Isnin, 29 Ogos 2011
ERTI KEMERDEKAAN
Bila kita menyebut tentang kemerdekaan, ia adalah merupakan suatu pengertian yang telah menjadi sifat atau fitrah semulajadi manusia. Iaitu dengan lain-lain perkataan, kemerdekaan adalah sesuatu yang menjadi keinginan semua manusia di dunia ini.
Tidak ada manusia di dunia ini yang tidak menginginkan kemerdekaan. Bahkan ia lebih menjadi suatu perkara yang dicita-citakan oleh setiap manusia.
Cuma yang berbeza dalam pengertian setiap manusia di dunia ini adalah memahami apakah erti kemerdekaan itu dan bagaimana bentuk kemerekaan itu serta bagaimana pula usaha yang perlu dilakukan untuk mencapai kemerdekaan itu.
Dalam konteks ini, setiap individu manusia atau setiap kumpulan manusia atau setiap bangsa, masing-masing ada mempunyai fahaman dan pandangan yang tersendiri dalam memberikan erti kemerdekaan itu, bagaimana bentuk kemerdekaan itu dan bagaimana harus diusahakan untuk mencapai kemerdekaan itu.
Dan dalam hal ini, kalaulah kita tanyakan kepada seorang individu tentang fahaman dan pandangannya terhadap erti kemerdekaan itu, kelak ada yang akan berkata bahawa kemerdekaan bererti bebas membuat apa sahaja, tanpa batas dan mengikut apa sahaja yang dikehendaki oleh hawa nafsu manusia itu, sekalipun berlawanan dan bertentangan dengan undang-undang,tatasusila dan hak asasi manusia lain.
Kemudian kalau kita tanyakan kepada kaum buruh pula .iantang fahaman dan pandangan mereka terhadap ertinya kemerdekaan, mereka pula nanti berkata bahawa kemerdekaan bererti bebas dari cengkaman kaum kapitalis. it bagi mereka, kemerdekaan bererti mereka dapat membuat tuntutan terhadap kehendak-kehendak yang diperlukan oleh kaum buruh.
Dan kalau kita bertanya pula kepada golongan nasionalis tentang fahaman dan pandangan mereka terhadap kemerdekaan, mereka pula akan berkata bahawa ia bererti terlepas daripada dijajahi oleh bangsa lain ke atas bangsa dan negaranya. Dan bagi mereka,kemerdekaan bererti mereka dapat mengatur kehidupan bangsa dan negara samada dari segi politik, ekonomi, pendidikan, sosial dan lain-lainnya mengikut apa yang mereka kehendaki.
Kepada golongan kapitalis pula, kemerdekaan bererti mereka dapat menggunakan modal dengan sebebas-bebasnya untuk mendapat keuntungan sebanyak mana yang mungkin walaupun terpaksa menindas kaum buruh ataupun merosakkan akhlak manusia atau menempuh jalan yang haram.
Cukuplah kita paparkan sekadar itu erti kemerdekaan sebagaimana yang difahamkan oleh sebahagian manusia.
Mengisi Kemerdekaan Lebih Payah
Memperjuangkan kemerdekaan lebih mudah daripada mengisinya
Berjuang ke arah kemerdekaan oleh semua rakyat
dan setiap golongan hanya satu matlamat
Matlamat menghalau penjajah dengan tujuan mendapat kemenangan
Di waktu itu kesatuan lahir pada bangsa itu agak nampak
Di waktu berjuang mendapat kemerdekaan krisis sesama sendiri kurang
Tetapi apabila telah mencapai kemerdekaan
untuk mengisinya amat susah dan banyak cabaran
Kalau dahulunya semua rakyat dan golongan hanya satu matlamat
Setelah merdeka matlamat mengisinya sudah banyak matlamat
dan sudah banyak kehendak dan cita-cita
Ada cita-cita peribadi, ada cita-cita parti mengikut ideologi dan prinsip parti
Setiap parti yang mempunyai ideologi ada mempunyai cita-cita yang sendiri
Selepas merdeka masing-masing berjuang
mengikut keyakinan dan ideologi parti
Kalau dahulunya hanya satu matlamat sekarang sudah banyak matlamat
Di dalam berjuang untuk mengisi kemerdekaan
datanglah cabaran daripada parti-parti yang berlainan ism
Satu sama lain tidak sehaluan
Musuh daripada luar pula mengambil peluang
Masing-masing mengaku dialah yang paling benar dan patut diberi sokongan
Maka terjadilah perang ideologi, perang prinsip, perang teknik
Berlakulah perang mulut, perang saikologi, perang dingin
Makin lama makin panas, makin lama makin ganas
Berbalah-balah terjadi, tuduh-menuduh,
khianat-mengkhianati, serang-menyerang
Makin jauh makin runcing dan gawat, berlakulah pembunuhan,
mungkin peperangan saudara dan di antara etnik
Di dalam suasana itulah membangunnya,
bagaimana hendak lancar dan cepat
Ada yang hendak membangun,
ada yang hendak meruntuhkan
Ada yang hendak maju, ada pula yang berusaha hendak memundurkan
Di dalam ada yang hendak mempersatukan rakyat,
ada golongan yang hendak memecahbelahkan
Berlakulah sabotaj di sana, sabotaj di sini
Membangun dan membuat kemajuan
di dalam masa krisis yang hebat tidak habis itu
Didik rakyat tidak sempat, atau tidak serius
atau tidak minat atau tidak faham
Maka timbul pulalah gejala-gejala lain
di dalam masyarakat bangsa dan negara
Pemuda-pemudi berlepak-lepak membuang masa
disinilah berlaku rogol, zina, liwat, buang bayi
Perkelahian, pembunuhan, vandalism yang tidak terkawal
Sogok-menyogok, rasuah-merasuah, tipu daya,
khianat berlaku di dalam negara
Rakyat terbiar, hiduplah mereka di dalam kemiskinan, akhlak rosak
Beginilah keadaan hampir semua negara-negara yang pernah dijajah
Allahyarham Ust. hj Ashaari Muhammad
ERTI KEMERDEKAAN MENURUT ISLAM
1. KEMERDEKAAN POLITIK
Negara-negara umat Islam di dunia seperti Mesir, Syria, Iraq, Pakistan, Indonesia, Brunei, Malaysia dan sebagainya sudah ada yang 100 tahun merdeka, 80 tahun, 70 tahun, 50 tahun dan paling dekat 30 tahun.
Tapi belum ada satu pun yang dapat dibangunkan menjadi negara Islam yang kuat dan menjadi contoh seperti yang Rasulullah SAW lakukan.
Baginda mengambil masa cuma 23 tahun untuk menjadikan negara dan bangsa Arab empayar Islam menggantikan Rom dan Parsi waktu itu.
Namun, hari ini, kaedah yang dipilih untuk membangunkan negara-negara merdeka oleh penguasa-pemguasa umat Islam ialah melalui ideologi ciptaan Barat. Tak ada satu pun yang merujuk kepada kaedah Rasulullah SAW. Alhasil hari ini kita masih bertuankan penjajah. Belum mampu kita 'menjajah' mereka.
Sudah sepatutnyalah negara-negara orang Islam ini berfikir semula tentang langkah-langkah yang sepatutnya dilaksanakan bagi mengisi kemerdekaan. Kaedah lama nyata belum memberikan hasil yang sepadan dengan umur kemerdekaan. Bahkan dibanyak negara kaedah yang dipakai bukan membawa tuah, tapi membawa padah kehinaan dan kelemahan.
Ideologi Barat yang dipraktikkan di negara-negara orang Islam ternyata gagal menjadikan kita bangsa yang kuat. Di Malaysia sendiri setelah 50 tahun merdeka, bangsa ini seperti kehilangan arah. Kemajuan material semata-mata kelihatan telah membuat satu penutup yang mengecewakan!
Tapi kita belum pun terlambat. Bahkan ini waktu terbaik untuk kita memulakannya. Yakni, mengambil Tuhan, Allah sebagai tempat rujuk. Bertanya kepada Mahaguru yang Maha Agung tentang bagaimana membangunkan satu bangsa untuk jadi empayar.
Memohon kepada Tuhan bekalkan apa jua jenis keperluan yang diperlukan untuk projek besar ini. Bekalan-bekalan berunsur rohaniah dan maddiah .
Seperti tenaga manusia yang benar-benar layak, perpaduan, strategi-strategi perjuangan dari semasa ke semasa, wang yang cukup, kaedah menangkis musuh, rahsia menyelesaikan masalah, kunci kemenangan demi kemenangan dan panduan-panduan agar tidak tergelincir dari jalan yang benar.
Tanpa mengambil Tuhan sebagai tempat rujuk perjalanan seseorang paling bijak di dunia pun berakhir dengan kegagalan. Memutuskan diri dengan Tuhan sama seperti layang-layang putus talinya.
Tuhan bukan untuk dibuat patung. Tuhan ialah Maha Pencipta yang boleh diajak bercakap, bertanya, berjumpa rasmi 5 kali sehari. Allah ialah Zat yang wajib dicintai sesungguh hati, lebih dari segala-galanya. Allah juga wajib ditakuti lebih dan segala-galanya. Allah sebenarnya untuk dijadikan matlamat hidup mati kita.
Setiap saat kita memerlukan Tuhan. Tanpa pimpinan dan pertolongan-Nya, setiap saat kita melakukan kesilapan.
Bangsa yang tidak sembahyang pasti tergelincir di hujungnya. Sebab sembahyang sebenarnya ialah modal utama untuk menjadi bangsa yang agung. Macam kereta yang berjalan jauh, kena berhenti di stesen-stesen minyak untuk mengambil bekalan minyak untuk perjalanan selanjutnya. Maka manusia yang tidak berhenti 5 kali sehari semalam di stesen Tuhan untuk ambil keperluan kehidupan dan perjuangan nescaya akan 'jammed' dan gagal!
Kemerdekaan ini ialah kebahagiaan dan kemenangan. Allah SWT sendiri yang menjamin bahawa
"Sembahyang itu kemenangan"
"Sembahyang itu kemenangan "
Tersilaplah suatu kaum yang mencari kebahagiaan dengan meninggalkan Tuhan dan sembahyang.
Sedangkan kemerdekaan ini dari Dia dan kembali kepada-Nya.
Allah berfirman dalam Surah Ali Imran, ayat 26;
Ertinya:
"Katakanlah, Ya Allah, Yang memiliki kerajaan, Engkau memberi kerajaan kepada siapa yang Engkau kehendaki dan Engkau muliakan siapa yang Engkau kehendaki dan Engkau menghina siapa yang Engkau kehendaki. Di tangan Engkaulah kebaikan. Sesungguhnya Engkau Maha berkuasa atas segala-galanya."
2. KEMERDEKAAN EKONOMI
Kita mesti tahu rahsia besar yang Allah bukakan untuk orang Islam, agar kita jangan tertipu kerana kejahilan. Sedangkan Allah SWT sudah pun mengingatkannya. Bahawa dunia ini adalah tipu daya. Allah mengulangi di ayat yang lain bahawa tidaklah kehidupan dunia ini melainkan tipu daya.
Pengalaman hidup kita sendiri dan orang lain juga banyak membuktikan bahawa kecintaan pada dunia ini hanyalah tipu daya. Wang dan kekayaan menjanjikan kebahagiaan yang tiada!
Inilah pandangan Islam dalam ekonomi ini. Siapa juga yang mahu berurusan dengan khazanah kekayaan Allah di bumi, mestilah pandai mengelak dari tipuan. Seorang yang perasaan cintakan Allah kuat mencengkam di jiwa hinggakan cinta dunia dapat ditangkis. Itulah orang yang dunia tidak dapat memperbodohkannya. Selain mereka, kepandaian akademik dan diniah saja pasti tidak selamat dari godaan dan bujukan harta.
Adapun kemerdekaan dalam konteks ekonomi ialah bebas dari penyakit tamak haloba oleh si kaya atau penguasa. Allah melonggokkan kekayaan pada mereka supaya ada sebab untuk bersatunya mereka dengan golongan tidak berada dan miskin.
Orang miskin kaya tenaga dan kebolehan bekerja yang semuanya amat diperlukan oleh golongan kaya. Masyarakat akan stabil bilamana kekayaan masing-masing dikongsi dan tidak bermaksud untuk tindas-menindas.
Tapi malang bagi dunia moden ini, manusia-manusia tidak lagi mengikut disiplin Tuhan. Mereka berperang sesamanya, sekalipun dalam rumahtangga. Maka datanglah hukuman Tuhan, yakni ekonomi jatuh.
Seluruh dunia dilanda kejatuhan ekonomi. Ambil perhatianlah dengan bencana besar ini. Tuhan tidak lakukan dengan sia-sia. Sejarah menceritakan bahawa bilamana Allah murka dengan satu kaum, maka Allah tarik kekayaan mereka. Maka jatuhlah kuasa politik dan hancurlah kaum tersebut.
Sempena kemerdekaan marilah kita memohon kepada Allah supaya dimerdekakan negara dari segala cengkaman penjajahan masalah. Allah adalah sumber kekayaan dan kekuasaan. Untuk dapatkan itu semua, orang Islam tidak boleh menempuh cara orang bukan Islam.
Allah menolong orang bukan Islam dan golongan orang anti-Islam kerana faktor usaha, ikhtiar dan kekuatan .
Tapi orang Islam ditolong kerana faktor takwa. Orang bertakwa yang berusaha Allah berjanji membalasi dengan 90%. Sedangkan usaha ikhtiar oleh orang-orang yang tidak takut dengan Allah, mereka hanya akan diberi sekadar 10%. Itu pun hanya atas dasar istidraj. Untuk 10% itulah golongan ini menghabiskan umur. Dunia telah menipu mereka.
Cara dapatkan 90% kekuatan, ialah usahakan taqwa. Yakni bersedekah, bermaaf-maafan, sembahyang malam (tahajud), sembahyang hajat, berkasih sayang dan bertaubat banyak pada Allah. Yakni membaiki diri. Bersatu padu, ikhlas, merendah diri dan kerjasama.
Sejarah memaparkan bahawa dengan mempraktikkan ekonomi Islam itu, perniagaan Rasulullah SAW di Suqul Ansar oleh Sayidina Abd. Rahman bin Auf, dalam masa yang begitu cepat, Islam menguasai ekonomi Madinah dari tangan kapitalis Yahudi. Mengapa tidak kita belajar dari sejarah ini demi memerdekakan bangsa dari masalah ekonomi yang sedang melanda?
3. KEMERDEKAAN FIKIRAN
Akal fikiran yang ada pada manusia sungguh menakjubkan. Merupakan ciptaan Allah yang Maha Ajaib. Bangsa yang dapat memanfaatkan akal fikiran sepenuhnya ternyata mampu menguasai langit dan bumi, menjadi tuan kepada dunia.
Tetapi menurut Islam akal tidak boleh dibiarkan berfikir tanpa disiplin. Sebab akal yang tidak terpimpin cenderung untuk kufur kepada Allah.
Berapa ramai ahli falsafah telah mengambil kesimpulan untuk menolak agama dan memilih untuk bunuh diri sebagai penutup hidupnya. Fikiran yang terlalu bebas rupa-rupanya tersesat begitu sekali.
Al-Quran mengajarkan orang Islam bahawa fikiran mesti bertunjangkan roh tauhid. Itulah kemerdekaan yang berdisiplin namanya.
Akal akan selamat bilamana berjalan bersama hati yang berzikir pada Allah. Firman-Nya bermaksud:-
"Mereka yang mengingati Allah sambil berdiri, duduk dan berbaring seraya mereka berfikir akan ciptaan-ciptaan langit dan bumi."
Maknanya orang yang baik ialah mereka yang berfikir dalam keadaan hati berzikir.
Sambil berfikir sambil membesarkan Tuhan.
Berfikir sambil menyedari penentuan dari Allah.
Berfikir sambil merasa kekuatan Allah.
Ertinya fikiran kalau nak dibiarkan berjalan mesti diikat pada hati.
Tanpa ikatan hati yang terang dengan zikir, akal berjalan dalam gelap dan akan terjadilah 1001 macam kesalahan.
Jadi umat Islam mesti dilatih untuk mendisiplinkan fikiran dengan cara ini. Barulah kita akan dapat memerdekakan fikiran dari belenggu jahiliah yang telah membinasakan kemanusiaan manusia kini
4. KEMERDEKAAN KEBUDAYAAN
Bidang ini adalah bidang hidup yang penting yang ikut jadi penentu kepada watak sesuatu bangsa . Baik sistem budayanya baiklah bangsa. Tapi bila buruk kebudayaan yang mereka perjuangkan, buruk pulah watak bangsa tersebut.
Islam, sebenarnya sistem kebudayaan cukup selamat dan menyelamatkan, sebab apa juga aktiviti budayanya, yang sangat menarik dan menghiburkan itu tidak terpisah dari Allah.
Sambil berhibur, kita masih dapat mengingati Allah, tidak lari dari disiplin, kami mencadangkan sistem ini dijadikan alternatif kepada budaya kuning yang telah meruntuhkan moral remaja kita seruntuh-runtuhnya.
Orang Islam kita khususnya hari ini macam mana mahu jadi bangsa besar, sedangkan kebudayaan yang dihidangkan pada mereka melalui pentas-pentas budaya, muzik, teater, drama, filem dan lain-lain lebih banyak mengajak bercinta-cinta dan kecewa daripada mengajak kepada perjuangan bangsa dan agama.
Kelihatan pejuang-pejuang budaya tidak ketemu isu lain dalam perjuangan selain isu jatuh cinta dan akhirnya kecewa. Jutaan rakyat yang melihat, pulang membawa hati yang lembab, yang pupus dari semangat memperjuangkan empayar untuk bangsa dan agamanya.
Mengapa kita tidak perjuangkan kebudayaan Islam yang terasnya ialah menjadikan manusia itu hamba Tuhan dan khalifah-Nya.
Bukannya hamba teruna dara yang akhirnya merana.
Kebudayaan yang memuja nafsu dan syaitan hendaklah ditukar kepada kebudayaan yang memuja Allah dan Rasul. Satu kebudayaan yang nilainya mampu memartabatkan orang Islam, menjadi pemegang-pemegang tampuk ekonomi, politik, pendidikan, kesihatan dan lain-lain di muka bumi Tuhan ini.
Selagi kebudayaan bangsa tidak dimerdekakan dari unsur-unsur cinta dan seks ini, kita sebenarnya belum merdeka.
5. KEMERDEKAAN PENDIDIKAN
Pendidikan adalah roh, nadi umat. Apa erti bangsa kita mencapai kelulusan tinggi-tinggi tetapi mereka hanya mementingkan diri, tidak untuk bangsa dan masyarakatnya.
Mengapa kita tidak didik lulusan-lulusan ini membuang sifat negatif dalam diri supaya mereka menjadi insan-insan yang boleh menjadi abid di malam hari dan menjadi singa di siangnya. Kriteria ini yang Rasulullah SAW katakan mesti ada pada kaum yang mahu menjadi bangsa yang maju.
Kerajaan Uthmaniah dapat menguasai 29 buah negara adalah setelah orang Turki dididik menjadi hamba yang memuja Tuhan di malam hari dan menjadi singa di siangnya.
Demikian Salehudin Al Ayyubi, memenangi Palestin setelah orang-orangnya mampu sembahyang di malam hari. Sayidina Umar Al-Khattab tidak benarkan orang-orangnya keluar berjuang kalau mereka tidak bangun malam untuk Tuhan.
Orang kita kalau dididik mengikut acuan ini, tiada sebab mengapa kita tidak boleh jadi empayar di Timur atas nama Allah dan Rasul. Sementelahan pula empayar Barat sedang tercabut taringnya. Mengapa peluang ini tidak kita cuba merebutnya?
6. KEMERDEKAAN AGAMA
Agama adalah keperluan rohaniah manusia yang tidak boleh tidak. Roh tidak dapat dipisahkan dari Tuhan sama seperti tidak boleh dipisahkan gula dengan manisnya. Roh tanpa Tuhan akan bergoncang sampai manusia tidak sanggup hidup lalu membunuh diri.
Roh yang kuat bertuhan, mampu bertahan menghadapi ujian bahkan bahagia di atas ujian. Memang bangsa yang kuat seperti Israel adalah penganut kuat agamanya iaitu Yahudi. Namun tidaklah sekuat para sahabat Rasulullah SAW yang memperjuangkan Allah melalui agama-Nya Islam.
Mereka itu kerana kuat rohnya dengan Tuhan, sanggup berbuat baik kepada orang yang berbuat jahat pada mereka. Sedangkan Israel mengganas di mana-mana.
Maka dalam negara merdeka, setiap rakyat hendaklah dibenarkan menganut dan praktiskan agama masing-masing. Bahkan demi kemerdekaan, izinkan mereka memperjuangkan keyakinan mereka. Dengan syarat jangan jadi macam orang politik, saling berhentakan.
Ilmu perbandingan agama harus dibenarkan. Supaya manusia dapat memilih agama yang benar, jelas dan terang . Sebab agama Tuhan itu cuma satu.
Setiap orang wajib memilih agama yang paling benar! Islam baka sebenarnya tidak ada nilai. Agama ialah keyakinan. Bukan tiru-tiru. Pilihan agama dibuat atas dasar ilmu dan kebenaran bukan keturunan dan emosional.
Agama bukan harta pusaka tetapi ialah sebuah kecintaan yang diperjuangkan. Merdekakanlah manusia dalam beragama. Jangan paksa orang menerima keyakinan kita.
Apa nak ditakut kalau kita benar, kebenaran pasti menang, kebatilan pasti pergi tanpa dihalau. Kalau benar mahu bangsa ini jadi bangsa yang kuat, aman dan makmur, amalan kemerdekaan dalam agama adalah tidak boleh tidak.
7. KEMERDEKAAN JIWA
Sesungguhnya inilah dia keperluan paling asasi. Merdeka disudut lain-lain tidak bermakna apa-apa bagi individu yang dibelenggu jiwanya oleh nafsu dan syaitan. Sebab manusia yang bertuhankan nafsu semata-mata tak mungkin boleh diharapkan berkongsi kekuatan dan kemakmuaran dengan orang lain sekalipun keluarga apalagi jiran tetangga dan masyarakat.
Oleh itu, bebaskan manusia dari nafsu dan syaitan. Halau musuh batin itu nyah dari ruang jiwanya. Allah SWT telah memberi petunjuk yang terperinci bagaimana manusia berperang melawan nafsu. Kami cadangkan sistem pendidikan memasukkan bidang ini dalan syllabus bermula dari pra sekolah lagi hinggalah ke universiti.
Watak bangsa yang mesti disiapkan untuk tujuan mencapai negara maju ialah kasih sayang, merendah diri, berlemah lembut, pemurah, rajin, berani, bekerjasama, maaf-bermaafan, ikhlas, lapang dada, bertolak ansur, cintakan Tuhan, takutkan Tuhan dan sering dekatkan diri kepada-Nya.
Dengan watak-watak ini barulah seorang saintis, doktor, peguam, orang politik, korporat, pegawai tadbir dan lain-lain benar-benar menyumbang kepada negara. Sebaliknya seorang guru yang kuat hasad dengki pasti tak boleh lahirkan murid yang baik. Korporat yang tamak mana boleh kongsikan kekayaannya dengan masyarakat. Politikus yang gila kuasa, tak mampu berlaku jujur kepada bangsanya. Demikian seterusnya.
Kalau begitu kita belum puas hati dengan merdeka dan penjajah. Itu kecil. Yang besar, musuh yang kita kena perangi betul-betul ialah sifat-sifat mazmumah yakni nafsu kita yang menjadi musuh dalam diri kita. Kalau kita gagal terhadapnya dia akan merosakkan kita, juga merosakkan orang lain dan harta benda.
Umat Islam kalau mahu jadi umat yang kuat, boleh menandingi umat yang lain, rahsia ini mesti dipelajari dan diperjuangkan sungguh-sungguh. Yakni mengenal pasti mazmumah, iaitu sejahat-jahat musuh kita yang sangat mahu merosakkan kita. Dia bertindak 24 jam dengan bantuan syaitan untuk pastikan cita-citanya tercapai.
Ketahuilah, jangan tak tahu, bisikannyalah yang merosakkan kita, bilamana kita memperturutkannya. Tanpa sedar umat Islam hari ini beramai-ramai telah diperkudakan oleh dirinya. Kononnya, mereka mahu bebas, tak mahu diikat oleh disiplin Tuhan, walhal dengan menolak Tuhan mereka sebenarnya dibelenggu oleh nafsu dan syaitan.
Buktinya masyarakat kita sekarang suka bercinta-cinta dahulu baru berkahwin. Itu falsafah nafsu dan syaitan. Lepas setahun dua, dapat anak satu sudah bergaduh dan bercerai berai. Konon lagi, nak berjaya tak perlu sembahyang, akhirnya bila berjaya bergaduh dan berperangan. Itulah tipuan dari bisikan nafsu syaitan.
Hanya ajaran Tuhan yang layak jadi panduan dan menjamin keselamatan dunia dan akhirat.
Akhir sekali saya tegaskan bahawa kemerdekaan ini sebenarnya ialah merdeka dari tipuan dunia dan hawa nafsu, dengan menjadikan hidup dan mati adalah untuk Tuhan Pencipta seluruh alam
Allahyarham Ust. hj Ashaari Muhammad
Langgan:
Catatan (Atom)