Sabtu, 30 April 2011
Bagaimana Solat Boleh Membina Kekuatan (Sifat Sabar)
Bismillahir Rahmanir Rahim
Sabar juga termasuk ciri satu bangsa yang agung. Sifat sabar lebih utama bagi pemimpin. Oleh itu sifat sabar yang tertinggi dihadiahkan Tuhan kepada pemimpin, kepada para Rasul terutamanya yang Ulu 'azmi. Sabar adalah syarat utama bagi seorang pemimpin.
Dalam sembahyang ada ubat dan pil untuk menjadikan seseorang itu penyabar. Sebelum kita mulakan sembahyang pun sudah ada didikan untuk kita bersabar sama ada kita sedar atau tidak, sebab hendak sembahyang bukannya senang, lebih-lebih lagi bagi orang yang belum khusyuk.
Hendak sembahyang pun satu ujian. Bukan senang hendak bangun tidur di waktu pagi untuk sembahyang Subuh. Sebab itu, sesetengah orang dia duduk-duduk dulu. Dia menung dulu. Mengenangkan terpaksa ke bilik air. Kalau tidak sabar, kita tidak akan boleh buat. Kalau tidak sabar kita akan tidur semula. Sebelum sembahyang pun sudah perlu banyak sabar.
Dalam sembahyang lebih-lebih lagi. Bila kita sebut:''Malikiyau middin'' yang bermaksud:''Tuhan yang memerintah di Akhirat'' ia jadi pemangkin untuk kita bersabar. Bersabar melaksanakan segala suruhan Tuhan. Bersabar meninggalkan segala larangan Tuhan kerana takutkan Neraka dan inginkan Syurga-Nya. Biarlah bersusah-susah sedikit. Biarlah sakit sedikit. Biarlah tidak dapat mengikut kehendak nafsu asalkan di Akhirat kita selamat. Dengan itu ia memudahkan kita untuk bersabar.
Samalah dengan orang yang mengejar dunia. Hendak sekolah bukan seronok. Hendak belajar bukan senang.Hendak masuk universiti bukan mudah. Tetapi demi untuk menjadi pandai, supaya dapat kerja dan jawatan tinggi, bersusah payah pun dibuat juga. Orang boleh bersabar menghadapi apa yang dia benci, apa yang dia suka dan apa yang menjemukan, asalkan matlamat dan cita-citanya tercapai.
Sakitnya Mujahadah
Aduh sakitnya mujahadah
Ia meletihkan, menyusahkan dan menjemukan
Tuhan! Kerana Engkau aku lakukan juga walaupun payah
Walaupun meletihkan dan menjemukan aku terus melakukannya
Di dalam susah-susah itu aku teruskan juga
Di dalam menjemukan itu aku paksa juga diriku melakukannya
Aku cuba melawan perasaan jemu itu
Aku yakin dengan rahmat-Mu suatu hari nanti Engkau bantu menjayakannya
Engkau sebenarnya hendak melihat aku bersungguh-sungguh mujahadah atau tidak
Serius melakukannya atau sebaliknya
Engkau sebenarnya hendak menguji aku
Setelah ada kesungguhan tanpa jemu Engkau akan bantu
Bersungguh-sungguh bermujahadah tanpa jemu Engkau berjanji akan tunjuk jalan
Engkau hendak tunggu aku bersungguh-sungguh melakukannya
Setelah berlaku kesungguhan itu Engkau bagi jalan
Jalan menuju-Mu yang lurus, jalan kebenaran
Bantulah aku bermujahadah Tuhan
Agar aku berjaya bermujahadah kerana-Mu
Supaya ……… engkau merentang jalan kebenaran
Agar aku menempuhnya ke jalan keselamatan
4.9.2003 – 2
Menjelang Maghrib
Allahyarham Ust. Ashaari.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan