Isnin, 6 Ogos 2012

Kuliah Al Fatihah: Ayat ke 5 - Iyyakana'budu waiyya kanasta'in



Anak-anakku yang dikasihi sekalian,
Bismillahi rahmanir rahim

Alhamdulillah,dapat lagi kita menyambung kuliah tafsir Al Fatihah. Moga-moga Tuhan beri kita ilmu supaya kita dapat menghurai intipati dalam Surah Fatihah ini.

''Akan Engkaulah yang kami sembah dan akan Engkau lah yang kami meminta pertolongan.''

Di sini ada dua perkara iaitu:
1) Tuhan tempat kita menyembah
2) Tuhan tempat kita meminta pertolongan

Mengapa ayat ini merupakan [diletakkan] sebagai ayat yang ke empat ? [Dikira sebagai Ayat kelima bila kita mengambil Bismillah sebagai ayat pertama]

Adalah tidak munasabah kalau diletak di awal atau diletak selepas Bismillah, terutamanya  kerana roh kita belum dapat melihat lagi siapa Tuhan itu sebenarnya sejauh mana had kuasaNya. Sejauh mana nikmat dan rahmat Nya. Sejauh mana ke”MAMPU”an Nya, apakah Tuhan itu segala-galanya, setakat mana kuasa Nya.

Bagaimana jika tiba-tiba terus bercakap mengenai hendak menyembah Tuhan, sedangkan kita belum kenal Tuhan. Kita selalunya sekadar tahu adanya Tuhan tetapi kita tidak tahu sejauh mana Kebesaran dan Ke’mampu’an Nya. Kita tidak tahu sejauh mana keperluan kita terhadap Tuhan maka tidak munasabahlah kalau ayat itu diletak di depan. Jadi Tuhan susun ayat dengan susunan sebegitu dengan ada maksud di sebaliknya.

Kita telah menceritakan kasih sayang dan nikmat Tuhan yang begitu banyak, yakni apabila kita bahaskan Bismillah. Kemudian kita bahaskan pula bahawa patut Tuhan itu di puji iaitu memuji Zat Nya yang sungguh luar biasa, yang tidak ada tandingan, yang mana kita faham sifat kesempurnaanNya yang tiada kesudahan.

Nikmat-nikmat Allah bersifat lahir, akliah dan rohaniah. Sedar atau tidak, semuanya  ada berhubungkait dengan kita. Setelah itu, kita bahas betapa hebatnya pentadbiran Tuhan dengan sistemnya yang begitu rapi yang mana, sekali Tuhan cipta maka tiada perubahan lagi, tidak tersilap lagi.

Setelah itu kita bahas dan fahami bagaimana Tuhan memberi nikmat atas dasar Rahman atau dasar rahim. Atas dasar pemurah dan kasih sayang. Nikmat yang diberi adalah atas dasar pemurah, itu istidraj atau dari murka Tuhan tetapi murka Tuhan tanpa emosi. Emosi itu perasaan.manusia !! Maha suci Tuhan dari ada perasaan dan hati. Tetapi Tuhan itu ada kasih sayang tersendiri. Kasih sayang kita terasa di hati. Kalau kita marah kita beremosi, itu adalah nafsu. Tuhan tidak begitu! Pemurahnya tersendiri. Kasih sayang Nya pun tersendiri tanpa perasaan dan emosi. Kasih sayangNya bukan seperti  makhluk.

''Malikiyau middin'' itu pula menceritakan kuasa Tuhan yang begitu mutlak. Nampak kuasa dan keadilan Nya.

Setelah semua itu kita faham, barulah Tuhan minta kita menyembah Nya dan apabila hendak meminta tolong, Dia suruh kita meminta tolong denga Nya. Setelah berbahas, cukup logiklah Hanya Allah satu-satunya Tuhan dan Dialah  tempat meminta. Pada Allah ada segala-galanya.

Sebab itulah ayat itu diletak ditempat ke-empat di dalam Al Fatihah. (Ayat kelima bila kita mengambil Bismillah sebagai ayat pertama) Kita pun berpuas hati. Amat patutlah Tuhan itu disembah dan munasabahlah Dia tempat kita meminta pertolongan. Logik sangat untuk akal dan hati kita  menerima. Marilah sama-sama kita buat pengakuan untuk surrender. Kita hendaklah membuat pengakuan bahawa kita adalah hamba Allah dan Allah itu Tuhan kita. Kita perlu kepada Tuhan. Kita perlu meminta kepada Tuhan



Tiada ulasan:

Catat Ulasan