Sabtu, 30 April 2011

Bagaimana Solat Boleh Membina Kekuatan (Berjiwa Besar)


Bismillahir Rahmanir Rahim

Berjiwa Besar Hasil dari solat ialah rasa beriman dan bertaqwa. Kalau itulah yang kita rasa maka akan timbullah rasa berjiwa besar. Sebab orang yang beriman dan bertaqwa itu Tuhan kata,''Dia orang Aku.'' Kalau seseorang itu sudah menjadi orang Tuhan, Tuhan janjikan untuknya berbagai-bagai perkara dan Tuhan tidak mungkir janji. Janji Tuhan pasti Tuhan tepati.

Apakah janji Tuhan kepada orang mukmin, orang bertaqwa dan orang yang sudah menjadi orang Tuhan?

Tuhan janjikan kepadanya:

a. Keselamatannya
b. Kewangannya
c.Kehidupannya
d.Kepandaiannya
e.Kemenangan
f.Tuhan bertanggungjawab dan akan mengalahkan musuh-musuhnya

Tuhan mempunyai ramai rijal yang ghaib. Angin, air dan bermacam-macam lagi adalah tentera Tuhan. Tuhan boleh arah mereka bertindak. Kalau begitulah keyakinan kita dari hasil solat, maka dari solat itulah kita akan beroleh jiwa yang besar.

Orang yang sudah jadi orang Tuhan, ada sesuatu yang paling besar pada dirinya yang tidak ada pada ciptaan lain. Orang tengok gunung, tidak ada orang yang masuk Islam. Orang tengok laut, tidak ada yang menangis kerana merasa insaf dengan kebesaran Tuhan. Tetapi dengan melihat orang Tuhan dan orang yang bertaqwa, manusia boleh masuk Islam tanpa banyak hujah.Bila tengok sahaja orang yang bertaqwa, tergerak hati mereka hendak bertaubat kepada Allah.

Orang bertaqwa itu adalah ciptaan Tuhan yang paling hebat. Orang boleh terpukau dengannya. Dia pemaaf, berkasih sayang, suka mengutamakan orang lain, belas kasihan dan kalau ada orang buat jahat padanya, dibalasnya dengan kebaikan. Dia tidak boleh tengok orang susah. Pasti dibantunya.

Orang yang berjiwa besar sentiasa mahu melahirkan tanda kebesaran Tuhan pada dirinya. Tuhan Maha Pemurah, dia pun jadi pemurah. Tuhan buat baik pada orang yang buat jahat pada-Nya, dia pun mahu buat baik pada orang yang buat jahat padanya. Betapa tidak, orang sekutukan Tuhan, maki Dia, mengata Dia, tolak suruhan-nya, tidak solat, berjudi, minum arak tapi Tuhan tetap layan mereka. Tuhan tetap bagi makan minum, anak isteri pada mereka.

Maha Besar Tuhan yang menghadiahkan solat. Siapa yang menghayatinya, dia akan berjiwa besar. Bangsa yang menghayatinya akan menjadi bangsa yang berjiwa besar.


Ciri Orang Yang Lemah jiwa

Di antara ciri-ciri orang yang lemah jiwa banyak macamnya
Memuji diri termasuk orang lemah jiwa kerana hendak menghibur hatinya
Termasuk juga ingin dipuji tanda lemah jiwa
Kalau tidak dipuji terseksa jiwanya

Termasuk yang lemah, jiwa rasa bangga, hati selalu berbunga apabila berjaya
Hairankan diri termasuk juga lemah jiwa
Ego atau sombong lebih-lebih lagilah lemah jiwa
Dia ambil sifat yang bukan sifatnya
Itu adalah sifat Tuhan yang Maha Agung lagi Maha Berkuasa

Rupanya lemah jiwa orang yang berjaya dengan orang yang tidak berjaya tidak sama
Orang yang tidak berjaya rasa kecewa, kemuncaknya putus asa begitulah lemah jiwanya
Yang berjaya seperti yang telah dicerita
Orang yang tidak lemah jiwa biasa sahaja, tenang hidupnya
Samada hidupnya berjaya mahupun hidupnya tidak berjaya

Orang yang kuat jiwanya macam mana pula agaknya?
Bagaimana pun keadaan hidupnya tenang sahaja
Di dalam keadaan apa pun sama sahaja
Mengapa seseorang itu kuat jiwanya

Apakah rahsianya kuat jiwanya?
Kerana dia kuat dengan Tuhannya
Dia tahu rahsia Tuhan mengapa dia diperlakukan oleh Tuhannya
Kerana Tuhannya dia tenang sahaja
Itulah dia orang yang kuat jiwanya
Kerana pautan dengan Tuhanlah menjadikan kuat jiwanya

7.9.2004 – 2
Menjelang tidur
Allahyarham Ust. Ashaari.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan