Khamis, 30 Jun 2011

Faham Tentang Islam


Faham tentang Islam bukan bererti setakat ada ilmu tentang Islam. Ramai orang ada ilmu Islam tetapi tidak faham Islam. Tahu dan faham adalah dua keadaan yang berbeza.Faham itu merangkumi semua aspek. Faham zahir dan batinnya, rohnya, yang tersurat dan tersirat.

Inilah yang dimaksudkan oleh hadis Rasulullah SAW:
Barangsiapa yang Allah hendak jadikan dia orang baik, maka dia akan diberi faham tentang agama.''

Rasulullah SAW tidak menyebut,
'' Barangsiapa yang Allah hendak jadikan dia orang baik, maka dia akan diajar/diberitahu/diberi ilmu tentang agama.''

Tetapi Rasulullah berkata,
'' Dia akan diberi faham tentang agama.''

Sebab tidak semestinya seseorang itu akan faham bila dia diajar. Tidak semestinya bila dia diberitahu, dia akan faham, akan menghayati serta akan menjiwainya. Tetapi bila dikatakan 'diberi faham tentang agama' maknanya dari otak hinggalah ke hati akan menjadi satu keyakinan akhirnya dijiwai dan dihayati.

Sudah semestinya kalau hendak faham kena ada ilmunya. Kita kena cari ilmu. Tetapi belum tentu kalau ada ilmunya, kita akan faham.

Faham itu hikmahnya.
Faham itu ialah ilmu dalam ilmu.

Kalau begitu sekiranya sekadar diajar atau diberitahu tentang Islam, tidak ada jaminan seseorg itu akan menjadi baik.Tetapi kalau 'diberi faham', itulah tanda seseorang itu akan membuat perubahan. Sebab bila dikatakan 'diberi faham',ia akan jatuh ke hati.

Tetapi kalau hanya 'diberitahu' atau 'diajar', itu setakat diakal sahaja. Akhirnya, jadi mental exercise. Pintar dan lancar dia memperkatakan tentang Islam tetapi hanya berputar di akal tidak di hati.

Bila ilmu bertapak di akal, syarahannya hebat, boleh menulis dan sebagainya. Tetapi kalau ia tidak bertapak di hati, ia bukan menjadi keyakinan hidupnya.Ertinya dia tidak menghayati ilmunya. Kalau begitu ilmu yang ada diotaknya tidak mendorong dia untuk membaiki diri,untuk menggunakan ilmunya itu untuk menuntun hidupnya. Tetapi kalau ilmu itu sampai ke hati barulah ia akan berkesan pada dirinya.

Sebab itulah orang alim ramai tetapi orang faqih (orang yang faham) sedikit. Yang diajar dan diberitahu tentang ilmu Islam itu ramai tetapi yang menjiwai Islam itu tidak ramai. Seseorang yang sekadar diberitahu atau diajar tentang Islam, belum tentu terdorong untuk membaiki diri. Akalnya terisi dengan ilmu Islam, tetapi kalau ilmu tidak bertapak dalam hati, dorongan untuk membaiki diri dan mengamalkan ilmu tidak ada.

Manakala kalau ilmu disertai kefahaman, bermakna seseorang itu tahu dari hati dan jiwanya, bukan sekadar dengan akal sahaja. Ini akan mendorongnya membaiki diri. Namun perlu diingat, kalau hati sahaja terbuka untuk menerima Islam, tetapi ilmunya tidak ada maka seseorang itu tidak akan boleh berbuat.Kalau kita seronok sahaja beramal tetapi malas hendak menuntut ilmu, maka banyaklah kesalahan yang kita akan buat.

Amalan yang tidak disuluh dengan ilmu maka akan tertolak terus amalan itu. Beramal tanpa ilmu tidak sah dan ianya tertolak.

Jadi kefahaman tentang Islam ini perlu ada. Islam mesti difahami secara syumul, secara lengkap, bukannya secara serpihan. Islam yang difahami mesti meliputi seluruh aspek kehidupan manusia. Islam mesti difahami sebagai cara hidup sebagai 'ad-deen'.

Atau dengan kata-kata lain, Islam mesti difahami sebagai aqidah, sebagai ajaran ibadah, dakwah, ukhwah, jihad, jemaah, amrun bil makruf wanahyun 'anil mungkar, tarbiah, pendidikan, ekonomi, daulah Islamiah, hal antarabangsa hinggalah kepada hal-hal yang menjangkau alam sejagat.

Untuk faham pula mesti ada jalan, ada usaha dan ada caranya. Bukan boleh faham begitu-begitu saja. Mesti melahirkan sebabnya seperti belajar, membaca, mentelaah, muzakarah, bertanya dan sebagainya. Jadi, suka, minat atau lapang dada menerima Islam saja tidak cukup. Mesti disertai dengan kefahaman, kemudian kena berbuat dan bertindak berdasarkan kefahaman itu.

Kalau sesuatu amalan itu dibuat atas dasar tahu saja tanpa disertai kefahaman, jadilah amalan itu lahirnya betul tetapi hatinya rosak.

Misalnya, dia tahu cara hendak sembahyang dan akan bersembahyang tetapi roh sembahyang tidak ada. Bila roh sembahyang tidak ada, hakikatnya dia belum bersembahyang.

Begitu juga bagi orang yang sekadar tahu ilmu berjuang dan boleh berjuang. Lahirnya saja bagus, tetapi hatinya akan rosak. Roh berjuang tidak ada.

Manakala kalau diberi ilmu puasa sahaja dan dia boleh berpuasa tetapi berpuasa hanya tangannya, mulutnya, matanya dan perutnya sedangkan rohnya, hatinya dan nafsunya tidak berpuasa. Sebab mengetahui itu hanya terhadap benda-benda lahir yang dapat dinilai oleh mata kepala.

Tetapi 'faham' itu lebih mendalam iaitu hati atau rohani sama-sama merasa, bukan akal sahaja yang mengetahui.

Begitu juga, tidak cukup membangunkan Islam dengan cara semangat-semangat, slogan-slogan, terpekik sana, terpekik sini, demonstrasi sana, demonstrasi sini, kutuk orang itu, kutuk orang ini. Ini bukan faham namanya.

Usahkan faham, kadang-kadang ilmu pun belum ada. Ini lagi rosak. Konon-kononnya berani Beranikah itu namanya ?

Umat Islam. Bukannya tidak berani. Orang ada senjata automatik, kereta perisai dan kereta kebal tetapi dia main baling batu sahaja ditengah jalan. Semua orang mengakui yang itu berani. Memanglah berani tetapi berani melulu.

Umpama air bah, kalau tidak ada saluran yang betul, habis semua benda dilanyaknya. Pohon kelapa orang, kebun orang, rumah orang dan sebagainya habis ranap dibuatnya.

Tetapi kalau ada saluran dan sistem perparitan yang betul, air bah itu dapat dikawal dan dialirkan ke sungai. Bahkan di parit, boleh tangkap ikan dan main sampan.

Jangan berani melulu macam air bah. Paling tidak biar berani atas dasar ilmu. Tetapi paling baik, berani atas dasar faham. Kalau tidak faham, kena tanya, kena belajar, kena muzakarah, kena berbincang, kena banyak mentelaah dan lain-lain.



SELARIKAN KEHENDAK KITA DENGAN KEHENDAK TUHAN


SELARIKANLAH kehendak kita dengan kehendak Tuhan
Kehendak Tuhan penuh hikmah
dan terjamin keselamatannya

Kehendak kita bukan ada pertimbangan
Hanya mengikut hawa nafsu atau ego dan angan-angan
Selaraskan, kenalah makan, minum, pakaian, bekerja,
berjuang, berkeluarga, berpolitik, berekonomi
dengan kehendak Tuhan

Jangan pula kehendak Tuhan lain, kehendak kita lain
Kehendak Tuhan kita tolak, kehendak kita yang kita terima
Ia akan merosakkan kehidupan kita
Sedangkan fitrah semula jadi kita sebagai manusia
tidak mahu kerosakan

Hari ini rata-rata kebanyakan manusia
kehendaknya yang diamalkan
Kehendak Tuhan sudah tidak dihormati
dan dikesampingkan

Apa sudah jadi kepada kehendak manusia?
Perpecahan berlaku, peperangan terjadi
Jenayah menjadi-jadi menakutkan semua orang
Kasih sayang dan persaudaraan punah dan musnah
Sedangkan manusia tidak mahu itu semua berlaku
Sistem kekeluargaan hancur sama sekali
Perhubungan murid-murid dengan guru-gurunya
punah-ranah
Perhubungan suami isteri hanya di waktu baru berkahwin
Perhubungan anak-anak dengan ibu bapa
renggang dan tunggang-langgang

Manusia bukan mahu perkara-perkara
yang disebutkan tadi berlaku
Tapi manusia sudah tidak tahu bagaimana
hendak mengatasinya
Para pemimpin, cerdik pandai sudah bingung
Sekarang semua golongan sudah hidup
dalam ketakutan
Resah, gelisah, kecewa, putus asa
Akibat menerima kehendak sendiri
dan menolak kehendak Tuhan

Bilakah manusia itu mahu menerima kehendak Tuhan?
Agar dunia kembali aman damai dan harmoni


Allahyarham Ust. hj Ashaari Muhammad
Menjelang Maghrib
31 - 12 - 1999
25 Ramadhan 1420

Tiada ulasan:

Catat Ulasan