Ahad, 23 Oktober 2011
MEMAHAMI KHUSUSIAT NABI SAW
Hukum Memuji Rasulullah Dan Batasannya ?
Terdapat suara-suara yang menimbulkan salah-faham dengan mendakwa bahawa puji-pujian terhadap Rasulullah SAW adalah suatu yang melampau dan terpesong daripada ajaran Islam. Antara sandaran utama golongan ini ialah sabda Rasulullah S.A.W:
“Janganlah kamu melampau-lampau memujiku sebagaimana kaum Nasrani melampau-lampau memuji Isa ibn Maryam.”
Sebahagian orang memahami sabda Nabi SAW di atas dengan makna melarang daripada memuji Baginda S.A.W. Mereka mengira perbuatan memuji Nabi SAW termasuk dalam perbuatan yang melampau dan sikap berlebihan yang tercela dalam agama, yang boleh mengakibatkan syirik.
Mereka juga beranggapan, bahawa orang yang memuji Nabi Muhammad SAW, mengangkat kedudukan Baginda SAW melebihi daripada manusia yang lain, menyanjungnya dan menyifatkan Baginda SAW dengan apa saja yang membezakannya daripada manusia yang lain, bererti telah melakukan bid’ah dalam perkara agama dan menyanggahi Sunnah Penghulu segala Rasul SAW.
Ini adalah pemahaman yang salah dan buruk serta menunjukkan kecetekan pandangan orang yang menilai hadis tersebut. Maksud sebenar hadis ialah Nabi Muhammad SAW melarang memujinya secara keterlaluan sebagaimana yang dilakukan oleh kaum Nasrani terhadap Nabi Isa AS yang mengatakan bahawa Nabi Isa AS itu adalah anak Allah.
Adapun, orang yang memuji Nabi SAW dan menyifatkannya dengan sifat-sifat yang tidak terkeluar daripada hakikat kemanusiaan, di samping meyakini bahawa Baginda SAW adalah hamba Allah dan utusanNya, dan menjauhi keyakinan dan kepercayaan kaum Nasrani, maka sesungguhnya tidak disyaki lagi merupakan orang ini adalah yang paling sempurna tauhidnya.
Tepatlah madah Imam al-Busiri RH dalam qasidah Burdahnya yang menegaskan,
“Tinggalkan cara orang Nasrani (Kristian) dalam menyanjung Nabi mereka (Nabi Isa AS).
Ertinya: Jangan katakan Muhammad SAW itu mempunyai sifat-sifat ketuhanan). Selepas itu, terserahlah kepadamu untuk memuji Baginda SAW sesuka hati mu; Kerana hakikatnya keagungan Rasulullah SAW itu tiada had baginya, sehingga mampu lidah mengungkapkannya secara sempurna;
Kemuncak pengetahuan mereka tentang diri Baginda SAW mereka hanya mampu mengatakan bahawa Baginda SAW itu adalah seorang manusia, yang sebenarnya merupakan semulia-mulia dikalangan makhluk Allah seluruhnya.”
Mana mungkin dikatakan bahawa memuji Baginda SAW itu salah sedangkan Allah SWT sendiri memuji NabiNya, melalui beberapa firmanNya termasuk:
“Dan sesungguhnya engkau mempunyai akhlak yang sangat mulia.” (al-Qalam:4)
Allah juga memerintahkan supaya umat manusia sentiasa beradab bersama Nabi SAW; sama ada ketika berbicara mahupun menjawab panggilannya. Allah berfirman:
“Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengangkat suaramu melebihi suara Nabi.”
(al-Hujuraat:2)
Allah SWT juga melarang kita daripada berurusan dan bergaul dengan Nabi SAW sebagaimana kita berurusan dan bergaul sesama manusia yang lain, atau memanggil Baginda SAW sebagaimana cara kita memanggil sesama kita.
Allah SWT berfirman:
“Janganlah kamu jadikan seruan atau panggilan Rasulullah di antara kamu seperti seruan atau panggilan sesama kamu.”
(al-Nur:63).
Tapi hari ini ada yang menyatakan bahawa menggelarkan Nabi SAW dengan “Sayyidina” itu sebagai salah dan melampau.
Mana mungkin memuji Nabi SAW itu sesat sedangkan para Sahabat RA yang mulia sering memuji Rasulullah SAW. Antara yang terdekepan dalam bab ini ialah Saidina Hassan bin Thabit RA sehingga telah diletakkan satu minbar khas baginya dalam Masjid Nabawi ketika zaman Nabi SAW lagi untuk memuji dan mempertahankan Baginda SAW.
Maka antara syair Hassan ibn Thabit RA ialah:
“Wahai tiang tempat bersandar orang yang bersandar! Tempat berlindung orang yang berlindung kepadanya! Tempat meminta tolong orang yang kesusahan, dan penyelamat orang yang memohon penjagaan! Wahai makhluk pilihan Allah bagi makhlukNya! Maka Allah menganugerahkan kepadanya akhlak yang suci bersih; Engkau adalah Nabi dan sebaik-baik keturunan Adam. Wahai Nabi yang pemurah bagaikan limpahan lautan yang luas!”
Rasulullah SAW juga ada memuji dirinya sendiri agar kita semua tahu kadar kedudukan Baginda SAW seperti sabdanya :
”Aku adalah sebaik-baik golongan kanan (yang beruntung mendapat nikmat syurga).”
“Aku adalah sebaik-baik golongan yang lebih dahulu memasuki syurga.”
“Aku adalah anak Adam yang paling bertaqwa dan mulia di sisi Allah,
tidaklah aku bermegah-megah dengannya.”
(Imam Tabrani dan al-Baihaqi di dalam al-Dala’il)
Pada kesempatan yang lain, Baginda SAW bersabda:
“Aku adalah manusia yang paling mulia di antara manusia-manusia yang terawal dan terakhir dan tidaklah aku bermegah-megah dengannya.”
(riwayat al-Tirmizi dan al-Darimi)
Di dalam hadith lain pula Abu Sa’id berkata: Sabda Rasulullah SAW:
“Aku adalah penghulu anak Adam pada hari Kiamat dan tidaklah aku berbangga-bangga dengannya.
Di tanganku terdapat Liwa’ al Hamdi (bendera yang dipuji); aku juga tidak bermegah-megah dengannya.
Tidak ada seorang Nabi pun pada hari itu (Kiamat); baik Adam mahupun yang lain, kecuali semuanya berada di bawah naungan benderaku. Aku juga orang pertama yang dibongkarkan dari bumi dan tidaklah aku berbangga dengannya.”
(Riwayat Imam al-Tirmizi)
Marilah kita memurnikan kefahaman kita dengan menjauhi sangka buruk terhadap mereka yang memuji, menyanjung dan mengagungkan Nabi SAW. Sesungguhnya kemuliaan Nabi SAW itu begitu tinggi hingga terbuka ruang yang begitu luas untuk kita memuji dan mengungkapkan selawat dan salam ke atas Baginda SAW dengan secanggih yang kita mampu.
Manakala batasannya pula adalah terhad dan sempit iaitu jangan sampai menafikan sifat asasi Nabi sebagai manusia dan hamba Allah SWT. Semoga Allah SWT mengizinkan kita tergolong di kalangan hamba-hambaNya yang sentiasa memuji dan berselawat ke atas kekasihNya, Nabi Muhammad SAW.
Kehadiran Rasulullah shollallahu ‘alaihi wasallam dalam Kehidupan Umat Islam
Ada orang daripada golongan anti-maulid berkata:
"Mereka yang bangun dalam majlis maulid mengkhayalkan Rasulullah -shollallahu ‘alaihi wasallam- hadir dalam majlis mereka."
Jawapan:
Ia bukan suatu khayalan wahai orang yang lalai. Mereka yang bangun dalam majlis tersebut mengambil suatu waktu untuk menghayati kehadiran Rasulullah -shollallahu ‘alaihi wasallam- yang pada hakikatnya (kehadiran Baginda -shollallahu ‘alaihi wasallam-) adalah sepanjang masa dalam kalangan umat Baginda -shollallahu ‘alaihi wasallam-.
Mereka yang berdiri dalam majlis-majlis maulid dan sebagainya (khsusunya di mahal al-qiyam) berusaha untuk menzahirkan rasa penghormatan dalam menghayati kehadiran Rasulullah -shollallahu ‘alaihi wasallam- dalam kehidupan mereka seharian, samada secara umum mahupun secara khusus.
Banyak sudut dan bukti kehadiran Rasulullah -shollallahu ‘alaihi wasallam- dalam kehidupan umat Islam secara umum, maka ada dua sudut.
Pertama: Kehadiran Hati Rasulullah -shollallahu ‘alaihi wasallam- Terhadap Umat Islam Sebelum Kelahiran Mereka
Sedangkan hati Rasulullah -shollallahu ‘alaihi wasallam- sentiasa hadir mengingati kita sebelum kelahiran kita (seluruh umat Islam), bagaimana hati Baginda -shollallahu ‘alaihi wasallam- tidak hadir mengingati kita pula setelah kelahiran kita, dalam seluruh kehidupan kita?
Ada sebuah hadith menyebut cinta dan kerinduan khusus Baginda -shollallahu ‘alaihi wasallam- kepada umatnya yang terkemudian (iaitulah kita yang lahir setelah kewafatan Baginda -shollallahu ‘alaihi wasallam-):
Maksudnya:
Daripada Abu Hurairah, bahawa Rasulullah shollallahu ‘alaihi wasallam telah pergi ke kawasan perkuburan dan bersabda:
“Sejahtera ke atas kamu (penghuni) negeri orang-orang yang beriman. Sesungguhnya kami dengan kehendak Allah akan menyusuli kamu. Amat ingin di hatiku seandainya dapat kita melihat saudara-saudara kita”.
Sahabat bertanya: “Apakah kami ini bukan saudara-saudaramu ya Rasulullah?”
Baginda shollallahu ‘alaihi wasallam menjawab:
“Kamu semua adalah sahabat-sahabatku. Sedangkan saudara-saudara kita adalah (orang-orang mukmin) yang belum muncul (orang-orang beriman tanpa pernah melihat Rasulullah)”
[Hadith riwayat Imam Muslim no: 367. Begitu juga diriwayatkan oleh Imam Ibn Majah no: 4296 dan Imam An-Nasa’ie no: 150. Ia juga diriwayatkan oleh Imam Malik dalam Al-Muwatha’ no: 53 sebagaimana dalam Al-Muntaqi]
Alangkah malangnya bagi mereka yang tidak pernah cuba untuk menghadirkan Rasulullah -shollallahu ‘alaihi wasallam- dalam satu saat pun daripada kehidupan mereka, sedangkan Baginda -shollallahu ‘alaihi wasallam- menghadirkan kita semua dalam kehidupan Baginda -shollallahu ‘alaihi wasallam-.
Rasulullah -shollallahu ‘alaihi wasallam- sendiri menghayati kehadiran kita sebelum kelahiran kita, bagaimana kita tidak berusaha untuk menghayati kehadiran Baginda -shollallahu ‘alaihi wasallam-setelah kewafatan Baginda -shollallahu ‘alaihi wasallam-?
Kedua: Kehadiran Rasulullah -shollallahu ‘alaihi wasallam- dalam segenap kehidupan umat Islam setelah kewafatan Baginda -shollallahu ‘alaihi wasallam-.
Rasulullah -shollallahu ‘alaihi wasallam- bersabda Maksudnya:
Hidupku adalah kebaikan kepada kamu dan wafatku adalah kebaikan juga kepada kamu, kerana segala amal kamu sentiasa dibentangkan kepadaku, maka apa saja amal yang aku dapati baik, aku ucapkan: Alhamdulillah, dan apa saja amal kamu yang aku dapati jahat, aku memohon keampunan Allah untuk kamu.
Hadith ini diriwayatkanoleh Imam Ad-Dailami daripada Saidina Anas r.a., Imam Al-Harith r.a. daripada Saidina Anas r.a. juga dengan sanad yang mursal.
Diriwayatkan juga dalam Kasyf Al-Khafa’ oleh Imam Al-‘Ajluni (19/11). Begitu juga diriwayatkan dalam Musnad Al-Harith (m/s: 969). Diriwayatkan juga dalam Al-Fath Al-Kabir (2/68) pada hadith no: 5886 dengan sanad Mursal. Begitu juga no: 5887.
Imam Ibn Hajar Al-Haithami menegaskan bahawasanya perawi-perawi hadith ini adalah berdarjat sahih. Imam As-Suyuti juga meriwayatkannya dalam Al-Marasil (no: 11337 dan 11338).
Selain sanad-sanad mursal yang kuat, Imam Al-Bazzar juga meriwayatkannya secara bersambung kepada Saidina Abdullah bin Umar dengan sanad yang kuat (no: 1723).
Hadith ini menunjukkan kehadiran Rasulullah -shollallahu ‘alaihi wasallam- dalam kehidupan para umatnya dan sentiasa memerhatikan dan mengetahui perihal umat Baginda -shollallahu ‘alaihi wasallam- walaupun setelah kewafatan Baginda -shollallahu ‘alaihi wasallam-.
Ini menunjukkan betapa Rasulullah -shollallahu ‘alaihi wasallam- sememangnya hadir dalam kehidupan umat Islam dengan kehadiran yang hanya diketahui oleh Allah s.w.t. dan Rasulullah -shollallahu ‘alaihi wasallam- sahaja.
Namun, sudah pastilah rasa penghormatan yang cuba dizahirkan oleh para umat Baginda -shollallahu ‘alaihi wasallam- juga sampai kepada Baginda -shollallahu ‘alaihi wasallam-.
Di zaman serba moden ini, alangkah jumudnya minda orang yang masih menganggap jarak sesuatu tempat menjadi penghalang terhadap suatu hubungan kehadiran antara dua pihak, sedangkan banyak alat-alat telekomunikasi dan perhubungan yang menghubungkan dua orang daripada dua tempat yang sangat jauh jaraknya, yang mana mereka boleh saling menzahirkan penghormatan kepada sesama mereka dari tempat mereka, lalu sampai kepada teman mereka masing-masing.
Seumpama, seorang pekerja sahaja boleh menzahirkan penghormatan kepada tuannya melalui alat perhubungan walaupun dipisahkan oleh jarak yang jauh, samada perhubungan seperti panggilan video atau sebagainya.
Bagaimana dengan pendedahan teknologi sebegini, seseorang masih lagi tidak dapat menerima hubungan para pencinta Rasulullah -shollallahu ‘alaihi wasallam- yang menzahirkan penghormatan mereka dalam sesuatu majlis di negara-negara yang jauh, dengan Baginda -shollallahu ‘alaihi wasallam- di Al-Madinah Al-Munawwarah sedangkan alam roh itu sendiri tidak dibatasi oleh dimensi seperti alam jasmani dan sebagainya.
Pelajaran daripada Kisah al-Utbi
Daripada Imam al-'Utbi [Abu 'Abdul Rahman Muhammad bin 'Abdullah atau 'Ubaidillah bin 'Amr bin Mu`awiyah bin 'Amr bin 'Utbah bin Abu Sufyan Sakhr bin Harb yang lebih dikenali sebagai Imam al-'Utbi]
di mana dia telah berkata:
“Adalah aku satu ketika duduk di samping kubur Junjungan Nabi -shollallahu ‘alaihi wasallam-, maka telah datang seorang A'raabi (penduduk kampung) mengucapkan salam kepada Junjungan Nabi -shollallahu ‘alaihi wasallam-
dengan katanya:
“Salam kesejahteraan bagimu, wahai Rasulullah, aku telah mendengar Allah Ta`ala berfirman:
Dan kalaulah mereka ketika menganiayai diri mereka sendiri (dengan membuat dosa dan kesalahan) datang kepadamu (wahai Nabi) lalu memohon ampun kepada Allah, dan Rasulullah juga memohon ampun untuk mereka, tentulah mereka mendapati Allah Maha Penerima taubat, lagi Maha Mengasihani. – Surah an-Nisa’: 64
Dan aku telah mendatangimu dalam keadaan memohon keampunan dari segala dosaku dan mengharapkan syafaatmu kepada Tuhanku.”
Lalu dia melantunkan beberapa bait syair seperti berikut Maksudnya:
Wahai manusia terbaik bersemadi dalam bumi jasadnya
Maka harumlah lembah dan bukit dengan keharumannya
Jiwaku jadi tebusan kubur yang engkau penghuninya
Dalamnya ada (pribadi) yang suci, pemurah lagi mulia
Al-'Utbi meneruskan ceritanya:
“Kemudian, dia berpaling meninggalkan maqam Junjungan Nabi -shollallahu ‘alaihi wasallam-,
tiba-tiba dua mataku mengantuk, lalu aku bermimpi melihat Junjungan Nabi -shollallahu ‘alaihi wasallam- dalam tidurku dan baginda bersabda kepadaku:
“Wahai 'Utbi, segera pergi berjumpa A'rabi itu dan khabarkan berita gembira kepadanya bahawa Allah telah mengampuninya.”
[Dinukilkan dari kitab al-Adzkar oleh Imam an-Nawawi; Fasal Mengenai ziarah Qubur Nabi -shollallahu ‘alaihi wasallam- Halaman 206, Dar al-Fikr Beirut- 2002M/1422H. Kisah ini ini sangat masyhur dan dinukilkan oleh para ulama didalam kitab-kitab mereka sepertimana yang aku nyatakan diatas.]
Kisah ini diriwayatkan oleh seorang ulama' besar dalam bidang hadis yang sangat mementingkan sumber-sumber yang sahih dalam periwayatan iaitulah Imam An-Nawawi r.a.. Maka, ini adalah sebahagian daripada contoh di mana Baginda -shollallahu ‘alaihi wasallam- hadir dalam kehidupan para pencinta secara khusus dan umat Islam secara umumnya.
Ketiga: Kehadiran Khusus Rasulullah -shollallahu ‘alaihi wasallam- Terhadap Mereka yang Berselawat Ke Atas Baginda -shollallahu ‘alaihi wasallam-
Rasulullah -shollallahu ‘alaihi wasallam- juga hadir menerima selawat-selawat yang disampaikan oleh umat Baginda -shollallahu ‘alaihi wasallam- setelah kewafatan Baginda -shollallahu ‘alaihi wasallam-.
Rasulullah -shollallahu ‘alaihi wasallam- bersabda Maksudnya:
"Tiadalah seseorang yang menyampaikan salam ke atasku melainkan Allah s.w.t. akan mengembalikan rohku sehingga aku menjawab salam ke atasnya".
Hadis ini diriwayatkan oleh Ishaq bin Rahuyah (atau Rahwaih) dalam musnadnya dengan sanad hasan (perawi-perawi Imam Muslim) no: 460, Imam Ahmad dalam Musnadnya (no: 10591) dengan sanad hasan yang sama, Imam Abu Daud dalam Sunannya dan sebagainya daripada Saidina Abu Hurairah r.a..
Dalam riwayat lain, Saidina Ibn Abbas r.a. berkata Maksudnya:
"Tiadalah seseorang daripada Umat Muhammad -shollallahu ‘alaihi wasallam- berselawat ke atas Baginda -shollallahu ‘alaihi wasallam- melainkan ia akan sampai kepada Baginda -shollallahu ‘alaihi wasallam-
lalu malaikat berkata kepada Baginda -shollallahu ‘alaihi wasallam-:
"Si fulan berselawat ke atasmu dengan begini dan begini..."
Ini menunjukkan samada Rasulullah -shollallahu ‘alaihi wasallam- berinteraksi secara langsung dengan umat Islam yang menyampaikan salam dan selawat ke atas Baginda -shollallahu ‘alaihi wasallam- ataupun melalui perantaraan malaikat, namun tetap sahaja bentuk amalan yang dilakukan oleh mereka yang menyampaikan salam dan selawat kepada Baginda -shollallahu ‘alaihi wasallam- sampai kepada Baginda -shollallahu ‘alaihi wasallam-.
Maka, mereka yang berdiri dalam majlis maulid ketika menyampaikan ucapan alu-aluan yang mengalu-alukan kehadiran Rasulullah -shollallahu ‘alaihi wasallam- dalam kehidupan manusia, telah menghayati betapa penghormatan dalam alu-aluan mereka itu sampai kepada Rasulullah -shollallahu ‘alaihi wasallam- samada dengan kehadiran roh Baginda -shollallahu ‘alaihi wasallam- ke dalam majlis-majlis tersebut ataupun sampai kepada Baginda -shollallahu ‘alaihi wasallam- yang berada di Al-Masjid An-Nabawi. Al-Muhim (yang penting), penghayatan mereka betapa mereka diperhatikan oleh Rasulullah -shollallahu ‘alaihi wasallam- ketika menzahirkan kegembiraan dan penghormatan tersebut adalah berlandaskan nas-nas syarak yang telah disebutkan dan banyak lagi yang tidak sempat disebutkan di sini.
Bagi mereka yang tidak mendalami nas-nas syarak sebegini secara menyeluruh atau mindanya terbatas dengan kebiasaan adat yang sempit, walaupun dengan ledakan teknologi telekomunikasi semasa, lalu mengingkari amalan berdiri ketika membaca puji-pujian dan alu-aluan dalam maulid yang menjadi simbol penghormatan dan kegembiraan yang disampaikan kepada Rasulullah -shollallahu ‘alaihi wasallam-, maka mereka perlulah menginsafi betapa mereka jauh daripada penghayatan terhadap kehadiran Rasulullah -shollallahu ‘alaihi wasallam- dalam kehidupan umat Baginda -shollallahu ‘alaihi wasallam-.
Biarlah para pencinta mengungkapkan cinta dan rindu mereka kepada Saidina Rasulullah -shollallahu ‘alaihi wasallam- dengan cara yang sememangnya tidak bertentangan dengan ajaran Islam sama sekali.
Wallahu a'lam
Sesungguhnya bahasa dan istilah perlulah ditunaikan haknya dan difahami dengan betul.
Dalam ruangan ini, kita masih dalam usaha meluruskan fahaman terhadap kedudukan Nabi SAW yang tetap sebagai makhluk walaupun dikurniakan pelbagai keistimewaan oleh al-Khaliq SWT. Perlu diingat bahawa pengisian ilmu dan kefahaman adalah juga termasuk bentuk ibadah yang utama sama ada di bulan Ramadan atau selainnya.
Ramai manusia yang tersilap dalam memahami beberapa perkara yang menjadi persamaan di antara hak Khaliq dan hak makhluk. Mereka menyangka bahawa dengan menisbahkan atau menyandarkan hak Allah kepada makhluk merupakan perbuatan syirik.
Antara perkara yang menimbulkan permasalahan ini ialah sebahagian daripada khususiat Nabi SAW (Keistimewaan yang Allah kurniakan kepada Rasulullah SAW sahaja) yang tidak difahami dengan sebenar-benarnya.
Mereka menganggap bahawa menyifatkan Nabi SAW dengan sifat-sifat istimewa yang dikurniakan oleh Allah tersebut bermakna menisbahkan Baginda SAW dengan sifat-sifat ketuhanan.
Ini jelas merupakan suatu kejahilan kerana Allah SWT Yang Maha Suci dan Maha Tinggi berhak memberikan apa saja kepada sesiapa saja yang dikehendaki-Nya, tanpa ada yang mewajibkan atau memaksa-Nya. Dia juga berhak mengurniakan dan memuliakan sesiapa sahaja yang hendak diberikan kemuliaan, dinaikkan kedudukan dan dizahirkan kelebihannya atas manusia yang lain.
Ini bukan merupakan pencabutan atau pencabulan hak-hak Allah SWT sebagai pentadbir alam dan juga sifat-sifat-Nya sebagai Tuhan Yang disembah. Hak-hak Allah dan sifat-sifat-Nya tersebut tetap terpelihara sesuai dengan maqam-Nya.
Apabila seseorang makhluk itu mempunyai sifat-sifat istimewa tersebut, maka sifat-sifat itu hanya sekadar yang bersesuaian dengan kemanusiaannya yang diciptakan terbatas dan diperolehi dengan izin, kurniaan dan kehendak-Nya. Bukan dengan kekuatan makhluk ataupun pentadbiran atau perintahnya kerana makhluk itu lemah dan tidak berkuasa memberi manfaat dan menolak kemudaratan daripada dirinya sendiri, begitu juga mematikan atau menghidupkan.
Telah berapa banyak keistimewaan yang menunjukkan bahawa ia adalah hak Allah, tetapi Dia berkenan mengurniakan kepada Nabi-Nya, Muhammad SAW dan nabi-nabi yang lain. Dalam pada itu, tidaklah diangkat darjat mereka hingga sampai ke maqam ketuhanan atau menjadi sekutu Allah.
Kesimpulannya, janganlah kita cepat menyalahkan perbuatan menyifatkan Nabi SAW dengan beberapa kelebihan yang tinggi kerana ia tidaklah bererti kita menyamakan atau menyekutukan Allah SWT dengan Nabi SAW.
Sesungguhnya bahasa dan istilah perlulah ditunaikan haknya dan difahami dengan betul.
Rujukan
PANEL PENYELIDIKAN YAYASAN SOFA, NEGERI SEMBILAN
Sumber : Ustaz Raja Ahmad Mukhlis
http://www.facebook.com/notes/raja-ahmad-mukhlis/kehadiran-rasulullah-shollallahu-alaihi-wasallam-dalam-kehidupan-umat-islam/196809343679585
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan