Isnin, 27 Februari 2012

Indahnya Kalau Tuhan Dikenali



Untuk mendapatkan kebahagiaan sangat susah. Kesenangan adalah perkara luaran, tidak mesti orang yang senang itu tenang dalam hidupnya. Kemudahan hidup juga perkara lahiriah, orang yang mempunyai banyak kemudahan tidak mesti bahagia.

Tenang dan bahagia adalah perkara dalaman. Tenang dan bahagia adalah sifat hati atau jiwa. Tenang dan bahagia tidak mungkin didapat dari harta, pangkat, nama dan glamour. kita lihat sendiri, bahkan orang yang berharta, berpangkat, ada nama dan glamour, selalu saja sakit jiwa. Hidup gelisah, resah dan keluh-kesah, efek sampingnya dia selalu marah-marah.

Tenang dan bahagia itu adalah cinta kepada Zat yang Maha Agung, Tuhan pencipta manusia, yang mempunyai segala-galanya. Siapa yang dapat mencintai-Nya tidak ada kecewanya. Mencintai-Nya tidak menjemukan. Mencintai dunia dan nikmatnya sudah tidak ada artinya karena Tuhan itu adalah segala-galanya. Mendapatkan Tuhan artinya mendapatkan segala-galanya.

Tapi Umat Islam rata-rata tidak kenal Tuhan. Kalau kenal pun, setakat boleh mengesahkan akidah sahaja. Iaitu akidah setakat cukup makan. Supaya tidak jatuh kafir.

Sebab itu hubungan kebanyakan umat Islam dengan Tuhan tidak baik, tidak indah dan tidak murni. Sentiasa ada buruk sangka dengan Tuhan. Sentiasa merasakan Tuhan tidak patut, tidak adil, Tuhan zalim terutama kalau kita miskin, kita sakit atau kita hina dan sebagainya. Perasaan seperti ini sentiasa di hati. Mungkin tidak terkeluar di mulut tetapi ia sentiasa bermain di hati. Kalau tidak kenal Tuhan, hubungan dengan Tuhan boleh jadi cacat.

Kalau kita betul-betul kenal Tuhan, ianya cukup indah. Kalau kita faham kerja Tuhan dan tahu pula peranan Tuhan dalam hidup kita, ia cukup menenangkan dan membahagiakan kita. Kita tidak akan dapat lari daripada mencintai Tuhan kerana akan terbukti bahawa Tuhan itu amat baik, Maha Adil dan Maha Pemurah dan pengasih terhadap hamba-hamba-Nya.

Betullah seperti kata pepatah Melayu 'tak kenal maka tak cinta'. Tuhan mencipta, manusia itu dalam berbagai-bagai keadaan Ada yang kuat dan ada yang lemah. Ada yang pandai, ada yang bodoh. Ada yang cerdik, ada yang dungu. Ada yang berkua ada rakyat jelata. Ada yang mulia, ada yang hina. Ada yang kaya dan ada pula yang miskin. Tuhan cipta segala-galanya itu berpasang-pasang.

Di dalam sunnah Tuhan yang mencipta sesuatu itu berpasang-pasang terkandung seribu satu macam hikmah untuk kebaikan manusia itu sendiri.

Cuba kita bayangkan kalau Tuhan cipta siang tanpa malam atau malam tanpa siang. Kalau Tuhan cipta panas tanpa hujan atau hujan tanpa panas. Kalau Tuhan cipta daratan tanpa lautan atau lautan tanpa daratan. Akan kucar-kacirlah hidup manusia Bahkan mungkin manusia langsung tidak boleh hidup. Itulalah hikmah Tuhan mencipta sesuatu itu berpasang-pasang.

Mari kita ambil satu contoh dari keberadaan manusia iaitu orang kaya dan orang miskin. Memang kebanyakan orang suka jadi kaya dan tidak suka malahan benci jadi miskin. Ini kerana ramai orang tidak faham kerja Tuhan. Kalau faham kerja Tuhan ramai pula nanti orang yang memilih untuk jadi miskin seperti ahlul suffah di Madinah di zaman Rasulullah SAW. Hingga mereka itu digelar 'merpati masjid'.

Ahlul suffah ini bukan orang-orang miskin tetapi orang orang yang memilih untuk hidup miskin. Sebanyak mana pun harta dan kekayaan yang mereka dapat, sekejap sahaja dikorbankan ke jalan Allah supaya mereka boleh terus hidup miskin. Mereka tidak meminta-minta dan tidak pula menyusahkan orang lain. Mereka faham bahawa mereka lebih selamat dan lebih banyak mendapat kebaikan menjadi orang miskin

Tuhan cipta orang kaya dan orang miskin - itu adil. Malahan ia lebih baik dari adil. Ia sebenarnya satu rahmat. Apabila wujud orang kaya dan orang miskin maka tercetuslah kehidupan bermasyarakat kerana mereka saling perlu memerlukan. Wujud interaksi dan kerjasama antara orang kaya dan miskin. Orang miskin berkhidmat kepada orang kaya untuk dapat gaji dan imbuhan. Orang kaya memerlukan khidmat dan tenaga orang miskin untuk hidup seperti orang kaya. Orang kaya keluarkan modal untuk industri dan perusahaan. Orang miskin jadi pekerja.

Orang miskin jadi petani, penternak dan nelayan untuk membekalkan makanan kepada rakyat termasuk orang kaya. Orang kaya tidak akan mahu membuat kerja-kerja seperti itu. Oleh itu kita lihat, kaya dan miskin adalah asas pembinaan sesebuah masyarakat. Orang miskin akan susah tanpa orang kaya. Orang kaya pula tidak ada ertinya menjadi kaya kalau orang miskin tidak ada. Kalau dalam sesuatu masyarakat itu hanya ada orang miskin sahaja dan tidak ada orang kaya, hidup akan jadi susah. Namun kalau dalam sesuatu masyarakat itu hanya ada orang kaya sahaja dan tidak ada orang miskin, hidup akan jadi lebih susah.

Orang kaya memang boleh membantu orang miskin dan orang susah. Tetapi tanggungjawab ini besar dan berat. Kalau orang kaya tidak tunaikan tanggungjawab ini, Tuhan murka. Orang miskin, kalau sudah sembahyang lima waktu, sudah dianggap bersyukur. Orang kaya, kalau sudah sembahyang lima waktu pun, belum lagi dianggap bersyukur selagi tanggungjawab terhadap orang miskin tidak ditunaikan atau tidak selesai.

Orang miskin tidak perlu tolong orang susah. Itu bukan tanggungjawab dia. Walaupun dia miskin dan hidup serba kekurangan, dia dapat banyak keuntungan di tempat lain.

Contohnya:
Dua rakaat sembahyang orang miskin lebih baik dari 100 rakaat sembahyang orang kaya.
Orang miskin, kalau dia sabar dengan kemiskinannya, akan dapat banyak pahala.
Apa yang dikehendaki atau dihajati oleh orang miskin, kalau dia tidak dapat lantaran kemiskinannya, Tuhan hapuskan dosanya atau Tuhan beri dia pahala.

Justeru itu, kalau betul-betul kenal Tuhan dan faham kerja Tuhan, miskin pun bahagia. Kaya tidak apa, miskin pun tidak apa. Sihat tidak apa, sakit pun tidak apa. Ada kuasa tidak apa tidak ada kuasa pun tidak apa. Semuanya indah belaka. Tidak ada buruk sangka dengan Tuhan.

Tidak ada rasa Tuhan itu tidak adil, tidak patut atau zalim. Apa pun ketentuan Tuhan untuk kita, sama ada baik ataupun buruk, semuanya elok belaka.

Lebih baik kita kenal Tuhan walaupun kurang ibadah dari
banyak ibadah tapi tidak kenal Tuhan.

Yang penting ialah kenal Tuhan. Ibadah jatuh nombor dua kerana Tuhan lebih penting dari ibadah. Kenal Tuhan dan rasa bertuhan itu hakikatnya adalah ibadah juga. Ia adalah ibadah hati atau ibadah rohaniah yang jauh lebih tinggi nilainya dari ibadah lahiriah.


Nikmat Tuhan Yang Paling Berharga

Marilah kita berfikir tentang nikmat Tuhan
Agar kita boleh bersyukur dan malu kepada-Nya
Sedarlah kita, lebih banyak nikmat yang kita tidak minta diberi
Yang kita minta tidak dikabuli sedikit sahaja

Tapi kita tidak sedar apa yang berlaku kepada diri kita
Bahkan nikmat yang diberi yang tidak diminta,
lebih berharga daripada yang kita minta sama ada dikabuli atau tidak:

Wujudnya kita, satu nikmat yang besar tanpa kita minta
Iman dan Islam yang ada pada kita lebih besar lagi tidak kita minta juga
Kerana kita lahir daripada ibu bapa yang sudah sedia menerimanya
Kita pun terus menyambungnya, cuma kita diperintah berusaha menyuburkannya

Otak dan hati nurani bukankah juga kita tidak memintanya ?
Mata, telinga, hidung dan mulut dan segala jawarih adakah kita memintanya ?!
Tidak perlu saya menjawabnya
Juga nafas turun naik Tuhan anugerahkan tanpa memintanya

Yang kita usahakan dan yang kita minta dapat, murah sangat nilainya
Di antaranya pangkat, wang ringgit, kesihatan, suami atau isteri dan anak-anak
Juga rumah, pakaian, pinggan mangkuk dan perhiasan yang ada
Selain ini tidak payahlah disebut lagi, sangat murahnya nilainya

Mengapa kita tidak terfikir selama ini
nikmat yang diberi yang tidak kita minta
lebih besar nilainya bahkan lebih banyak

Mana lebih besar nikmat wujudnya kita yang kita tidak minta
dengan wang ringgit yang kita usaha dan minta?
Juga iman dan Islam yang kita tidak minta,
mana lebih besar daripada pakaian dan perabot?
Nafas turun naik yang kita tidak minta,
mana lebih utama daripada suami atau isteri kita?
Semua orang boleh menjawabnya

Oleh itu jika ada yang kita minta tidak dikabulkan oleh Tuhan kita
Tak usahlah susah hati kerana yang tidak dapat itu nilainya murah sahaja dibandingkan dengan yang tidak diminta

Syukurilah Tuhan apa yang ada!
Nanti Allah Taala akan menambahkan lagi sekalipun tidak diminta

Ust Hj Ashaari Muhammad
Selepas Asar
2.9.99

Tiada ulasan:

Catat Ulasan