Perpaduan itu satu rahmat dari Allah. Ia merupakan satu nikmat bagi manusia. Berbagai-bagai kebaikan boleh tumbuh hasil dari perpaduan. Masyarakat bersatu-padu, bertolong bantu, bela-membela, berkasih sayang, bertolak ansur dan bertimbang rasa. Masyarakat menjadi kukuh dan kuat. Apa sahaja yang hendak dibuat atau dilaksanakan menjadi mudah kerana semua pihak bersetuju dan memberi kerjasama. Keselamatan masyarakat terjamin kerana tidak ramai yang berani menggugat masyarakat yang bersatu dan berpadu.
Tambahan lagi tidak banyak perselisihan atau pertelingkahan boleh berlaku dalam masyarakat yang bersatu-padu. Kalaupun ada, ianya mudah diselesaikan.
Lawan kepada perpaduan ialah perpecahan. Perpecahan adalah satu bala dari Tuhan. Apabila masyarakat berpecahbelah maka akan timbul berbagai-bagai gejala yang negatif, yang menyakitkan dan menyusahkan manusia. Akan berlaku krisis, kata-mengata dan tuduh-menuduh. Akan berlaku pergaduhan. Hidup manusia menjadi kucar-kacir dan tidak aman. Kehidupan tergugat. Keselamatan tergugat. Ekonomi juga tergugat.
Segala-galanya tergugat. Jenayah pula berleluasa.Akan banyak berlaku kecurian, rompak-merompak, rogol pergaduhan dan bunuh membunuh. Manusia menjadi cemas dan takut. Hidup seperti dalam Neraka.
Untuk mencapai perpaduan bukanlah satu perkara yang mudah.
Ramai para elit, para-para intelek, ahli-ahli akademik,para negarawan dan ahli-ahli politik telah mengutarakan berbagai formula untuk mencapai perpaduan. Semuanya bukan sahaja meleset tetapi lebih memburukkan lagi keadaan. Mereka semua hanya menggunakan akal untuk mencari jalan penyelesaian dan ‘antidote’ bagi perpecahan masyarakat.
Ada yang mencadangkan perpaduan bahasa, perpaduan adat resam dan kebudayaan, interaksi dan integrasi maksimum semua golongan dan kaum dalam semua aspek kehidupan termasuk persekolahan, kegiatan ekonomi, perumahan dan sebagainya. Ada juga yang mencadangkan supaya tahap ekonomi semua golongan disamaratakan dan berbagai-bagai lagi usul yang kesemuanya berbentuk fizikal dan material.
Perpaduan sebenarnya bukan perkara fizikal atau material. Perpaduan atau perpecahan bukan berpunca dari masalah lahir atau luaran seperti ekonomi, politik, pendidikan, adat resam, kebudayaan, bahasa, warna kulit dan sebagainya. Perpecahan juga bukan mesti berlaku di antara kaum, bangsa, golongan atau parti yang berlainan. Ia boleh berlaku di kalangan atau di dalam satu kaum, bangsa, golongan atau parti yang sama.
Sekali imbas memang kita nampak bahawa berlakunya perpecahan dan pergaduhan di kalangan manusia dan masyarakat di dunia ini adalah disebabkan isu-isu politik, ekonomi, kuasa pemerintahan, kemiskinan dan sebagainya. Akan tetapi kita tidak boleh membuat rumusan hanya berasaskan kepada imbasan-imbasan ini.
Kita mesti cari punca sebenar mengapa ia berlaku. Isu-isu politik, ekonomi, kuasa pemerintahan ataupun kemiskinan hanyalah pencetus atau penyebab berlakunya perpecahan dan pergaduhan. Ia bukan puncanya. Kerana kalau ada perpaduan dan kasih sayang, perpecahan tidak berlaku. Malahan golongan yang kuat akan mempertahankan yang lemah, yang berkuasa akan berlaku adil, manusia akan bekerjasama dalam bidang ekonomi dan lain-lain dan orang kaya akan membela golongan yang fakir dan miskin.
Dengan adanya perpaduan, masalah tidak jadi masalah. Akan tetapi kalau perpaduan tidak wujud dan kasih sayang tidak ada, orang akan bergaduh atas apa alasan sekalipun. Bukan setakat atas sebab-sebab politik, ekonomi, kuasa pemerintahan atau kemiskinan.
Kalau sudah tidak ada perpaduan dan kasih sayang, perbezaan warna rambut atau warna mata pun sudah cukup untuk menjadi punca pergaduhan dan perbalahan.
Perpaduan ialah soal hati. Ia bukan perkara fizikal dan material. Untuk mendapat perpaduan, hati-hati manusia perlu disatukan. Hati-hati manusia tidak boleh disatukan dengan benda-benda lahir atau benda material yang bersifat duniawi.
Apa sahaja yang bersifat duniawi, akan merangsang nafsu manusia. Nafsu manusia tidak akan pernah merasa cukup dengan apa yang ada.
Sudah dapat satu lembah emas, ia akan mahu satu lembah lagi. Akhirnya akan timbul rebut-merebut, tekan-menekan, jatuh-menjatuh dan tindas-menindas dikalangan manusia yang akan merosakkan perpaduan serta kasih sayang sesama mereka.
Makin maju manusia ini maka makin banyaklah perkara material dan duniawi untuk direbutkan. Oleh itu semakin maju manusia itu maka mereka akan semakin berebut-rebut, semakin berkrisis, mereka akan semakin bergaduh dan semakin berpecah sesama sendiri.
Di samping itu apabila nafsu terlalu berperanan untuk merebut dunia, maka akan tercetuslah sifat-sifat keji dan mazmumah dalam hati-hati manusia. Seperti sifat tamak haloba, hasad dengki, pemarah, bakhil, cinta dunia dan sebagainya. Inilah yang akan menyemarakkan lagi krisis dan pergaduhan di kalangan manusia.
Allah SWT ada berfirman di dalam Al Quran:
Maksudnya:
“Berpegang teguhlah pada tali Allah dan janganlah kamu berpecah-belah.”
(Surah Ali Imran: 103)
Ini membawa maksud bahawa perpaduan di kalangan umat manusia sangat bergantung kepada hubungan mereka dengan Allah SWT.
Kalau manusia boleh sama-sama berpegang kepada tali-tali Allah,
maka hati-hati mereka akan diikat oleh Allah
dan manusia akan menjadi bersatu padu dan berkasih sayang di antara satu sama lain.
Ada di kalangan ulama yang mentafsirkan tali-tali Allah itu sebagai syariat Allah itu sendiri. Mereka berkata, kalau manusia boleh bersatu di dalam menerima dan mengamalkan Al Quran dan As Sunnah ataupun syariat Allah itu maka mereka akan bersatu dan berpadu.
Namun demikian apa yang dapat kita lihat dalam realiti kehidupan, ini belum tentu boleh menjamin manusia akan bersatu-padu. Mungkin mereka boleh dilihat hidup bersama, bekerja bersama, beribadah bersama dan sama-sama bermasyarakat, tetapi belum tentu mereka dapat bersatu hati dan berkasih sayang. Mereka mungkin akan dapat bersatu dan berkumpul secara fizikal dalam satu kumpulan, kampung, jemaah dan sebagainya tetapi belum tentu hati-hati mereka terjalin dengan perasaan kasih sayang dan ukhwah Islamiah yang sebenar.
Justeru itu ada ulama yang mentafsirkan ‘tali-tali Allah’ ini bukan setakat berpegang kepada Al Quran dan As Sunnah dan syariat Allah semata-mata tetapi ialah rasa takut dan cinta kepada Allah yang tersemat di hati. Bila semua hati-hati manusia sudah rasa takut dan cinta kepada Allah, maka ini bermakna perasaan dan hati-hati mereka sudah terikat dan tertambat kepada satu ikatan yang sama iaitu kepada Allah SWT. Bila perasaan dan hati-hati manusia sudah terikat kepada satu ikatan yang sama iaitu kepada Allah, maka secara automatis hati-hati mereka akan bersatu-padu dan berkasih-sayang.
Siapa yang cinta kepada Allah akan mencintai segala makhluk Allah, lebih-lebih lagi manusia yang sejenis dengannya.
Ada Hadis yang bermaksud:
“Tidak benar cinta seseorang itu kepada Allah kalau dia tidak mencintai makhluk ciptaan Allah.”
Sajak
Rahsia Perpaduan
Cintailah Allah Tuhan pencipta manusia
Cinta sesama manusia akan terjadi dengan sendiri
Cintailah Allah, cinta manusia tidak perlu diperjuangkan
Dia akan tercetus secara automatis
Cintailah Tuhan, kasih sayang dan perpaduan sesama manusia akan terjalin
Takutilah Tuhan
Nescaya manusia akan takut melakukan kesalahan sesama manusia
Lebih-lebih lagi dengan Tuhan
Takutnya itu ia tidak akan melanggar perintah-Nya
Cinta dan takut dengan Tuhan rahsia perpaduan
Anak kunci kasih sayang sesama manusia
Kerana kasih sayang dan perpaduan adalah kerja jiwa
Bukan hubungan fizikal, fizikal mengikut sahaja
Apabila hati dan jiwa hubungannya dengan Allah begitu mesra
Automatik hubungan dan kemesraan sesama manusia terjalin sama
Rahsia itulah yang tidak diketahui oleh golongan sekular
Yang mengagungkan fikiran dan mengabaikan jiwa
Yang memuja akal tapi hatinya dimatikan
Fikirannya bercahaya tapi hatinya gelap gelita
Akibatnya kegelapan di dalam cahaya
Kerana cahaya terlalu terang membutakan matanya
Macam matahari terlalu kuat cahayanya
Tidak mampu mata memandang dan melihatnya
Begitulah golongan sekular
Kerana akalnya terlalu terang, membutakan hati atau jiwanya
Maka tersesatlah dia daripada kebenaran
Bergelaplah dia di dalam terang
Lepas Zuhur
4.10.99
Engkau Ingin Perpaduan Tapi Engkau Bawa Perpecahan
Engkau inginkan perpaduan
Cakap-cakap engkau membawa perpecahan
Engkau menyeru perpaduan dan kesatuan, sikap engkau memecah-belahkan
Engkau ajak umat bersatu padu, saranan engkau merenggangkan
Engkau mengingatkan rakyat jangan berpecah
Tapi pidato engkau menghentam orang
Engkau ajak umat Islam bersatu
Tapi pengikatnya engkau putuskan
Engkau ingatkan manusia jangan timbulkan perpecahan
Sikap engkau merobek-robek perpaduan
Engkau ingatkan kesatuan umat
Tapi pengikatnya engkau tidak tunjukkan
Fahamkah apa yang engkau cakapkan
Atau engkau hanya berangan-angan
Atau engkau menyorokkan kelemahan
Maka engkau pun menslogankan perpaduan
Agar rakyat menganggap engkau wira umat
Engkau mengajak rakyat bersatu-padu
Tapi engkau dalang perpaduan
Engkau bapa perpecahan
Ingatlah perpaduan terjadi bukan slogan
Bukan selalu di dalam perjumpaan dan pertemuan
Perpaduan terjadi ada tali pengikatnya
Iaitu sama-sama cintakan dan takutkan Tuhan
Syariatnya menjadi pakaian setiap umat Islam
Itulah dia anak kunci perpaduan
Selain itu hanya angan-angan
11.7.2001
11.25 malam
Bilakah Bangsaku Hendak Bersatu
Wahai bangsaku, bangsa Melayu bilakah kita hendak bersatu
Sudah lama kita merdeka belum lagi berlaku perpaduan Melayu
Kata-mengata di antara parti Melayu dengan parti Melayu begitu maju
Tuduh-menuduh, fitnah-menfitnah, hina-menghina sering berlaku
Rupanya atas nama bangsa jangan mimpilah hendak bersatu
Kerana bersatu dan berpadu itu ada anak kuncinya
Bangsa bukan anak kunci perpaduan, sekalipun orang Melayu
Wahai bangsaku bangsa Melayu!
Atas nama bangsa rupanya kita tidak boleh bersatu, janganlah menipu diri,
kita belum bersatu
Tapi kita ada agama, agama kita satu iaitu agama Islam dari Tuhan yang satu
Islam boleh mempersatukan kita jika Tuhan sama-sama kita takuti dan cintai
Jika Tuhan tempat rujuk kita, orang Melayu boleh bersatu-padu
Malangnya kita hampir-hampir sudah meninggalkan agama
Agama kita ambil hanya sekerat-sekerat sahaja
Kita ambil agama di sekitar ibadahnya semata-mata
Satu aspek daripada ajaran Tuhan kita
Itu pun Tuhan sudah tidak diambil kira
Ibadah pun bukan kerana keredhaan dan kecintaan kepada Tuhan
Ibadah hanya hendak cari pahala dan takutkan Neraka
Ibadah bukan hendak mencari Tuhan, tapi hendak mencari fadhilat
Maka konsep ibadah pun sudah dipesongkan oleh umat dan bangsa Melayu
Ibadah yang sudah kehilangan Tuhan tidak boleh mempersatukan kita orang Melayu
Anak kunci kasih sayang dan perpaduan adalah Tuhan
Jika Tuhan ditakuti dan dicintai itulah dia rahsia anak kunci perpaduan Melayu
Selama ini kita orang Melayu tercari-cari anak kunci perpaduan
Anak kuncinya adalah Tuhan, janganlah cari selain Tuhan akan menambah perpecahan
Mari kita promosi semula Tuhan
Hingga Tuhan ditakuti dan dicintai
Tuhan adalah anak kunci kasih sayang dan perpaduan
Tidak ada anak kunci kasih sayang dan perpaduan selain Tuhan
20.9.2004 – 4
Menjelang tidur
Formula Atau Kaedah Perpaduan
Cintakan Allah, membawa cinta sesama manusia
Cinta sesama manusia
membawa perpaduan sesama sebangsa
Cinta sebangsa membawa cinta sesama manusia
Baru kita tahu perpaduan itu diikat oleh
cinta manusia dengan Allah
Rahsia perpaduan adalah cintakan Allah
Allah Taala adalah tali pengikat perpaduan bangsa
Kalau bukan cintakan Allah,
cinta sesama manusia tak akan ada
Jika cinta sesama manusia tidak wujud,
perpaduan bangsa tidak mungkin menjelma
Formula atau kaedah perpaduan adalah cintakan Allah
Janganlah cari formula-formula atau kaedah selainnya
Perpaduan yang diikat oleh selain Allah
Adalah perpaduan yang reput dan rapuh
Untuk perpaduan bangsa
marilah kita perjuangkan cintakan Allah lebih dahulu
Setelah cintakan Allah, otomatis perpaduan akan berlaku
Janganlah perjuangkan perkara-perkara lain lebih dahulu
Kalau kita lakukan habis masa terbuang
perpaduan bangsa tidak akan menjadi kenyataan
Jangan syak lagi, jangan sangsi
Bahawa perpaduan bangsa itu
adalah cintakan Allah lebih dahulu
Perjuangkanlah Allah agar dia dicintai
Perpaduan bangsa akan berlaku secara realiti
17.11.2002 – 1
Selepas Tarawikh
Mencintai Tuhan Rahsia Perpaduan
Berjuang ertinya mengenalkan manusia, Allah adalah Tuhannya
Agar Tuhan disembah, diagung, dicintai dan diingati
Hingga manusia merasakan Tuhan adalah idolanya
Supaya hidupnya, matinya, tidak lain melainkan untuk Tuhannya
Untuk memuja dan membesarkan Tuhan, syariat adalah jalannya
Apabila Tuhan menjadi idola
Manusia berlumba-lumba mencintai Tuhan untuk keredhaan-Nya
Dari setiap manusia yang sama-sama mencari Tuhan, akan terjalin persaudaraan
Makin ghairah manusia mencintai Tuhan, makin rapat manusia berkawan
Ukhwah, perpaduan, adalah buah dari manusia sama-sama mencintai Tuhan
Kalau begitu persaudaraan tidak perlu dikumandangkan
Ukhwah tidak payah dislogankan
Kasih sayang sesama manusia tidak perlu disibuk-sibukkan
Berjuanglah mengajak manusia mencari Tuhan
Berjuanglah mengajak manusia mencintai Tuhan
Automatik persaudaraan terjalin
Automatik ukhwah dan perpaduan akan berlaku sesama insan
Itulah dia rahsia persaudaraan
Itulah dia rahsia ukhwah dan perpaduan
Iaitu manusia sesama manusia menjadikan Tuhan idolanya
Sama-sama meminati Allah sebagai Tuhannya
Mencari keredhaan Tuhan adalah rahsia perpaduan
Menjelang tidur
20.9.99
Marilah Mengekalkan Kasih Sayang Dan Perpaduan
Kawan demi perpaduan marilah kita bermaaf-maafan
Demi dapat mengekalkan kasih sayang marilah kita berlebih kurang
Kawan tidak ada kasih sayang dan perpaduan satu seksaan
Marilah kita bersama mengekalkan kasih sayang dan perpaduan
Sudah lama kita berbalah dan berpecah-belah
Banyak urusan kita terbengkalai dan terabai
Jika kasih sayang di antara kita dapat dicantumkan semula
Alangkah bahagianya kekuatan kita berpadu semula
Sudah lama kita menderita akibat tidak ada perpaduan
Tidak ada tali pengikat selain cintakan Tuhan
Iaitu cintakan dan takutkan Tuhan semesta alam
Selain Tuhan adalah tali yang rapuh, mari kita tinggalkan
Kawan jangan tunggu berpecah berlama-lama
Takkan tidak ada jalan penyelesaian
Sudah diperkatakan tadi, marilah bersama cintakan Tuhan
Cintakan Tuhan adalah jalan penyelesaian
Kawan jangan kita diri bermusuh-musuhan
Tidak siapa yang rugi kecuali kita umat Islam
Dari sekarang jangan bertangguh-tangguh lagi
Jadikanlah Tuhan tali pengikat kasih sayang dan perpaduan
8.3.2004 – 2
Selepas Zuhur
Punca Hilang Perpaduan
Megah dibelai kemudian disuruh umat berpadu
Megah itu adalah salah satu unsur-unsur perpecahan
Menunjuk-nunjuk kebesaran, kekayaan, kemampuan ia sangat dilarang
Kerana ia menyakitkan hati orang ramai
Ia juga salah satu unsur bertentangan dengan hati yang berperasaan
Payahlah hendak berlakunya perpaduan
Sombong lebih-lebih lagi dibenci oleh orang ramai
Adakalanya orang yang sombong itulah mengajak perpaduan
Padahal dia telah membawa perpecahan
Pemarah juga adalah salah satu penyakit pecah-belah
Pemarah menjadikan orang marah
Sifat pemarah orang takut hendak berkawan
Bagaimana pulalah hendak berlaku perpaduan
Kerana pemarah itu merenggangkan hati orang dengan orang banyak
Mementingkan diri, fikir diri sendiri juga orang benci
Orang susah dia tidak ambil peduli
Dia senang sendiri, makan sendiri, orang dia tidak peduli
Kerana perangainya mementingkan diri
Politik wang juga memecahkan perpaduan
Kerana sikap itu rakyat benci
Apatah lagi yang terlibat itu adalah para pemimpin walaupun tidak boleh dibukti
Sedangkan yang hendak mengajak perpaduan itu adalah para pemimpin
negara dan negeri
Ajakan pemimpin itu rakyat tawar hati
Padahal perpaduan itu adalah ikatan hati, bukan fizik
Kalau hati rakyat sudah ramai yang luka, ajakan pemimpin itu rakyat tawar hati
Oleh itu para pemimpin mestilah menjadi contoh lebih dahulu
Wibawa para pemimpin kenalah jaga
Jangan sampai cacat pada pandangan orang ramai atau rakyat jelata
Nanti lidah sudah tidak masin
Kalau lidah para pemimpin sudah tidak masin payahlah rakyat hendak dipimpin
23.10.2004 – 1
Menjelang Isyak / selepas Maghrib
Allahyarham Ust. Ashaari.