Sabtu, 30 April 2011
Bagaimana Solat Boleh Membina Kekuatan (Sifat Rajin)
Rajin Sifat yang berlawanan dengan rajin ialah pemalas. Pemalas sangat dibenci Tuhan. Untuk menjadi bangsa yang kuat, kita kena rajin. Sifat rajin ini tidak boleh dilakon-lakon atau dibuat-buat. Mesti ada pemangkin atau pendorong yang bersifat rohaniah.
Dalam sembahyang kita memuja dan memuji Tuhan. Kita kata Tuhan Maha Besar. Kita akui Tuhan pentadbir dunia dan Akhirat. Hati kita rasa berTuhan, rasa Tuhan itu besar. Kita rasa Tuhan Maha Melihat, Tuhan itu ada dan Tuhan sentiasa berperanan dalam hidup kita.
Kita juga membuat janji dan ikrar bahawa semua solat, ibadah, hidup dan mati kita hanya untuk Tuhan. Solat dan ibadah dipisahkan walhal solat pun ibadah juga. Itulah tandanya solat itu ibadah yang penting, utama dan pertama dari ibadah-ibadah yang lain sama ada yang wajib atau yang sunat. Kita bertungkus lumus membuat semua ibadah. Hidup dan mati itu pula merangkumi aktiviti yang tidak ditentukan. Bolah jadi ianya perkara ibadah, boleh jadi tidak. Makan, rehat dan tidur boleh dijadikan ibadah atau pun tidak. Kita berikrar, perbuatan yang harus pun hendak kita jadikan ibadah. Jadi mana boleh rehat-rehat.
Kita kena aktif, sentiasa bertenaga dan bergerak. Inilah dia perkara dalam solat yang membuatkan kita cergas dan aktif, rajin dan sentiasa bergerak. Segala macam perkara yang jadi ibadah kita buat. Perkara yang harus pun kita jadikan ibadah.
Maknanya solat itu membunuh kemalasan.
Kalau satu kelompok itu ibadahnya banyak, baca Quran banyak, wirid dan zikir banyak, kita kata mereka hebat. Itu salah tafsir sebenarnya. Kita sangka mereka baik sebab mereka tidak tegur orang dan hanya beriktikaf sahaja. Tapi mereka tidak rajin dan tidak berkhidmat kepada masyarakat. Di sini konsep ibadah itu sudah silap. Itu menunjukkan mereka hanya ada ilmu tetapi tidak faham dan ilmu itu tidak dihayati.
Pada orang ramai, mereka orang baik. Ini satu kesalahan yang besar. Orang yang baik itu bukan setakat boleh beribadah dan tidak menganggu orang. Orang baik itu selepas ibadah mesti aktif dan mesti berkhidmat kepada orang lain dengan tenaga, nasihat dan wang ringgit.
Ada Hadis yang bermaksud:
''Yang paling baik di antara kamu ialah kamu yang paling banyak memberi manfaat kepada manusia lain''.
Sebab itu para salafusoleh, kerana ibadah mereka dihayati dan berperanan pada diri mereka, kalau selepas Subuh, walaupun mereka tidak ada kerja yang khusus, mereka sengaja keluar cari-cari pasal (untuk buat kebaikan) dan cari-cari kerja. Mereka pergi tolong petik gandum, tolong mencangkul tanpa disuruh atau diminta. Kalau mereka melihat ada rumah yang bumbungnya bocor, mereka minta izin tuan rumah untuk membaikinya. Inilah solat yang melahirkan orang yang aktif.
Tapi hari ini, orang banyak solat, banyak ibadah, tetapi mereka menjadi beku dan jumud. Bahkan nasib mereka pun ditentukan oleh orang lain. Bukankah ini satu kesilapan yg besar?
Hanya kerana mereka itu nampak lembut, tidak ganggu orang, kuat ibadah, maka orang anggap mereka itu baik dan bagus.
Orang yang kuat hubungannya dengan Tuhan, dia mesti banyak berhubung dengan manusia. Orang yang banyak berkhidmat dengan Tuhan mesti banyak berkhidmat dengan manusia. Kalau betul takut dan cinta Tuhan, akan bertambah cinta kepada manusia. Itulah sepatutnya natijah atau hasil dari solat atau sembahyang.
Ampun maaf
Islam Membawa Kasih Sayang
Islam adalah hubungan dengan Allah
dan hubungan sesama manusia
Hubungan dengan Allah banyak berlaku
di masjid dan di surau-surau
secara fizikal dan rohani
Yang bersifat rohaniah ini berlaku di mana-mana
kerana ia adalah kerja hati
Hubungan sesama manusia tidak kira kafir
atau Islam berlaku di mana-mana sahaja
Berlaku di jalan raya, di rumah,
di kedai makan, di dalam kenderaan,
di sekitar jiran tetangga
Disiplin waktu berhubung, bertemu,
waktu bermesyuarat, bermuzakarah, berceramah
Di dalam keluarga, waktu bekerja,
bermusafir, berjuang dan ziarah
Di sini dibawa beberapa contoh,
yang tidak disebutkan kiaskan sahaja
Di jalan raya utamakan orang lain dahulu,
sekalipun jalan kita
Bertanya-tanyalah hal jiran
sama ada Islam atau kafir,
kesusahannya dibantu, sakitnya diziarah,
ketiadaannya jaga rumahnya
Waktu makan di kedai
bayarkan yang di kiri kanan kita
Ketika ke pasar, bayarkan untuk orang yang di sebelah kita
setakat termampu
Apabila naik bas, utamakan orang lain duduk,
lebih-lebih lagi orang tua atau kaum ibu
Kalau kita berjalan berkenderaan sendiri,
terjumpa orang menunggu bas,
pelawa dia naik kenderaan kita
Berjumpa orang di mana-mana
sama ada dikenali atau tidak
berilah salam kepada mereka
Di dalam majlis, ada peluang bermesralah,
ada orang bercakap dengarlah,
jagalah tata-susila
Ada orang yang susah meminta,
berilah jangan dikecewa,
kita berhutang kerananya pun tidak mengapa
Hutang orang kepada kita jangan dipinta
Kalau boleh bayarkan hutang orang setakat termampu,
jadikan budaya
Kalau mereka bayar, Alhamdulillah,
jika tidak, halalkan sahaja
Jika kita bersalah dengan siapa sahaja
minta maaflah,
orang bersalah maafkan sahaja
sekalipun tidak meminta
Berkawan hendaklah setia,
berjemaah sama-sama berkorban
dan menjaga keutuhannya
Pengutip-pengutip sampah kenalah beri hadiah
atau apa-apa sahaja yang makanan yang munasabah
Berani jangan melulu, biarlah berstrategi,
takut juga jangan terlalu, nanti Tuhan benci
Bekerja biarlah berdasarkan ilmu,
bersungguh-sungguh,
bekerja secara jemaah hendaklah bekerjasama
Kalau makan jangan seorang dibedal,
biarlah ada orang lain sama
Orang yang menentang kita, janganlah dilayan,
Kalau boleh buat baik dengan mereka
Kalau mereka fitnah,
tidak salah kita menghilangkan fitnah,
tapi biarlah bijaksana
Itulah dia sebahagian daripada ajaran Islam yang global
Yang tidak diceritakan kiaskan sahaja
Itulah dia Islam cara hidup,
bukan berpusat di masjid sahaja
Islam macam itulah
yang kita sedang memperjuangkannya
Apa yang kita lihat tadi nyatalah Islam itu
membawa kasih sayang sesama manusia
Selepas Subuh
14 – 12 – 2002
Allahyarham Ust. Ashaari.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan