Ahad, 10 Julai 2011
Salah Faham Makna Berjuang dan Berjihad Fisabilillah
Keghairahan umat nampaknya bertambah dalam menyatakan dan memperjuangkan Islam. Kalau keghairahan ini diteruskan berjalan di atas landasan dan cara yang tepat yang dikehendaki oleh Allah dan Rasul-Nya, maka kita akan sampai di satu era kehidupan yang mulia dan agung, yakni terbangunnya jemaah, daulah dan ummah Islamiah. Akan lahir sebuah jemaah dan masyarakat yang ahlinya cinta dan takutkan Tuhan, tunduk patuh dalam menerima dan mempraktikkan Islam serta menjadi rahmat bagi seluruh manusia.
Namun satu hakikat mesti diakui, bahawa untuk mencapai hal itu tidaklah semudah yang kita rasakan dan gambarkan. Di samping penentang dan musuh yang pasti tidak akan mengalah dengan kita, juga pengaruh faham sekularisma yang sangat kuat dalam sanubari umat. Kita sendiri sebenarnya sangat kabur tentang jalan jalan yang dapat
menyampaikan kita ke sana.
Contohnya, umat Islam sendiri masih banyak yang kabur dan tidak faham tentang makna berjuang dan berjihad. Erti berjuang dan berjihad sudah dipesongkan dan dipersempit kepada perjuangan bersenjata. Maka timbullah berbagai kelompok umat Islam yang menggunakan kekerasan dan senjata sebagai alat perjuangan mereka untuk membela umat Islam yang tertindas di mana-mana. Tentu saja musuh-musuh Islam sangat menyukai hal ini kerana ada alasan bagi mereka untuk melabelkan kelompok umat Islam tersebut sebagai kelompok pengganas atau teroris. Padahal merekalah yang menindas umat Islam.
Kata Fisabilillah ertinya untuk Tuhan bukan untuk diri, kelompok,golongan atau untuk bunuh orang bukan Islam. Tentu saja perjuangan itu dengan menggunakan cara-cara yang berhikmah, pemaaf, pengasih, penyayang dan lain-lain.
Patutnya bila kita hendak sangat berjuang untuk membunuh orang dengan cara dan alasan apa pun, jangan kaitkan dengan nama Islam atau Tuhan. Ini tidak, sebut berjuang fisabilillah, tetapi dia membunuh orang. Jadi samalah perjuangannya dengan perjuangan orang kafir. Sedangkan bukan itu yang disuruh oleh Islam.
Begitu juga badan-badan, parti-parti dan organisasi Islam sebaik- baiknya jangan menggunakan nama Islam, supaya kalaulah badan, parti dan organisasi itu cacat dan tidak dapat membawa ciri-ciri Islam, maka nama Islam tidak rosak. Nama Allah dan Rasul tidak cacat. Kalau kita dapat menepati fisabililah itu tidak mengapa. Tetapi bagaimana
kalau tidak menepati ?
Yang dimaksud dengan berjuang dan berjihad dalam Islam yang diredhai oleh Allah ialah berjuang ke arah meninggikan kalimah Allah
sama ada secara langsung atau tidak langsung. Jadi tanggung-jawab yang telah dibebankan oleh Allah kepada semua umat Islam ialah untuk menghidupkan dan meninggikan kalimah Allah di muka bumi ini agar kalimah Allah diamalkan dan didaulatkan sepanjang waktu dan di semua aspek kehidupan.
Yang dimaksudkan dengan 'kalimah Allah' yang sebenarnya menurut sumber Al Quran dan Hadis serta menurut pendapat ulama-ulama di antaranya ialah:
1. Akidah yang sah
2. Menunaikan janji iaitu perintah suruh fardhu dan sunat
3. Menjauhi larangan haram dan makruh
4. Iman, Islam dan Ihsan
5. Tauhid, Feqah dan Tasawuf
6. Menegakkan undang-undang yang wajib, sunat, haram, makruh dan mubah (harus)
7. Membangunkan syariat Allah.
Selepas zaman Rasulullah SAW dan Khulafaur Rasyidin, di setiap zaman Allah berjanji untuk mengirim satu kelompok atau jemaah yang akan menjaga bara api Islam agar umat Islam tidak kembali kafir.
Rasullullah SAW bersabda:Terjemahannya:
"Allah akan mengutus kepada umat ini di setiap awal kurun orang yang memperbaharui urusan agama. "
Sehebat manapun ujian yang Allah berikan kepada umat Islam, mereka tidak akan kafir, hanya jadi fasik saja. Maka lahirlah berbagai kelompok dan tareqat untuk menjaga bara api Islam agar tidak padam seperti tareqat Naqsyabandiah, Qadiriah, Samaniah, Tijaniah.
Kumpulan-kumpulan tareqat yang hak ini tidak menggunakan nama Islam atau tdk melabelkan dengan label Islam, supaya andaikata perjuangan mereka melalui tareqat itu tidak tepat secara Islam, maka tidak akan menjatuhkan Islam. Maka tareqat itu disebut dengan menggunakan nama guru mursyidnya saja.
Apakah mereka itu tidak faham ?
Tidak, sebenarnya mereka lebih faham dari kita, tetapi mereka sangat berhati-hati, berakhlak dan beradab. Tidak ada satu tareqat pun yang diberi nama atas nama Islam. Begitu juga Mazhab Syafie, Hambali, Hanafi, mengapa tidak disebut mazhab Islamiyah Syafi'iyah, Islamiyah Hambaliah, atau Islamiyah Hanafiah?
Mereka sangat faham, sangat beradab dan kerana itu mereka sangat berhati-hati. Andaikata tareqat, mazhab atau jemaah yang mereka bawa dan perjuangkan tidak menepati Islam, maka ia tidak akan merosakkan Islam. Tidak akan mengotori nama Islam dan nama Tuhan.
Beza Kita Berjuang Dengan Sahabat Berjuang
Rasulullah SAW dan para Sahabat gigih berjuang
Akhlak mereka cemerlang dan gemilang
Kita gigih berjuang, akhlak kita sangat malang
Mereka berjuang begitu serius
Di malam hari menjadi abid menangis mengenang dosa
Kita serius juga berjuang
Tapi sembahyang Subuh yang wajib, terabai
Mereka sibuk berjuang
Balik ke rumah laksana Syurga
Kita sibuk berjuang
Balik ke rumah bermasam-masam muka
Mereka bila berhadapan dengan ujian
Sabarnya amat ketara
Musuh-musuhnya didoakannya
Kita bila berhadapan dengan ujian
Rasa derita dan kecewa
Maka kita pun melaknat dan mencerca musuh kita
Kita pun mengata di sini, mengata di sana
Seluruh negara mendengarnya
Mereka berjuang, Sahabat-Sahabat yang miskin dipertanggungjawab oleh yang kaya
Yang kaya gembira memberi, yang miskin tidak meminta-minta
Kita yang kaya menambah lagi harta
Kawan seperjuangan tinggal menderita
Kita susah hendak memberi
Yang miskin pula meminta-minta dan mengadu-ngadu di sini sana
Mereka dan kita, tentang berjuang sama-sama gigih dan sibuk
Tapi di dalam perkara lain jauh berbeza
Mereka benar-benar model di zamannya
Tapi kita modelnya tiada
Marilah kita berjuang sama-sama membetul dan membaiki diri
Agar Allah Taala redha, manusia senang menerima
Allahyarham Ust. hj Ashaari Muhammad
29.7.99
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan