Ahad, 10 Julai 2011

Ulama atau ahli zikir

Bismillahir rahmanir rahim

Ramai orang di sana-sini memperkatakan tentang ulamak. Malah tidak kurang juga ada di antara mereka yang mengaku diri ulamak. Walhal, tidak pernah berlaku dalam sejarah, ulamak itu melantik diri mereka ulamak.

Imam Syafie, sebagai contoh, rakyat yang mengakui dirinya ulamak tetapi dia sendiri tidak pula mengaku ulamak. Imam Ghazali pun begitu juga. Ramai orang cakap-cakap yang Imam Ghazali itu ulamak. Tapi bagi Imam Ghazali sendiri, tidak pula dia mengaku ulamak. Namun, apapun yang telah disebutkan tadi, ulamak itu bukan dinilai oleh orang ramai. Bukan juga dinilai oleh kerajaan. Lebih-lebih lagilah bukan dinilai oleh tuanpunya diri yang merasa dirinya ulamak. Kalau begitu bagaimana hendak kenal ulamak?

Ini boleh kita lihat dalam Al-Quran, Firman Allah yang bermaksud,
"Hanya sanya yang takut dengan Tuhan itu ialah ulamak" - Al-Fathir:28.

Dalam ayat ini, ada 2 perkataan penting yang boleh kita ambil. Pertama, ulamak dan kedua ialah takut. Maksud ulamak di sini ialah orang yang ada ilmu yakni ada ilmu dunia dan ilmu akhirat. Ada ilmu tentang Tuhan dan ada ilmu tentag syariat. Kemudian, dia itu takut dengan Tuhan. Kalau begitu kata Tuhan, iaitu ulamak mesti ada ilmu akhirat, ilmu dunia dan juga takut dengan Tuhan; maka datanglah perintah Allah melalui ayatNya yang bermaksud:

"Hendaklah kamu bertanya (tentang akhirat, tentang dunia, ekonomi, masyarakat) kepada ahli zikir." (An-Nahl:43)

Rupanya, ulamak itu ialah ahli zikir. Ahli itu menunjukkan orangnya, dan zikir itu menggambarkan sifatnya. Ertinya, di sini, ulamak itu ilmunya mendarah mendaging. Tidak perlu buka kitab tetapi bila ditanya tentang ilmu Islam, dia boleh jawab. Bila ditanya tentang masyarakat Islam, keluar jawapannya. Itulah maksud mendarah mendaging. Ilmu yang ada difahami, dihayati dan dijiwai. Kalau baru waktu itu hendak buka kitab, itu merujuk kepada guru yang mengajar dan taklah disebut sebagai ulamak.

Ada beza ahli zikir dengan ahli fikir. Ahli fikir, ilmunya sekadar di akal, tidak turun ke hati. Maksudnya ahli fikir ini sekadar tahu ilmu atau sekadar berteori-teori sahaja. Ilmunya hanya jadi bahan "mental-exercise". Ilmunya bertapak di akal, bukan di hati. Ilmunya tak mendarah mendaging, bermaksud tak difahami, hayati dan jiwai.

Merujuk Kepada Ahli Zikir

Maksud Firman Allah:
“Bertanyalah kepada Ahli Zikir jika kamu tidak ada pengetahuan tentang hal itu.”
(An-Nahl:43)

Ayat ini menuntut kita untuk merujuk kepada orang yang dikatakan Ahli Zikir dalam memberi jawapan kepada persoalan kehidupan kita. Ayat ini, sesungguhnya, sangat relevan dalam memberi jalan keluar kepada permasalahan sosial yang melanda masyarakat hari ini seperti gejala dadah, seks bebas, rasuah dan vandalisme.

Ahli Zikir inilah yang patut menjadi tempat rujuk semua pihak dalam menyelesaikan masalah masyarakat itu. Malangnya, kebanyakan daripada kita merujuk kepada yang bukan ahlinya dan hasilnya masalah tetap tidak selesai-selesai, malah semakin hari semakin bertambah pula.

Maka, benarlah kata-kata Rasulullah iaitu:

“Apabila sesuatu urusan itu diserahkan kepada yang bukan ahlinya, maka tunggulah kerosakan yang bakal menimpa.”

Siapakah dia Ahli Zikir yang dianjurkan Tuhan agar kita merujuk kepadanya dalam persoalan kehidupan?

Ahli Zikir ini bukanlah orang yang duduk-duduk berzikir atau berjalan-jalan dengan membawa tasbih ke sana sini sambil mulutnya kumat-kamit. Benar, mereka itu berzikir tetapi belum lagi boleh diiktiraf sebagai Ahli Zikir. Yang dimaksudkan Ahli Zikir ini ialah orang yang hatinya benar-benar sudah terhubung dengan Tuhan dalam semua hal.
Firman Allah:

Orang-orang yang hatinya terhubung dengan Allah pada waktu berdiri, duduk dan berbaring (Ali-Imran:191)

Apabila hatinya sudah terhubung dengan Tuhan, maka jadilah dia orang kesayangan Tuhan seperti yang digambarkan oleh Tuhan dalam sebuah Hadis Qudsi:

"Amal-amal ibadah fardhu yang Aku wajibkan kepada hamba-Ku yang mereka lakukan untuk mendekatkan dirinya kepada-Ku dan Hamba-Ku itu sentiasa melakukan ibadah-ibadah sunnat untuk mendekatkan diri kepada-Ku hingga Aku mencintainya. Dan apabila Aku mencintainya, maka Aku menjadi telinga baginya untuk mendengar, mata untuk melihat, tangan untuk memegang serta kaki untuk berjalan. Apabila ia meminta kepada-Ku pasti akan Kuberi. Apabila meminta perlindungan kepada-Ku pasti akan Kulindungi."

Ulama atau ahli zikir yang dimaksudkan di sini juga adalah merupakan ulama yang berwatak pendidik.

Dia bukan sekadar mubaligh yang menyampaikan risalah-risalah Islam kepada orang ramai atau sekadar da'i yang menjemput, mengajak dan merayu orang ramai kepada Islam.

Dia bukan juga sekadar muallim atau ustaz atau kiyai yang lazimnya hanyalah menyampaikan ilmu Islam kepada orang ramai.

Usaha mereka itu hanya terbatas kepada ajaran Islam yang asas seperti Ilmu Tauhid, Fikh dan tasawuf yang merupakan Fardhu Ain termasuk Tajwid.Umumnya peranan para muallim dan ustaz hanyalah bersyarah dan memberi kuliah sahaja.

Peranan dan aktiviti mereka ini sangat berbeza berbanding dengan murabbi yang mentadbir dengan serius untuk melatih, mendidik dan membimbing murid-muridnya supaya benar-benar yakin, takut dan cintakan Allah.

Murabbi berusaha meningkatkan ketaqwaan muridnya bagi menagih janji Allah dalam Al Quran iaitu untuk mendapat pembelaan dan untuk memperoleh kesejahteraan dunia dan Akhirat.

Murabbi berperanan bagi mengurus, mentadbir dan memantau anak-anak muridnya supaya benar-benar tepat keyakinannya kepada Allah, tepat betul amal ibadahnya serta memiliki akhlak mulia. Dia menanam aqidah dan tauhid ke dalam jiwa anak-anak muridnya. Mendidik dan memimpin mereka dengan akhlak mulia yakni mengusahakan sifat-sifat mazmumah dalam hati dibuang dan diganti dengan sifat-sifat mahmudah. Ditunjukkan mana yang haq dan batil, mana yang halal dan mana yang haram. Peranan tersebut dianggap lebih serius daraipada peranan ibu dan ayah.

Begitu juga peranan mu'addib iaitu pendidik yang menjadikan seseorang murid itu benar-benar beradab, sama ada beradab dengan Tuhan mahu pun beradab dengan manusia dan makhluk. Para murabbi dan mu'addib perlu memiliki ilmu, beramal dengannya serta menjiwai ilmunya.

Namun murabbi dan mu'addib itu sebenarnya adalah rabbani , iaitu orang yang sangat hampir dengan Allah. Ilmunya langsung diberi oleh Tuhan. Ilmunya bukan sahaja dimiliki, malah diamal dan dihayati. Secara unggulnya, mereka adalah terdiri daripada para Nabi, Rasul serta orang-orang pilihan Tuhan seperti para Sahabat Baginda Rasulullah SAW atau para aulia (wali-wali Allah).

Mereka ini melakukan apa sahaja iaitu mengajar, mendidik dan memantau manusia semata-mata kerana Tuhan. Kerana mereka benar-benar kenal dirinya dan kenal Tuhan sehingga mereka sanggup berbuat apa sahaja kerana Tuhan. Mereka inilah ulama sebenar.

Ulama berwatak pendidik berperanan dengan mengambil kira sifat semula jadi manusia yang terdiri daripada jasad lahiriah, akal, roh dan nafsu. Kesemua juzuk diri manusia itu dibangunkan seimbang. Jasad dibangunkan dengan makanan yang sederhana, yang baik-baik, halal dan tidak mengandungi unsur-unsur syubahat. Juga dijaga kebersihan diri, ditentukan rehat yang cukup dan dijadualkan riadhah. Akalnya juga dibangunkan dengan sempurna.

Selain diajar supaya pandai membaca, mengira dan menulis, mereka juga diberi ilmu dan pengalaman supaya menjadi cergas dan tajam pemikirannya. Ini dilakukan dengan pengajian, muzakarah, membiasakan mereka berfikir misalnya dengan cara berdiri di depan khalayak atau majlis untuk memberi ucapan, bersyair, bersajak dan sebagainya. Atau mereka sering diberi tugasan yang memerlukan daya fikir yang mencabar. Misalnya tugasan yang memerlukan mereka membuat penyelidikan.

Rohnya disuburkan dengan sentiasa diingatkan akan kebesaran Tuhan, kekuasaan, kehebatan, kebaikan, nikmat dan rahmat Tuhan, tentang kehidupan Akhirat, Syurga dan Neraka. Mereka juga sentiasa diingatkan akan tugas dan peranan hidup sebagai hamba Tuhan dan Khalifah-Nya. Untuk mendidik nafsu, ulama pendidik mendorong ke arah bermujahadah melawan nafsu untuk mencapai akhlak mulia serta meninggalkan kelakuan atau akhlak keji atau perbuatan yang tidak bermoral. Semuanya disampaikan dengan penuh bijaksana dan berhemah tinggi.

Ulama adalah pewaris nabi.

Di zaman tidak ada nabi dan rasul, dialah yang mendidik umat dengan iman dan Islam.Dia mempertemukan umat dengan jalan hidup yang sebenar seperti yang Allah tunjuk dalam Al Quran dan Hadis iaitu satu-satunya jalan kebahagiaan hidup di dunia dan di Akhirat.

Malangnya ketiga-tiga istilah seperti murabbi, mu'addib dan rabbani ini telah terpinggir semenjak bermulanya kejatuhan Islam lebih 700 tahun yang lalu. Istilah-istilah tersebut hanya dianggap istilah-istilah khusus di dalam bidang dan amalan kesufian. Ini menyebabkan umat Islam tidak terdidik dan menjadi mundur. Yang dipopularkan ialah istilah mubaligh, da'i, muallim, ustaz, kiyai yang kesemuanya hanya berperanan setakat berdakwah dan mengajar ilmu asas dalam Islam. Mereka bukan pendidik dan tidak mampu untuk mendidik jiwa atau roh termasuk nafsu umat Islam.

Inilah kerja para orientalis Barat dan musuh-musuh Islam. Mereka tahu bahawa murabbi, mu'addib dan rabbani adalah berbahaya kepada mereka kerana watak-watak ini mengembalikan kekuatan Islam. Mereka membina kekuatan rohani, kekuatan iman, kekuatan taqwa dan kekuatan ukhuwah dan kasih sayang dikalangan umat Islam. Oleh itu gelaran dan peranan murabbi, mu'addib dan rabbani ini disorok dan ditekan supaya hilang dari fikiran umat Islam.Digalakkan dan dipopularkan pengeluaran muallim dan ustaz dari berbagai-bagai universiti dari seluruh dunia.

Bagi mereka, lagi ramai muallim dan ustaz ini, lagi baik kerana umat Islam akan sibuk dan leka dengan ilmu-ilmu asas, ilmu-ilmu nas dan ilmu-ilmu furuk dan akan lupa untuk membina roh dan jiwa, akhlak dan kasih sayang, iman dan taqwa.

Walhal disitulah letaknya kekuatan utama umat Islam yang Barat dan musuh-musuh Islam tidak mampu untuk mengatasinya. Janji Tuhan, Islam tidak akan menang dengan quwwah (kekuatan lahir) semata-mata. Umat Islam akan menang hanya dengan taqwa.


Ulama-ulama Yang Disebut Oleh Nabi

Bismillahirrahmanirrahim

Lima ratus tahun daripada Rasulullah, ilmu Umat Islam
secara majoriti dari Al Quran dan Al Hadis,
Pada waktu itu Umat Islam rata-rata minat mempelajari ilmu Islam,
Orang awam diwaktu itu macam ilmu para ustaz di zaman ini,

Sebahagian ilmu mereka macam ilmu ulama di zaman kita ini,
Pilihan ulama dikenali macam Imam Malik, Imam Syafie,
Imam Hanafi, Imam Hasan Basri, An Nawawi dan Auzaie,
Seterusnya macam Abu Hasan Ashaari, Fakruddin Ar Razi, Imam Bukhari,

Di kalangan mereka juga ada yang bernama Imam Al Ghazali, As Sayuti
dan lain-lain lagi tidak payah disebutkan di sini,
Mereka itu ibarat bintang-bintang di langit,
Membawa cahaya di dunia ini,

Ulama semacam inilah yang disebut oleh nabi,
Ulama-ulama umatku laksana para nabi Bani Israil,
Mereka yang ibarat bintang di langit dan macam para
nabi Bani Israil sahaja yang dikenali,

Mereka disebut-sebut orang hingga masa kini,
Mereka yang disebutkan tadi ada kitab-kitab yang diwarisi,
dapat dibaca orang hingga kezaman ini,
Ilmu mereka dibaca dan dikaji oleh para ilmuan hingga kehari ini,

Siapa boleh menandingi mereka yang telah disebutkan tadi?
Mereka yang disebutkan tadi kerana sikap dan wibawa mereka macam para nabi,
Ujian mereka berat sekali,
Ada ulama pada zaman mereka yang hasad dengki,

Penguasa negara pada zamannya curiga dengan mereka, bahkan ditakuti,
Mereka dituduh penentang negara, membawa bidaah,
membawa ajaran sesat seperti Syiah,
Namun mereka tetap ramai pengikut,

Banyak ulama yang irihati, terutama ulama yang makan gaji,
Nama mereka disebut-sebut hingga ke hari ini,
Macam disebut nama para rasul dan nabi.

Allahyarham Ust. hj Ashaari Muhammad
16-05-05
Menjelang Zohor

Tiada ulasan:

Catat Ulasan