Isnin, 27 Februari 2012
TUHAN dan KASIH SAYANG KEPERLUAN SEBENAR MANUSIA
Wahai manusia, adanya kita ini di dunia ini hari ini, walhal sebelumnya kita pernah tidak ada disini, dan di satu hari pula nanti pasti kita tiada disini lagi, semuanya adalah ditentukan oleh dua faktor yang utama iaitu Tuhan dan Kasih Sayang. Tanpa kedua-duanya tidak mungkin kita ada, atau ada tapi sangat tidak sempurna. Hidup tapi tiada makna.
Mari kita mengkaji kebenaran kata-kata saya ini. Supaya kalau ia benar moga hidup kita selepas ini akan lebih bermakna lagi.
Mulanya seorang lelaki jatuh cinta dengan seorang wanita. Si wanita juga terjatuh hati padanya. Hatta kalau ditawarkan jejaka atau si dara lain pun, pasti ditolaknya kerana masing-masing sudah cukup terikat dengan cinta sesama.
Cuba anda tanyakan, bagaimana boleh terjadi hal yang menakjubkan itu ?
Perasaan-perasaan itu dapat diikat oleh kuasa siapa ? Dan kalau nanti ikatan perasaan itu putus, siapa perancangnya ? Dan kalaulah perasaan-perasaan pengikat antara teruna dara itu tidak pernah wujud, sebenarnya perkahwinan jadi tidak perlu. Kalaulah manusia tidak mahu berkahwin, lebih-lebih lagi mereka tidak akan beranak. Tiada anak ertinya kita pun tiadalah di maya pada ini.
Ertinya lahirnya kita kedunia ini adalah hasil perancangan seorang ‘tuan’ yang memasukkan rasa keinginan mendalam lelaki kepada wanita dan sebaliknya. Bila Dia mencabut perasaan-perasaan itu bercerai-berailah dua manusia tadi. Marilah kita namakan Tuan kita itu yang kuasanya tanpa limit itu sebagai Tuhan. Memang Dia pun cakap bahawa Dialah Tuhan Pencipta Yang Agung itu.
Logikkah kalau ada orang yang mengatakan Tuhan tidak ada?
Mana mungkin sesuatu itu mencipta dirinya sendiri
Baiklah, kalau Tuhanlah perancang yang Maha Hebat itu, apakah Dia tidak penting dalam hidup kita ? Apa ada yang lebih penting dari Dia ?
Sampai-sampai Dia tidak difikirkan dan tidak dipedulikan pun?
Lihat! Tuhan melakukan ciptaanNya lagi dengan lahirnya anak satu demi satu dari sepasang lelaki dan wanita tadi. Yang ajaibnya, antara si anak terbina ikatan oleh perasaan kasihkan saudaranya yang tumbuh dalam dada masing-masing. Siapa tumbuhkan pokok rohaniah yang mata tak mampu melihatnya itu? Bagaimana kalau pokok-pokok itu tidak mahu tumbuh?
Tapi watak perasaan ini boleh berubah rupanya. Dia tidak selamanya subur. Kasih sayang boleh musnah oleh rasa-rasa kepentingan yang cukup kuat mencengkam di hati-hati saudara-mara tadi bilamana masing-masing dewasa dan terjun dalam dunia masing-masing.
Berpecah-belahlah insan-insan yang tadinya disatukan oleh kasih fitrah dari rahim seorang ibu dan ayah. Kepentingan dunia dilihat menjadi sebab perpecahan manusia. Kasih fitrah tidak mampu bertahan apalagi kasih-kasih buatan oleh jasa, kroni, parti dan persatuan. Hari ini mereka berbaik-baik, hari esok boleh mereka bermusuhan!
Sedangkan manusia bukannya bahagia dengan perpecahan dan permusuhan. Tanpa kasih sayang suami isteri bercerai-berai, kecewa, putus asa dan menderita, anak-anak sakit jiwa. Sakit-sakit jantung, darah tinggi itu sesungguhnya berpunca dari tekanan-tekanan hidup akibat pergaduhan, kebencian dan kemarahan di kalangan manusia.
Bukankah peperangan-peperangan yang sedang melanda dunia ini hanya berpunca dari hilangnya kasih saying ?
Perang keluarga terjadi bilamana masing-masing tak boleh mengawal perasaan benci-membenci. Peperangan di tempat-tempat kerja terjadi bilamana masing-masing tidak mampu membendung hasad dengki. Peperangan di antara kelompok terjadi akibat masing-masing tidak sanggup tercabar. Peperangan antara etnik terjadi kerana rebutan pengaruh. Peperangan antara negara-negara kerana kepentingan-kepentingan duniawi yang nak dipertahankan!
Mana ada satu peperangan yang berlaku di dunia ini akibat dari manusia saling berkasih sayang dan inginkan kebaikan ?
Rumahtangga yang aman damai sampai ke anak cucu itu kelihatan berlaku di kalangan orang-orang yang mampu berkasih sayang sekalipun dalam ujian kepahitan. Negara-negara yang aman dari perang itu juga kelihatan di sebabkan faktor mengutamakan kasih sayang. Sebenarnya dan sesungguhnya dunia sedang amat memerlukan kasih sayang untuk selesaikan peperangan. Tapi bagaimana ?
Biar saya pecahkan persoalan ini, dengan formula-formula yang saya temukan dalam pertanyaan-pertanyaan panjang saya kepada Tuhan. Hanya Tuhan saja Kuasa Yang Maha Tahu dimanakah dunia harus memulakan perjalanan keluar dari masaalah yang cukup kronik ini!
Saudara,
Kita pun sudah tahu bahawa tangan yang memberi dan mencabut kasih sayang ialah Tuhan. Mengapa Dia memberi dan mengapa Dia mengambil kembali. Rasanya kita boleh agak jawapannya. Macam kita memberi rumah pada anak kita. Mengapa kita ambil kembali rumah itu ?
Tentu kerana anak cukup derhaka, biadap dan menyalahguna ! Tindakan itu kan cukup bijak kalau kita sayangkan anak. Tentu dia akan betulkan kesilapannya untuk dapatkan kembali rumah itu.
Maka sesungguhnya wahai manusia, langkah pertama untuk keluar dari dunia neraka ini ialah Cari Tuhan. Tuhan yang sedang mentadbir matahari dan bulan dan yang sedang mengambil berat tentang batang tubuh kita ini. Dia yang sudah sekian lama kita tidak pedulikan. Kerana menganggap kita sudah cukup tidak perlukan Tuhan. Sampai-sampai ada yang konon tidak percayakan Tuhan. Tidak yakin dengan Tuhan. Kederhakaan dan kebiadapan itu membuatkan kasih sayang tercabut dari suami isteri, murid dan guru, pemimpin dan rakyat. Kasih sayang tidak sanggup berada dalam diri-diri orang yang bodoh sombong dengan Tuhan Penciptanya. Lalu isilah kekosongan jiwa dengan derita, gelisah, kecewa dan putus asa.
Tapi aneh manusia intelek yang menderita ini terus menerus berjuang dengan lantang untuk membangunkan ekonomi, politik, teknologi dan pembangunan ummah. Seolah-olah dia berkata, ekonomilah, politiklah, ICTlah dan pembangunanlah yang akan mengubat penderitaan dan kekecewaan !
Sedangkan kesibukannya memperjuangkan itu semualah menyebabkan porak perandanya rumah tangganya, anak-anak, cucunya dan kroninya dan etniknya dan bangsanya !
Nyata sekali golongan ini sedang berpura-pura, berlakon menyembunyikan realitinya hidup dan perjuangannya!
Sebenarnya mereka tidak temui Tuhan, sebagai formula dan keutamaan untuk menyelesaikan seluruh masaalah yang sedang mereka tanggung !
Ya, Tuhan pun tidak memilih mereka untuk tujuan itu, kerana mereka langsung tidak mahu bertanya kepadaNya. Mereka hanya bertuhankan akal dan nafsu semata-mata.
"Wahai Tuhan, Maha Guru, Tempat Rujuk dan Pakar Pencipta dan Penyelesai masalah, kasih sayang yang tercabut dari hati-hati manusia itu, kembalikanlah. Bayaran yang kami akan buat untuk permintaan ini dan pemberianMu nanti mahal sekali. Iaitu kami janjikan untuk mencintaiMu sepenuh hati, menyebutMu selalu, promosi dan perjuangkanMu di mana-mana. Dan kasih sayang yang kami dapatkan semula ini, akan kami jaga dan perjuangkan sungguh-sungguh Tuhan. Agar dia tidak hilang lagi dari hati-hati kami. Agar kami tidak menderita seteruk ini lagi !!!
Amin."
Terima kasih Tuhan.
ENGKAU TIDAK LIHATKAH KASIH SAYANG TUHAN ?
ENGKAU tidak lihatkah bagaimana kasih sayang Tuhan?
Engkau tidak sedarkah rahmat Tuhan ke atas dirimu?
Engkau boleh hidup kerana engkau boleh
menarik nafas turun naik
Oksigen Tuhan yang diizinkan kepadamu
Engkau ada lidah boleh merasa makanan dengan lazat
Setiap hari engkau gunakan untuk bercakap
Itu kasih sayang Tuhanlah kepadamu!
Mengapa engkau tidak terasa kasih sayang-Nya
kepada engkau?
Di waktu engkau letih perlu rehat, ditidurkan-Nya engkau
Hingga pulih semula kesegaran badanmu
Engkau mendapat semula kekuatan badan untuk bekerja
Bukankah itu kasih sayang Tuhan kepada engkau?
Di waktu ingin berhibur, engkau diberi isteri atau suami
Engkau boleh menghilangkan tension
dan ketegangan fikiranmu
Boleh bertolong bantu satu sama lain,
meringankan kerja-kerjamu
Engkau tidak terasa lagikah
itu adalah kasih sayang Tuhanmu?
Engkau diberi mata boleh melihat berbagai-bagai benda
Hingga engkau boleh menilai apa yang engkau lihat
Setengah yang engkau lihat boleh menghiburkan engkau
Apakah itu bukan kasih sayang Tuhan kepadamu ?
Sekali-sekala engkau disakitkan
Adakalanya engkau dimiskinkan
Agar engkau sedar engkau hamba yang tidak ada kuasa
Engkau rasa tidak menyenangkan
dan hilang kesabaran engkau
Sedikit sahaja nikmat engkau diambil, engkau gaduh
Sedangkan nikmat-nikmat yang disebut tadi
Lebih besar dari yang diambil
Engkau tidak terasa yang engkau masih beruntung
Engkau terasa yang tidak ada
Yang ada pada engkau begitu banyak engkau lupakan
Sepatutnya engkau berterima kasih kepada Tuhan
Kerana nikmat yang masih ada terlalu banyaknya
Patut engkau malu kepada Tuhan
Kerana yang hilang itu terlalu sedikit
Dibandingkan yang masih ada
Engkau ini betullah manusia yang tidak ada hati perut
Tuhan memberi kasih sayang kepada engkau
setiap masa engkau tidak terasa ?
Ust Hj Ashaari Muhammad
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
salam,
BalasPadamsesungguhnya sangat berat semua yang diperkatakan di dalam blog ini,setiap kata2,yang pertama ditanya adalah yang memperkatakannya,mudah2an diberi kekuatan untuk melakukan seperti yang telah diperkatakan...kerana ayat penyampai sebenarnya adalah untuk si penyampai itu terlebih dahulu...
wallahualam...
salam perkenalan dari kami...:)
BalasPadamterimakasih kerana mengingatkan saya memang beratpun tak mampu nak amal lagi
BalasPadamsalam perkenalan juga dr saya maaf lambat menjawab komen byk kerja dunia nak dibuat