu?"
Jawab roh: "Bahkan."

Ini membuktikan roh sudah pun mengenali dan mengakui Allah sebagai Tuhannya tanpa perlu belajar atau diajar. Tetapi sebaik sahaja roh itu dimasukkan ke dalam jasad manusia; berpindah dari alam roh kepada alam dunia, berpindah dari alam yang cerah kepada alam yang gelap pekat; ia sudah lupa kepada Tuhannya. Mengapa perkara ini boleh berlaku?

Untuk menjawab pertanyaan itu, mari kita fakir sejenak. Kadangkala untuk kita mengimbas semula kisah sewaktu kita masih kecil pun mustahil kita dapat ceritakan secara terperinci peristiwa demi peristiwa yang berlaku ke atas diri kita. Melainkan ibu, ayah atau adik-beradik yang lebih tua dari kita yang menceritakan kisah tersebut. Itu pun hanya tidak secara terperinci. Banyak perkara yang kita sendiri lupa tentang diri sendiri. Sedangkan jarak masa tersebut tidaklah terlalu lama cuma puluhan tahun. Inikan pula sewaktu semua manusia berada di alam roh (sebelum Nabi Adam di turunkan ke bumi), tentulah kita sudah terlupa dengan apa yang pernah roh kita ucapkan di hadapan Tuhan itu.

Sebab itulah apabila kita dilahirkan ke dunia, ibu bapa atau pendidiklah bertanggungjawab mengenalkan sifat-sifat Tuhan kepada kita. Kerana tanpa kenal Tuhan, mustahil kita dapat menyintai-Nya. Bak kata pepatah Melayu, "Tak kenal maka tak cinta".

Dalam pengalaman kita sendiri, untuk kita mengenal seseorang itu pun memakan masa. Tidak cukup sekadar mengenal namanya, anak siapa atau di mana tempat tinggalnya. Lebih-lebih lagi untuk sampai kita jatuh hati kepadanya; mestilah kita kenal hati budinya. Jasa-jasa yang telah dilakukan; akhlaknya, pemurahnya, sifat penyayangnya, penyabarnya dan sebagainya. Jika setiap hari kita diceritakan tentang dirinya; pengorbanan yang dibuat, jasa-jasanya, kehebatan peribadinya, ibadahnya serta kebaikan-kebaikan lain yang dibuat; tentulah timbul keinginan untuk mengenali dirinya lebih dekat lagi.

Bila timbul keinginan untuk mengenalinya, kita sendiri yang akan berusaha untuk bertanya kepada yang punya diri. Kalau tidak pun kita akan berusaha untuk mendapatkan maklumat-maklumat mengenai orang yang kita suka itu. Kita bukan sahaja tahu namanya atau latar belakang mengenai dirinya, tapi kita juga boleh ceritakan apakah kegemarannya, hobinya pada waktu lapang, makanan kesukaannya. Kadang-kadang perkara yang dibencinya juga kita boleh dapat tahu. Lama-kelamaan kerana rapatnya hubungan kita dengannya, tanpa disedari akan berputik pula rasa suka, sayang dan rindu kalau lama tidak berjumpa. Inilah bibit-bibit cinta bila hati sudah jatuh hati kepada seseorang.

Begitu juga kalau kita ingin jatuh cinta kepada Allah, Tuhan yang menciptakan kita. Kita mesti mengetahui sifat-sifat-Nya supaya kita kenal siapa Tuhan yang kita sembah setiap hari. Selama ini kita hanya kenal Allah sebagai Tuhan kita. Dia yang berhak disembah. Jika tidak menyembah-Nya boleh menyebabkan kita jatuh syirik. Tetapi pengenalan yang terlalu umum seumpama itu tidak menimbulkan rasa cinta apalagi rindu untuk selalu `menghadap-Nya `.

Selama ini kita bersembahyang atau menghadap Tuhan kerana terpaksa; sebagai satu ke-wajipan. Bukan kerana rindu untuk bertemu denganNya. Sebab itu, untuk mengenal-Nya lebih-lebih lagi jatuh cinta kepada-Nya, kita mesti tahu sifat-sifat Tuhan. Supaya semakin kita kenal Tuhan, maka semakin indah kita rasakan memiliki Tuhan. Apabila kenal siapa Tuhan kita, barulah timbul perasaan cinta dan takut kepada-Nya. Bahkan kita rasa terhutang budi kepada-Nya kerana Dia memberi nikmat terlalu banyak kepada kita.

Untuk mengenali sifat-sifat Tuhan,kita mestilah memiliki ilmu tentang-Nya. Ilmu itu pula disampaikan oleh guru yang boleh mendidik hati kita. Sifat-sifat Tuhan itu terlalu banyak untuk dihuraikan satu persatu. Cuma mari kita ambil beberapa sifat Tuhan untuk dibincangkan di sini demi mendekatkan diri kita dengan Tuhan.

1. Sebagai Pelindung

Mari kita rasakan dan yakini bahawa Tuhan adalah Pelindung, Penjaga, Pengawal dan Penyelamat. Duduk di bawah Perlindungan-Nya, kita tidak perlu rasa bimbang. Dialah Penjaga yang tidak pernah rehat-rehat. Kalau seorang ibu yang menjaga anaknya; pun masih perlu tidur pada waktu malam. Dan sewaktu dia rehat atau tidur; kalau berlaku apaapa ke atas anaknya, dia pasti tidak tahu kerana tertidur. Tetapi Tuhan sebagai Penjaga yang tidak pernah tidur, letih, rehat atau terlalai.

Sebab itu ada orang soleh yang setiap kali hendak tidur,dia akan mengamalkan doa ini:

" Wahai Tuhan,Engkaulah Penjagaku sewaktu aku jaga dan aku tidur.Engkau jagalah aku sewaktu aku tidur kerana Engkau tidak tidur.Dan bangunkan aku dari tidurku untuk aku beribadah kepadaMu. "

2. Tuhan Sebagai Pengawal

Begitu juga sifat Pengawal-Nya. Kalau pemimpin-pemimpin, sudah tentu memiliki ramai pengawal-pengawal di sekelilingnya. Namun walau bagaimana ketat kawalan mereka, masih ada juga pemimpin yang mati ditembak, diculik dan dijadikan tebusan. Tetapi sifat Pengawal Allah ini luar biasa kawalanNya. Dia mengawal seluruh makhluk yang diciptaNya termasuk manusia, haiwan, tumbuhan, gunung ganang, lautan, alam semesta yang luas terbentang, alam yang lahir mahupun yang ghaib.

Tiada satu makhluk pun yang di luar kawalan-Nya. Mana ada satu kuasa yang dapat mengawal sehebat kawalan Tuhan itu?

3. Tuhan Sebagai Penyelamat

Lebih-lebih lagi sifat Penyelamat Dalam apa jua keadaan yang genting sekalipun, Dialah satu-satunya Penyelamat. Saksikan sejarah Nabi Ibrahim yang dicampak ke dalam kawah api yang besar atau peristiwa Nabi Yunus yang ditelan oleh ikan Nun. Kedua-duanya Tuhan selamatkan. Begitu juga kisah Nabi Musa sewaktu dikejar oleh Firaun serta tenteranya. Apabila berdepan dengan saat genting didepannya lautan yang luas sedang tentera Firaun mengejar dibelakangnya;siapa yang menyelamatkan mereka. Bukankah sifat Penyelamat Tuhan yang menyelamatkan mereka dengan terbelahnya lautan tersebut menjadi laluan untuk mereka menyeberanginya?

Sebab itu rasakan dan yakinlah bahawa Tuhan itu sebagai Pelindung, Penjaga, Pengawal dan Penyelamat.

4. Tuhan Berkuasa Berbuat Apa Saja

Walaupun sifat Tuhan itu sebagai Pelindung, Penjaga, Pengawal dan Penyelamat; Dia juga boleh melakukan apa sahaja ke atas diri kita. Buktinya banyak kita dengar kejadian kemalangan yang meragut nyawa, banjir besar, gempa bumi, kemarau dan berbagai kes jenayah yang kesemuanya melibatkan keselamatan manusia?

Bencana alam yang disebutkan itu, bukan sahaja meragut nyawa manusia malah dalam sekelip mata bencana tersebut boleh meranapkan segala bangunan serta infrastruktur yang ada bagaikan padang jarak padang tekukur.

Dalam hal ini kita perlu faham, apa sahaja kejadian yang Allah timpakan, pasti ada hikmah yang tersirat kerana Dia Maha Suci daripada menzalimi makhlukNya.

Di sinilah kita perlu takut kepada-Nya. Gerun dengan kemurkaan-Nya itu. Hanya dengan menyebut kun atau `jadi` maka `jadilah` sepertimana kehendak Allah.

5. Tuhan itu Pengasih dan Penyayang

Tetapi bila kita bahaskan pula sifat Pengasih dan Penyayang kepada makhluk-Nya, sekali lagi kita merasa kagum. Dia sangat kasih dan sayang terutama kepada manusia sebagai hamba-Nya. Kasih sayang-Nya tiada batas dan hadnya. Kasih sayang Tuhan pula tanpa bersebab atau berkepentingan. Kalau seorang ibu mengasihi anaknya hatta nyawa sanggup dijadikan tebusan, namun kasih sayang Tuhan melebihi kasih seorang ibu terhadap anaknya.

Dia juga tidak pilih kasih. Manusia walau apa bangsa, bahasa, agama, warna kulit serta berbagai taraf kedudukannya di tengah masyarakat tetap mendapat kasih sayang Tuhan.

Banyak bukti yang menunjukkan kasih sayang Tuhan kepada hamba-Nya, antaranya:

Firman Allah yang bermaksud:
"Dia yang menjadikan untuk kamu bumi sebagai hamparan dan langit bagaikan binaan dan diturunkan danpada langit itu air (hujan) maka darinya dikeluarkan buah-buahan sebagai rezeki untuk kamu. Maka dengan sebab itu janganlah kamu mencipta sekutu bagi Allah sedangkan kamu mengetahuinya."

(Al Baqarah :22)

Firman lain yang bermaksud:
"Sesungguhnya pada ciptaan langit dan bumi, dan silih berganti malam dan siang dan bintang yang bergerak amat berguna pada nelayan, Allah menurunkan dari langit hujan maka ia menghidupkan bumi yang mati dan dibiakkan di atasnya segala macam haiwan, dan dipindahkan angin dan awan di antara langit dan bumi, itu semua sebagai tanda kekuasaan Allah bagi kaum yang berakal."

Allah sangat kasih kepada hamba-Nya yang menurut perintah-Nya namun bagi yang terlanjur dan banyak melakukan dosa; Allah tetap memujuk agar tidak berputus asa dari kasih sayang-Nya.

Ini jelas dalam sebuah firman-Nya yang bermaksud:
"Katakanlah: Wahai hamba-Ku yang melampaui batas ke atas din sendiri, janganlah kamu berputus asa dan kasih sayang Allah, sesungguhnya Allah boleh mengampuni dosa-dosa semua, sesungguhnya Dia Tuhan yang Maha Pengampun dan Maha Penyayang"

Mari kita lihat lagi kasih sayang Tuhan kepada kita.Sewaktu kita di uji dengan kesakitan Dialah yang menyembuhkannya. Sewaktu kita lapar dan kehausan, Dialah yang memberi makan dan minum. Sewaktu kita keseorangan, Dia kurniakan suami atau isteri serta anak-anak agar rasa terhibur. Sewaktu dilanda masalah, Dialah yang memberi jalan penyelesaiannya. Sewaktu kita berhajat kepada sesuatu, Dialah yang menunaikan hajat yang kita pinta itu. Kalaupun tidak semuanya dikabulkan tapi ada juga sebahagiannya yang telah dikabulkan. Kalau mahu dihitung terlalu banyak bukti menunjukkan kasih sayang Tuhan kepada kita. Cukup sekadar beberapa contoh membuktikan begitulah kasih sayang Tuhan kepada hamba-hamba-Nya.

6. Murkanya Berhikmah

Walaupun hebat kasih sayang Tuhan, namun Dia boleh murka kepada hamba-Nya. Tetapi kemurkaanNya berhikmah dan mengandungi pengajaran. Sebagai contoh apabila berlaku kemarau panjang di sesebuah tempat, musnahlah tanaman dan banyak haiwan yang mati; manusia juga merasai kesengsaraan akibat kekurangan makanan.

Mengapa Allah biarkan manusia menderita, memusnahkan tanaman haiwan ternakan? Apakah Allah tidak kasih kepada makhluknya? Sebenarnya takdir yang berlaku itu ada hikmahnya. Allah ingin menghukum kesalahan manusia di dunia supaya kita terlepas daripada hukuman-Nya di Akhirat yang maha dahsyat. Selain dari itu hikmah di sebalik musibah ialah agar manusia merasai betapa lemah dan dhaif hingga tidak berupaya berhadapan dengan kekuasaan Allah SWT. Ini menyedarkan kita sebagai hamba lebih baik menyerah saja kepada Allah SWT. Musibah juga bagi orang yang beriman ada dua maksud iaitu sebagai penghapusan dosa dan sebagai pengangkat darjat di sisi Allah bagi yang tidak berdosa.

Rasulullah SAW bersabda maksudnya:
"Setelah seseorang itu tercatat namanya di Syurga dan dia tidak berupaya mencapainya melalui ibadah, maka Allah SWT mendatangkan ujian yang dengannya dia bersabar maka kekallah namanya sebagai ahli Syurga." (Riwayat At Tabrani)

Rasulullah SAW bersabda lagi maksudnya:
"Apabila Allah menyayangi hamba-Nya maka dia diuji agar Allah mendengar rintihannya (dengan kerendahan diri)." (Riwayat Al Baihaqi)

Rasulullah SAW bersabda maksudnya:
"Tiada seorang mukmin ditimpa kesakitan, kepayahan, penyakit, kesedihan hatta duri yang menusuk, kecuali dengan itu menghapuskan dosa-dosanya." (Riwayat Al Bukhan)

" Sebab itu kalau manusia faham, dia akan tenang menghadapi ujian itu. Sebaliknya jika dia tidak faham maksud Tuhan, kemudian tidak sabar, maka dia berhadapan dengan dua kesusahan. Pertama kesusahan kerana ujian kemarau yang menimpa. Kedua, susah hati dan menderita dengan kesusahan tersebut."

Sekian.




Zat Yang Maha Suci

Bagaimanalah aku hendak melupakan Zat Yang Maha Suci
Yang kuasa-Nya tidak pernah satu detik terlepas dariku
Yang sentiasa mengetahui berterusan setiap gerakan jantungku
Ia sentiasa melihat hingga ke batinku
Sentiasa mendengar setiap waktu dan detik
Kehendak-kehendak-Nya ke atasku pasti berlaku
Sama ada aku setuju mahupun tidak setuju
Menggembirakan mahupun yang mendukacitakan

Ia Maha Agung, Maha Qahhar dan Maha Jabbar
Juga kasih sayangnya kepadaku lebih daripada
seorang ibu yang kasih kepada anak-anaknya

Seluruh hidupku di dalam genggaman-Nya
Ia boleh buat apa sahaja kepadaku
Kuasa-Nya ke atasku sepenuhnya
Tidak ada langsung campur tanganku ke atas diriku sendiri
Itulah Tuhan Pencipta seluruh alam dan yang menjadikan aku

Ia adalah Penyelamat Pentadbir, Penjaga, Pendidik dan Pemelihara
Dengan penuh berhikmah
Oleh itu bagaimana aku mahu melupakan-Nya
Sedangkan Dia tidak akan melupakanku
Walau setakat sekelip mata
Aduh, tidak mungkin aku boleh melupakan-Nya
Tidak mampu aku untuk melupakan-Nya
Itulah Dia Tuhanku
Aku tidak boleh terlepas daripada kuasa-Nya

Lepas Zuhur
7.10.99
Allahyarham Ust. Ashaari.