Sabtu, 17 September 2011

IQ EQ dan SQ


Nampaknya dalam bidang pendidikan pihak-pihak yang berwajib masih teraba-raba dan masih tercari-cari untuk mendapatkan formula yang terbaik dalam mendidik pelajar-pelajar di sekolah. Keperluan ini bertambah penting memandangkan disiplin para pelajar sekarang telah begitu merosot hingga ramai yang terlibat dengan gangsterisme, vandalisme, pergaduhan, budaya rock, budaya metal, skinhead, salahguna dadah, melawan guru, membakar kereta guru bahkan ada pelajar-pelajar yang sampai memukul dan mencederakan pelajar-pelajar lain.

Semakin banyak dan semakin keras atau drastik tindakan yang diambil, nampaknya masalah yang dihadapi semakin menjadi serius. Semakin lama masa berlalu, semakin banyak kes-kes yang terbongkar.

Ada pihak yang merasakan bahawa kesilapan ini terletak kepada sistem pelajaran kita yang hanya mementingkan dan mengambil berat tentang pertumbuhan IQ (Intelligence Quotient) semata-mata. Dalam sistem yang ada sekarang, kecerdasan minda atau IQ sahaja yang menjadi indeks pengukur bagi menilai kecemerlangan seseorang pelajar. Pihak ini merasakan bahawa kecerdasan minda sahaja tidak memadai. IQ hanya satu ukuran bagi menunjukkan kemampuan mental dalam mengumpul ilmu dan
menyelesaikan masalah teoritikal. Ia tidak menunjuk kepada kualiti pelajar secara menyeluruh yang sepatutnya merangkumi lebih banyak ciri, skop, bidang dan kriterianya.

Kalau diteliti, kita akan dapati di dalam keputusan peperiksaan yang semakin baik, akhlak, peribadi, jatidiri dan perilaku pelajar semakin buruk dan merosot. Pasti ada sesuatu yang tidak kena. Terbukti bahawa pembinaan kecemerlangan para pelajar tidak lengkap dan tidak menyeluruh. Peribadi pelajar yang terbina berat sebelah dan tidak seimbang. Pihak ini merasakan ada lagi bentuk kecerdasan lain yang mesti diambil kira iaitu EQ (Emotional Quotient).

Mereka merasakan IQ perlu diimbangi dengan EQ. Kecerdasan minda perlu diimbangi dengan kecerdasan emosi. Kalau tidak, mereka merasakan emosi para pelajar akan mudah terganggu dan pelajar akan bertindak mengikut emosi dan dorongan perasaan. Dalam hal ini, kecerdasan minda tidak akan dapat berfungsi dengan baik.

Mereka berkata lagi, apabila pelajar mempunyai EQ yang rendah atau kecerdasan emosinya kurang, maka emosinya menjadi tidak stabil. Mereka akan bertindak mengikut emosi dan mudah terjebak dengan vandalisme, gangsterisme, keganasan atau mencederakan orang lain.

Di dalam pendidikan Islam, perkara ini memang diambil kira. Malahan lebih dari itu pun diambil kira. Tuhan menjadikan manusia mempunyai sifat batin yang berbeza-beza antara satu sama lain.

Ada tiga jenis sifat atau kekuatan batin yang menonjol yang mencorakkan sifat manusia
yang berbeza-beza itu. Di antaranya ialah:
Kekuatan akal
Kekuatan perasaan
Kekuatan jiwa

Dalam istilah modennya, bolehlah dinamakan
IQ (Intelligence Quotient),
EQ (Emotional Quotient)
SQ (Spiritual Quotient),

Namun tidak ramai guru-guru atau para pendidik yang benar-benar faham tentang ketiga-tiga kekuatan ini dan bagaimana untuk mengendalikannya.

Setiap orang mempunyai salah satu dari kekuatan di atas. Jarang ada manusia yang memiliki ketiga-tiga kekuatan tersebut sekaligus kecuali para nabi dan para rasul. Orang yang mempunyai kekuatan akal selalunya kurang mempunyai kekuatan jiwa dan kekuatan perasaan. Seterusnya, sesiapa yang mempunyai kekuatan jiwa, maka dia kurang mempunyai kekuatan akal dan kekuatan perasaan. Kalau seseorang itu mempunyai kekuatan perasaan pula, maka kekuatan akal dan kekuatan jiwanya pula kurang.

Sifat, watak dan bakat seseorang itu bergantung kepada kekuatan batin yang mana yang ada padanya. Inilah punca utama dan terbesar mengapa berlaku perbezaan sifat, watak dan bakat antara seseorang itu dengan orang lain.

Inilah di antara hikmah dan rahmat Tuhan dalam penciptaan manusia. Sifat, bakat, minat dan kecenderungan manusia itu tidak sama dan berbeza-beza mengikut sifat dan kekuatan batinnya. Ini sesuai dengan keperluan masyarakat manusia itu sendiri yang juga tidak sama dan berbeza-beza. Yang kuat jiwa suka dan berbakat menjadi polis, tentera, bertani, penternak dan nelayan. Yang kuat akal berbakat menjadi guru, peguam, jurutera, saintis, doktor, teknokrat. Yang kuat perasaan pula berbakat menjadi ahli seni, pekerja media, sasterawan dan sebagainya.

Dengan kepelbagaian minat dan bakat ini maka masyarakat manusia menjadi lengkap, perlu memerlukan dan kuat menguatkan. Masing-masing dengan tugas masing-masing, berkhidmat sesama manusia dalam bidang yang berbagai-bagai. Takkanlah semua pelajar hendak menjadi doktor, peguam, jurutera dan saintis sahaja. Kalau begitu, pincanglah masyarakat. Siapa yang akan membekalkan makanan, menjaga keselamatan dan lain-lain.

Memang benar bahawa sistem pendidikan yang kita amalkan di waktu ini amat bias dan mementingkan kekuatan akal atau IQ semata-mata. Tidak ada tempat dan ruang untuk pelajar yang kuat jiwa dan kuat perasaan atau dalam istilah yang lain yang kuat SQ dan EQnya. Oleh itu, mereka ini terpinggir dalam sistem yang hanya mementingkan IQ semata-mata. Sistem ini tidak relevan bagi mereka.

Tidak hairanlah kalau mereka ini rosak dan hanyut kerana tidak dapat menyesuaikan diri dengan sistem yang ada yang asing dan tidak mengiktiraf kelebihan-kelebihan yang ada pada mereka. Mereka diasak dan ditubi untuk menghasilkan kerja akal walhal kekuatan mereka bukan terletak di situ. Dalam hal-hal yang mereka minat dan mampu berdasarkan kekuatan perasaan dan jiwa mereka tidak pula dicungkil ataupun dibina. Kesannya ialah tekanan perasaan, kekecewaan, putus asa dan kekeliruan. Maka berlakulah tindak balas sebagai manifestasi kepada kekecewaan, tekanan perasaan, putus asa dan kekeliruan ini. Yang kuat jiwa mengganas, memberontak dan melanggar disiplin dan peraturan. Yang kuat perasaan pula mendongkol, murung, merasa inferiority complex, putus asa dan sakit jiwa.

Di dalam setiap kekuatan batin yang disebutkan di atas, ada kebaikan dan ada pula keburukannya. Yang baik akan memberi faedah. Yang buruk pula akan membawa kerugian. Sifat-sifat baik dan buruk ini adalah seperti berikut:

Kekuatan Akal
Orang yang kuat akal mempunyai keupayaan berfikir. Melalui pemikirannya itu, dia boleh membuat berbagai-bagai penemuan dan teori. Dia juga mudah faham dan mudah mengingati ilmu-ilmu yang dipelajarinya bahkan dia mampu mencungkil ilmu yang tersirat dan yang tersembunyi. Dia juga sangat berhati-hati supaya hasil kerja akalnya tidak salah.

Sebaliknya pula, orang yang kuat akal selalu asyik mahsyuk dengan kerja akalnya sehingga dia selalu terlupa dan terlalai dari tanggungjawabnya sama ada terhadap Tuhan, terhadap masyarakat, keluarga bahkan pada dirinya sendiri. Jiwanya penuh dengan rasa ujub (rasa diri hebat).

Kekuatan Perasaan

Orang yang kuat perasaan selalunya sangat berhati-hati dan tidak gopoh. Dia sangat bertimbang rasa dan wataknya lemah lembut.

Namun keburukan sifat orang yang kuat perasaan ini ada banyak. Dia bakhil, mudah merajuk, mudah kecewa, suka menyendiri, rasa rendah diri dan tidak yakin pada diri sendiri. Dia juga mudah beralah, pemalu, penakut, tidak tahan diuji dan suka jahat sangka.

Kekuatan Jiwa
Orang yang kuat jiwa pula berani, yakin pada diri, pemurah, tabah, tahan diuji dan tidak tahu putus asa.

Keburukannya pula, dia selalu gopoh, boros (membazir), zalim (suka menindas), pemarah, sombong, pendendam dan ujub.

Dalam hendak mendidik para pelajar, kekuatan batin mereka harus dikenalpasti terlebih dahulu. Setiap guru dan pendidik mesti tahu di mana letak kekuatan batin setiap pelajar mereka. Adakah akalnya kuat, perasaannya kuat atau adakah jiwanya yang kuat. Kemudian mereka perlu dididik mengikut kekuatan mereka masing-masing.

Setiap pelajar mempunyai sifat-sifat batin yang baik di samping sifat-sifat batin yang buruk. Tegasnya setiap pelajar mempunyai kelebihan dan keistimewaan dan juga kekurangan dan kelemahan yang tertentu bergantung kepada kekuatan batin yang ada padanya. Setiap sifat yang baik itu tidak akan sempurna selagi ianya tidak dipimpin dengan syariat Islam dan diarahkan kepada jalan Allah. Begitu juga, setiap sifat yang buruk itu boleh dididik hingga ia menjadi baik atau sekurang-kurangnya ia boleh dibendung agar ia tidak meliar.

Inilah yang perlu difahami oleh para guru dan pendidik dan semua yang terlibat dengan para para pelajar di semua peringkat sama ada di peringkat sekolah, pendidikan daerah, pendidikan negeri dan kementerian sendiri. Kalau istilah pembelajaran itu berkaitan dengan ilmu, kemahiran dan akal, istilah pendidikan pula melibatkan pengurusan dan pengendalian sifat batin pelajar. Selagi perkara ini tidak difahami, tidak diambil kira dan tidak dijadikan konsep dan prinsip dalam mendidik, membimbing dan membentuk para pelajar, selagi itulah kita tidak akan dapat menghasilkan pelajar yang benar-benar cemerlang lahir dan batinnya.

APAKAH YANG DIKATAKAN ROH ?


Di dalam kitab-kitab Islam, didapati ada bermacam-macam nama atau istilah roh yang diberi oleh ulama. Bahkan dalam Al Quran kalau kita lihat ada bermacam-macam nama. Antara yang terkenal ialah roh. Adakalanya ia dipanggil  dengan qalbun (hati), fuaadun (hati sanubari), latifatur-rabbaniah atau ruhul amri. Pada orang Melayu ia juga dipanggil hati, nyawa, hati nurani atau hati sanubari. Tetapi yang terkenalnya adalah roh saja.

Roh yang sedang kita perkatakan ini,
kalau dia berperasaan seperti sedih, gembira, senang, terhibur, marah atau sebagainya, maka ia dipanggil dengan roh atau hati atau nyawa.

Tetapi waktu ia berkehendak, berkemahuan atau merangsang sama ada sesuatu yang berkehendak itu positif atau negatif, baik atau buruk, yang dibenarkan atau tidak, yang halal ataupun yang haram, di waktu itu ia tidak dipanggil roh, hati atau nyawa lagi. Tetapi ia dipanggil nafsu.

Kalau di waktu ia berfikir, mengkaji, menilai, memerhati dan menyelidik, maka ia dipanggil akal.

Kalau begitu huraiannya, maka nafsu, roh atau akal ini hakikatnya adalah satu. Ia dipanggil akal di waktu ia berfikir, mengkaji, menilai, memerhati dan menyelidik. Walhal bila berperasaan, ia tidak dipanggil akal lagi, sebaliknya ia dipanggil roh atau hati atau nyawa. Tetapi waktu ia berkehendak, berkemahuan atau merangsang sama ada sesuatu yang berkehendak itu positif atau negatif, baik atau buruk, yang dibenarkan atau tidak, yang halal ataupun yang haram, di waktu itu ia dipanggil nafsu. Kalau begitu walaupun ia mempunyai tiga nama atau tiga istilah tetapi hakikatnya adalah satu. Benda yang sama juga. Cuma peranannya saja yang tidak sama. Peranan yang tidak sama itulah yang menjadikan namanya tidak sama atau namanya berlainan.

Untuk mudah difahami begini kiasannya manusia bila dia berbohong dinamakan pembohong. Bila dia menipu dinamakan penipu. Tetapi bila dia mencuri dinamakan pencuri. Bila dia memimpin dipanggil pemimpin. Dinamakan pembohong, penipu, pencuri dan pemimpin, hakikatnya adalah orang yang sama. Cuma namanya berbeza bila peranannya bertukar.

Kenapa fizikal yang sama boleh timbul istilah yang berlainan ?

Ini kerana peranannya tidak sama. Apakah bila namanya berlainan, orangnya berlainan? Tidak! Orang yang sama juga.

Perlu diingat, bila kita membicarakan tentang roh ini, bukannya pula kita hendak mengkaji hakikat roh atau mengkaji ain ataupun mengkaji hakikat zat roh itu. Kerana zat atau hakikat roh itu tidak akan dapat dilihat oleh mata kepala. Kerana ia adalah jismullatif  yakni benda halus yang bersifat maknawiah atau abstrak. Iaitu tidak dapat dilihat oleh mata kepala tetapi terasa akan adanya.

Inilah yang dimaksudkan oleh Allah SWT dalam firman-Nya: 
“Mereka bertanya kepada engkau wahai Muhammad tentang roh. Hendaklah engkau katakan kepada mereka, ‘Roh itu adalah urusan daripada Tuhanku…” (Al Israk: 85)

Daripada ayat ini dapatlah kita faham bahawa hakikat roh itu tidak akan dapat dijangkau oleh mata kepala. Zat roh itu tidak akan dapat difikirkan oleh akal. Kita tidak tahu bagaimana rupanya. Sebab tidak dapat dilihat oleh mata kepala. Tetapi terasa oleh hati akan adanya. Maka oleh yang demikian, hakikat roh itu tidak dapat difikirkan oleh akal bagaimana rupanya, bagaimana bentuknya, berapa tebal atau panjangnya. Ia tidak dapat dibayangkan. Hanya Allah yang tahu dan tidak ada makhluk yang tahu.

Walaupun Allah berkata hakikat roh atau zat roh tidak dapat diketahui dan tidak dapat dijangkau oleh akal dan mata kepala, namun ada juga ulama-ulama yang berijtihad tentangnya. Antaranya ialah Imam Malik. Beliau pernah berkata:

“Roh manusia itu sama saja bentuknya dengan jasad lahirnya.”

Kalau diambil ijtihad Imam Malik itu, ertinya rupa roh kita ialah macam rupa bentuk badan lahir kita. Ini juga memberi erti bahawa walaupun Allah berkata roh itu adalah urusan-Nya, iaitu hakikat roh itu Allah saja yang tahu dan makhluk lain tidak mengetahuinya, tetapi tidak pula ada larangan dari Allah kalau ada sesiapa yang ingin berijtihad untuk mengkajinya.

Bagi sesetengah orang, mungkin Allah beri ilmu yang mendalam tentang hal ini sehingga dia dapat menjangkaunya. Oleh itu maksud ayat Al Quran yang menyatakan ‘roh itu adalah urusan Tuhanku’,

Allah bermaksud kebanyakan manusia tidak dapat mengetahuinya tetapi tidak pula menolak kalau ada orang-orang yang tertentu secara khusus yang Allah beri ilmu tentang hakikat roh ini sehingga dapat menghuraikannya.

Imam Malik memperkatakan hakikat roh ini bukan berdasarkan ijtihadnya saja tetapi juga berdasarkan kasyaf. Kalau berdasarkan ijtihad tidak mungkin akal beliau dapat menjangkaunya kerana roh itu jismullatif (tubuh halus). Ia adalah hati nurani yang bersifat maknawiah. Diibaratkan seperti cahaya. Bahkan cahaya, dapat juga dilihat tetapi cahaya yang ini tidak dapat dilihat atau ia jenis cahaya yang tersembunyi.

Bagaimana pula hendak diijtihadkan?
Ijtihad itu dibuat pada benda-benda yang berketul atau benda yang dapat dilihat. Benda-benda yang boleh diraba dan dirasa. Tetapi roh, benda yang tidak boleh diraba, tidak boleh dirasa dan tidak boleh dilihat oleh mata kepala. Jadi bagaimana hendak diijtihadkan. Oleh itu atas dasar apakah roh seseorang itu seperti rupa bentuk lahirnya sebagaimana pendapat Imam Malik itu? Allah beri dia (Imam Malik) kasyaf. Allah perlihatkan roh itu. Roh yang jismullatif itu dibentukkan, dilihatkan macam rupa diri seseorang itu.

Kalau begitu apa yang dimaksudkan oleh Al Quran bahawa tidak ada orang yang mengetahui hakikat roh itu melainkan Allah saja, itu adalah untuk orang awam. Manakala bagi orang yang khusus macam Imam Malik mungkin Allah beritahu padanya sebagai karamahnya.

Pendapat Imam Malik ini agak munasabah, boleh diterima dan agak rasional. Contohnya kita bermimpi melihat seseorang yang kita tidak pernah jumpa atau dengan orang yang pernah kita jumpa sama ada yang masih hidup mahupun sudah mati. Apa yang kita lihat dalam mimpi itu serupa dengan bentuk lahir orang itu. Sedangkan orang yang kita lihat dalam mimpi itu rohnya bukan orangnya. Mungkin waktu itu orang tersebut berada di rumah atau telah berada di alam Barzakh.

Jadi di waktu itu dia adalah roh. Roh bertemu dengan roh. Tetapi mengapa dalam mimpi kita roh orang itu serupa dengan dirinya? Sedangkan bukan berjumpa jasadnya tetapi rohnya. Ini membuktikan roh orang itu macam jasadnya juga. Jadi benarlah apa yang diijtihadkan oleh Imam Malik itu.

Begitu juga orang yang diyakazahkan melihat secara jaga orang yang sudah meninggal dunia. Contohnya melihat Rasulullah, melihat para ulama zaman dahulu atau sesiapa sahaja yang dia kenal. Dia melihat Rasulullah betul-betul macam Rasulullah. Atau dia melihat gurunya benar-benar macam gurunya, melihat ibu dan ayahnya serupa macam ibu dan ayahnya, tidak ada cacatnya. Sedangkan mereka sudah mati. Waktu itu yang dilihat adalah rohnya. Ini juga membuktikan benarnya pendapat Imam Malik yang mana roh seseorang itu serupa dengan diri lahirnya.

Contoh lain, Rasulullah SAW sewaktu diisrak dan dimikrajkan telah ditemukan dengan roh para rasul dan para nabi. Rasulullah SAW lihat mereka sepertimana melihat jasad-jasad mereka. Ini juga merupakan bukti yang rasional bahawa roh seseorang itu sama rupanya dengan bentuk jasadnya. Boleh jadi juga ayat Al Quran di atas itu bermaksud bahawa ayat itu khusus ditujukan kepada orang-orang kafir. Yakni mereka ini memang tidak memahami tentang perjalanan roh dan fungsinya. Allah SWT memberitahu kepada kekasih-Nya, Rasulullah SAW bahawa mereka tidak akan faham tentang hal ini. Kekufuran mereka itulah yang menghijabnya sepertimana huraian saya yang panjang lebar tentang hal ini di dalam Bab Mata Hati. Dikeranakan itulah menjadi penyebab mereka langsung tidak memahaminya.

Allah SWT tidak meminta Rasulullah SAW bersusah payah untuk pergi memahamkan orang-orang kafir itu tentang hal roh ini. Lantaran itulah dikatakan roh itu urusan Allah. Ini bukan pula bermaksud umat Islam pun turut sama dilarang mengkaji tentang roh. Bahkan umat Islam mesti memahaminya sungguhsungguh tentang perjalanan roh ini. Kalau tidak bagaimana pula hendak membaiki diri? Atau bagaimana hendak mengekalkan watak-watak kemanusiaannya dan bukan watak kebinatangannya.

Untuk ini kita wajib memahaminya serta menghayati watak-watak kemanusiaan itu. Hati manusia berbeza dengan hati haiwan. Kerana hati manusia boleh menerima perintah suruh dan perintah larangan. Kerana itulah ia disebut ruhul amri. Manakala hati haiwan tidak bersifat demikian, maka ia disebut ruhul hayah.

Ilmu Rohani

Ilmu  rohaniah  atau  ilmu  rohani  adalah  ilmu  mengenai roh. Yakni ia mengkaji, memerhati,  mengesan dan menilai tentang perjalanan roh.

Perkataan rohaniah itu berasal daripada perkataan  ‘ruhun’.Apakah yang dikatakan roh itu?
Untuk mencari jawapannya marilah bersama-sama saya  mengembara  ke alam  rohani  ini , dengan izin Allah SWT. Moga-moga saudara-saudari juga turut sama dapat memahaminya melalui pengembaraan kerohanian ini. Untuk itu mari kita kenali apa itu roh.

Roh terbahagia kepada dua iaitu: 
1. Ruhul hayah
2. Ruhul tamyiz

RUHUL HAYAH
Ruhul hayah terdapat pada semua makhluk termasuk manusia, jin, malaikat, binatang dan setiap benda yang bernyawa. Mengikut kajian ahli biologi atau para saintis, pokok-pokok kayu juga ada roh. Begitu juga pada semua jamadat seperti batu, kayu dan sebagainya.

RUHUL TAMYIZ
Ruhul tamyiz ( ruhul amri ) lebih dikenali sebagai akal. Ia tidak wujud pada binatang tetapi hanya wujud pada manusia, malaikat dan jin. Dengan adanya roh tamyiz inilah maka malaikat, jin dan manusia menjadi makhluk yang mukalaf. Yakni mereka dipertanggungjawabkan untuk membangunkan syariat. Mereka memikul beban untuk membangunkan apa yang diperintahkan oleh Allah dan menjauhi segala larangan-Nya.

Sebaliknya roh tamyiz atau ruhul amri itu tidak ada pada binatang . Binatng  hanya ada ruhul  hayah dan nafsu tanpa akal. Ia hanya memiliki roh yang membolehkan seseorang atau binatang itu hidup dengan izin Allah. Jadi roh tamyiz ini tidak ada  pada  binatang dan seluruh jamadat . 

Oleh  kerana itulah binatang dan jamadat itu tidak mukalaf dan tidak diwajibkan membangunkan syariat. Ia tidak terlibat melaksanakan perintah suruh dan menjauhi perintah larang dari Allah SWT.

Bagi para malaikat, manusia dan jin, mereka wajib melaksanakan  perintah  suruh  dan  menjauhi  larangan  dari Allah .Dengan lain perkataan, mereka dianggap makhluk yang mukalaf yang mesti bertanggungjawab kepada Allah kerana adanya ruhul tamyiz ini.

Roh tamyiz terkenal dengan sebutan akal
.
Hadis ada meriwayatkanMaksudnya:

“Ketika Allah menciptakan akal, Dia memanggil akal itu dan akal itu pun datang. Dia menyuruh akal itu pergi maka pergilah ia.

Kemudian Allah berfirman kepada akal:
‘Demi kebesaran dan kemuliaan-Ku, Aku tidak menciptakan sesuatu makhluk yang lebih Aku sayangi daripada kamu. Dan tidak Aku sempurnakan kamu melainkan pada orang yang Aku cintai. Kepadamulah Aku akan menyuruh, melarang dan menyeksa serta memberi pahala’.

” (Riwayat Abdullah bin Imam Ahmad)

Inilah yang membezakan antara manusia, jin dan malaikat dengan lain-lain makhluk yang hanya semata-mata ada ruhul hayah. Umpamanya binatang, ia tidak mukalaf. Sebab itu pada binatang walaupun ia berbuat baik, tidak diberi pahala. Ia berbuat jahat pun tidak berdosa. Maka bila mati mereka jadi tanah. Ke Syurga tidak, ke Neraka pun tidak.

Tetapi ketiga-tiga makhluk ini yakni manusia, jin dan malaikat, oleh kerana memiliki akal atau ruhul amri maka mereka akan dibalas sama ada ke Syurga dengan rahmatNya atau ke Neraka dengan keadilan-Nya. Kalau mereka berbuat baik akan diberi pahala. Sebaliknya bila berbuat jahat, mereka berdosa dan akan dicampakkan ke Neraka. Selama ini kita mungkin jarang mendengar tentang istilah roh tamyiz ini. Mungkin kita hanya biasa mendengar tentang istilah roh atau ruhul hayah sahaja.

Ruhul hayah yang ada pada binatang , manusia , malaikat dan jin, kiranya ia keluar dari badan, mereka akan mati. Kalau ia keluar dari malaikat, malaikat akan mati. Begitu juga kalau ia keluar dari jin, jin akan mati. Kalau ia keluar dari haiwan, haiwan itu juga akan mati. Kerana ruhul hayah ini menjadi penyebab pada manusia dan lain-lain makhluk itu hidup.

Manakala roh tamyiz pula , kalau ia keluar dari badan manusia, manusia tidak akan mati. Sebaliknya ia akan pergi ke alam-alam lain. Mungkin dapat melihat alam malakut, dapat melihat alam roh, dapat melihat alam ghaib, dapat melihat alam kubur, dapat melihat alam Akhirat, dapat melihat alam jin, dapat melihat alam malaikat, alam yang seni-seni (alam mawaraa-ul maddah ) iaitu dapat melihat alam di luar material (kebendaan) ini dengan izin Allah.

Ini yang berlaku apabila roh tamyiz keluar dari jasad sama ada keluar di waktu kita tidur atau secara jaga . Kiranya roh tamyiz itu keluar di waktu seseorang itu sedang tidur, dia akan dapat mimpi. Bila ia jumpa roh yang suci, seseorang itu akan dapat mimpi yang baik-baik. Tetapi apabila roh tamyiz itu bertemu dengan ruhul khabitah (roh yang jahat) ia akan berjumpa dengan jin yang jahat , syaitan , iblis atau benda - benda yang menakutkan.

Jika ruhul tamyiz ini keluar di waktu jaga, secara yakazah, dia akan dikasyafkan iaitu tabir yang bersifat maddiah dibuka atau diangkat. Ia akan dapat melihat alam malaikat, alam jin, alam kubur, dapat membaca hati orang dan Allah memperlihatkan hakikat manusia itu sendiri atau melihat benda-benda yang jauh darinya seperti manusia lain yang tidak semajlis dengannya. Mungkin manusia yang dilihatnya itu berada di jarak ratusan atau ribuan batu darinya . Apa yang ada pada manusia itu ,bagaimana perangai manusia itu, begitulah yang akan dilihat oleh roh. Itulah kelebihan ruhul tamyiz dengan kuasa Allah. Tetapi ruhul hayah itu bila keluar dari badan mana-mana makhluk, maka makhluk itu akan mati.

Perlu dijelaskan lagi
1. Malaikat ada roh, ada akal tetapi tidak ada nafsu. Dia mukalaf yang taat atau tabiat makhluknya taat, patuh dan tidak pernah ingkar. Seperti yang disebutkan di dalam Al Quran: Maksudnya:
(Malaikat itu) tidak pernah menderhakaiAllah terhadap apa yang diperintahkan-Nya kepada mereka dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan.” (At Tahrim: 6)

 2. Binatang ada roh, ada nafsu tetapi tidak ada akal dan tidak mukalaf . Tidak  di pertanggungjawabkan  syariat  kepada mereka. Bila mati jadi tanah. Tidak ke Syurga dan tidak ke Neraka.

3. Manusia ada roh, ada nafsu dan ada akal . Ertinya , ada ketiga-tiga sekali. Kalau diasuh, dididik dan dibersihkan hatinya, ia akan berwatak malaikat yang berupa manusia. Bila tidak dididik dan diasuh atau tidak dibersihkan hatinya, dia akan jadi watak binatang atau watak syaitan yang berupa manusia.


Bersihkanlah Jiwa Kerana Ia Adalah Wadah

Bersihkanlah jiwa kerana ia adalah wadah
Tempat Allah mengisi iman dan keyakinan
Bersihkanlah jiwa ia ibarat cermin
Jangan sampai ia kotor dan kabur
Jika ia kotor atau kabur tidak nampak lagi kebenaran
Bersihkanlah jiwa, ia laksana radar menangkap apa sahaja
Apabila jiwa kotor macam radar yang telah rosak
Ia tidak dapat lagi mengesan apa-apa
Ertinya jiwa tidak akan boleh menerima pengajaran
Bersihkanlah jiwa ia ibarat kamera
Boleh menggambar apa sahaja secara tepat
Jika jiwa kotor, ibarat kamera yang tidak berfungsi
Tidak dapat menggambarkan secara tepat kebenaran agama
Apa yang ditangkapnya tidak jelas
Ia jadi ragu-ragu dan mengelirukan

4.8.99
Selepas Isyak 2
Allahyarham Ust. hj Ashaari Muhammad

BAHAYA MENOLAK ILMU ROHANIAH


Kalau diterima tuduhan-tuduhan dari sebahagian orang yang menolak tasawuf atau ilmu rohaniah atau ilmu zauk, ertinya kita telah menganggap syariat Islam itu hanya mengenai kehidupan lahir semata-mata. Seolah-olah tidak ada hubungan langsung dengan soal-soal batin seperti persoalan hati atau roh dan nafsu. Ertinya sama ada sedar atau tidak, kita mengakui bahawa ajaran Islam itu sama sahaja atau setaraf dengan ajaran-ajaran isme atau ajaran ajaran ideologi ciptaan manusia. Yang mana peraturan-peraturan atau hukum-hakamnya hanya mengenai kehidupan yang lahir. Yakni apa yang dapat dinilai oleh mata lahir semata-mata dan tidak ada hubungkait langsung dengan hati atau roh dan nafsu.

Merbahaya sungguh jika kita menolak ilmu rohaniah ini. Tentu kita langsung tidak akan mempedulikan soal hati, nafsu dan hal ehwalnya. Tentu kita tidak akan ambil perhatian tentang kejahatan nafsu dan tidak anggap penting untuk membersihkan diri dan membuang sifat-sifat jahat tersebut. Sekaligus bererti, manusia tidak lagi bermujahadah untuk membaiki diri agar dapat memiliki sifat-sifat mahmudah (sifat terpuji) dan menumpaskan sifat-sifat mazmumah (sifat terkeji).

Untuk menghuraikan lebih terperinci lagi kita bawakan beberapa contoh. Umpamanya, selepas memiliki aqidah, mereka cukup hanya sekadar mempraktikkan Rukun Islam yang lima. Boleh jadi mereka suka juga menambah ibadah-ibadah sunat yang lain. Tetapi di waktu itu mereka tidak akan mempersoalkan lagi tentang soal khusyuk atau tidak, ikhlas atau tidak, riyak dan ujub atau tidak, megah dan sombong atau tidak. Mereka tidak akan ambil berat apakah mereka berbuat kerana nama dan kemasyhuran atau tidak. Apakah ada udang di sebalik batu dan sebagainya dalam mereka mengajar, belajar, berdakwah, berjuang, berkorban, memimpin, menutup aurat dan lain-lain lagi. Walhal inilah perkara yang paling penting yang mesti dijaga. Begitu juga kalau dia meninggalkan yang haram, dia tidak akan ambil kira yang batin.

Apa sebab ditinggalkannya? Adakah kerana takut ditangkap atau kerana takutkan Allah? Takut susah atau takutkan Allah. Takut malu atau takutkan Allah. Takut dihina orang atau takutkan Allah. Yang penting pada mereka, cukuplah perintah buat atau perintah tinggal itu ditaati sesuai dengan syariat. Soal-soal hati di waktu itu tidak usah diambil kira sangat. Peranan hati usah diambil kira lagi. Di waktu dia bertindak itu, kerana atau mengapa hati itu mendorong bertindak begitu, tidak diambil kira. Yang penting ianya sesuai dengan syariat lahir, itu sudah cukup baginya. Kalau diibaratkan orang membeli buah, dibelinya kerana mempertahankan keelokan kulitnya sahaja tanpa memikirkan soal isinya. Apakah begitu tindakan kita pada realitinya bila kita membeli buah? Tentu tidak! Malanglah kalau kita menerima pandangan ini. Yakni fikir kulit sahaja, tanpa memikirkan isinya.

Ini bererti kita menolak sabda Rasulullah dalam Hadisnya
:
“Sesungguhnya Allah Taala tidak memandang gambaran rupa kamu dan tidak kepada bangsa kamu dan tidak kepada harta benda kamu tapi Dia memandang hati kamu dan amalan-amalan kamu.” (Riwayat At Tabrani)

Sabda Baginda lagi:
“Sesungguhnya dalam jasad ada seketul daging. Kalau baik daging itu maka baiklah seluruh jasadnya. Jika ia rosak, maka rosaklah seluruh jasadnya. Maka ketahuilah, itulah dia hati.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Juga ia menolak sebahagian daripada ayat-ayat Al Quran
.
1. Firman Allah:
“Sesungguhnya hawa nafsu sangat mengajak kepada kejahatan.” (Yusuf: 53)

2. Firman-Nya lagi:
“Sesungguhnya mendapat kemenanganlah orang-orang yang membersihkannya dan mendapat kecewalah orang yang mengotorinya.” (Asy Syams: 9-10)

Seterusnya orang yang menolak ilmu rohaniah, mereka akan menafikan adanya ilmu laduni, ilham, kasyaf, firasat, kedatangan hatif  dan pertolongan ghaib. Sedangkan perkara-perkara yang disebut tadi, selain daripada ada disebutkan dengan ilmiahnya di dalam Al Quran dan Hadis, ia juga telah menjadi pengalaman orang-orang soleh zaman dahulu sepertimana yang disebutkan di dalam kitab-kitab muktabar.

Begitulah wahyu Allah dan sabda Rasul-Nya serta hujah sejarah yang ada disebut di dalam kitab, yang menguatkan lagi hujah saya bahawa soal-soal roh atau hati dan nafsu ini mesti diambil kira. Kesimpulannya, pendapat-pendapat ulama yang menolak ilmu rohaniah ini sudah awal-awal lagi tertolak.


Hati Sebagai Wadah

Tuhan menganugerahkan kepada engkau hati atau jiwa sebagai wadah
Ia adalah anggota yang paling penting di dalam diri manusia
Tapi malang, atau sungguh sayang
Engkau tidak jadikan wadah menerima hidayah
Wadah engkau tidak pun engkau isi dengan kasih sayang
Hati sebagai wadah, engkau tidak isi rasa bertuhan
Jiwa engkau sebagai wadah, tidak engkau isi rasa kehambaan
Wadah engkau, engkau kosongkan daripada timbangrasa dan perikemanusiaan
Engkau kosongkan wadah engkau daripada perasaan-perasaan yang mulia

Tapi apa yang engkau isikan?
Engkau isikan dengan racun-racun mazmumah yang merosakkan manusia
Bahkan yang menghancurkan dunia
Hati engkau tidak engkau jadikan cermin melihat kebenaran
Engkau butakan hati engkau
Hingga tidak ada lagi rasa bertuhan
Setidak-tidaknya engkau merabunkan
Hingga engkau ragu dengan kebenaran
Sayang, hati atau jiwa yang paling berharga
Yang menentukan engkau manusia yang ada kemanusiaan
Tapi engkau abaikan
Tapi yang engkau urus sangat dan engkau belai
Anggota lahir engkau, jawarih engkau
Anggota yang akan dimakan ulat dan binasa
Anggota yang kekal abadi yang akan dipersoalkan, engkau abai dan biarkan
Padahal hati tempat pandangan Tuhan

Allahyarham Ust. hj Ashaari Muhammad
Lepas ekspedisi
1.10.99