Isnin, 14 November 2011

KISAH KELAPA TUA


Kelapa tua. Semua orang kenal kelapa tua. Tahu pula gunanya kelapa tua itu. Sangat penting dan sangat berguna kelapa tua ini dalam hidup manusia.

Namun begitu, kewujudannya tidak dipeduli dan tidak diendahkan orang. Kelapa tua tidak pernah menjadi topik perbincangan. Tidak pernah dikaitkan dengan apa-apa isu atau masalah. Kalaulah kelapa tua ini mempunyai emosi, tidak ramai orang yang akan dapat merasakan dan menyelami perasaannya. Itulah kelapa tua.

Kelapa tua pula tidak pernah susah hati kalau orang tidak mempedulikannya. Dia hanya tergantung di atas pokok dan terbuai-buai bila ditiup angin.

Tapi, lazimnya elok-elok kelapa tua itu tergantung di atas pokoknya sambil menikmati keindahan alam buana ini dari kedudukannya yang tinggi itu, datanglah orang menjoloknya dengan galah yang panjang. Tidak sabar menunggu kelapa tua itu jatuh sendiri. Bukannya selesa kena jolok-jolok macam tu. Bila tangkainya sudah lemah setelah dijolok beberapa kali, maka gugurlah kelapa tua itu berpusing-pusing ke bumi. Gugur itu pula bukannya rendah. Bukan setakat lima atau sepuluh kaki tapi sampai empat puluh hingga lima puluh kaki. Bunyinya berdentum sampai ke tanah.

Masalah kelapa tua ini tidak terhenti di situ sahaja. Ini baru muqaddimahnya. Dia dikutip dan kulit sabutnya dikoyakkoyak dan dibuang sedikit demi sedikit dengan parang cangkuk. Proses ini bukan sekadar sekali tetak. Berpuluh-puluh kali parang cangkuk itu menusuk ke dalam kulit sabutnya.

Seksanya tak boleh nak cerita. Mula-mula sakit tusukan. Lepas itu sakit dikoyak dan disiat-siat. Ini berterusan sampai tempurung sahaja yang tinggal.

Bila dah sampai ke tempurung, maka tak apalah. Cantik juga rupanya. Keras dan bulat. Tetapi manusia bukan tahu hendak menilai seni yang seperti ini. Tempurung bulat yang cantik itu ditetak pula dengan parang dengan sebegitu kuat hingga terbelah dua di tengah-tengahnya. Maka tersembur dan mengalirlah air jernih dari dalam perutnya dan terdedahlah isinya yang putih bersih.

Bagi kebanyakan kehidupan yang lain, kalau sudah sampai ke tahap ini, maka selesailah riwayat hidupnya.

Tetapi bagi kelapa tua, ini baru permulaan. Banyak lagi seksaan yang menanti. Tak cukup dengan menyemburkan air dari dalam perutnya dan mendedahkan isinya, isinya yang putih bersih itu dipisahkan dari tempurung, diparut dan dikukur pula hingga menjadi lumat. Tempurungnya dibuang. Kadang-kadang di bakar.

Bentuk asal kelapa tua sudah tidak ada lagi. Yang tinggal hanyalah isinya yang sudah lumat dikukur dan diparut. Untuk menambah seksanya lagi, dituang pula air ke dalam isi parut itu, diramas-ramas dan diperah-perah. Alangkah seksanya. Kalau hendak dikirakan, ini sudah terkeluar dari batas-batas perikemanusiaan. Kemudian ia ditapis menjadi santan. Kelapa tua yang dulunya keras dan bulat kini sudah menjadi cecair yang putih.

Setelah itu, minyak dipanaskan dalam belanga. Bawang merah, rempah dan rencah-rencah yang lain ditumis. Bila sudah cukup kuning dituanglah santan tadi ke dalam belanga. Maka berpanasanlah santan itu hingga terkeluar minyaknya.

Apabila sudah masak dan bau harumnya merebak ke seluruh ceruk rumah,

maka orang pun bertanya:
“Gulai apa tu? Sedap sangat baunya?”

Orang di dapur hanya menjawab,
“Gulai ikan bawal.”

Gulai dapat nama. Ikan bawal dapat nama. Orang kata, “Oh! Sedap gulai ni.” “Oh! Sedap ikan bawal ni.” Jasa kelapa tua tenggelam begitu sahaja. Perjalanan dan pengalamannya yang begitu panjang dan menyeksakan dari sebiji kelapa tua di atas pokok yang tinggi hingga ke belanga yang panas berbahang, tidak ada siapa yang ambil kira atau ambil peduli.

Alangkah indahnya kalau kita dapat berjasa seperti kelapa tua ini. Jasa-jasa bukan untuk dipuji dan dipuja. Bukan untuk dikenang atau untuk mendapat nama, tapi untuk ta’abbud kepada Allah SWT. Biarlah jasa-jasa kita tidak nampak di mata orang, tapi ada dalam perhatian Allah!



MANUSIA LUAR BIASA

Kalau ada orang caci kita, kita sakit hati
memanglah begitu, bukanlah luar biasa
Jika orang puji kita, hati berbunga memanglah orang mahu begitu
Siapa tidak hendak pujian pada kita

Ada orang sombong dengan kita, kita pun menyombong,
itu memang perkara biasa
Orang lebih dari kita, kita dengki memanglah lumrah berlaku,
tidak mengejutkan kita

Orang bersalah dengan kita, kita berdendam dan bermusuh dengan
mereka, perkara biasalah itu
Waktu kaya, hidup istimewa, sombong pula, memandang orang hina
Memanglah begitulah lumrah berlaku pada manusia

Apabila mendapat bala bencana, jiwa derita, sabar pun tidak ada,
itu perkara biasa
Yang luar biasa apa?
Yang jarang berlaku kepada manusia kecuali orang yang bertqwa

Iaitu berlaku sebaliknya
Orang caci, dia tidak bertindak
Bahkan mendoakan mereka mendapat hidayah pula, ini luar biasa

Apabila orang puji, derita jiwanya ,kerana pujian itu Tuhan yang
empunya, dia tidak laya menerimanya
Ini luar biasa, jarang berlaku pada orang biasa

Jika ada orang sombong dengan dia, dia tidak melayannya,
bahkan melupakannya
Ini susah orang melakukannya

Orang lebih dari kita, kita ikut gembira, ini mana ada

Ada orang buat jahat padanya, dia buat baik kepadanya
Ini malaikat rupa manusia
Ada orang mendapat bala bencana,
dia doakan agar bersabar dan menziarahi orangnya

Mereka yang telah disebutkan tadi ini, orang luar biasa

Jarang sekali manusia dapat melakukannya
Orang itulah wira agama, bangsa dan negara, jarang ada
Orang ini adalah manusia ajaib di dunia

Manusia pelik, gharib, jarang ada
Mungkin setiap 10 juta hanya seorang sahaja
Adanya orang inilah manaka dunia belun dikiamatkan,
rahmat Tuhan masih diberikan kepaada manusia

Wujudnya orang-orang macam inilah di dunia,
masih ada lagi sedikit-sedikit kebaikan
Hal ini adah sangat tersirat, ramai manusia tidak mengetahuinya

Allahyarham Ust. hj Ashaari Muhammad

Tiada ulasan:

Catat Ulasan