Rabu, 25 Julai 2012
1. Kuliah Al Fatihah
1. Kuliah Al Fatihah : Muqaddimah I
Bismillahirrahmaanirrahiim
Anak-anak yang saya kasihi sekalian,
Alhamdulillah kita telah membincangkan tentang Kebesaran Al Quran. Kali ini apa yang hendak kita perkatakan atau kuliahkan ialah salah satu daripada surah dalam Al Quran iaitu Surah Al Fatihah.
Surah Al Fatihah itu adalah suratul Makiyyah. Ia turun 2 kali iaitu di Mekah dan Madinah. Maksud ayat Makiyyah itu ialah setiap ayat yang turun semasa sebelum Rasulullah berpindah ke Madinah. Yang disebut surah Madaniyah ialah setiap surah yang turun selepas hijrah ke Madinah, sekalipun ayat itu tidak turun di Madinah. Mungkin turun di Mekah, mungkin turun di Thaif atau mungkin dalam perjalanan.
Ia dikatakan surah Al-Fatihah atau surah pembukaan. Boleh juga dikatakan surah ‘yang mendapat kemenangan’ sebab dalam bahasa Arab, kemenangan itu dari perkataan fath, seperti Futuh Mekah,
contoh: Sultan Muhammad Al Fateh (Muhammad yang dapat kemenangan).
Mengapa disebut surah yang mendapat kemenangan ?
Kerana ia adalah ibu kitab. Ibu kitab yang tertulis di luh mahfuz ada di dalam Al Fatihah. Jadi kandungan Al Fatihah meliputi seluruh isi Al Quran. Kalau surah Al Fatihah dapat difahami dan dihayati intipatinya, itu pun sudah cukup untuk kita memahami intipati Al Quran. Bila ia menjadi ilmu lalu dihayati dan diapplykan, pasti akan mendapat kemenangan. Maksud yang biasa, yang selalu dibahas ulama ialah “Surah Pembukaan” kerana ia diletak di depan, di pintu Al Quran. Ertinya surah nombor 1. Tetapi aneh kerana ia bukanlah ayat yang mula-mula turun. Yang mula-mula turun ialah dari surah Al Alaq sebanyak 5 ayat. Sepatutnya surah pembukaan itu ialah Surah Al Alaq tetapi ia tidak disebut sebagai ‘Surah Pembukaan’ Mengapa? Di sini kita akan dapat rahsianya
Hikmahnya ialah kerana Al Fatihah itu merangkumi semua sama ada aqidah, syariat, akhlaq, dan terutamanya syariah. Kalau diperluaskan, syariah itu ialah peraturan atau undang-undang sistem hidup.
Hikmahnya diturunkan Surah Al Alaq dahulu ialah Tuhan hendak menanamkan aqidah dahulu. Kalau aqidah belum ada, belum kenal Tuhan, tidak tahu kemampuan dan kuasa Tuhan, maka apa perlunya syariah. Oleh itu walaupun Surah Al Alaq diturunkan awal, ia tidak disebut sebagai surah pembukaan atau surah kemenangan kerana ianya hanya menyebut satu juzuk iaitu aqidah sahaja. Al Alaq tidak mewakili seluruh Al Quran.
Sebab itu surah Al Fatihah dijadikan surah pertama walaupun ia bukan surah yang pertama turun. Surah Al Fatihah ada 2 maksud:
1. Surah Pembukaan
2. Surah Kemenangan
Al Fatihah ada tujuh ayat, termasuk ayat Bismillah. Bismillahi rahmaanir rahim itu adalah ayat dari Al Fatihah tetapi fahaman wahabi tidak memasukkannya dalam Al Fatihah (ayatul min ayatilfatihah). Orang berfahaman Wahabi/tidak bermazhab, bila bersolat tidak membaca Bismillah. Terus sahaja membaca alhamdulillah. Kalau kita bersembahyang dengan Wahabi kita menjadi was-was sebab bagi kita Al Fatihah itu wajib/rukun solat. Patutnya kalau imam yang bijaksana, berhikmah, dan menghormati mazhab, kalau seorang imam berfikir mengenai masyarakat umum, membaca Bismillah itu lebih baik, jika pada keyakinannya Bismillah itu sunat, bukannya haram ! Kalau dia membacanya pun dia akan mendapat pahala sunat. Kalau pada keyakinan seseorang Bismillah itu wajib dibaca [seperti kita], jadi batallah sembahyang kita. Ini tidak. Bagi mereka [imam fahaman Wahabi] membaca Bismillah ianya hanya sunat. Kalau imam itu bijak, jika dia membaca Bismillah, selain mereka mendapat pahala sunat dan menghormati mazhab selain mazhab mereka, ia juga menyelamatkan orang lain dari terbatal sembahyang.
Al Fatihah ada tujuh ayat. Mengapa 7 ? Ini ada hikmahnya .
Bukankah saya sudah kata tadi, intipati Al Quran yang 30 juz itu ada di dalam Al Fatihah. Katalah ada seorang pakar, yang Tuhan berikan dia ilmu. Katalah dia tidak membaca seluruh Al Quran tetapi dia berkata,
“Mari kita huraikan Al Fatihah.”
Mungkin dia akan syarahkan selama satu tahun kerana ibarat hendak menggali lombong, takkan memakai cangkul ? Hendak mengeluarkan emas Al Quran !!
Selepas setahun dia memberi kuliah, maka bila kita lihat Al Quran, maka akan didapati apa yang disyarahkan dari huraian Al Fatihah itu akan sama dengan seluruh isi Al Quran. Tetapi tidak pernah ada orang yang hendak berbuat kerana tidak ada yang pakar.
Mengapa Al Fatihah ada 7 ayat ?
Ini ada hikmahnya yang besar.
Ia ada hubungan dengan manusia dan dengan segala ciptaan Tuhan, secara isyarat.
1. Tujuh Ayat menggambarkan 7 hari dalam seminggu. Dalam 7 hari itulah manusia hendak menjadi jahat atau baik. Hendak mendapat rahmat atau mendapat laknat. Hendak bahagia atau celaka. Hendak menjadi kafir atau mukmin. Hendak kaya atau susah. Hendak sakit atau sihat. Ertinya dalam masa seminggu, kalau Al Quran yang intipatinya ada dalam Al Fatihah itu berperanan, maka dalam seminggu itu dia boleh selamat. Kalau Fatihah tidak berperanan dalam seminggu, maka akan kena laknatlah dia. Huru hara dan celaka.
2. Begitu juga dalam seminggu itu sama ada manusia hendak menjadi baik atau buruk, ditentukan oleh anggota yang tujuh. Sebab itu, selain solat adalah rukun Islam yang kedua, di dalam sembahyang itulah segala anggota 7 itu digunakan Kalau agama lain, bila menyembah Tuhan, tidak melibatkan semua anggota. Dalam Islam, semua anggota terlibat untuk tunduk dan patuh. Kegunaan kepala bermacam-macam jenis. Tangan itu berapa banyak peranannya. Boleh buat baik atau jahat, boleh membunuh orang, boleh selamatkan atau celakakan orang. Begitu juga kedua lutut dan dua kaki. Dalam sembahyang inilah anggota-anggota sujud.
7 anggota penting manusia terlibat dalam solat. Sebab itu dalam doa iftitah kita sebut, “hidup matiku adalah untuk Allah.” Ertinya semua anggota yang penting dalam kita ini sudah ikrarkan bahawa kita serah pada Allah. Apa yang disebut oleh bacaan melibatkan juga anggota dalam perbuatan. Itu kalau kita sedari dan hayati.
3. Al Fatihah ini ada 7 ayat. Kalau intipati Quran dapat dihayati atau tidak dapat dihayati, itu yang akan menentukan nasib dia nanti sama ada neraka yang 7 atau syurga yang 7. Semua ditentukan oleh intipati Al Fatihah. Kalau Al Fatihah berperanan dalam hidup, dia akan dapat salah satu dari 7 peringkat syurga. Kalau tidak dapat dihayati dan tidak dapat dijadikan amalan hidup, dia akan masuk salah satu dari 7 peringkat neraka.
4. Tujuh ayat itu juga menggambarkan di dunia ini ada 7 lapis langit dan 7 lapis bumi. Dilangit ada bermacam-macam makhluk Tuhan yang ada hubungan dengan kehidupan manusia. Demikian juga dengan 7 lapis bumi yang ada hubungan dengan kehidupan manusia. Ramai ahli-ahli Sains yang membuat kajian, sudah mengesahkannya tetapi setakat yang lahir-lahir sahaja. Sebenarnya ia bukan berhubungan dengan yang lahir sahaja. Manusia bukan hanya berhubung dengan matahari, bulan dan bintang sahaja.
Tidak juga hanya berhubungan dengan isi bumi, lautan, hutan, binatang, tanaman dan seumpamanya.
Bahkan manusia juga berhubung rapat dengan makhluk yang ghaib seperti malaikat. Malaikat juga menentukan hidup manusia. Kenapa ? Sebab ia juga tumpang mendoakan manusia kepada Tuhan dan ia juga boleh tumpang melaknat manusia. Tetapi yang ini ahli Sains tidak dapat kesan. Yang ghaib tidak dapat dikesan. Mereka hanya mampu mengesan yang lahir sahaja seperti hubungan matahari dengan manusia, hubungan bulan, pasang surut air laut, bintang-bintang dengan kehidupan manusia. Tentang malaikat, mereka tidak tahu. Padahal malaikat ikut campur tangan dalam menentukan keselamatan manusia. Mereka juga mendoakan dan memberi berkat dengan izin Tuhan. Mereka juga melaknat manusia dengan izin Tuhan kerana kedurhakaan manusia. Yang ini ahli rohani sahaja yang boleh kesan tetapi Saintis tidak boleh.
Jadi 7 langit dan 7 bumi ada hubungan dengan manusia sama ada bersifat dunia atau akhirat. Jin-jin juga ada hubungan dengan hidup manusia. Ini tidak dapat dikesan oleh ahli Sains, tetapi boleh dikesan oleh ahli-ahli rohani. Apa maksud jin-jin juga terlibat ? Jin itu hidupnya ditumpangkan dengan manusia. Dia bergaul dengan manusia. Sebab itu, bahasa manusia itulah bahasa jin. Kalau di Malaysia menggunakan bahasa Melayu, jin pun bercakap bahasa Melayu. Di Indonesia, jin bercakap bahasa Indonesia. Kalau di Malaysia ada jin yang berbahasa Indonesia, ertinya jin itu dari Indonesia. Jin di Arab berbahasa Arab. Jadi jin menumpang bahasa manusia supaya nampaklah manusia itu lebih mulia dari jin. Jin belajar menumpang dengan manusia.
Begitu juga soal makan. Kalau jin kafir, mereka makan tulang-tulang binatang yang disembelih oleh orang kafir. Begitu juga jin Islam, mereka menumpang makan tulang tulang binatang yang disembelih oleh orang Islam. Sebab itu hati-hati bila membuang tulang. Biarlah pada tempatnya. Kalau bersepah-sepah , jin makan, jin terlanggar anak kita, jadi masalah. Jadi Al Fatihah yang ada 7 ayat ini sangat berhubungan dengan kehidupan.
5) Yang terpenting dari itu, 7 ayat ini kalau kita jadikan panduan, ia boleh mendidik nafsu kita yang 7. Semakin kita hayati, semakin kita dapat mendidik diri dan nafsu kita. Isi Al Quran itu terkandung di dalam Al Fatihah. Kalau dihayati, nafsu boleh menjadi baik sebab nafsu itu yang menentukan celaka atau bahagia, patuh atau tidak patuhnya kita pada Tuhan.
Paling-paling lemah, Al Fatihah atau isi Al Quran dapat mendidik nafsu sampai ke peringkat Mulhamah. Itu pun sudah agak OK. Itu ertinya nafsu orang soleh. Kalau mutmainah, itu nafsu yang sudah istiqamah, sudah tetap. Kalau mulhamah masih lagi goyang. Tidak mantap lagi. Nafsu ada 7 dan ayat ini ada 7 itu bukan kebetulan.
Jadi di sini kita sudah nampak kebesaran Al Fatihah padahal baru bercakap mengenai kulitnya. Baru muqaddimah sahaja. Baru di pintu Fatihah. Belum masuk lagi ke dalam tetapi sudah nampak besar isinya. Sebab itu saya lebih suka mengatakan Al Fatihah itu surah untuk mendapat kemenangan daripada dikatakan ia pembukaan Al Quran. Kalau ulama mahsyurkan, dikatakan Al Fatihah itu surah pembukaan kerana diletak di depan Al Quran, itu pun tidak salah. Tetapi bagi saya elok dimahsyurkan yang kedua, yakni surah kemenangan sebab pengertiannya lebih luas. Kerana ia merangkumi semua kehidupan langit dan bumi, yang ghaib dan rohani seperti syurga, neraka, nafsu dan lain-lain.
Bila disebut Surah Fatihah, bagi orang yang ada ilmu, tergambarlah rangka Fatihah secara umum. Kalau dikatakan Al Fatihah hanya pembukaan Al Quran, bukan salah tetapi itu hanya kecil dan sedikit sangat. Tetapi bila disebut Al Fatihah itu surah kemenangan, itu adalah intipati atau ibu. Baru muqaddimah pun sudah nampak besarnya. Maha BesarNya Tuhan. Cuba lihat, Allah gunakan ism fiil, ‘yang telah mendapat kemenangan’. Lebih baik makna ini kita mahsyurkan kerana Surah Fatihah itu menentukan seseorang itu akan menang atau tidak.
2. Kuliah Al Fatihah : Muqaddimah II - [Tujuh Ayat]
Bismillahirrahmanirrahim.
Anak-anak yang dikasihi sekelian,
Alhamdulillah, kita teruskan program kita. Moga-moga Allah beri kita ilmu untuk jadi panduan, bagi menyelesaikan berbagai-bagai masalah. Moga-moga hati kita ini jadi wadah yang boleh menerima ilmu-ilmu.
Soalan : Benarkah Bismillah sebagai ayat pertama Fatihah itu ikhtilaf ?
Jawapan saya, itu bukan ikhtilaf. Bismillah itu sangat besar maksudnya, tidak boleh dikatakan ikhtilaf. Kalau kita mengaji ilmu tafsir, tujuh ayat dalam Al Fatihah itu dirangkapkan 2-2. Seperti bentuk sajak. Hujungnya disamakan,mim dengan nun, akhirnya dipasang-pasangkan.
Tujuh ayat Fatihah itu jangan kita anggap sebagai kebetulan.Agar hidup ini dipandang berat dan supaya tidak disia-siakan, janganlah kita anggap semua itu kebetulan. Tawaf, perjalanan antara Safa dan Marwah juga 7 kali.Semua hal-hal yang berhubungkait dengan manusia, Tuhan ciptakan dengan bilangan tujuh. Maha Suci Tuhan yang mentakdirkan Al Quran yang mempunyai 6,666 ayat, diringkaskan kepada 7 ayat yang menjadi satu matan. Yang mana Allah menetapkan bahawa 7 ayat itu sama dengan 6,666 ayat Al Quran. Maha Hebat Allah. Mengapa Allah berbuat begitu adalah diluar kemampuan kita untuk memahaminya.
Apa istimewanya angka 7 itu ?
Cuba kita fokus kepada 7 ciptaan lain yang mana ia bukan merupakan huruf atau ayat tetapi bersifat maddi atau maknawi...ada 7 anggota badan, 7 langit, 7 syurga, 7 neraka, 7 hari dan 7 nafsu.
Hari juga diciptakan 7, tidak 8 atau 9. Mengapa tujuh ? Allah yang Maha Tahu rahsianya. Itu manusia tidak boleh menjawabnya. Allah juga memilih untuk membuat anggota badan itu tujuh. Semua ciptaan-ciptaan yang berkait rapat dengan pengendalian hidup manusia, Tuhan samakan dengan Al Fatihah, ummul Kitab ini.
Cuba kita lihat nafsu yang ada 7 peringkat. Manusia akan bermula dengan paling jahat kepada paling baik kalau dia benar-benar mengendalikan nafsunya.Kalaulah manusia menghabiskan banyak masanya untuk study dan praktikan berkaitan nafsu, manusia akan mampu membawa dirinya dari tahap ke tahap. Dia akan pernah menjadi seorang yang bernafsu amarrah, pernah mencapai tahap nafsu lauwamah, mulhamah, mutmainnah, radhiah dan paling tinggi akan sampai ke mardhiah. Namun ada di kalangan manusia yang mampu sampai ke nafsu kamilah yakni nafsu yang paling atas. Manusia biasa boleh menjangkau sampai mardhiah kalau dia sangat berusaha mengendalikan nafsunya.
Setakat kita ini jika mencapai tahap mulhamah pun sudah OK, kalau boleh pergi sampai ke mutmainnah, itulah yang terbaik untuk kita. Bagaimana untuk kita mengendalikan nafsu kita supaya sampai jadi taraf malaikat, itu semua mesti dirujuk kepada Al Quran. Tidak boleh dirujuk kepada ilmu jenis lain. Siapa yang boleh menguasai Al Quran sepenuhnya dan mempraktikkan Al Quran terhadap nafsunya, maka dia akan dapat merasai bagaimana dia merangkak dari satu tahap ke satu tahap.
Hebatnya Allah kerana menciptakan dalam diri manusia, satu nafsu yang tidak boleh dilihat tetapi sangat berperanan. Kalau manusia mahu, dia boleh mentadbir nafsunya. Tetapi untuk itu mesti dirujuk kepada Al Quran. Ayat Al Quran terlalu banyak namun Allah yang Maha Bijak telah meminta kita tumpukan kepada tujuh ayat sahaja. Kalau kita boleh mengambil tujuh ayat ini untuk kita menguasai segala kekuatan yang ada di dalamnya maka dengan cara itulah sahaja kita boleh mengendalikan nafsu kita. Yang sebenarnya kalau kita boleh menguasai 7 ayat itu, kita boleh sampai ke peringkat ke tujuh nafsu kita yang mana nafsu itu kita boleh tadbir dan kuasai. Nabi-nabi boleh berbuat hingga sampai peringkat ke tujuh itu. Rasulullah SAW boleh tetapi setakat kita yang hari ini makna Fatihah pun belum boleh faham, rasanya tidak sempat untuk kita sampai ke peringkat itu. Jika dapat peringkat mulhamah pun sudah cukup.
Allah menciptakan nafsu itu tujuh peringkat, tahu untuk memadankannya dengan 7 ayat dari surah Al Fatihah itu. Allah menetapkan, kekuatan 7 ayat Al Fatihah itu boleh mengendalikan 7 peringkat nafsu itu walaupun sifatnya tidak sama. Maha Besar Tuhan yang mampu mencipta 7 ayat yang dengan kekuatannya mampu berhadapan dengan 7 peringkat nafsu. Saintis pun tidak pernah boleh mengesan kehadiran nafsu itu tetapi Allah wujudkan nafsu itu 7 peringkat. Kita lihat keajaiban ciptaan Tuhan merangkumi kekuatan 6,666 ayat itu ke dalam 7 ayat sahaja yang mana ia boleh dipakai untuk mengendalikan 7 peringkat nafsu. Ia bukan kebetulan.
Seseorang yang dhaif dalam memahami 7 ayat ini maka dia akan dhaif dalam mengendalikan 7 tahap nafsu itu. Allah menciptakan 7 ayat untuk menghadapi 7 neraka. Kalau kita jahat, kita tolak terus falsafah ini, maka neraka paling bawahlah, yang paling dahsyatlah yang akan dihadapinya.
Sayangnya Universiti-universiti tidak menetapkan ini untuk dikuasai. Hari ini orang hanya belajar bagaimana untuk menguasai lombong bijih dan minyak. Mereka tidak fikir untuk menggali lombong Al Fatihah, satu kekuatan untuk mendapat syurga atau neraka. Manusia akan masuk neraka mengikut kadar dia melihat Al Fatihah itu. Seorang yang inginkan syurga Allah maka kuasailah Fatihah itu.
Menyentuh tentang hari yang 7 pula, rupanya Allah jadikan hari-hari itu tidak sama. Seorang boleh menguasai harinya dengan baik apabila dia menguasai kekuatan Fatihah.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan