imej Sultan Zainal Abidin III
Di antara anak murid Tokku Paloh ialah Sultan Zainal Abidin III sendiri. Baginda sultan sering berulang-alik dan istananya ke Paloh untuk belajar ilmu dan berbincang mengenai berbagai perkara dengan Tokku Paloh. Baginda mempunyai minat dan kebolehan yang luar biasa dalam bidang ilmu pengetahuan.
Tok Ku Paloh sangat berpengaruh terhadap murid dan saudara ipar beliau iaitu Sultan Zainal Abidin III. Beberapa pandangan dan nasihat Tok Ku Paloh kepada Sultan Zainal Abidin III tentang pentadbiran kerajaan banyak persamaan dengan surat-surat dan puisi Syeikh Ahmad al-Fathani kepada Sultan Terengganu itu. Semasa Tok Ku Paloh dan Sultan Zainal Abidin III masih hidup, Inggeris tidak berhasil mencampuri pentadbiran negeri Terengganu.
Selain Tokku Paloh, guru-guru baginda yang lain temasuklah Hj. Wan Abdullah Mohd Amin (Tuk Syeikh Duyung), Hj. Wan Mohd bin Abdullah, Hj. Wan Abdul Latif bin Abdullah Losong dan lain-lain. Baginda juga boleh berbahasa Arab hasil tunjuk ajar seorang guru khas, Habib Umar.
Berkat dan kesungguhan menuntut ilmu dan sikap memuliakan ulama, Sultan Zainal Abidin III diakui oleh rakyat sebagai raja yang alim dan taat berpegang kepada ajaran Islam. Hingga dikatakan, semasa pemerintahan baginda, susah untuk dicari seorang yang sudah sampai umur yang belum khatam Al-Quran di Terengganu.
Seperti juga ayahnya, Tokku Paloh seorang yang sangat berpengaruh di kalangan istana dan menjadi tempat rujuk sultan. Malah perlantikan sultan itu sendiri mempunyai kaitan rapat dengan pengaruh Tokku Paloh di kalangan istana, yang diwarisi daripada ayahnya Sayid Muhammad bin Zainal Abidin, yang terkenal dengan panggilan Tokku Tuan Besar, juga merupakan tokoh agama yang amat terkenal dan pengarang kepada lebih kurang 16 buah buku agama dan nazam.
Hubungan Tokku Paloh dengan sultan ini boleh disamakan dengan hubungan antara Sultan Zainal Abidin I (memerintah 1725-1734) dengan seorang lagi ulama besar Terengganu, Syeikh Abdul Malik bin Abdullah. Ulama yang terkenal dengan gelaran Tuk Pulau Manis ini juga dikenali sebagai wali Allah, dan banyak mengarang kitab. Sebagai Syeikhul Ulama dan mufti, Tuk Pulau Manis amat berpengaruh di kalangan istana dan dikatakan bertanggungjawab atas pertabalan Sultan Zainal Abidin I yang kemudian menjadi menantu beliau.
Menyedari peri pentingnya pemerintahan raja yang adil yang berlunaskan hukum-hukum Allah SWT, Tokku Paloh bersama Sayid Abdullah (Menteri Besar ketika itu) mengetuai sokongan terhadap perlantikan Tengku Zainal Abidin sebagai Sultan Terengganu menggantikan Sultan Ahmad Shah II (memerintah 1876-1881).
Sokongan dua orang yang berpengaruh ini sungguh berkesan sehingga Sultan Zainal Abidin kekal sebagai raja yang berjaya menegakkan pemerintahan yang kukuh dan bermaruah walaupun usianya ketika mula memegang tampuk pemerintahan negeri baru 16 tahun. Kejayaan baginda itu adalah berkat mendampingi serta menerima keputusan ulama. Baginda memerintah selama kira-kira 36 tahun 11 bulan hingga ke akhir hayatnya pada tahun 1918.
Ketika Sultan Zainal-Abidin III mula naik takhta, Tokku Paloh belum menjawat apa-apa jawatan penting secara rasmi. Tetapi sebagai seorang tokoh agama, beliau sudah berpengaruh di kalangan istana. Kemudian beliau menjadi Syeikhul Ulama (ketua ulama) Terengganu dan dilantik sebagai ahli Majlis Mesyuarat Negeri dalam kerajaan Sultan Zainal Abidin. Dengan kedudukan itu Tokku Paloh bertanggungjawab membantu kerajaan mentadbir negeri dan rakyat.
Bagaimanapun, ulama dan ahli tareqat yang arif perjalanan rohani ini lebih banyak berhubung secara peribadi dalam berbagai-bagai hal dengan Sultan Zainal Abidin. Keistimewaan ini menjadikan Tokku Paloh sebagai penasihat Sultan dan orang yang bertanggungjawab di belakang keputusan-keputusan yang dibuat oleh Sultan dalam pelbagai perkara terutamanya mengenai dasar luar negeri.
Menentang Pertapakan British di Terengganu
Percubaan British untuk menjajah Terengganu bermula sejak awal abad ke-20. Gabenor Negeri-negeri Selat, Frank Swettenham, tanpa terlebih dahulu berunding, datang ke Terengganu pada tahun 1902 dan mengadap Sultan untuk mendapat persetujuan sultan mengenai satu rangka perjanjian yang disediakan di London antara kerajaan British dan Siam. Tetapi perjanjian yang kononnya memberi pengiktirafan yang lebih jelas terhadap naungan kerajaan Siam ke atas Terengganu itu secara rasmi ditolak oleh kerajaan Terengganu.
Sultan Zainal Abidin dan penasihat-penasihat baginda menyedari kesan daripada perjanjian itu dan nampak perancangan jauh kerajaan British yang beria-ia benar mempelopori perjanjian itu supaya ditandatangani. Sedangkan kerajaan Siam sentiasa menghormati pemerintahan Terengganu yang berdaulat.
Perkiraan itu ternyata berlaku pada 10 Mac 1909 bertempat di Bangkok di mana kerajaan British secara senyap menandatangani satu perjanjian baru dengan kerajaan Siam. Entah ganjaran apa yang diperolehi oleh kerajaan Siam, melalui pejanjian itu kerajaan Siam memindahkan (menyerahkan) segala hak naungan, perlindungan, pentadbiran, kawalan dan apa saja yang dipunyainya ke atas negeri-negeri Kelantan, Perlis, Kedah dan Terengganu serta pulau-pulau berhampiran.
Dengan perjanjian baru itu bermakna Terengganu bulat-bulat duduk di bawah kekuasaan British seperti terkandung dalam butir-butir perjanjian pertama tajaan British yang kononnya untuk menjelaskan pengiktirafan terhadap naungan Siam itu.
Sekali lagi kerajaan Terengganu ridak mengiktiraf dan menentang perjanjian berniat jahat itu. Malah pihak istana dan pembesar-pembesar negeri sangat marah dengan taktik halus British. Tokku Paloh, yang sangat berpengaruh terhadap dasar luar Terengganu, memberi pandangannya mengenai cita-cita British yang berkehendakan Terengganu dengan pertolongan Siam itu, dengan katanya antara lain:
"Dimaklumkan bahawa perkara ehwal treaty (perjanjian) yang dikehendaki oleh Inggeris dengan kebenaran Siam itu sangat besarlah pada paham paduka ayahanda (maksudnya beliau) waqiahnya dan sangatlah pada fuad (hati) Seri Paduka Anakanda Sultan Zainal Abidin akan akllahu al dafihi (telah menolong akan engkau oleh Allah SWT atas penolakannya) kerana sudah bersatu kira antara Siam dan Inggeris tetapi Insya-Allah tiada sekali-kali Allah SWT tasalitkan (beri kekuasaan-Nya) kuffar (orang kafir) atas Muslimin melainkan sebab tadyik (menghilangkan) mereka itu akan huquk (hak) syariat dan tiada bersungguh-sungguh mereka itu berpegang atas syariat yang mutahharah (undang-undang suci Islam) dan pemasukan ke dalam agama Islam akan barang yang dibenci oleh Rasulullah SAW. Maka wajiblah pada sekarang ini Seri Paduka Anakanda (Sultan) berkuat pada menzahirkan agama dan membatalkan segala mungkarat (kejahatan), jangan sekali tidak hirau..."
Walaupun usaha itu gagal, British terus menjalankan diplomasinya dalam berbagai bentuk rundingan. Antara pegawai yang mewakili British ialah W.L. Conlay. Dalam beberapa kali rundingan yang diadakan dengan pihak istana (tidak kurang dua kali). Sultan Zainal Abidin mengarahkan pihak British supaya berunding secara langsung dengan Tokku Paloh.
Sultan berkata kepada wakil British: "Terengganu ini ada tuannya, sila berunding dengan tuannya (yang dimaksudkan ialah Tokku Paloh)."
Berunding Dengan British
Rundingan pertama yang dijadualkan berlangsung di atas armada British terpaksa dibatalkan oleh British kerana dikatakan kapal armada itu beberapa kali senget apabila Tokku Paloh menyengetkan serbannya. Ini menakutkan wakil-wakil British yang menganggap kejadian itu satu magic (sihir atau silap mata) sedangkan yang sebenarnya adalah karamah kurniaan Allah kepada Tokku Paloh.
Ekoran itu, rundingan diadakan juga pada waktu lain dan kali ini di rumah Tokku Paloh. Untuk itu, Tokku Paloh meminjam beberapa buah kerusi bagi meraikan orang putih yang tidak pandai duduk bersila itu.
Dengan duduk di atas kerusi, rundingan berjalan dengan panjang lebar dan antara lain wakil British memaklumkan bahawa pihaknya ingin mendapatkan tanah Terengganu dengan alasan membantu membangunkan dan memajukan negeri Terengganu. Dengan kata lain, dalam rundingan itu seolah-olahnya British hendak membantu memajukan Terengganu. Negeri Terengganu ketika itu berpenduduk sekitar 10,000 orang, kebanyakannya bekerja sebagai nelayan, tukang dan petani. Mereka diakui oleh Clifford sebagai "orang Melayu yang paling pandai dan paling rajin di Semenanjung Tanah Melayu".
Tokku Paloh mempunyai pandangan yang jauh dan dapat membaca niat jahat wakil British yang mahu menguasai negeri Terengganu dan seterusnya menjajah.
Lalu dengan selamba Tokku menjawab segala kehendak wakil British itu dengan penuh sindiran tanpa sedikit pun terpengaruh dengan 'gula-gula' yang diumpan oleh orang-orang putih itu. Dalam perternuan inilah berlakunya kerusi yang diduduki oleh wakil-wakil British itu melekat seketika di punggung mereka seperti telah diceritakan pada awal tulisan ini.
Wakil-wakil British itu pulang dari rumah Tokku Paloh dengan hati yang berang bercampur takut akan kelebihan yang ada pada Tokku Paloh. Mereka gagal sama sekali untuk menguasai Terengganu menerusi diplomasi.
Tidak berapa lama selepas itu, beberapa buah armada British datang lagi ke persisiran pantai Kuala Terengganu. Tanpa memberi sebarang amaran, armada itu melepaskan tembakan meriam dan senapang ke arah pantai dan mengarah ke udara. Serangan yang bertujuan menggertak itu telah membunuh seekor kambing di Padang Hiliran.
Orang rarnai menjadi gempar dan cemas, dan sekali lagi Sultan Zainal Abidin menyerahkan urusan ini kepada Tokku Paloh. Lalu dengan tenang dan yakin Tokku Paloh bersama orang-orang kanannya termasuk Haji Abdul Rahman Limbong, Syeikh lbrahim dan Tuk Kelam dan pengikut-pengikutnya yang lain meronda sepanjang pantai. Operasi rondaan ini berjalan siang dan malam.
Dikatakan ekoran dari itu, British tidak lagi membuat kacau, dan semua armadanya berundur. Mengikut laporan, angkatan perang British itu nampak 'beribu-ribu' pahlawan Terengganu lengkap dengan senjata bersiap sedia untuk melancarkan serangan balas. Sebab itulah mereka cabut lari.
Demikian kehebatan perjuangan Tokku Paloh yang mempunyai karamah menentang British berhabis-habisan. Beliau berpegang kepada firman Allah SWT bermaksud:
"Sesungguhnya bumi ini akan diwarisi oleh hamba-hamba-Ku yang soleh". (Al-Anbia: 105)
Beliau juga berpegang kepada falsafah: Perjuangan tidak kenal hidup atau mati. Dengan benteng iman dan taqwa yang kukuh pada diri Tokku Paloh itu, pihak British gagal menjajah Terengganu sehinggalah beliau kembali ke rahmatullah pada tahun 1917, dan diikuti dengan kemangkatan Sultan Zainal Abidin III pada tahun berikutnya. Perginya ulama dan umara yang berganding bahu dalam pemerintahan...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan