Khamis, 9 Jun 2011
MENGAPA MASYARAKAT ISLAM TIDAK DILIHAT INDAH ?
Islam adalah agama akidah, agama ibadah, akhlak dan peraturan serta undang-undang hidup di dalam semua aspek kehidupan sama ada dari persoalan kekeluargaan, masyarakat, ekonomi, kebudayaan, pendidikan, perhubungan, kenegaraan, ketenteraan hinggalah alam sejagat.Jika sekiranya Islam itu dapat difahami, dihayati dan diamalkan keseluruhannya, akan dapat dilihat bahawa penganut-penganutnya adalah manusia yang berakidah, beribadah,berakhlak, berdisiplin, cergas, aktif dan berhubung antara satu sama lain. Dari sini lahirlah manusia yang berukhwah, berpadu,maju, aman damai, bahagia dan harmoni.
Akan tetapi pada hari ini kita lihat umat Islam dan masyarakat umum amat kusut sekali, haru-biru, huru-hara, kelam-kabut, tidak berakhlak dan tidak berdisiplin. Umat Islam tidak sehaluan, tidak sependapat dan tidak satu fikiran. Masing-masing ada tujuan-tujuan yang tersendiri, tidak seia-sekata dan tidak serentak menuju satu matlamat yang menjadi cita-cita Islam. Bersimpang-siur antara satu sama lain. Tidak di satu barisan yang tersusun rapi seperti satu bangunan yang tersusun dan indah. Mereka bercelaru, satu ke hulu, satu ke hilir. Satu ke darat, satu ke baruh. Satu ke lurah, satu ke bukit. Satu ke timur dan satu ke barat. Akhirnya accident dan berembuk sesama sendiri. Akhirnya umat Islam yang rugi.
Ada yang kaya berfoya-foya, sombong, membuang masa dan melakukan pembaziran. Hidup sendiri-sendiri. Ada yang miskin tidak sabar. Merungut sana, merungut sini. Mengeluh di sana, mengeluh di sini. Mereka kelihatan resah gelisah.Yang berilmu hanya memikirkan diri. Dia mencari harta dengan ilmunya. Dia bergaul dengan masyarakat hanya di majlis-majlis rasmi. Hidup juga bersendirian. Pemuda-pemudinya hidup tidak tentu hala dan tidak tahu matlamat. Berkumpul membuang masa, bohsia, bohjan, melepak-lepak, sakit mata melihatnya.
Para pemerintah dan penguasa menggertak-gertak, membentak-bentak, mengugut-ugut dan menakut-nakutkan seolah-olah tenggelam punca. Tidak tahu bagaimana hendak mendidik rakyatnya.
Di dalam keluarga, masing-masing hendak lari keluar. Terutamanya anak-anak. Mereka gelisah sahaja. Panas punggung duduk di rumah kerana di rumah tiada ketenangan dan tiada kebahagiaan.
Begitulah gambaran masyarakat Islam di seluruh dunia.Begitu kusut dan menyakitkan mata memandang. Kalau kita hendak membuat perbandingan, sepertilah kain buruk yang luntur warnanya, berculang-caling, bertompok-tompok, ada hitam, ada kelabu, ada merah, ada biru, ada kuning dan lain-lain warna kerana ditimpa berbagai-bagai hal. Keadaannya begitu comot sekali. Sakit mata memandang dan perasaan hati terasa jijik.
Atau dengan gambaran yang lain sebagai perbandingan, macam kita melihat di satu lembah yang busuk, becak, berlumpur, penuh sampah sarap yang berbagai-bagai warnanya.Baunya busuk, sangat jelik dilihat. Hati liar dibuatnya. Begitulah gambaran masyarakat umat Islam di seluruh dunia.
Mengapa terjadi demikian ?
Mengapa gambaran masyarakat Islam begitu buruk ?
Mengapa Islam itu begitu cantik tetapi penganutnya tidak cantik ?
Mengapa Islam itu indah sedangkan penganut-penganutnya sudah tidak indah lagi ?
Terjadinya yang demikian itu adalah dari sebab-sebab seperti berikut:
1. Sesetengah umat Islam di seluruh dunia, Islamnya tinggal akidah semata-mata. Ibadah sudah tidak dibuat lagi. Apatah lagi perkara-perkara selain ibadah, lebih-lebih lagi tidak mencerminkan ajaran Islam. Hiduplah cara mana mahu hidup. Buatlah apa yang terasa. Ikutlah siapa yang hendak diikut. Kadang-kadang dia pun tidak tahu apakah dia seorang muslim atau tidak. Cuma dia dengar-dengar bahawa dia adalah keturunan umat Islam. Maka dia pun mengaku orang Islam. Apa itu Islam, dia tidak tahu.
Golongan ini masih ramai.
2. Ada segolongan umat Islam, agamanya hanya setakat akidah dan ibadah sahaja. Itu pun ibadahnya tidak mengikut ilmu yang tepat dan beribadah pun tidak konsisten. Kadang-kadang buat, kadang-kadang tidak. Rasa hendak buat, dia beribadah. Rasa tidak mahu, berhenti dahulu. Atau waktu terpaksa beribadah. Contohnya kerana ada majlis rasmi di masjid, kenalah bersembahyang. Selepas itu rehat pula. Kemudian apabila terasa hendak beribadah, buat pula. Di aspek-aspek yang lain, jangan cerita. Dia buatlah apa sahaja yang dia mahu. Ia tidak ada kena-mengena lagi dengan Islam. Islam memang tidak ada hubung kait lagi dengan persoalan kehidupan.
Golongan ini juga ramai.
3. Ada golongan pula di kalangan umat Islam, dia berakidah dan ibadahnya tetap dibuat, tidak pernah tinggal. Bagai- mana pun, di sudut-sudut lain dia tidak ambil kira sangat, seperti di aspek makan, minum, pakaian, tempat tinggal dan tempat kerja. Hal-hal itu, ikut Islamkah atau tidak, dia tidak ambil pusing sangat. Jatuh kepada haram atau halal, dia tidak ambil kira. Akhlak juga tidak dijaga. Kalaupun ada yang sesuai dengan ajaran Islam bukan pula dirancang tapi hanya secara kebetulan sahaja. Kerana yang dia jaga sangat ialah akidah dan ibadah sahaja. Yang lain tidak dijaga.
Golongan ini agak ramai.
4. Satu golongan lagi, akidahnya bagus, ibadahnya juga agak bagus. Memang dia jaga. Makan, minum, pakaian, tempat tinggal dijaga jangan sampai melanggar ajaran Islam. Begitu pun di sudut-sudut lain pula terabai. Dia tidak ambil kira sangat. Seperti tidak ambil kira tempat bekerja walaupun melanggar perintah Islam seperti pergaulan bebas lelaki dan perempuan. Begitu juga akhlaknya tidak dijaga. Boleh sahaja mengumpat, mengata, menghina, hasad, pemarah, sombong, riyak, tamak, bakhil, memfitnah, mengadu domba dan lain-lain lagi.
Golongan ini juga agak ramai.
5. Ada golongan yang akidahnya dijaga, ibadah tidak dicuaikan dan akhlak boleh tahan dengan orang luar tetapi dengan anak isteri cuai. Di dalam keluarga tidak ada pendidikan formal atau tidak formal. Dengan anak isteri boleh buat lebih kurang, tidak ada perbincangan, tidak ada usrah, tidak ada pengajian dan tidak ada mesyuarat sesama ahli keluarga. Dengan anak isteri marah-marah sahaja. Didikannya hanya setakat: kalau anak isteri buat salah, dia marah-marah. Dia anggap itulah didikan. Padahal itu adalah hukuman, bukan didikan. Suasana Islam tidak ada di dalam rumah tangga dan hubungan renggang di antara keluarga. Padahal Islam itu selain bermula dari diri, ia juga bermula dari rumah tangga.
Golongan ini juga agak ramai dan keadaan ini berlaku merata.
6. Ada golongan yang sangat menghayati Islam. Akidahnya dijaga, ibadahnya istiqamah dan bersungguh-sungguh. Halal haram di dalam semua hal sangat diambil berat. Akhlaknya dengan Tuhan atau dengan manusia sentiasa diambil berat. Kalau dia melakukan kesalahan atau tertinggal amalan yang pernah dibuat walaupun sunat, dia sangat menyesal dan dia akan tampung dengan kebaikan. Dia akan tampung dengan sembahyang sunat, sedekah, dengan menolong orang dan lain-lain. Dengan anak isteri berjalan syariat Islam, sembahyang berjemaah bersama, ada program membaca Al Quran, ada jadual kuliah dan perbincangan. Ibu dan ayah menjadi suri teladan, berkasih sayang sesama keluarga, bekerjasama di antara satu sama lain.
Golongan ini sudah tidak ramai lagi. Mereka ini sudah dianggap orang ganjil dan pelik oleh masyarakat.
7. Golongan ini selain bersikap seperti golongan yang keenam, mereka sibuk memperjuangkan Islam. Islam itu diperjuangkan melalui ceramah-ceramah, nasihat-nasihat, tulisan-tulisan, membuat kebaikan di tengah masyarakat seperti selalu bersedekah, sering menolong orang susah dengan berbagai-bagai cara, suka berkhidmat dengan masyarakat dan pantang mendengar orang susah, mesti ditolongnya. Dia menyedarkan masyarakat kepada Islam secara bilhal atau secara sikap, agar orang ramai faham bahawa begitulah caranya Islam itu.
Golongan ini lebih-lebih lagi terlalu sedikit. Macam antah dalam beras atau macam mencari gagak putih.
Kalau secara rambang atau secara umum umat Islam seluruh dunia telah terbahagi kepada tujuh golongan. Itu belum kita perinci dan detailkan lagi.
Bagaimanalah umat Islam hendak berkasih sayang ?
Bgaimanakah boleh bersatu padu ?
Senangkah hendak bertolong bantu ?
Mudahkah hendak seia-sekata ?
Mudahkah hendak berjuang di dalam satu barisan yang tersusun, menuju satu haluan ?
Kalau umat Islam seluruh dunia ini, sudah tidak sama dan tidak seirama dalam memahami, menghayati, mengamalkan dan memperjuangkan Islam, bolehkah umat Islam menjadi kuat dan berdaulat ?
Bolehkah lahir satu umat yang berakhlak dan berwibawa hingga dihormati oleh bangsa-bangsa lain di dunia ?
Kalau kehidupan umat Islam sudah begitu kusut seperti yang telah kita paparkan sebelum ini, dari manakah kita hendak bermula untuk memulihkannya semula?
Bermula dari duit?
Bermula dari hiburan?
Bermula dari politik?
Bermula dari ilmu?
Berjuang memulihkan semula masyarakat Islam yang begitu haru-biru itu mesti bermula daripada iman dan ilmu. Iman dan ilmu mesti dari didikan. Dari didikan baru datang penghayatan. Dari penghayatan baru datang cinta kepada Allah, Rasul dan agama-Nya, atau baru datang takut kepada Allah Taala. Dari takut itu mereka melaksanakan. Dari melaksanakan, lahirlah bangsa yang bertaqwa.
Setelah bertaqwa barulah datang bantuan dan pembelaan dari Allah Taala. Setelah Allah Taala bela, barulah datang kekuatan, kedaulatan dan seterusnya kejayaan yang diredhaiNya.
Begitu pun, hendak melahirkan proses itu atau metodologi untuk ditempuh hingga sampai ke matlamatnya, mesti ada figure atau pemimpin yang beriman, berilmu, bertaqwa, berakhlak mulia, yang dihormati dan disegani, disayangi dan dipatuhi. Kalau nilai peribadi pemimpin itu sama dengan nilai peribadi rakyat umum atau lebih rendah lagi, siapakah yang boleh terima?
Siapakah yang boleh hormat?
Siapakah yang akan sayangi?
Siapakah yang akan patuhi?
Kita semua boleh memberi jawapan. Sudah tentu perjuangan umat Islam tidak sampai ke mana. Kalau hendak memperjuangkan di satu aspek sahaja seperti membangun dan maju sahaja, mungkin boleh. Bagaimana pula di aspek iman, taqwa, akhlak, ketaatan dan kasih sayang ?
Cukupkah dengan maju sahaja ?
Orang Barat sudah maju tetapi apa telah jadi kepada masyarakat mereka ?
Kita semua tahu keadaannya. Tidak perlulah saya sebutkan lagi. Apakah umat Islam mahu mengejar kemajuan sahaja seperti orang Barat lakukan. Masing-masing kita jawablah sendiri.
Umat Islam Sudah Nafsi-Nafsi
Ke mana sahaja kita pergi terasa sepi
Sekalipun di tempat ramai
Ke mana sahaja kita berada,
kita rasa macam berdagang di negeri orang
Padahal di negeri sendiri
Kerana tidak ada siapa yang ingin bertanya,
berkenal dan bermesra
Lebih-lebih lagi tidak akan ada sesiapa
Yang mengajak ke rumah sebagai tetamunya
Tegur sapa sesama umat Islam terlalu kurang
Memberi salam jarang sangat berlaku
Kalau kita orang yang baru datang di satu tempat
Dia pandang kita, kita pandang dia
Namun tegur sapa ingin tahu sudah jarang terjadi
Hanya pandang-memandang,
namun ingin berkenal jauh sekali
Umat Islam hari ini masing-masing
satu sama lain curiga-mencurigai
Kerana itulah kemesraan sudah tidak ada lagi
Ingin berkenal satu sama lain sudah tidak perlu
Betapalah untuk mendapat kawan,
jauh panggang dari api
Aduh, sepinya dunia ini
Walaupun di dalam hiruk-pikuk manusia
Sekalipun di tengah ramai
Tapi umat Islam sudah hidup nafsi-nafsi
Masing-masing menjaga diri
Satu sama lain tidak percaya-mempercayai
Sungguh rasa asing sekali ke mana kita pergi
Sungguh rasa sepi di mana sahaja kita berada
Di negeri sendiri terasa macam berdagang di negeri orang
Sekarang ini seolah-olahnya kita musafir sepanjang masa
Kerana orang tidak ingin hendak berkenal dengan kita
Allahyarham Ust. Ashaari.
Lepas Zuhur
25 – 09 – 1999
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan