Sabtu, 8 Oktober 2011

TIDAK mengapa kalau kakimu sakit, Asalkan hatimu tidak sakit


TIDAK mengapa kalau kakimu sakit, Asalkan hatimu tidak sakit

Kepada semua yang sentiasa
mendoakan aku maka inilah ucapan terima kasihku

ANDAIKATA satu dari anggota-anggotamu
tidak lagi dapat digunakan,
engkau masih wajib bersyukur pada Tuhan
kerana masih ada 1001 jenis
anggota lagi yang ada pada dirimu
yang masih boleh digunakan.

TIDAK mengapa kalau kakimu sakit,
Asalkan hatimu tidak sakit.
kerana kalau kakimu sakit,
engkau hanya tidak dapat berjalan,
tapi kalau hatimu sakit,
engkau akan hilang kebahagiaan.

DUA bulan aku terlantar sakit,
rupanya Tuhanku mahu aku belajar
terutamanya mengenal diri sendiri

DALAM buku ini adalah sebahagian dari pelajaran
yang kuperolehi semasa aku terlantar sakit akibat
kemalangan jalan raya.

RUPANYA begitu pendidikan Tuhan
yang Maha Hakim lagi Rahim,
di dalam bala ada rahmat.

Allahyarham Ust. hj Ashaari Muhammad

Nota
Link download

1. buku mengenal diri melalui rasa hati
http://ebooks.abuya.net/04_mengenal_diri_melalui_rasa_hati.pdf

2. Pendidikan Rapat Dengan Rohaniah Manusia
http://ebooks.abuya.net/16_pendidikan_rapat_dengan_rohani_manusia.pdf


Susahnya Mengenal Diri

Orang lain susah mengenal diri kita
Sepertimana kita juga susah mengenal diri orang lain

Lebih-lebih lagi orang itu atau kita tidak selalu bergaul dari dekat
Bahkan kalau selalu bergaul seseorang itu dengan seseorang yang lain pun
Sesetengah orang payah mengenal orang yang digaulinya
Sekiranya ilmu seseorang cetek terutama cetek di bidang ilmu kerohanian
Ilmu tentang hati dan nafsu berdasarkan syariat Islam
Bukan sekadar itu, ada manusia yang dia tidak kenal hakikat diri sendiri
Apakah dia orang baik atau orang jahat

Di sini saya ingin memaparkan kepada pembaca beberapa soalan atau pertanyaan
Kemudian kita ukur dengan diri kita sendiri
Dengan menilai hati, nafsu dan akal kita
Nanti kita sendiri akan sedar dan dapat jawapan siapa sebenarnya diri kita
Kita sendiri boleh menghukum diri kita
Kita boleh menentukan kita ini ...?

Apakah kita hamba Allah yang telah dapat mengekalkan sifat kehambaan
Atau kita sebagai hamba telah memakai sifat ketuanan
Yang lebih parah lagi kita memakai sifat ketuhanan, waliyazubillah

Selepas ini nanti terpulanglah kepada kita
apakah kita sanggup mengubah sikap kita
Kepada seorang hamba yang dapat mengekalkan sifat kehambaan
yang kita ini memang hamba
Seperti rasa takut kepada Tuhan, hina, malu, lemah, harap, menyerah diri, kesal
Syukur, redha, rasa bersalah dan lain-lain lagi sifat kehambaan

8.22 pagi
25.2.97 (Selasa 17 Syawal 1417)
Allahyarham Ust. hj Ashaari Muhammad


Hatiku Selalu Terluka.

Hatiku selalu sahaja terluka
Darah rohaninya selalu sahaja mengalir basah
Sering sahaja lukanya belum sembuh, terluka lagi dan berdarah

Bagaimana hatiku luka berlaku
Aku akan ceritakan kepadamu wahai kawan-kawanku
Apabila mendapat kesusahan, hatiku resah gelisah, maka lukalah hatiku
Adakalanya di atas kelukaan berlaku pula lagi luka yang baru
Luka yang bertimpa-timpa kepada hatiku, sakitnya bertambah perit dan parah

Iaitu jika orang menghina aku hatiku sakit
Ia luka lagi apabila sekali-sekala orang memujiku
Hatiku berbunga, aku rasa aku luarbiasa
Darah rohaninya bertambah banyak, lukanya bertambah merebak

Di dalam kehidupanku sekali-sekala aku mendapat kejayaan
Aduh megah pula datang menyerang, luka hatiku bertambah parah
Menjadikan hatiku bertambah tidak tenang dan senang
Di dalam pergaulan aku lihat ada orang yang mendapat kesenangan dan kejayaan
Hasad dengkiku pun datang, hatiku meradang,
luka hatiku bertambah parah dan bernanah
Penyakit hatiku bertambah parah dan kronik
Hingga kehidupanku sentiasa gelisah

Apakah ada doktor kerohanian yang boleh mengubatinya?
Agar sebelum aku mati penyakit hatiku sembuh
Supaya di waktu itu Tuhan pun redha denganku
Kerana penyakit hatiku sudah pulih dan bersih
Maka selamatlah aku daripada kemurkaan dan Neraka-Nya

3.5.2004 – 1
Waktu Dhuha
Allahyarham Ust. hj Ashaari Muhammad


Curilah Hatiku Tuhan

Tuhan!
Hatiku ini adalah sesuatu yang sangat berharga di dalam diriku
Janganlah Engkau biarkan ia dicuri oleh syaitan dan nafsu

Adakalanya ia dicuri tanpa aku sedari
Lebih-lebih lagi jangan ia dicuri dari kesedaranku
Kalau Engkau yang mencuri secara sedar atau tidak, aku rela
Kerana ia adalah memang kepunyaan-Mu, berhaklah Engkau mengambilnya
Sama ada saya sedar atau tidak Engkau mengambilnya, itu adalah hak Engkau
Jangan sampai syaitan atau dunia atau benda murahan yang mencurinya,
aku akan jadi hambanya

Kalau Engkau yang mengambil hatiku, jadilah aku hamba-Mu
Memanglah ia adalah kepunyaan-Mu, tidak mengapa hatiku menjadi hamba-Mu,
itu kebahagiaanku

Hatiku itu ibarat barang yang pulang ke pangkuan-Nya, memang sepatutnya
Kalau syaitan dan nafsu yang mencuri atau dunia,
aku menjadi hamba yang tidak sepatutnya
Rebutlah segera hatiku Tuhan, agar ia tidak dicuri selain-Mu
Janganlah berlambat-lambat hatiku Engkau curi,
syaitan, nafsu dan dunia mengambil kesempatan
Jangan sampai hatiku Engkau serahkan kepada selain-Mu
Aku akan menderita menjadi hambanya
Lebih-lebih lagi aku akan terseksa di dalam Neraka

Hatiku ini sangat mahal wahai Tuhan
Kerana padanyalah aku dapat merasa yang aku ini hamba-Mu
Aku rela dan bahagia, rasa kehambaan itu kekal kepada-Mu
Aku akan rugi dan menderita, kalau rasa kehambaan itu dicuri oleh selain-Mu
Selamatkan hatiku Tuhan, segeralah selamatkan

27.1.2004 – 1
Menjelang Zuhur
Allahyarham Ust. hj Ashaari Muhammad

Tiada ulasan:

Catat Ulasan