Jumaat, 20 Julai 2012

TIDAK MESTI SEORANG PAKAR AL QURAN DAN AL HADIS BERSIKAP AL QURAN DAN AL HADIS




Orang yang menyandarkan dirinya kepada Al Quran dan Al Hadis boleh dikategorikan kepada beberapa bahagian atau golongan.


1. PAKAR KEDUA-DUANYA


Orang yang benar-benar belajar tentang Al Quran dan Al Hadis serta pakar dengan kedua-duanya. Golongan ini yakin dengan Al Quran dan Al Hadis. Amalan, perbuatan, perjuangan dan akhlak mereka benar-benar mencerminkan Al Quran dan Al Hadis itu. Kalau diminta dalil-dalil atau nas-nasnya dari sumber keduanya, apa yang mereka lakukan dan laksanakan atau apa sahaja yang ditanyakan, nescaya mereka dapat mendatangkan dalil-dalilnya. Golongan ini sangat sedikit di akhir zaman ini.

Mencari mereka ibarat mencari gagak putih atau hendak mencari belerang merah. Golongan ini adalah manusia luar biasa. Golongan ini kalau ada orang yang suka, terlalu suka dan kasih tetapi ramai yang benci terhadap mereka. Yang benci terlalu benci pula.


2. PELAJARINYA TAPI LEMAH MUJAHADAH


Golongan ini benar-benar mempelajari Al Quran dan Al Hadis tetapi lemah bermujahadah. Mereka mempelajari Al Quran dan Al Hadis hingga mereka pakar di bidang ini. Apa yang mereka pelajari itu memang mereka yakini. Namun kerana lemah mujahadah melawan nafsu mereka, maka tindak-tanduk dan akhlak mereka tidak semua mencerminkan Al Quran dan Al Hadis. Mereka sedar akan hal ini. Mereka mengaku lemah dalam mengamalkannya.

Namun kalau ada orang yang bertanya mengenai sesuatu masalah, mereka tetap menjawab berdasarkan Al Quran dan Al Hadis. Kerana ilmu itu mereka miliki, mereka tetap bercakap benar sekalipun lemah melaksanakannya. Mereka tetap berasa sedih dengan kelemahan-kelemahan mereka. Mereka selalu bersedih dengan kelemahan-kelemahan mereka. Golongan ini terpulanglah kepada Allah.

Allah telah berfirman:Maksudnya:

“Allah mengampuni sesiapa yang Dia kehendaki dan mengazab sesiapa yang Dia kehendaki.”
(Al Baqarah: 284)


3. BELAJAR ATAS DASAR ILMU


Golongan ini golongan yang mempelajari Al Quran dan Al Hadis atas dasar ilmu. Mereka minat dengan ilmu ini atas dasar mental exercise. Apakah ia satu kebenaran atau tempat rujuk yang sebaik-baiknya, mereka tidak persoalkan. Yang penting pada mereka ialah ilmu daripada dua sumber itu. Mungkin juga mereka mempelajarinya kerana untuk mencari keuntungan dunia atau mencari populariti.

Dalam segi mengamalkan di dalam kehidupan seharian, mereka tidak pun mempersoal apakah selari atau tidak. Itu tidak penting bagi mereka. Itu bukan matlamat mereka. Pada mereka yang penting ilmunya itu. Mereka ini golongan yang diragui keislaman mereka.


4. BELAJAR, YAKIN TAPI TIDAK MINAT


Golongan ini mempelajari Al Quran dan Al Hadis seperti golongan yang ketiga. Sikap, amalan mereka juga sama. Cuma bezanya ia tetap yakin ilmu daripada kedua sumber ini adalah satu kebenaran dan tempat rujuk.

Namun untuk mengamalkannya, mereka tidak berminat. Mungkin mereka merasakan tidak menguntungkan, atau bimbang tidak mendapat kejayaan, merasa malu atau rendah diri untuk mengamalkan. Mereka itu adalah golongan yang fasik atau golongan yang menzalimi diri sendiri. Golongan ini agak ramai juga.


5. MENGAKU MENGAMALKANNYA


Golongan ini mengaku mengamalkan Al Quran dan Al Hadis tetapi mereka tidak mampu untuk terus merujuk kepada kedua- dua sumber itu kecuali sedikit kerana mereka tidak benar-benar mempelajari Al Quran dan Al Hadis dengan sempurna atau mendalam. Amal ibadah dan tindak-tanduk mereka lebih merujuk kepada pendapat ulama atau mazhab-mazhab di dalam Islam atau merujuk kepada kitab-kitab karangan para ulama.

Mereka yakin ulama atau mazhab yang menjadi ikutan dan tempat rujuknya itu tentulah merujuk kepada Al Quran dan Sunnah. Mereka kalau ditanya lebih boleh menjawab dengan memberikan pendapat-pendapat ulama atau mengeluarkan fatwa-fatwa mazhab daripada nas-nas atau dalil-dalil Al Quran dan Al Hadis.

Walaupun begitu, mereka bersungguh-sungguh dalam mengamalkannya. Mereka ini dianggap golongan muqallidin atau golongan orang yang bertaqlid.

Ulama berpendapat bahawa jika dari sudut ilmu fekah, seseorang itu dibolehkan bertaqlid kerana tidak semua umat Islam mampu untuk mendalami ilmu Al Quran dan Al Hadis hingga bertaraf pakar, hingga mampu berdiri sendiri tanpa bersandar dengan orang lain. Dengan kata-kata yang lain tidak mungkin semua umat Islam mampu menjadi mujtahid.


6. MENDENGAR DARI JAUH

Golongan ini golongan umat Islam yang hanya mendengar- dengar tentang Islam dari jauh, mendengar melalui ceramah umum atau mengikut orang ramai. Mereka ini brsandar kepada ulama pun tidak, jauh sekalilah terus kepada Al Quran dan Al Hadis. Namun mereka tetap mengaku, Islam yang diamalkan oleh mereka mengikut Al Quran dan Hadis kerana mereka tahu sumber ajaran Islam itu adalah dari Al Quran dan Hadis. Tentulah apa yang diamalkan oleh masyarakat bersumberkan Al Quran dan Al Hadis.

Golongan ini adalah bilangan yang majoriti atau bilangan yang teramai hari ini. Dengan kata-kata lain mereka mengamalkan Islam dengan secara tradisi tanpa mengetahui di mana sumber ambilannya. Mereka hanya mengikut apa yang mereka lihat. Kalau ada belajar pun sedikit sangat. Bahkan ada di antara mereka, fardhu ain pun belum selesai. Golongan ini benar-benar mengamalkan Islam secara jahil, secara melihat-lihat dan dengar-dengar semata-mata tanpa ada kitab tempat rujuk. Mereka ini adalah golongan fasik atau ‘asi secara tidak sedar.



7. MENGKAJI SEBAGAI ILMU SEMATA-MATA


Golongan ini suka mengkaji Al Quran dan Al Hadis atau As Sunnah sebagai ilmu, bukan mereka beriman kepadanya. Bahkan mereka pun tidak minat menganut Islam. Pada mereka, Islam yang bersumberkan Al Quran dan Al Hadis itu hanya sebagai bahan kajian. Setakat mengetahui ilmu untuk dibandingkan atau dijadikan perbandingan dengan agama atau ajaran-ajaran ideologi yang lain.

Mereka ini ada yang belajar dengan tujuan untuk merosakkan ajaran Islam itu dengan cara mengubah atau menambah, membuang dan menokok serta menyelewengkan fakta-fakta serta huraian untuk mengelirukan umat Islam yang jahil.

Mereka juga bertujuan untuk menakut-nakutkan orang di luar Islam agar mereka jangan menganut agama Islam. Mereka itu terdiri daripada sebahagian orang Kristian dan sebahagian orang Yahudi, juga golongan free thinker.

Puak ini dipanggil golongan orientalis.

Mereka belajar dengan tujuan hendak merosakkan ajaran Islam. Yang mereka harapkan sangat adalah agar umat Islam dapat pendidikan Barat tetapi jahil dengan ajaran Islam. Dengan usaha mereka itu telah ramai cerdik pandai di kalangan umat Islam yang berpendidikan Barat, dapat dipengaruhi oleh mereka. Mereka itu sebahagian besarnya berkuasa dan mempunyai kedudukan yang tinggi di negara mereka. Sama ada di bidang politik, ekonomi, pendidikan dan lain-lain.

Berdasarkan huraian ini,
nyatalah bahawa tidak semestinya seseorang yang mahir serta pakar Al Quran dan Al Hadis menggambarkan peribadi Al Quran dan Al Hadis.

Begitu juga ada orang yang boleh berhujah dengan Al Quran dan Hadis, mampu menulis hebat kertas kerjanya, pandai bercakap, hujah-hujahnya cukup kuat kerana berlandaskan Al Quran, Al Hadis dan AsSunnah.

Walaupun demikian, tidak semestinya kehidupannya, rumah tangganya, sikap dan akhlaknya, pergaulannya, perjuangannya dan cita-citanya mencerminkan Al Quran dan AsSunnah.

Ummuhatul Mukminin pernah di Tanya tentang bagaimanakah gambaran akhlak Rasulullah
Dijawabnya Akhlak Rasulullah adalah Al Quran

Seolah-olah sekiranya ada manusia yang ingin melihat tafsiran Al Quran yg hidup dan berjalan di mukabumi ini lihatlah Rasulullah kerana Rasulullah lah manusia yg pertama dan utama mengamalkan isi wahyu yang diturunkan padanya sebelum disampaikan kepada umatnya

Mereka yang pakar Al Quran dan As Sunnah lebih bermotifkan mental exercise dan glamour daripada mengamalkan dan memperjuangkannya. Orang ramai sekadar rasa kagum dengan ilmu mereka kerana pandai dan mahirnya mereka membawa nas-nas Al Quran dan mendatangkan Hadis dengan sanad-sanad serta perawi-perawinya sekali. Tapi orang ramai tidak pula ingin hendak menjadikan mereka itu ikutan.

mind of Ashaari

Tiada ulasan:

Catat Ulasan