Isnin, 27 Februari 2012
Tuhan matlamat kita
Hidup ini matlamatnya adalah Tuhan. Tuhan itu untuk dibesarkan, disanjung dan dicintai. Untuk mendapatkan perasaan itu, Tuhan beri jalan dan tunjukkan cara supaya dapat melahirkan perasaan-perasaan itu ; ada yang berbentuk ibadah asas, sunat dan umum.
Yang asas iaitu melalui ibadah yang fardhu seperti solat, zakat, haji dan lain-lain. Semoga kita dapat melahirkan perasaan tadi iaitu rasa kebesaran Tuhan dan rasa hendak puji Tuhan melalui ibadah yang asas. Kalau yang fardhu tidak cukup untuk lahirkan perasaan bertuhan itu, ia boleh dilakukan melalui perkara-perkara sunat. Ibadah yang fardhu tidak boleh di ubah mengikut kehendak kita. Ia adalah ibadah yang tetap dan wajib dilaksanakan. Ia tidak boleh di ditambah. Orang tidak rasa puas melahirkan rasa kehambaan dan rasa bertuhan itu melalui ibadah fardhu bolehlah ditambah dengan yang sunat.
Tuhan tahu ada orang yang hatinya asyik dengan Tuhan, sentiasa ingat kepada Tuhan. Jika dapat, hendaklah selalu bersama Tuhan. Ibadah yang fardhu tidak boleh ditambah bilangannya iaitu lima waktu sehari semalam. Kita tidak boleh solat fardhu 30 waktu semata-mata kerana ingin mendampingi Tuhan. Tidak boleh mengubah-ubah bagi yang fardhu. Perbanyakkanlah yang sunat bagi orang tidak merasa cukup untuk melahirkan perasaan kehambaannya dalam ibadah fardhu. Ia adalah ruang tambahan untuk melahirkan rasa hamba, cinta, takut dan lain-lain. Bagi orang yang ibadah fardhu pun sudah mengasyikkan jangan tambah fardhu tetapi tambah yang sunat. Begitulah yang fardhu dan sunat terbatas.
Selain dari fardhu dan sunat, ada ruang lain untuk yang mubah seperti makan, rehat, kerja dan lain-lain. ini jika tidak digunakan untuk mendekatkan diri kepada Tuhan, Allah masih memberi rukhsah atau pilihan kepada hamba-Nya samada hendak dilakukan atau tidak. Allah maafkan jika tidak digunakan perkara yang harus untuk mendekatkan diri kepada Tuhan.
Sebaik-baiknya ruang-ruang ibadah yang harus juga digunakan untuk mendekatkan diri kepada Tuhan. Cuma jangan digantikan dengan yang haram. Oleh itu selama 24 jam kita dalam beribadah kepada Tuhan. Itulah rahmat Tuhan agar hamba-Nya tidak berdosa. Allah telah menyediakan garis panduan dan peringatan. Terpulang kepada kita samada untuk melaksanakan atau tidak. Baiknya Tuhan kita….!
Di sini kita faham yang fardhu, yang sunat, yang mubah, semuanya dengan tujuan untuk taqarrub (mendekatkan diri) dengan Tuhan. Kalau mampu sehingga dapat merasakan kasih, takut, mabuk dengan Tuhan. Kalau hal2 itu tidak dapat datangkan perasaan-perasaan tadi, ibadah kita tiada bernilai di sisi Allah SWT.
Solat,puasa, naik haji jadi debu, solat pun jadi debu sebab matlamat tidak sampai. Ibadah tidak sampai dapat melahirkan rasa kehambaan dan rasa bertuhan.
Banyak orang yang faham tentang agama,tapi mreka tinggalkan Tuhan. Ketika solat pun manusia tinggalkan Tuhan. Lagilah, semasa cari makan, manusia mudah putus hubungan dengan Tuhan. Orang sudah tidak faham peranan ibadah itu untuk melahirkan rasa kehambaan dan rasa bertuhan.
Sebab itu solat banyak sekalipun tidak memberi kesan. Perangai tetap tidak berubah walaupun sudah banyak kali pergi umrah. Tuhan tidak menilai kepada banyak atau sedikit tetapi Tuhan menilai kesannya. Tuhan tidak menilai amalan lahir tetapi Tuhan melihat apa yang ada dalam hati kita.
Ertinya, amalan lahir itu dapatkah melahirkan rasa cinta dengan Tuhan, rindu dengan Tuhan, rasa Tuhan itu hebat, terasa malu dan takut dengan Tuhan?
Kalau rasa-rasa atau matlamat ibadah itu kita dapat, buat yang fardhu pun sudah memadai.
Ertinya kalau kita tidak tahu peranan ibadah yang sebenar,
jika kita ibadah pun dalam keadaan lalai.
Jika tidak ibadah lebih-lebihlah lagi hati kita lalai dengan Tuhan.
Ini adalah fitrah hati yang suka bergantung, memuja dan memuji satu kuasa yang luarbiasa iaitu fitrah bertuhan. Hati manusia akan mudah tersentuh bila diceritakan bab ketuhanan.
Di zaman Khalifah Umar Ibnu Aziz, beliau telah Allah berikan peluang memerintah selama dua tahun. Selama pemerintahannya itulah juga beliau dikatakan oleh isterinya bahwa beliau tidak dapat melaksanakan ibadah yang banyak seperti khalifah-khalifah yang lain. Ini memanglah munasabah kerana seorang pemerintah mempunyai masa yang sangat terbatas di antara tanggungjawab dan bertaqqarub (mendekatkan diri) dengan Tuhan.
Walaupun ibadahnya sedikit, Khalifah Umar Abdul Aziz ini mempunyai satu perasaan takutkan Tuhan bila hendak tidur. Beliau akan menggelupur takutkan Tuhan walaupun isteri ada di sebelah. Itulah kesan ibadah beliau yang sedikit.
Hatinya sentiasa rasa malu dan takut dengan Tuhan. Hatinya sentiasa ingat Tuhan. Selama dua tahun zaman pemerintahannya, selama itulah beliau tidak pernah bersama dengan isterinya, Fatimah.
Orang yang banyak amalan sedangkan hatinya tidak terasa takut dengan Tuhan, kesalahan itu adalah berat kerana tidak terasa berdosa. Kalau kita mencuri terasa berdosa sebab kesalahan itu boleh dinilai secara lahir. Orang yang beribadah kerana fadhilat, tidak akan dapat rasa dirinya hamba. Bahkan mungkin ia rasa layak untuk menerima ganjaran fadhilat itu. Fadhilat itu tujuannya hendak melahirkan rasa hamba. Benda yang halus dan tersirat ini sangat bahaya.
Kalau hendak dinilai ibadah kita, itupun belum dapat menebus nikmat sebelah biji mata yang Tuhan berikan.
Berbuatlah kerana Tuhan. Apa saja yang kita buat samada menuntut ilmu, mengajar, berdakwah, berjuang, bertemu dan berbincang, biarlah kerana Tuhan. Selama ini apa saja yang kita lakukan tidak kerana Tuhan. Menuntut ilmu semata-mata kerana hendak pandai, hendak makan gaji, kalau tidak khatam Quran tidak boleh sunat. Sikap inilah yang mesti dibetulkan.
Hidupkan semula apa yang diajar oleh Rasul. Semuanya kerana Tuhan. Sememanglah ianya sangat bertentangan dengan arus kehidupan manusia hari ini yang sangat condong ke arah keduniaan dan materialistik.
Orang dulu-dulu sangat menjaga hati agar tidak rusak dengan Tuhan. Kalau pakai baju, di dalam zuhud sementara pakaian luar sangat cantik untuk mengelakkan pujian orang atas kezuhudannya. Mereka lebih suka dikatakan sebagai orang yang berlalai dengan dunia dari pujian orang. Bimbang hatinya berbunga.
Belajar saja tentang ilmu kesufian ini tidak cukup kuat untuk kita beramal jika tanpa pimpinan Tuhan. Ilmu saja tidak boleh menjadikan hati menggelupur takut kepada Tuhan seperti Khalifah Umar Abdul Aziz.
Hati yang kenal Tuhan tidak akan tenang.
Walaupun kadang-kadang kita bergurau dengan manusia tetapi perasaan kenal Tuhan itu terpaksa disimpan-simpan. Bergurau itu hak manusia lain terhadap kita. Khalifah Umar Abdul Aziz tetap menjalankan tugas pemerintahan kerana ia hak rakyat. Dia bersikap normal seperti manusia lain. Perasaan kenal Tuhan itu ditahan-tahan sehingga di malam hari sewaktu bersendirian di samping isteri, baru dapat dilepaskan perasaan takutkan Tuhan itu sehingga menggelupur.
Kalau kita sedar hakikat ini macamana hati kita hendak tenang. Walaupun kadang-kadang kita bergurau sebab itu hak manusia tapi dalam hati orang tidak tahu kalau kita kenal Tuhan. Sebab itu kita cerita kisah Umar ibnu Aziz. Perasaannya mesti sampai peringkat begitu kerana dia sedang berhadapan dengan dunia, harta, perempuan, dan lain-lain.
Takut dengan Tuhan itulah baju kalis peluru untuk menangkis godaan dunia yang terlalu banyak. Sebagai pemimpin, pergi mana pun orang puji. Hati yang tidak kuat bergantung dengan Tuhan tidak akan boleh bertahan dan mudah kecundang serta berbunga. Rusaklah amalan.
Melihat perempuan saja adalah seperti satu tembakan kepada hati. Belum lagi berhadapan dengan godaan dunia yang lain. Kalau tidak ada baju kalis peluru yang tebal memang habis kecundang. Kita hendaklah takut pada Tuhan. Di waktu yang sama takut juga kepada isteri, pada harta, takut pada pakaian, kereta, takut pada jawatan kita, takut dengan pujian orang, takut tentang makan-minum, godaan anak dan isteri, kawan-kawan, waktu sihat, sakit dan senang kerana itu semua peluru dunia.
Kalau badan tidak kalis peluru iaitu memiliki pakaian taqwa, kalau 1000 peluru dunia yang menembak mustahil satu tidak tembus. Kalau kena satu peluru dunia saja pun sudah cukup untuk menyebabkan hati kita mati. Ini peluru maknawi yang tidak nampak. Sejauh manakah ketaqwaan kita kepada Tuhan ?
Setebal manakah rasa kehambaan yang berada di dalam jiwa kita ?
Sedalam manakah rasa bertuhan yang dimiliki oleh hati kita hingga boleh menjadi baju kalis peluru kepada peluru-peluru dunia yang bertaburan menembak sasarannya setiap waktu dan ketika ?
Keredhaan Tuhan itu penting. Buatlah apa saja asalkan mengharapkan keredhaan Tuhan. Kalau Tuhan redha yang lain tidak menjadi hal. Kita mesti buat sesuatu sehingga redha Tuhan kita perolehi. Mesti ikhlaskan diri sehingga apa yang dibuat itu semuanya dalam redha Tuhan. Untuk mendapat redha Tuhan memang susah. Carilah rahmat Tuhan. Rahmat Tuhan terlalu luas dan ia tidak mengira samada amalan besar atau kecil. Harapkanlah kepada rahmat Tuhan. Lupakan segala amal kebaikan yang kita lakukan.
Itulah tanda keredhaan Tuhan. Bisikkan kepada Tuhan, Aku membuat semua ini kerana aku hendak rahmat Engkau saja, wahai Tuhan. Itulah hati orang yang mencari keredhaan Tuhan melalui rahmat-Nya. Sebab itu Rasulullah diutus sebagai pembawa rahmat ke seluruh alam.
Memberi salam ke kanan selepas sembahyang adalah untuk memohon redha Tuhan untuk ke syurga. Ini bererti amal ibadah kita tidak ada erti dan sebarang nilai. Kita masuk syurga bukan kerana amal ibadah tapi di atas tiket redha dan rahmat Tuhan. Mintalah keredhaan Tuhan daripada kemurkaan-Nya. Bila Tuhan murka bererti neraka. Yang penting Tuhan redha sebab itu pohonlah keredhaan Tuhan walaupun pada ibadah sunat. Ini sangat penting supaya kita rasa bukan kerana ibadah kita selamat, tapi kerana redha Tuhan. Kalau Tuhan redha bererti berdosa pun tidak apa. Kalau Tuhan tidak redha, tidak buat dosa pun jadi masalah.
Dalam Al Quran Tuhan ada berkata,
"Yang selamat ialah hamba-hamba Aku yang diikhlaskan oleh Tuhan."
Tuhan tidak kata, "Yang selamat ialah hamba-hamba Ku yang ikhlas."
Ikhlas itu adalah rahsia dan anugerah Tuhan. Tidak mampu hendak usahakan sendiri. Malaikat pun tidak tahu siapa yang ikhlas. Ikhlas itu ruh amal, jika tidak ikhlas tidak dikira beramallah. Kita tidak mampu hendak ikhlas kalau tidak diikhlaskan sendiri oleh Tuhan. Malaikat pun tidak tahu amalan yang dibawa itu ikhlas atau tidak. Hanya Tuhan saja yang tahu samada amalan itu ikhlas atau tidak.
Muaz kata dia pun takut kerana tidak ada jaminan untuk berlaku ikhlas lalu dia bertanya kepada Rasulullah. Rasulullah SAW bersabda,
"Akan mudah bila Allah mudahkan."
Ia ada kaitan dengan Tuhan, dengan rahmat dan kasih sayang Tuhan supaya seimbang dan kita tidak rasa putus asa.
Saluran rahmat itu banyak.
Rahmat itulah yang akan selamatkan kita. Sumber rahmat itu banyak sebab itu dikatakan orang masuk syurga dengan rahmat Tuhan. Jika atas dasar amalan hamba walaupun menggunung tidak mungkin selamat. Tuhan bagi jalan keluar dengan rahmatnya yang amat luas. Seorang hamba masuk syurga bukan kerana ibadah tetapi rahmat Tuhan.
Rahmat Tuhan itu beribu-ribu. Contohnya, kita buat dosa itukan bahaya. Tapi bila kita mengeluh dengan dosa, itu rahmat. Ertinya, Tuhan berkata jangan buat dosa. Itu tidak mungkin berlaku kerana kita sentiasa buat dosa. Tapi bila kita terbuat dosa, kemudian mengeluh tentang dosa, di situ ada rahmat Tuhan.
Contoh lain, makan dengan orang soleh dan ulama ul amilin itu rahmat. Tolong orang susah juga rahmat. Mungkin nanti dia doakan kita. Untuk atasi susahnya untuk mendapat amalan yang ikhlas dan keredhaan Tuhan itu, Tuhan bagi banyak jalan untuk mendapat rahmat Tuhan. Kita tolong orang berjuang sedangkan kita tidak mampu, di situ juga ada rahmat Tuhan. Banyakkan selawat itu rahmat sebab Rasulullah SAW akan syafaatkan walaupun tidak khusyuk. Oleh itu, rahmat Tuhan itu bermacam-macam bentuk.
Walaupun dosa yang kita buat berat, tetapi bila datang tetamu, semua dosa itu terhapus. Ia seolah-olah najis yang menggunung hendak dibasuh dengan segelas air. Tuhan beri rahmat-Nya.
Sebab itu mesti cari rahmat Tuhan. Zaman Rasulullah kalau rumah yang tidak pernah diziarahi tetamu, Rasulullah tidak mau masuk sebab rumah itu tidak ada rahmat Tuhan sebaliknya di dalam kutukan Tuhan.
Kita dimasukkan syurga atas dasar rahmat dan masuk neraka kerana keadilan Tuhan. Tetamu yang datang merupakan penghapusan dosa. Kalau kita hendak harapkan amal ibadah yang kita buat, tidak mampu hendak masuk syurga. Carilah rahmat Tuhan, walaupun perkara itu nampak kecil. Ada orang yang dimasukkan ke dalam syurga kerana memberi anjing minum air di padang pasir.
Orang yang sibuk bekerja tetapi tidak dapat buat perkara-perkara sunat seperti wirid zikir, kemudian susah hati pula, itu lebih baik daripada orang yang berwirid zikir tetapi tidak susah hati. Tuhan akan beri rahmat untuk orang yang tidak dapat wirid tetapi susah hati.
Orang yang amal ibadah banyak pun jika tidak ada rasa takut, itu lebih bahaya daripada yang kurang beribadah tetapi takut. Kadang-kadang tukang masak lebih selamat. Kalau Tuhan takdirkan kita boleh beribadah, boleh buat itu dan ini, apalah kita hendak bangga. Kita tetap hamba. Janganlah hendak berlagak sombong. Walaupun kita nampak megah tapi tidak ada apa yang hendak dibanggakan kerana kita hanya seorang hamba yang dhoif. Semuanya bergantung kepada kepada pemberian Tuhan.
Tafakkur adalah digalakkan kerana waktu itulah kita dekat dengan Tuhan. Kadang-kadang solat pun tidak mendekatkan hati kita dengan Tuhan. Waktu hendak tidur jika kita bertafakkur, hati lebih menggelupur takut dengan Tuhan dan lebih dekat dengan Tuhan daripada waktu bertahlil. Kadang-kadang waktu bertahlil pun hati tidak dekat dengan Tuhan.
Oleh itu, di mana ada ruang dan peluang untuk rebut rahmat Tuhan, berbuatlah sekalipun amalan itu hanya kecil pada nilaian zahir. Ini adalah kerana jika Allah ikhlas amalan kita yang kecil itu, di situlah padangan dan keredhaan untuk kita yang bakal menyelamatkan kita di akhirat kelak.
MEMILIKI TUHAN
Orang yang tidak merasa bangga bahawa Allah itu adalah Tuhannya
Dan tidak merasa lagi nikmat berTuhan
Memanglah hati telah mati, jiwanya telah buta
Bukankah malang sekali, Tuhan yang memiliki segala-galanya
Sudah tidak dimilikinya
Apalah ertinya memiliki yang dimiliki oleh Tuhan
Sedangkan Tuhan tidak dimilikinya
Padahal memiliki Tuhan ertinya memiliki segala-galanya
Memiliki Tuhan kita merasa kuat dan puas
Memiliki Tuhan ertinya kita mempunyai pelindung
Kita ada mempunyai kawan yang Maha Tinggi dan Maha Agung
Yang sangat menyayangi kita dan sangat setia
Memiliki Tuhan ertinya kita ada tempat rujuk
Ada tempat mengadu dan bertanya yang dibawa kemana-mana
Kita ada pembela yang akan menyelesaikan urusan kita
Memiliki Tuhan kita tidak sunyi dan sepi di waktu keseorangan
Mendapatkan Tuhan ertinya ada tempat bermanja
Tuhan hendak mencurahkan kasih dan sayang
Tempat mencurahkan rasa cinta
Mendapatkan Tuhan hilang rasa takut dengan makhluk
Sepatutnya kita bangga mendapat Tuhan
Kita rasa bahagia sepatutnya mempunyai Tuhan
Sepatutnya kita rasa mulia bahawa Allah itu adalah Tuhan kita
Ust. hj Ashaari Muhammad
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan