Ahad, 9 September 2012

Siapa Ulamak Pewaris Nabi ?

dipesisiran pantai Sumatra, sekitar 100 tahun dahulu, usaha2 menegakkan Islam disana dibuat oleh kumpulan Syeikh Abdul Wahab Rokan yang mengamalkan tariqat Naqsyanbandiah. Mereka berjaya membangunkan sekolah,kampung sendiri, estet, rumah anak yatim dan mempunyai percetakan sendiri.Mereka juga menghantar wakil ke muktamar Islam luar negeri dan dapat mendidik raja negeri Langkat.


“Ulamak itu adalah pewaris nabi.”

Itulah kenyataan Rasulullah 1400 tahun yang lampau. Itulah juga modal bagi para ulamak ke sana ke sini.Mereka mengaku pewaris nabi. Mereka menjaja kepada orang kebanyakan bahawa merekalah pewaris nabi. Sebab mereka ulamak dan sudah dikatakan Rasulullah sebegitu rupa. Tetapi malangnya hari ini, kita tidak nampak yang kebanyakan ulamak yang mengaku ulamak itu pewaris nabi. Ini kerana kalaulah dikatakan pewaris nabi, sudut bagaimanakah yang dikatakan pewaris nabi ?

Sudut ilmu, adakah ilmu mereka benar-benar mewarisi ilmu nabi yakni Rasulullah ?
Sebabnya ilmu yang Rasulullah bawa itu global. Tidak tertumpu pada satu-satu bidang ilmu sahaja. Ilmu Rasulullah itulah ilmu Iman, Islam dan Ihsan. Atau dalam ertikata lain, akidah, syariat dan tasauf. Ulamak hari ini, kalau alim tentang tasauf, tasauf sahaja. Kalau akidah, akidah sahaja. Kalau syariat, syariat sahaja. Kalaupun belajar dan alim semua, berapa kerat sahaja. Itupun tak pula dapat menggunakan ilmu-ilmu tersebut dalam bentuk pakej. Sehingga ilmu itu benar-benar berperanan menghuraikan persoalan isu semasa. Sehingga daripada ilmu itu, terungkai pelbagai masalah umat Islam.

Sudut ibadah, adakah mereka beribadah seperti Rasulullah ?
Sudahkah mereka mewarisi sifat Rasulullah yang sangat menjaga sembahyang, mengutamakan sembahyang di awal waktu, sembahyang berjemaah, sembahyang secara tertib dan cukup berhalus dalam soal sembahyang ? Ibadahnya juga bukan sekadar ibadah tetapi memberi kesan pada jiwa sehingga nampak kesannya dalam kehidupan sehariannya. Rasulullah itu juga istiqamah bangun dari tidur untuk mengerjakan tahajjud dan witir di samping banyak merintih di malam hari.

Sudut rohaniah Rasulullah bagaimana pula ?
Rasulullah itu sabar orangnya, sangat pemurah, bertolak ansur, pemaaf, berkasih sayang dan tawadhuk ? Bahkan yang paling hebat pada Rasulullah itu dia sangat kenal, cinta dan takut kepada Tuhannya. Apakah sudah ulamak mewarisi rohaniah Rasulullah seperti itu?

Sudut perjuangan, adakah mereka benar-benar berjuang mewarisi perjuangan Rasulullah ? Perjuangan Rasulullah menegakkan Islam bermula daripada diri dan keluarga. Apakah diri ulamak, isteri dan juga keluarga sudah diislamkan sehingga mencapai tahap seperti yang Tuhan kehendaki ?

Rasulullah juga berjuang di dalam jemaah. Apakah mereka mengikut Rasulullah membentuk jemaah atau setidak-tidaknya menyertai jemaah? Yang mana jemaah itu di dalamnya tertegak sistem Tuhan baik ekonominya, pendidikannya, kemasyarakatannya, pentadbirannya, perhubungannya dan juga kebudayaannya.Yang mana jemaah itu melagangkan Islam ditengah-tengah masyarakat sehingga berperanan mempengaruhi masyarakat sekeliling.

Cukuplah sedikit gambaran diberi, tidak semudah itu ulamak boleh mengatakan yang mereka itu mewarisi nabi...


Bandingan orang yang tidak mengamalkan ilmunya.

Bandingan seorang yang tidak mengamalkan ilmunya, hanya sekadar disyarah-syarah dan dikertas-kejakan ialah bagai seorang doktor yang tahu ubat dan teori pengubatan sebarang jenis penyakit, tapi pengetahuan itu tidak dipraktikkan. Akibamya, tidak seorang pun pesakit yang dapat disembuhkan.

Berapa ramai hari ini cerdik pandai Islam dengan berbagai jawatan dan kedudukan, dengan ilmu Islamnya yang tinggi, diiktiraf pula oleh berbagai universiti di dunia, dalam dan luar negeri. Yang mereka itu rajin pula memperkatakan bahkan  memperjuangkan Islam melalui lisan dan tulisan, disyarahkan, dibahaskan, ditempikkan atau ditulis dan dikertas-kerjakan, tapi Islam tetap dan terus tidak diamalkan.

Islam yang syumul, mencakup seluruh bidang hidup (bermula daripada mengucap dua kalimah syahadat, sembahyang, puasa, zakat, haji yakni hukum-hukum fardhu ain,dihias pula oleh perkara-perkara sunat ain yang beribu banyaknya, ditambahkan dengan hukum-hukum fardhu kifayah seperti membangunkan sistem pendidikan, budaya, perubatan,perhubungan, muamalah, munakahat, siasah dan serba  macam lagi diperluaskan dengan perkara-perkara sunat kifayah yang ribuan banyaknya), tidak pernah dibangunkan oleh mereka itu walaupun di dalam satu masyarakat kecil di sekitar kediaman mereka iaitu sebagai contoh kepada masyarakat umum tentang bentuk Islam yang mereka syarah-syarahkan itu.

Sekurang-kurangnya sebagai hasil syarahan itu cukuplah kalau diajak kawan-kawan seperjuangan membangunkannya, supaya pencinta-pencinta Islam tidak lagi terlibat dalam sebarang system yang bukan Islam.

Tapi itu pun belum mereka lakukan. Hingga tertanya-tanyalah manusia, bagaimana dan bilakah teori Islam yang mereka syarah dan bahas itu hendak mereka mulakan dalam hidup mereka dan harakah mereka sekurang-kurangnya.Sedangkan tanda-tanda untuk bermulanya kebangkitan yang mereka harapkan itu makin malap. Mana Cukup kebangkitan Islam setakat pakai serban,pakai tudung kepala, mengaji, berusrah, bermuktamar, mesyuarat  agong dan forum saja.Kalaulah wajah Islam itu tinggi dan besarnya bagai gunung maka pakai serban dan tudung kepala itu ertinya barulah membangunkan sebuah busut. Mana lebihnya yang masih banyak lagi itu ?

Perjuangan Islam bukan setakat mensyarahkan Islam tapi yang lebih penting ialah menegakkannya. Kalau usaha-usaha praktikal langsung tidak ada, apa beza dengan musuh Islam ( para orientalis ) yang turut menulis buku Islam bahkan mensyarahkannya?

Islam bukan untuk di‘mental exercise’kan. Ia adalah sistem hidup yang mesti dilakukan sepanjang hidup.Kalaulah kita gagal berbuat demikian, maka samalah kita dengan seorang doktor yang hafal semua teori perubatan tapi tidak mempraktikkannya.

Berjayakah doktor itu terhadap pesakitnya ?
Terhadap dirinya dan terhadap cita-cita Perjuangannya ?


Peranan Ulama Sebenarnya

RASULULLAH SAW bersabda:
Setiap anak dilahirkan dalam keadaan bersih (bagaikan kain putih), sesungguhnya ibu bapanyalah yang mencorakkannya sama ada jadi Yahudi, nasrani atau majusi.

(Riwayat Al Bukhari dan Muslim)

Yang putih bersih bagaikan kain putih itu ialah fitrahnya. Manakala fitrah itu selari dengan ajaran Islam. Sebab itu Islam disebut juga agama fitrah. Yang mana ajarannya sesuai dan selari dengan kecenderungan fitrah murni manusia. Bila ajaran Islam melalui Al Quran dan Hadis ditolak, maka manusia pun dikotori oleh segala  macam kekarutan jahiliah yang didedahkan kepadanya. Hingga akhirnya manusia  hidup bertuhankan nafsu dan syaitan. Tunduk pada sebarang kehendak nafsu dan menolak semua perintah dan larangan ALLAH.

Keadaan mereka disebut oleh ALLAH dalam firman
Apakah tidak engkau perhatikan mereka yang mengambil nafsu sebagai tuhannya. ALLAH biarkan mereka sesat dalam ilmu (mereka). Ditutup pendengaran dan hati mereka,dan dijadikan penglihatannya kabur.

(Al  Jasiah: 23)

Inilah yang sedang melanda dunia seluruhnya hari ini.Zaman jahiliah kedua berulang dan sedang membawa manusia kembali kepada zaman sebelum kelahiran Rasulullah SAW. Bahkan keganasan jahiliah kali kedua inikelihatan lebih dahsyat lagi.Tetapi Rasul sudah tidak ada lagi;

sudah muktamad bahawa NabiMuhammad SAW adalah Rasul penutup.Siapa kata selepas Nabi Muhammad ada nabi lagi, rosaklah aqidahnya,kerana menafikan Al Quran dan Hadis.

FirmanAllah SWT:
Bukanlah Muhammad itu bapa kepada lelaki kamu, akan tetapi dia adalah penyudah (penutup )segala nabi.

(Al Ahzab: 40)

Sabda Rasulullah SAW:
Sesungguhnya akan lahir pada umatku seramai 30 orang pendusta, kesemua mereka mendakwa sebagai nabi.Sebenarnya aku adalah Nabi penyudah tiada nabi selepas itu.

(Riwayat At Tarmizi)

Jadi siapakah yang akan menjadi Muhammad kedua untuk menghadapi jahiliah kedua ini ?

Yang pasti zaman jahiliah ini akan hancur.ALLAH telah berjanji melalui lidah
Rasul-Nya bahawa sebelum Qiamat, Islam akan bangkit semula sekali lagi di dunia. Soalnya siapakah yang bakal menerajuinya ?

Ya, Al Quran dan Hadis memang ada.Tidak akan sesat siapa yang mengikuti keduanya, kata Rasulullah SAW.

Tapi siapa pula yang akan jadi Al Quran bergerak yang akan memimpin umat kembali kepada Sunnah Rasulullah SAW dan masyarakat salafussoleh ?
Jawabnya ialah ulama.

Yakni orang-orang yang diberi ilmu Al Quran dan Hadis serta keupayaan untuk melaksanakan keduanya. Merekalah orang-orang yang akan mengulangi kerja-kerja Nabi di zaman tidak ada nabi lagi ini.Di tangan merekalah masyarakat akan kembali pada ALLAH dan meninggalkan kehidupan jahiliah Rasulullah menamakan mereka ini sebagai waris-warisnya.

Sabda baginda:
Ulama’adalah pewaris para nabi.
(Riwayat Abu Daud dan At Tarmizi)

Apakah yang mesti dibuat oleh para alim ulama ini dalam tugasnya sebagai waris Rasulullah ?

Tentunya menjalankan kerja-kerja yang pernah dibuat oleh Rasulullah. Yakni kerja-kerja yang boleh membawa manusia dari kejahilan kepada alam Islam. Agar mereka kembali menyembahkan diri kepada ALLAH, melaksanakan perkara-perkara disuruh dan  meninggalkan yang ditegah. Agar hidup mereka selamat dari kesesatan dunia dan Akhirat.

Dengan izin ALLAH, saya akan cuba menyenaraikan langkah-langkah tugas yang patut diikut oleh para ulama dalam usaha menjejaki langkah-langkah Rasulullah.Moga-moga para ulama benar-benar dapat menjadi pewaris baginda.

Rasulullah memulakan kerjanya seorang diri dengan berdakwah dari rumah ke rumah, dari seorang ke seorang.Waktu itu Cuma baginda seorang saja yang Islam, orang lain semuanya kafir. Jadi Rasulullah membawa mesej tauhid dan aqidah. Ayat-ayat Al Quran surah Makkiah dijadikan tajuk dakwahnya. Bukan senang nak mengajak seorang yang tidak percaya pada ALLAH, Hari Qiamat dan segala yang ghaib itu kepada mempercayainya.

Maka sesusah itulah Rasulullah menghadapi segala macam risiko, fitnah, cacian, kesakitan dan kesusahan. Selama 13 tahun, baginda Cuma dapat mengumpul 313 orang Sahabat untuk beriman bersamanya. Malangnya mereka dihalau keluar dari Makkah oleh orang-orang Makkah yang menentangnya. Membawa dirilah mereka berhijrah dengan segala susah payah menuju ke Madinah. Alhamdulillah, di sana mereka disambut baik oleh orang-orang Ansar yang sudah tahu tentang mereka.Maka bermulalah negara kecil Islam di Madinah yakni gabungan hidup antara orang-orang Ansar dan Muhajirin. Perlu diingat, tugas Rasulullah SAW bukan selesai setakat berdakwah, mengajar dan mendidik. Baginda juga mengusahakan pembangunan tamadun material sesudah kerja-kerja pembinaan insaniah berhasil pada setiap individu masyarakatnya.

Di Madinah, baginda membangunkan masyarakat Islam.Di kota kecil tempat Sahabat-Sahabat berkumpul dan hidup bersama itu, baginda menyusun program dan jadual hidup orang-orangnya. Kegiatan sosial, budaya, ibadah, ekonomi, politik, akhlak, pendidikan, keselamatan, perhubungan, pertanian, kesihatan, pemakanan, ternakan dan serba-serbi  keperluan hidup harian generasi bertaqwa itu dibangunkan tepat seperti kehendak ALLAH. Yang tentunya begitu asing dengan apa yang sedang dilakukan dan dibangunkan oleh masyarakat sekitar yang masih hidup cara jahiliah.Bermulalah pertembungan budaya dan tamadun Islam dengan jahiliah.Yang memberi dua kesan besar iaitu:

a. Ramai yang tertarik dan mengikut Rasulullah.
b. Ramai pula yang benci dan menentangnya.

Pertembungan inimemarakkan lagi kebangkitan Islam diTimur Tengah itu sehingga kemuncaknya musuh-musuh terlalu sakit hati.Lalu mereka mengundang Rasulullah ke medan perang.Di masa yang sama Islam kian meluaskan sayapnya ke benua lain di dunia. Akhirnya musuh tersungkur dan tempatnya diambil alih oleh Islam di ¾ bahagian dunia ini.

Barulah selesai tugas-tugas kenabian dan Sahabat-Sahabatnya. Mereka pulang ke hadrat ALLAH dengan membawa kejayaan dan kemenangan Ukhrawi dan duniawi.

Ulama para pewaris nabi-nabi sepatutnya bekerja macam Rasulullah bekerja itulah. Tugas Rasul itu diwariskan kepada ulama di waktu tiada lagi rasul di kalangan umat. Ulama mesti merasakan tugas ini begitu besar dan mulia, dan mereka beruntung kerana terpilih untuk mewarisi hak-hak kenabian. Sepatutnya umat Islam berlumba-lumba menduduki tempat istimewa sebagai pewaris nabi di dunia dan Akhirat.Memang kerja ini tidak mudah sebab ianya terlalu mulia dan tinggi. Kerja yang mudah-mudah itu semuanya bernilai murah dan rendah.Ulama sebaik-baiknya berperanan seperti yang berikut ini,yakni menuruti jejak-jejak para nabi:

1. Mendidik diri dan keluarga untuk menjadi peribadi dan keluarga Islam contoh di kalangan masyarakat. Kalau diri dan keluarga tidak dapat dijadikan contoh kepada masyarakat, jadilah ia seperti bapa ketam yang menyuruh anaknya berjalan betul sedangkan  ia sendiri tidak melakukannya.Maka mustahil bagisi anak untuk mengikutinya. Sebab itu langkah awal bagi kejayaan perjuangan Islam itu ialah membangunkan keluarga Islam.

2. Kalau satu keluarga saja yang mahu melaksanakan Islam, tentu tidak dapat dilakukan dengan sempurna.Sebab banyak dari kehidupan inimesti dilakukan secara berjemaah. Untuk membangunkan jemaah yang dapat melaksanakan kehidupan Islam, kenalah para ulama mengumpul kawan-kawan yang akan menjunjung cita-citayang sama. Ertinya kenalah berdakwah dan seterusnya mendidik anggota masyarakat ke arah melaksanakan cita-cita Islam itu.

Ada orang kata umat Islam tidak payah didakwah dan dididik lagi, sebab mereka sudah Islam. Zaman Rasulullah dulu bolehlah. Sebab masyarakat itu belum Islam.  Atas pendapat inilah maka mereka berjuang untuk negara Islam. Sebab Rasulullah pun telah menegakkan negara Islam, kata mereka. Mereka ini terlupa agaknya bahawa umat Islam yang ada hari ini jauh bezanya dengan umat Islam di zaman Rasulullah. Islam mereka Islam baka, yang mana nama saja Islam tapi hukum-hakam Islam tidak dipedulikan. Tiang agama pun tidak cukup ditegakkan, bagaimana kita mahu ajak mereka menegakkan hukum-hakam yang lain ?

Sebab itu dakwah dan tarbiah amat perlu sekali.Tarbiah insaniah dengan roh tauhid sehingga mereka benar-benar cinta ALLAH dan rindukan kampung Akhirat. Dari situ baru mereka bertenaga untuk melaksanakan segala perintah ALLAH dan meninggalkan laranganNya.Bila sudah terkumpul kawan yang sudah terdidik dengan iman dan syariat Islam, gemblengkan tenaga untuk memulakan kegiatan sosial, budaya, ekonomi, pendidikan, perhubungan dan serba-serbi bidang kehidupan yang diperlukan oleh masyarakat.

Ada orang kata, buat apa hendak bangunkan semua itu. Sebab semuanya sudah ada. Sekolah sudah ada, klinik sudah ada, ekonomi sudah ada, pendeknya semuanya sudah ada.Tidak payah bangunkan yang baru.Rumah sudah ada.Buat apa nak bangunkan yang baru. Ubah saja yang ada kepada Islam Senang ke ?
Mana lebih senang nak ubah rumah lama jadi baru dengan buat rumah baru ?

Saya ingat baik buat baru. Jangan-jangan buat rumah baru itu lebih cepat daripada hendak rombak rumah lama. Atau sekurang-kurangnya begini Buat satu rumah baru sebagai model,supaya ada contoh untuk panduan bagi orang-orang yang hendak baiki rumah  lama itu.Kalau model pun tidak ada, sulitlah bagi para pekerja untuk menentukan bentuk rumah yang dikehendaki dari rombakan yang dibuat.

3. Tentang membangunkan jemaah ini,perlu diingat bahawa

Rasulullah berpesan dengan sabdanya:
Wajib bagi kamu berjemaah, sesungguhnya tangan (bantuan) ALLAH kepada yang berjemaah.

Sebab dalam jemaahlah kita boleh praktikkan Islam bersama.Kalau sorang-sorang susah, lagipun macam mana hendak sembahyang jemaah kalau tidak ada jemaah.Segala aktiviti fardhu kifayah itu mesti dikerjakan secara berjemaah. Misalnya kegiatan ekonomi Islam, pendidikan Islam, kebudayaan Islam dan lain-lain lagi. Tetapi kalau ada jemaah pun, sedangkan tidak dibangunkan apa-apa sistem Islam bersama-sama, tidak bermakna juga jemaah itu. 

Macam orang ada bakul tetapi tidak ada isi. Apa ertinya bakul itu ?
Kalaulah setiap jemaah yang dibangunkan oleh ulama yang benar-benar mewarisi tugas Rasul itu membangunkan cara hidup Islam dalam jemaah mereka, umat Islam sudah boleh berdiri sendiri atas nama Islam.Bahkan akan memiliki kekayaan tamadun dan identiti yang membanggakan.

Banyak jemaah tidak mengapa.Banyak jemaah bukan bermakna tidak bersatu, yakni berpecah-belah. Kalau tidak betul caranya, dalam satu jemaah pun berpecah-belah. Sebab erti bersatu menurut Islam ialah berpegang teguh dengan tali ALLAH. Bukannya bersatu itu mesti berada dalam satu jemaah.Bila semua orang melaksanakan syariat ALLAH, walaupun berada di lain-lain tempat dan lain-lain jemaah, mereka itu hakikatnya satu.Satu cara, satu fikiran, satu sikap dan satu hati.

Kalaulah bertemu dua orang Islam dari dua buah negara dan jemaah yang berbeza, tapi  masing-masing kuat berpegang pada syariat ALLAH, pasti di antara mereka akan ada rasa kesamaan, terikat dan bersatu.Tetapi anggota dari satu jemaah pun, kalau yang satu sembahyang, satu lagi tidak, umpamanya, nescaya mereka itu tidak boleh bersatu.

cara membangunkan Islam itu ialah bila sudah berjemaah, ramai-ramai berpakat membina sistem hidup Islam bersama-sama dalam jemaah. Memanglah mula-mulanya kecil-kecilan tetapi lama-lama tentu ia membesar.

Itu ialah Sunnatullah yang tidak payah dipertikaikan.


Ustaz Ashaari Muhammad

Tiada ulasan:

Catat Ulasan