Isnin, 6 Ogos 2012

Kuliah Al Fatihah: Ayat ke 4 - Malikiyau middin



Bismillahi rahmanir rahim
Anak-anakku yang dikasihi..

Malikiyau middin itu ertinya 'Raja (Tuhan) yang memiliki hari akhirat.'
Mengapa Tuhan tidak sebut Dia mentadbir hari akhirat, (Rabbul yaumiddin)?
Mengapa disebut akhirat sahaja, tidak disebut dunia?

Inilah tajuk perbincangan kita.

Tuhan pilih perkataan ' Malik','Yang memiliki' atau boleh dimaksudkan 'Yang menguasai'  atau 'Yang Mempunyai hari Akhirat.' Sebelum itu Tuhan sebut dunia akhirat kepunyaanNya,  sekarang Allah hanya menyebut Akhirat sahaja. Mengapa?

Di sini kita boleh dapat dua hikmah:

1.Dapat melihat kuasa Tuhan secara mutlak.

Adakah kalau hanya menyebut dunia, kuasa Tuhan tidak mutlak? Kalau disebut akhirat itu, orang rohani boleh lihat tetapi  orang akal tidak melihatnya kerana matahatinya tidak nampak.

Kalau dikatakan 'Tuhan yang menguasai dunia-akhirat' [bukan malikiyaumiddin- akhirat shj], orang yang bertuhankan akal yang hanya memandang dengan mata lahir,  mereka tidak lihat sangat, kerana pada akal mereka, Amerika pun berkuasa di dunia!

Dunia-akhirat itu kuasa mutlaknya di tangan Tuhan tetapi bila disebut dunia-akhirat, oleh kerana diganggu oleh mata lahir dan oleh akal, maka pandangan hati menjadi kabur dan  tertutup..yang dilihat kuasa Allah di dunia sahaja, di akhirat dilupakan… Seolah-olah kuasa Tuhan tidak mutlak.

Tetapi kalau dikatakan Tuhan yang menguasai akhirat,siapa boleh sebut ada pihak yang juga menguasai akhirat ? Kalau Tuhan katakan, Dia menguasai dunia akhirat, manusia terkeliru sebab orang akal akan berkata ada yang lain yang berkuasa....

Sebab itu Tuhan tidak sebut begitu. Dia sebut kuasa Nya di akhirat. Jadi di sini, kita nampak kuasa Tuhan itu sangat mutlak.

Kalau disebut Tuhan menguasai dunia dan akhirat, hanya orang yang bersih hatinya sahaja yang terasa. Orang biasa menggunakan akal dan mata sahaja sehingga terasa ada manusia yang berkuasa seperti Amerika atau Eropah.

Bila sebut Tuhan itu menguasai akhirat, orang terasa hebatnya Tuhan. Tuhan, tuan punya akhirat yang mutlak. Siapa yang boleh share tentang akhirat ?

2. Tuhan hendak memperkecilkan dunia.

Bila Tuhan sebut akhirat sahaja, tidak menyebut pun dunia, ertinya dunia itu tiada harga. Seolah-olah Tuhan berkata begini,' Dunia tiada harga pada Aku, tiada nilai walau sebelah sayap nyamuk pun. Kamu berebut sehingga bergaduh dan berperang kerana rebutkan dunia itu. Aku kiamatkan, Aku hancurkan sehingga tiada apa yang tinggal melainkan Akhirat dan Aku.'

Terasalah hinanya dunia yang manusia pandang mulia ini, yang direbutkan sampai berperang, tiba-tiba Tuhan hancurkan begitu sahaja, nampak hinanya dunia ini.Ini hikmahnya.

Kalau dapat disyarahkan begitu, orang akan dapat membangunkan rohnya. Dunia ini sebenarnya  tidak ada nilai. Kalau ada nilai, Tuhan tidak akan hancurkan….  Akhirat dikekalkan iaitu menunjukkan begitu berharganya akhirat.

Inilah hikmah-hikmah terbesar selain daripada hikmah lain yang banyak. Bila disebut 'Malikiyau middin', terasa kuasa Tuhan yang mutlak. Tidak ada campurtangan mana-mana pihak

Selain dari itu, kerana manusia memandang mulia akan dunia itu sehingga bergaduh kerananya, Tuhan akan hancurkannya begitu sahaja agar manusia terasa tiada harganya dunia itu. Mengapa kita bergaduh berebutkan sesuatu yang tidak bernilai ? Manusia tidak pernah dididik begitu.

Orang selalu kata,''Dunia hendak, akhirat pun hendak juga.'' Bukan begini… Bila dikatakan janganlah lupakan dunia, sebenarnya mereka melupakan akhirat. Mereka  percayakan akhirat tetapi mereka berkata, ''Memang akhirat penting, perlu utamakan akhirat tetapi jangan pula lupakan dunia''. Begitulah selalu yang ulama syarahkan.

Tetapi kenyataannya mereka memperkecilkan akhirat. Kononnya akhirat itu penting tetapi tindak tanduknya mementingkan dunia.

Sebab itu Tuhan sebut 'Malikiyau middin'. Tuhan hendak tunjukkan kekuasaan Nya secara mutlak di akhirat dan dunia itu dihancurkan secara mutlak untuk menunjukkan tiada harganya dunia itu. Selain itu hikmahnya, Tuhan tidak pilih perkataan  Rabb tetapi Maliki, menunjukkan Tuhan tidak guna perkataan mentadbir atau mendidik padahal di dunia Tuhan sudahpun mendidik, maka  perlukah di akhirat pun Tuhan mendidik ?. Tidak lepas dari didikan, ilmu dan kehendak Tuhan.

Mengapa Tuhan sebut begitu (Yang menguasai hari akhirat)? Supaya kita boleh lihat, manusia mukmin di akhirat kelak, mereka bebas sebebasnya. Seolah-olah Tuhan tidak campur tangan. Indahnya hidup di sana, bebas merdeka (Tetapi Maha Suci Tuhan dari tidak campur tangan). Seolah-olahnya begitu kerana Tuhan hendak menghiburkan manusia.

Kalau digunakan kalimah Rabb bukannya Malik, masih nampak campurtangan Tuhan. Itu cara Tuhan menghiburkan manusia.

Begitu juga kalau kita masuk neraka, Tuhan 'biar' begitu sahaja seolah-olah Tuhan tidak campur tangan. Mustahil Tuhan tidak campur tangan tetapi sengaja Tuhan hendak beritahu, seolah-olah Tuhan tidak peduli langsung. Seolah-olahnya begitu. Kalau di dunia dikenakan hukum penjara, boleh juga makan. Tidaklah terasa takut sangat tetapi di neraka, Allah tidak peduli langsung !

Yang di syurga pula bebas sebebasnya. Tidak ada peraturan dan undang-undang. Apa yang dikehendaki, boleh dapat. Hendak jadi raja, boleh. Hendak terbang pun boleh. Syurga itu besar. Kalau ada yang hendak minta jelajah dalam satu saat, boleh, dengan kuasa Tuhan. Bebas sebebasnya. Sebab itu Tuhan pilih kalimah , 'Malikiyau middin'.

Di antara hikmah yang lain ialah 'Malikiyau middin' membawa satu pengertian bahawa dengan ayat itu kita dibawa 'melihat' akhirat di mana Tuhan menjadikan

3.  Hari Pembalasan itu penuh dengan segala macam kesusahan.
Di padang Masyar di mana manusia akan berada di bawah matahari yang terik tanpa pakaian selama beratus tahun akhirat. Tetapi orang mukmin diberi kebebasan.

Setakat itu sahaja yang saya boleh jelaskan tentang 'Malikiyau middin'. Semuga itu boleh kita hayati. Mudah-mudahan kita akan menjadi orang akhirat.

Di dunia ini ada 3 golongan manusia iaitu orang mata, orang akal dan orang roh.

Orang rohani itu melihat tidak seperti orang mata atau orang akal. Orang rohani itu tidak ramai, yang boleh menganggap dunia ini Tuhan yang punya sedangkan manusia lain menganggap dunia ini mereka yang punya. Walhal kita tidak patut jadi tuan punya dunia

Yang paling rugi, kita berebut dunia yang kita nampak emas, intan berliannya, sedangkan di sisi Tuhan, ia tiada nilai walaupun senilai sebelah sayap nyamuk. Rugilah kita bergaduh rebutkan dunia yang tiada nilai, tetapi bila mati kita masuk keneraka. Marilah kita bersama-sama bertaubat.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan