Ahad, 12 Mei 2013

Wahai Tuhan Dgn berkat wali-waliMu moga-moga kami ria dan lapang berusaha kerana Mu

SYEIKH SA’ID NURSI (BADI’UZZAMAN)





Syaikh Bediuzzaman Said Nursi rahimahullah adalah salah seorang tokoh yang sudah dikenali ramai bahkan dianggap sebagai seorang mujaddid. Tokoh yang gigih mempertahankan Islam ketika berhadapan dengan bid`ah sekularisma yang dibawa oleh Ataturk. Beliau tidak pernah gentar dalam perjuangan sucinya itu walaupun beberapa kali dipenjarakan dengan zalim oleh pemerintah Turki sekular.

Kisah perjuangan beliau telah banyak dibukukan dan boleh tuan - tuan baca untuk dijadikan pedoman dan meraih rahmat yang diturunkan Allah ketika orang - orang yang dikasihiNya disebut.

Syeikh Sa’id Nursi lahir dan meninggal di Turki (1294H-1379H/1877-1960M). Hidup diera kejatuhan Khilafah Islam terakhir (Othmaniyah), salah seorang ulamak pejuang Islam yang amat gigih, menjadi penyuntik semangat kebangkitan umat di Turki sejak dari zamannya hingga ke hari ini. Islam dan umat Islam di Turki menghadapi tamparan yang amat hebat dari gerakan Sekular yang dipimpin oleh Mustafa Kamal Atartuk. Kerajaan Islam bukan sahaja berjaya dijatuhkan, malah umat Islam cuba dimurtadkan, sekolah-sekolah agama ditutup, tulisan-tulisan Arab dihapuskan dan aqidah tauhid kepada Allah cuba digantikan dengan aqidah Darwinisme.

Namun para ulamak telah menjadi benteng kepada agama dan ummah. Secara terang atau tersembunyi mereka melancarkan gerakan mempertahankan Islam dan menyedarkan ummah sekalipun ramai yang dipenjara, diseksa dan dibunuh. Berkat kesabaran dan kegigihan mereka, Islam kekal menjadi anutan rakyat di Turki, kekejaman pemerintah Sekular Turki tidak mampu memadamkan cahaya Islam

Ketika dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan fitnah mencetuskan kekacauan, beliau dengan berani berkata di depan hakim :

“Sekiranya saya ada seribu nyawa, saya sanggup mengorbankan semuanya demi untuk syariat islam.Kerana syariat itu adalah sumber kesejahteraan dan kebahagiaan, keadilan sejati serta kebajikan”

Bila ditanya oleh hakim apa pendapat said Nursi terhadap pemerintah, beliau dengan tegas menjawab :

“Ketua sebuah Negara adalah hamba kepada Negara itu.Selagi seseorang ketua Negara itu menurut sunnah Rasulullah maka dia pemimpin kami dan kami patuh dengan arahannya.Tetapi sekiranya ketua sesebuah Negara tidak mengikut sunnah, maka dia adalah perompak”


“Badiuzzaman”

Oleh kerana kepintarannya yang luar biasa Said Nursi telah diberi gelaran “Badiuzzaman” yang bermaksud “Kekaguman Zaman” kepadanya oleh gurunya Sheikh Fathullah Efendi.

Beliau pernah berdebat dengan seorang guru ilmu Geografi dari Eropah dan hanya mengambil masa 24 jam untuk membaca kesemua buku berkaitan dengan ilmu alam sebagai persediaan lalu mengalahkan guru itu.

Beliau juga pernah berdebat dengan seorang ahli Fizik dari Eropah tentang ilmu fizik dan hanya mengambil masa selama 4 hari untuk mentelaah kesemua buku-buku fizik dan memahami hukum-hukum fizik lalu mengalahkan ahli fizik yang telah menghabiskan masa selama 4 tahun untuk mendalaminya. Keadaan itu menyebabkan ahli fizik tersebut berasa kagum dan terus menjadi anak murid Said Nursi pula.

Beliau menulis :

“Sesungguhnya aku andaikan sekiranya Syeikh Abdul al-Qadir al-Jaylani, Shah al-Naqshabandi dan Iman Rabbani sekiranya hidup pada zaman kita ini, nescaya mereka akan mencurahkan segala kemampuan mereka bagi memperteguhkan hakikat keimanan dan akidah islam.”



Sebagai penutup bagi entri ini, bersempena pilihanraya ke-13 yang akan diadakan pada 5 Mei 2013 nanti, ese nukilkan lagi satu kisah untuk renungan kita bersama agar dalam keghairahan berpolitik dan berkempen, kita tidak lupa bahawa,

sebagai umat Islam, kita sentiasa terikat dengan hukum - hakam syariat.

Jangankan dalam berkempen politik, dalam melaksanakan jihad berperang pada jalan Allah pun ada hukum dan etika yang perlu kita patuhi. Mungkin kita pernah mendengar

ucapan Syaikh Bediuzzaman Said Nursi rahimahullah yang berbunyi

"A`udhu billahi minasy syaithan was siyasah"

yang bererti
"aku berlindung dengan Allah daripada syaitan dan politik".

Bukanlah maksud Syaikh Bediuzzaman rahimahullah untuk menolak politik, tidak sama sekali tidak. Politik yang beliau tolak dan mohon perlindungan Allah SWT daripadanya adalah politik kotor yang didasari hawa nafsu serakah para politikus yang hanya memikirkan kemenangan tanpa mempedulikan etika, norma dan hukum.

Berbalik kepada ungkapan Syaikh Bediuzzaman rahimahullah tersebut, maka ese datangkan kisahnya sebagaimana diceritakan oleh beliau sendiri dalam tulisannya "al-Ikhlash wal Ukhuwwah" yang diterjemahkan oleh Ustaz Nasir bin Ismail sebagai berikut:-

"Saya (yakni Syaikh Bediuzzaman Said Nursi) pernah melihat, iaitu akibat ikutan yang membuta tuli, seorang ulama yang mendahului ulama yang seorang lagi, dalam usahanya menjatuhkan ulama yang mempunyai pandangan politik yang berbeza dengannya, menyatakan bahawa ulama itu (yakni lawannya) bukanlah orang yang beriman. Beliau juga memuji dan menghormati golongan munafik yang menyokongnya. Saya merasa ngeri dengan akibat buruk dari penglibatan politik seperti ini.

Saya berkata:
"AKU BERLINDUNG DENGAN ALLAH DARIPADA SYAITAN DAN POLITIK,"
dan daripada saat itu saya menarik diri daripada terlibat dengan politik kotor ini.

Mudah - mudahan Allah menyelamatkan kita dan negara kita, juga negara segala umat Islam yang lainnya daripada para politikus yang berperangai seperti tikus yang sukakan kekotoran dan mengamalkan politik kotor. Mudah-mudahan kerajaan kita yang baru nanti akan lebih mendaulatkan Islam sebagai satu-satunya cara hidup yang membawa kepada keredhaan Allah SWT yang dengannya kita dan segala rakyat akan memperolehi rahmat dan kemakmuran yang berpanjangan.


Allahumma ... aamiin.


Nota
Artikel rujukan dari

BAHRUS SHOFA: Karamah Bediuzzaman
http://bahrusshofa.blogspot.com/2013/04/karamah-bediuzzaman.html

SANGTAWAL sakranta: Badiuzzaman Said Nursi
http://sangtawal.blogspot.com/2012/08/badiuzzaman-said-nursi.html

Tiada ulasan:

Catat Ulasan