Selasa, 11 Jun 2013

TEGAS DENGAN PRINSIP



Tegas dengan prinsip ialah seorang Islam yang kuat berpegang dengan agamanya yang sentiasa mengamalkan ajarannya. Tegas dengan hukum-hakamnya. Memperkatakannya dengan tidak segan silu.  Memperjuangkannya dengan gigih dan berhikmah di mana saja dia berada, tidak kira di waktu mana, di dalam keadaan apa dan di dalam situasi dan kondisi yang bagaimanapun.

Begitulah yang dikatakan orang yang ada prinsip. Ia tidak dapat digugat oleh keadaan, dihalang oleh tempat dan dihentikan oleh suasana, kecuali ada kuasa yang menghalang ke atas dirinya. Sedangkan dia di waktu itu tidak ada daya dan upaya melawannya. Seperti dia ditangkap oleh musuhnya atau dia dibuang di suatu tempat yang dia tidak mampu melepaskan dirinya. Maka terjadilah pada dirinya banyak hal dan amalan yang biasa dibuat tidak dapat dibuatnya oleh keadaan tadi yang tidak boleh dia melakukannya kecuali hanya di dalam hati. Ini ertinya sudah di dalam keadaan darurat.


Orang Islam yang tegas dan teguh dengan prinsip

Orang yang tegas dengan prinsip,dia tidak peduli apa orang kata, dia tidak fikir orang. Dia tidak malu-malu atau takut kepada sesiapa. Yang dia fikir, dia dengan Tuhannya.Kerana Islam itu benar-benar menjadi pegangan hidupnya, diyakini dan dihayati. Telah jadi mendarah mendaging.Telah sebati dan menjadi tabiat dirinya. Ia rasa Islam adalah hidup matinya hingga menjadi cita-cita perjuangannya. Kalau ada amalan-amalan Islam itu terlupa ia mengamalkannya, terlalu amat kesal dirasakannya dan tersangat tersinggung kalau ada orang yang menentang dan menghina agamanya.

Oleh itu ia sanggup susah dengan Islam. Sanggup berkorban untuknya. Ia lebih sayang daripada dirinya sendiri bahkan sanggup mati kerananya. Orang ini tidak akan boleh diugut-ugut atau dihalang. Namun dia tetap mencari jalan mengamalkannya dan memperjuangkannya sama ada Islam itu dapat diamalkan atau diperjuangkan atau dia mati kerananya.


Sebab-sebab seseorang itu tegas dengan prinsip/sebab-sebab seseorang itu ada prinsip

Orang Islam yang tegas dengan prinsip tidak ramai. Sekalipun para-para pejuang dan pendakwah-pendakwah dan da'i-da'i. Kerana itu Islam amat susah diterima oleh orang ramai sebagai cara hidup. Lebih-lebih lagi orang kafir sangat takut dengan Islam.

Di antara sebab-sebab seseorang Islam itu tegas berpegang dengan prinsip atau di katakan orang ada prinsip ialah:

1. Kerana seseorang itu mendapat pendidikan yang betul dan baik. Mungkin bernasib baik berada di dalam keluarga yang kuat mempertahankan prinsip dan mendapat guru yang baik pula.

2. Islam yang dipelajari oleh seseorang itu sangat dihayati bukan sekadar ilmu atau mata pelajaran yang diwajibkan.

3. Seseorang itu ada mempunyai cita-cita. Islam bukan setakat untuk dirinya sahaja tapi inginkan agama Islam itu menjadi cara hidup di alam sejagat ini.

4. Kerana seseorang itu benar-benar faham tentang Islam, kemudian diamalkannya untuk diri dan keluarganya kemudian diperjuangkannya ke tengah masyarakat.

5. Kerana seseorang itu bernasib baik bertemu dengan jemaah Islamiah yang baik kemudian mendapat pemimpin yang baik yang boleh menyampaikan secara baik dan diberi pemimpin itu benar-benar boleh menjadi contoh peribadinya.

6. Seseorang itu berjiwa besar. Kerana rasa besar dan bangga dengan agamanya yang datang dari Tuhan yang Maha Besar dan Maha Agung. Dia rasa seronok mengamal dan memperjuangkannya.


Orang yang tidak tegas atau teguh dengan prinsip

Biasanya orang Islam yang tidak teguh dengan prinsip atau pegangan hidup dikatakan orang yang tidak ada prinsip.  Dia mengamalkan Islam itu tidak istiqamah. Kadang-kadang buat kadang-kadang tidak. Bertukar sahaja suasana dia pun bertukar sikap. Berpindah saja tempat, dia longgar dengan syariat. Kalau bergaul sahaja dengan orang yang lalai maka dia pun ikut serta lalai. Bila berhadapan saja dengan orang-orang besar, amalan biasa yang selalu dibuatnya dia pun malu hendak membuatnya. Kalau ada orang yang bercakap bertentangan dengan Islam dia sesuatu majlis, lebih-lebih lagi kalau majlis itu majlis orang-orang besar, dia diam sahaja. Sudah tidak berani lagi memberi pandangan. Dia rasa rendah diri atau inferiority complex di dalam majlis itu. Keberaniannya hilang. Hanya mendengar sahaja apa yang orang kata. Begitu juga sibuk saja kerja, prinsip pun tertinggal. Susah sedikit hati, hukum-hakam pun terlanggar. Sakit sahaja sedikit, syariat pun cuai.



Sebab-sebab orang Islam tidak tegas dengan prinsip

Di antara sebab-sebab orang-orang Islam tidak lagi tegas dengan prinsip adalah seperti berikut:

1. Kerana sudah jahil dengan ajaran Islam. Apabila sudah jahil, bagaimana hendak mengamalkannya. Betapalah pula untuk memperkatakan dan memperjuangkannya.

2. Kalaupun dia seorang yang alim, tapi tidak teguh dengan prinsip ialah di keranakan oleh kelemahan iman atau jiwa lemah. Lemah iman kerana cinta dunia. Cita-cita Islam sudah tidak ada.

3. Kerana mengamalkan Islam itu secara tradisi atau ikut-ikutan, bukan atas dasar keyakinan dan kesedaran beragama.

4. Seseorang yang mengamalkan Islam itu kerana dididik oleh suasana, bukan kerana didikan oleh satu pengajian dan ikutan. Apabila bertukar suasana maka dia pun bertukar prinsip hidupnya.

5. Seseorang yang belajar atas dasar ilmu atau mental exercise, bukan atas dasar penghayatan. Dia belajar itu mungkin tujuan makan gaji dan sebagainya. Orang itu akan hanyut mengikut arus masyarakat walaupun dia mempunyai ilmu Islam.

6. Seseorang yang mendapat didikan Islam secara kasar dan paksa, bukan mendapat didikan yang penuh berhikmah serta dapat mengikut suri tauladan yang baik. Apabila bebas daripada suasana itu, maka dia pun bebas meninggalkan atau membuat secara cuai.

7. Seseorang yang asalnya tegas dengan prinsip, entahkan macam mana satu masa terpengaruh dengan dunia yang menipu, maka dia pun berubah prinsip hidupnya daripada tegas kepada cuai mengamalkan atau lalai mengamalkannya.

8. Mungkin seseorang itu lemah kerana keseorangan.  Kawan-kawan tidak ada, maka di sini keberaniannya kurang atau luntur. Maka dengan itu di dalam suasana yang tertentu, tidak berani lagi dia memperkatakan keberanian itu dengan tegas.

9. Boleh jadi juga seseorang itu kerana ujian yang teruk, kerana tidak tahan dia pun kecewa serta diburu oleh ketakutan. Akhirnya dia longgar atau rasa serik mengamalkan prinsip hidupnya.


Islam menyuruh tegas, bukan keras 

Di dalam ajaran Islam, menganjurkan kepada kita agar tegas mengamalkannya, tegas mengeluarkan hukum.   Tegas menyampaikannya atau memperkatakannya dan gigih memperjuangkannya di mana saja dan di dalam keadaan apa sekalipun. Islam tidak menyuruh kita berlaku keras tapi menyuruh tegas. Islam adalah agama kasih sayang dan lemah lembut, bukan agama keras tapi di suruh tegas.

Kebanyakan umat Islam terutama para pejuang dan pendakwah-pendakwah melakukan kekerasan di dalam perjuangan atau di dalam dakwahnya tapi dia sendiri tidak tegas mengamalkannya. Di dalam mengamalkan, sama saja dengan orang lain. Di dalam menyampaikan, suaranya lantang dan keras memperkatakan hukum-hakamnya.  Tegas kalau untuk orang lain tapi untuk diri sendiri longgar dan cuai.

Di dalam menyampaikan, mengata, mengumpat, menuduh, kepada golongan-golongan yang tertentu. Adakalanya hingga sampai maki-hamun, mengutuk dan menemplak untuk orang yang tertentu, tapi dia sendiri syariatnya cuai, akhlaknya rosak, maruahnya tidak dijaga. Mereka menyangka cara itulah yang dikatakan tegas.

Sebenarnya sikap mereka itu bukan tegas tapi keras. Tegas ertinya memperkatakan hukuman yang sesuai dengan kehendak Islam. Disampaikan dengan penuh berhikmah dan kasih sayang, tidak ditujukan kepada mana-mana golongan tapi untuk semua, terutama diri sendiri. Dan orang yang berkata dan memperjuangkan itu mempunyai peribadi yang baik dan mempunyai akhlak yang mulia kerana dia tegas mengamalkan Islam itu lebih dahulu di dalam diri mereka dan tegas berpegang dengan hukum.Begitu juga tegas mendidik anak dan isteri serta keluarga. Agar mereka mengamalkan ajaran Islam itu serta sangat menghormati hukum-hakam.
Begitulah orang yang tegas dengan prinsip.

Oleh kerana tidak tegas mengamalkan Islam tapi keras memperkatakan dan memperjuangkannya, maka sebab itulah orang ramai benci dengan Islam, lebih-lebih lagi orang kafir takut dengan Islam. Melihat peribadi para pejuang dan para da™i serta keluarga mereka, Islam itu tidak ada di dalam diri mereka. Yang mereka lihat ialah kekerasan dan kekasaran. Keindahan tidak dapat dilihat kerana bersikap keras bukan tegas.


Ust. hj Ashaari Muhammad

Tiada ulasan:

Catat Ulasan