Islam menggalakkan kebersihan iaitu bersih lahir dan batin.Di dalam Al Quran dan Hadis banyak memperkatakan tentang kebersihan atau bersuci ini. Allah berfirman dalam
Al Quran:Maksudnya:
“Sesungguhnya berbahagialah (mendapat kejayaanlah) orang yang menyucikan hatinya dan berdukacitalah orang yang mengotorkan hatinya.” (As Syams:9-10)
Rasulullah SAW pernah bersabda:Maksudnya:
“Kebersihan itu sebahagian dari iman.”
“Bersuci itu adalah cabang daripada iman.”
Di sini menunjukkan betapa pentingnya bersuci atau kebersihan dalam kacamata Islam. Sebahagian daripada iman kita sudah dapat. Kalaulah dinisbahkan iman itu 100% ertinya kita sudah dapat 50% daripadanya, tinggal lagi 50% untuk kita menggenapkannya. Maksudnya kalau kita sudah bersuci atau bersih lahir dan batin, kita hanya perlu tambah 50% lagi amalan lain, itu pun sudah menyelamatkan kita.
Kadang-kadang kita tidak sedar, kita bertungkus-lumus beramal banyak, contohnya banyak berpuasa, banyak sembahyangsunat, banyak wirid zikir, banyak mengaji dan macam-macam amalan sunat lagi, tapi perkara yang wajib tentang bersuci, kita tidak tahu atau tidak arif. Akhirnya seluruh amalan kita tertolak. Sampai ke langit, Allah suruh malaikat campakkan amalan itu turun ke bawah.
Tidak dapat pahala walau sebesar habuk, ataupun bagaikan habuk-habuk berterbangan. Letih saja kita berbuat tapi tidak dapat apa-apa pahala ganjaran daripada Allah. Bahkan Allah murka.
Jadi kalau begitu mari kita lihat bersuci atau kebersihan yang dituntut dalam Islam supaya ibadah kita tidak tertolak.
Bersuci terbahagi kepada dua:
1. Suci Lahir
a.Suci daripada najis berat, sederhana atau ringan.
b.Suci daripada hadas besar dan kecil.
c.Suci daripada fudhul (kotoran).
2. Suci Batin
a.Suci akal daripada syirik dan daripada segala isme-isme dan ideologi ciptaan manusia.
b.Suci hati daripada sifat-sifat mazmumah.
c.Suci nafsu daripada kehendak-kehendak yang negatif.
Mari kita huraikan satu-persatu supaya kita dapat beramal dengan tepat dan hayati sungguh-sungguh dalam hidup kita.
SUCI LAHIR SUCI DARIPADA NAJIS
Najis terbahagi kepada tiga:
1. mughallazah (berat)
Najis Contohnya najis anjing dan babi serta yang berkaitan dengan keduanya, misalnya keturunannya.
Cara mencucinya:
– Hilangkan ain najis.
– Hendaklah dibasuh tujuh kali termasuk satu basuhan daripada air tanah yang suci.
2. Najis mutawassitah (pertengahan)
Contohnya tahi, kencing, muntah, nanah, mazi, wadi, air liur basi, bangkai binatang dan lain-lain.
Cara mencucinya:
– Najis hukmiah iaitu yang kita yakini adanya tetapi tidak nyata zatnya, baunya, rasanya dan warnanya seperti kencing yang sudah lama kering sehingga sifat-sifatnya sudah hilang.
Cara mencuci najis ini cukup dengan mengalirkan air di atas benda yang kena najis itu.
– Najis ‘ainah iaitu yang masih ada zat, warna, rasa atau baunya, terkecuali warna atau bau yang sangat sukar menghilangkannya. Ini dimaafkan.
Cara mencuci najis ini hendaklah dengan menghilangkan zat, rasa, warna dan baunya. Kemudian dialirkan air mutlak ke atasnya.
3. Najis mukhaffafah (ringan)
Najis air kencing bayi lelaki yang belum berumur dua tahun dan tidak makan apa-apa selain susu ibunya sahaja.
Cara mencucinya:
– Memadai dengan memercikkan air ke atas benda yang kena najis itu walaupun tidak mengalir.
SUCI DARIPADA HADAS
a. Hadas besar
Antara perkara yang menyebabkan hadas besar ialah junub, nifas, haid, wiladah dan keluar air mani. Ini semua mewajibkan mandi.
Rukun Mandi
1.Niat.
Orang yang junub hendaklah berniat menghilangkan hadas junubnya.Perempuan yang baru selesai haid, hendaklah berniat menghilangkan hadas kotorannya dan seterusnya.
2.Meratakan air ke seluruh badan.
Sunat-sunat Mandi
1.Membaca “Bismillah” pada permulaan mandi.
2.Berwudhuk sebelum mandi.
3.Menggosok-gosok seluruh badan dengan tangan.
4.Mendahulukan yang kanan dari yang kiri.
5.Berturut-turut.
b. Hadas kecil
Iaitu berlaku perkara-perkara yang membatalkan wudhuk. Contohnya keluar sesuatu dari qubul dan dubur, tersentuh kulit lelaki atau perempuan yang bukan muhram, memegang kemaluan dengan tapak tangan, tidur dengan punggung yang tidak tetap ke lantai.
Cara menghilangkan hadas kecil ialah dengan berwudhuk.Tetapi jika keluar sesuatu (najis) dari qubur atau dubur (kecuali angin/kentut) perlu beristinjak untuk menyucikannya.
Istinjak
Dalam sebuah Hadis Rasulullah SAW ada disebutkan:Nabi SAW telah melalui dua buah kubur, ketika itu baginda berkata:
“Kedua orang yang ada di dalam kuburini diseksa. Yang seorang diseksa kerana mengadu domba, yang seorang lagi kerana tidak beristinjak kencingnya.”
(Sepakat ahli Hadis)
Apabila keluar kotoran daripada jalan depan mahupun belakang, wajib istinjak dengan air atau tiga ketul batu. Yang paling baik ialah mula-mula dengan batu atau sebagainya, kemudian diikuti dengan air.
Sabda Rasulullah SAW: Maksudnya:
“Apabila seseorang itu beristinjak dengan batu hendaklah ganjil.
(Riwayat Bukhari dan Muslim)
Berkata Salman:
“Rasulullah melarang kita beristinjak dengan batu yang kurang daripada tiga batu.” (Riwayat Muslim)
Dalam Hadis ini disebutkan tiga batu bererti tiga ketul batu atau satu ketul batu tiga persegi. Yang dimaksudkan dengan batu ialah tiap-tiap benda yang keras, suci dan kesat seperti kayu, tembikar dan sebagainya. Benda yang licin seperti kaca tidak sah dibuat istinjak kerana tidak dapat menghilangkan najis. Begitu juga benda yang dihormati seperti makanan dan sebagainya.
Syarat beristinjak dengan batu dan sebagainya hendaklah sebelum kotoran itu kering dan tidak mengenai tempat lain selain dari tempat keluarnya. Jika mengenai tempat lain maka tidak sah lagi istinjak dengan batu tetapi wajib istinjak dengan air.
SUCI DARIPADA FUDHUL (KOTORAN)
Ia merupakan kotoran seperti hingus, tahi mata, tahi telinga, kelemumur, tahi hidung, kahak, lebihan kuku, bulu ketiak dan ari-ari, daki, kutu dan lain-lain. Ini semua pada badan. Kotoran yang ada di persekitaran seperti habuk-habuk, jelaga, sarang labah-labah, cebisan kertas, kain buruk dan lain-lain.
Ianya bukan najis cuma tidak cantik. Nampak tidak bersih, tidak smart, tidak kemas, tidak menarik bahkan nampak berserabut dan menyakitkan mata memandang.
Dalam Hadis Rasulullah SAW bersabda:Maksudnya:
“Sesungguhnya Allah itu cantik dan sukakan kecantikan.”
Kita mestilah suci daripada kotoran-kotoran lahir ini supaya lahirlah orang-orang yang bersih. Kalau kita tidak sensitif dengan kotoran-kotoran lahir ertinya kita ini kasar, yakni tidak berjiwa halus. Benda-benda yang lahir ini jika kita tidak rasa jijik ertinya yang batin lagilah kita tidak rasa jijik.
Mungkin ada orang berkata,
“Saya ini orang seni, sebab itu saya simpan sarang labah-labah ini.”
Tentu tidak. Fitrah hati menolak dan akan rasa sarang labah-labah atau lain-lain tadi tidak patut disimpan dan menyakitkan mata.
SUCI BATIN
Batin terbahagi kepada tiga iaitu akal, nafsu dan hati.
SUCI AKAL
Suci akal daripada syirik atau isme-isme ciptaan manusia. Bila akal masih syirik atau menduakan atau yakin dengan lain-lain isme-isme ciptaan manusia ertinya akal kita masih bernajis.
Sebab itu akal mestilah dibersihkan dan diisi dengan ilmu wahyu yakni Al Quran dan Hadis Rasulullah. Ini kerana ilmu wahyu itu tepat. Ia mampu menyuluh sesuatu ilmu itu sama ada betul atau salah.
SUCI HATI
Suci hati daripada sifat-sifat mazmumah. Bila ada sifat-sifatmazmumah ertinya hati kita masih bernajis.
Najis hati namanya. Sebab itu sifat-sifat mazmumah ini mesti dibersihkan seperti benci, marah, besar diri, megah, dendam, hasad, tamak bakhil, lalai, takut, sedih, kecewa dan lain-lain.
Cara Membersihkan Hati:
1.Setiap yang mahmudah hendaklah disuburkan. Seperti rasa simpati, pemurah, malu, rendah diri, hormat, rasa terimakasih, taat, redha, puas hati, sabar dan lain-lain. Manakala
sifat-sifat mazmumah hendaklah dibuang.
2.Mesti ada ilmu tentang cara menyuburkan mahmudah dan membuang mazmumah. Perlu mengetahui sifat-sifat hati terlebih dahulu.
3.Kenal apa yang ada di dalam hati kita.
4.Hendaklah membuat latihan secara mujahadah dan riadah.
5.Mujahadah dan riadah itu hendaklah secara istiqamah.
6.Ada guru tempat merujuk.
SUCI NAFSU
Suci nafsu daripada kehendak-kehendak yang jahat. Nafsu juga ada najisnya iaitu kehendak-kehendak yang jahat atau negatif seperti makan minum yang haram, pakaian yang haram, inginkan tempat tinggal yang haram, inginkan kenderaan yang haram, inginkan kepada pergaulan yang haram dan lain-lain.
Ini semua hendaklah dibersihkan dengan menggantikannya dengan keinginan yang halal seperti ilmu, makan, minum, isteri, tempat tinggal, ajaran, kenderaan, kekayaan yang halal, ingin memperjuangkan kebenaran, ingin beribadah, ingin ke masjid berjemaah dan lain-lain kehendak yang baik.
Cara Untuk Membersihkan Nafsu:
1.Faham syariat.
2.Faham kehendak-kehendaknya yang negatif.
3.Dorong semua kehendaknya yang positif atau yang mubah.
4.Mujahadah dan riadah.
5.Istiqamah.
6.Ada guru tempat rujuk.
Itulah bentuk ‘najis’ yang ada pada kita semua iaitu najis lahir dan ‘najis’ batin. Kalau kita umat Islam mampu membersih- kannya melalui proses yang disebutkan tadi maka akan lahirlah keindahan syariat Islam itu. Kita akan dapati di antaranya:
1.Lahirlah masyarakat yang bersih lahir dan batin sepertimana model di zaman Rasulullah SAW.
2.Lahirlah masyarakat yang sihat pada badan (fizikal), fikiran dan jiwa.
3.Akan lahirlah masyarakat yang berkasih sayang.
4.Akan lahirlah masyarakat yang bergotong-royong, bersatu padu dan bekerjasama.
5.Lahirlah masyarakat yang terpelihara keturunannya.
6.Lahirlah masyarakat yang bersatu padu dan bersaudara.
7.Lahirlah masyarakat yang aman damai.
8.Lahirlah masyarakat yang rajin.
9.Lahirlah masyarakat yang muafakat.
10.Lahirlah masyarakat yang belas kasihan, bertimbang rasa,mengambil kira perasaan orang lain.
11.Lahirlah masyarakat yang hormat-menghormati.
12.Akan lahirlah masyarakat yang berkorban.
13.Akan lahirlah masyarakat yang bersih daripada perkara-perkara yang menimbulkan perbalahan.
14.Masyarakat bersih daripada kemungkaran.
15.Masyarakat bersih daripada pembaziran.
16.Akan lahirlah masyarakat yang suka menuntut ilmu.
17.Akan lahirlah masyarakat yang pemurah, bertolak ansur, menjaga perasaan orang lain, bersopan dan berakhlak mulia
18.Lahir masyarakat yang berkemajuan dan bertamadun.
19.Lahirlah masyarakat yang berdisiplin.
At Thaharah
At Thaharah atau kebersihan adalah asas ibadah
Kalau ibadah di tempat tidak bersih
Tapi tidak najis hukumnya makruh
Kalau tempat najis, tidak sah
Rumah orang bertaqwa laksana masjid atau rumah Allah
Lahir batinnya hendaklah bersih
Supaya roh suci datang ziarah
Kalau rumah tidak bersih malaikat tidak ziarah
Padahal malaikat-malaikat membawa
berkat dan rahmat dari Allah
Pengotor tidak disukai Allah
Sekalipun tuan rumah ahli ibadah
Bersih menyenangkan jiwa, akal cerah
Kalau tidak fikiran berserabut, jiwa tegang, mudah pemarah
Bersih banyak peringkat kenalah buat
Yang tertinggi bersih daripada najis
sama ada aini mahupun hukmi
Yang aini nampak oleh mata
Yang hukmi hanya bersifat maknawi
Peringkat kedua bersih daripada yang menjijikkan
sekalipun tidak najis
Dia mematikan selera atau meloyakan perasaan manusia
Kenalah juga jaga seperti hingus atau tahi mata
Yang ketiga bersih daripada yang mencomotkan
sekalipun bukan najis
Kerana ia tidak sedap dipandang oleh mata kepala
Seperti tanah yang terpalit, tepung dan sampah
yang berselerak di rumah
Bahkan di dalam Islam meminta lebih dari itu
Barang-barang di rumah tersusun,
perabut-perabut di rumah teratur kalau ada perabut
Kerana ia menyedapkan mata memandang Sunat hukumnya
Pakaian mesti kemas, bersih, elok bercantik-cantik,
Tuhan itu cantik secara Tuhan
Yang tidak dapat dibayangkan
Maka Tuhan suka hamba-hamba yang bercantik-cantik
Yang dimurka kalau megah dan riyak
Kalau pandangan tidak sedap dilihat oleh mata
Di rumah makruh hukumnya
Kerana dia membantu juga fikiran berserabut
Jiwa tidak tenang
Kemuncak kebersihan adalah kebersihan jiwa dan fikiran
Terutama daripada syirik yang mengekalkan seseorang
di dalam neraka
Selain itu sombong, tamak, bakhil,
cintakan dunia dan lain-lainnya
Kerana kekotoran jiwa membawa perpecahan dan huru hara
Yang akan menyusahkan kehidupan manusia
Yang akan hilang keharmonian dan kebahagiaan bersama
Orang yang pengotor fikirannya selalunya tidak teratur
Menggambarkan fikirannya yang kusut berserabut
Bahkan malaikat tidak menziarahi rumahnya
Rahmat dan berkat masuk ke rumahnya bersama malaikat
Kalau tidak, selalu sahaja berlaku krisis keluarga dan rumah tangga
Yang selalu ziarah ke rumah adalah jin,
syaitan dan roh-roh yang kotor
Sekalipun tuan rumahnya sembahyang
Tapi tidak membawa ketenangan
Kerana malaikat tidak datang
Rumah itu orang rasakan bagaikan kubur
Tolong ambil peringatan nasihat sajak ini
Rumah orang Islam tidak sepatutnya kotor atau berserabut
Allahyarham Ust. Ashaari.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan