Sabtu, 8 Oktober 2011

Perjalanan Hati Antara Ayat Allah Yang Ajaib


Perjalanan Hati Antara Ayat Allah Yang Ajaib


Segala yang kita lihat seperti gunung-ganang dan lautan adalah ayat-ayat Allah
Di sana dapat dilihat kekuasaan dan kebesaran Allah menjadi kecut perut dibuatnya
Yang dilihat dari itu ayat-ayat Allah yang bersifat rohaniah
adalah perjalanan hati kita yang sangat ajaib
Tuhan boleh membolak-balikkan rasa dan perasaan hati kita setiap detik dan masa
Tanpa dapat kita kontrol dan mengawalnya

Patutlah dia hati penentu baik dan buruk manusia
Munasabahlah dia jadi raja di dalam diri manusia
Boleh melakukan dan menggunakan anggota lahir
sebagai tenteranya membuat apa sahaja
Berdasarkan yang ia rasa yang sering sahaja bertukar ganti setiap masa dan ketika
Dia perintahkan nafsu yang berkehendak
menggunakan anggota-anggota manusia
mengikut rasa hati

Diperkotak-katikkannya anggota manusia semahu-mahunya
Badan susah dan letih tak usah dikira terpaksa membuat kerja hati manusia
Hati di dalam diri manusia sebagai raja yang berkuasa
Nafsulah penguatkuasanya membuat apa sahaja
Di satu segi di sini dapat dilihat Maha Kuasanya Tuhan
Maha Pentadbir, Maha Besar dan Maha Hebatnya Dia

Di sudut yang lain kita dapat lihat begitu ajaibnya hati nurani manusia
Hati yang bertapak di dalam hati daging
Ia sangat berperanan ke atas diri manusia
Dialah yang menentukan baik buruknya manusia
Kerana itu jagalah hati selalu, fahamilah bisikannya positif atau negatif
Mintalah kepada Tuhan mentadbir hati kita dengan petunjuk-Nya
Agar Dia sentiasa memimpin kita ke jalan yang lurus


30.8.2003 – 1
Menjelang Zuhur
Allahyarham Ust. hj Ashaari Muhammad



Hati Nurani

Hati nurani adalah makhluk Allah Taala yang ajaib
Sarangnya adalah hati daging boleh dilihat oleh mata lahir
Para-para doktor sering melihatnya ketika dibedah dada manusia

Hati nurani tidak dapat dilihat oleh mata lahir sekalipun dibelah dada
Hati daging tidak ada erti apa-apa
Ia hati rumah kepada hati nurani yang sangat berharga
Hati nurani itulah yang dipersoalkan oleh Tuhan hingga ke Akhirat sana
Hati nurani adalah sangat ajaib dan sangat berperanan
Namanya pun berbagai-bagai istilah diberi kepadanya

Adakalanya hati, digelarkan raja diri
Hati nurani itu juga dipanggil roh, ia adalah kekal abadi
Ia penentu apakah manusia itu baik atau jahat, itulah dia hati mengikut sabda Nabi
Ia juga diberi nama fuad, ia merupakan jismullatif
Ada nama lain lagi tapi jarang didengar iaitu lubbun
Hati nurani ini adalah khazanah Allah Taala yang bagaikan lautan tidak bertepi
Yang terbesar sekali ia merupakan gudang ilmu ilham bagi wali
dan wahyu bagi Rasul dan Nabi

Akal hanya gudang ilmu bagi manusia biasa sekalipun dia profesor
Bagi Rasul, Nabi dan wali ada dua sumber ilmu yang mereka perolehi
Yang tidak diperolehi oleh manusia yang tidak bertaqwa iaitu manusia biasa
Kerana itulah mereka itu amat cerdik dan terlalu pandai, boleh memperkatakan
apa sahaja dan menjawab secara global
Orang yang mendengar rasa takjub dan kehairanan, terpukau
dan tercengang-cengang dibuatnya
Kedua-dua sumber ilmu itu mereka perolehi daripada Tuhan Rabbul ‘izzati
Hati nurani itu juga adalah lautan rasa
Atau alam rasa seluas alam semesta
Samada positif atau negatif dapat dirasanya

Hati nurani itu adalah rebutan di antara malaikat dan syaitan
Masing-masing berlumba-lumba hendak mengisinya
Malaikat mengisi dengan keimanan, keyakinan, ketaqwaan, ketenangan,
rasa-rasa baik, peri kemanusiaan, timbang rasa, belas kasihan
Syaitan mengisi dengan kekufuran, keraguan, rasa-rasa jahat, rasa permusuhan,
dan hawa nafsu serakah kehaiwanan

Hati nurani itulah apabila ia terlalu bersih dapat menjangkau ke alam-alam ghaib
dengan izin Tuhan yang memilik segala yang ghaib
Hati nurani itulah yang terbuka, sekalipun mata kasarnya terkatup
Kadang-kadang ia melihat macam mata lahirnya melihat perkara-perkara di luar alam nyata seperti Luh Mahfuz, ‘arasy, Barzakh, jin dan malaikat, yang dikatakan kasyaf

Sering melihat secara rasa dengan tepat diistilahkan firasat
Adakalanya dijatuhkan ilmu di dalam hatinya dikatakan wahyu atau ilham
Tidak kurang juga hatinya mendengar suara tidak dapat melihat lembaganya

10.3.2004 – 1
Menjelang Zuhur
Allahyarham Ust. hj Ashaari Muhammad

Tiada ulasan:

Catat Ulasan