Ahad, 8 Mei 2011

WATAK BANGSA



Watak ialah sifat batiniah yang khusus, dibekalkan sejak azali kepada seseorang atau sesuatu kaum atau bangsa secara umumnya. Maknanya orang lain atau bangsa lain atau kaum lain tidak semestinya memiliki sifat-sifat tersebut.Watak juga tidak dapat diusaha-kan atau dipelajari dari pengalaman atau dari mana-mana guru.Ia adalah sifat semulajadi yang dianugerahkan secara khusus kepada individu atau kaum tertentu secara umum. Faktor-faktor yang menentukan watak seseorang atau sesuatu kaum itu ialah keturunan, perkahwinan (ibu bapa), makanan, iklim,

bentuk muka bumi, suasana alam sekitar dan lain-lain lagi. Watak seseorang tidak terlalu menonjol di waktu ia masih bayi atau kanak-kanak. Perkembangan watak berlaku seiring dengan pertambahan umur dan pembesaran fizikal seseorang. Watak yang ada pada seseorang atau satu bangsa itu ada yang baik dan ada yang buruk.Watak-watak yang baik akan menjadi kan seseorang atau sesuatu kaum itu lebih istimewa dari pada seseorang atau sesuatu kaum yang lain. Manakala watak yang buruk itu akan menjadikan seseorang atau sesuatu kaum itu kelihatan ada kekurangan dan kelemahan dibandingkan dengan orang lain atau kaum yang lain sekiranya watak itu diperturutkan.

Contoh watak-watak yang baik yang ada pada seseorang atau sesuatu kaum ialah:

1. Berani
2. Cerdik
3. Memimpin
4. Rajin
5. Berterus terang
6. Pemurah dan suka menolong
7. Lemah lembut
8. Petah bercakap
9. Ramah mesra

Sebaliknya watak-watak yang buruk yang dibekal-kan sejak semulajadi pada seseorang atau sesuatu kaum itu ialah:

1. Penakut
2. Lemah berfikir
3. Malas
4. Menurut atau taat
5. Suka memendam rasa
6. Bakhil atau enggan menolong
7. Kasar dan degil
8. Membisu dan lain-lain lagi

Kita boleh melihat perbezaan-perbezaan watak di antara individu atau kaum-kaum di dunia dalam.pergaulan dan kehidupan harian kita.

Ada seorang dilahirkan bersama karisma kepimpinan yang tinggi. Sebaliknya seorang yang lain langsung ‘tidak mampu memimpin, melainkan menanti dan menurut arahan sahaja. Ada orang lahir bersama kecerdikan, tapi ada manusia lain pula lemah berfikir

Seterusnya ada manusia yang lahir bersama akhlak yang halus, tapi ada manusia lain yang begitu kasar akhlaknya. Demikianlah seterusnya.

Kemudian kita juga dapat menyaksikan watak- watak khusus pada kaum yang watak demikian itu tidak menonjol. bagi sesuatu kaum lain secara umum

Misalnya:
Orang Arab umumnya berwatak berani, terus terang, kasar dan keras hati. Mereka juga begitu bersungguh melayan tetamu dan kuat makan. Masyarakat ini mudah bergaduh, tapi mudah pula memaafkan dan berbaik-baik. Orang Thailand umumnya berwatak lemah lembut, suka menolong, tidak mudah bergaduh dan bertolak ansur. Orang Barat wataknya cerdik, terus terang, boros, keras hati dan hidup nafsi-nafsi.Orang Melayu wataknya secara umum lembut, beralah, memendam rasa dan mesra.

Seperti yang saya katakan sebelum ini, watak seseorang atau sesuatu kaum itu terbentuk kerana pengaruh keturunan, perkahwinan, alam sekitar dan lain-lain.Hal ini dapat kita saksikan degan jelas pada masyarakat manusia yang tingal di kawasan-kawasan iklim dan muka bumi yang berbeza-beza di dunia.

Di sini saya akan menyebutkannya secara ringkas.
Mengapa diturunkan para nabi dan rasul di Timur Tengah ?
Mengapa pula Barat melahirkan ramai ahli falsafah?
Dan bagaimana pula dengan dunia Timur ini?

Pada saya di Timur Tengah itu iklim dan muka buminya yang keterlaluan yakni panas dan dinginnya keterlaluan, padang pasirnya yang kering-kontang, gersang dan tandus, telah membuatkan manusia-manusianya jadi keterlaluan dalam watak mereka. Mereka itu keras hati, kasar, berani, gopoh-gapah, terus terang dan tahan lasak. Pengaruh iklim dan muka bumi memaksa mereka jadi begitu. Ditambah dengan makanan yang berminyak, daging dan lemak, cili dan bawang mentah; darah mereka jadi panas. Maka mereka akan mudah dan cepat marah.

Maka demi keadilan ALLAH buat kaum ini, ALLAH datangkan pada mereka utusan-Nya; nabi, rasul, ulama-ulama besar dan para wali. Hanya mereka inilah yang mampu mendidik dan memimpin kaum ini agar jadi baik dan tunduk pada kebenaran.

Hasil dari didikan Rasulullah SAW, bangsa Arab pernah menjadi bangsa yang utama, terbaik dan berguna di dunia.Tapi di zaman ini sudah tiada lagi nabi, rasul dan orang-orang yang disebutkan tadi; maka bangsa ini kembali pada watak asalnya.

Di Barat pula, muka buminya yang penuh dengan padang rumput yang subur, tanah datar yang ditumbuhi kayu-kayan yang indah tapi tidak besar dan tebal, dengan iklimnya yang sering sejuk hatta musim panasnya pun masih sejuk (satu suasana pertengahan antara padang pasir dan hutan tebal), mempengaruhi manusia-manusianya menjadi orang-orang yang ahli ikir.

Umumnya mereka ini cerdik dan kreatif. Mereka tidak terlalu agresif tapi tidak terlalu lembut.Sebab itu untuk mendidik mereka ALLAH lahirkan filasuf-filasuf yang ramai. Hasilnya jadilah orang Barat bangsa yang telah mempesonakan dunia dengan kemajuan sains dan teknologinya.Tapi dengan akal saja mereka tidak dapat melihat kebenaran dari Tuhan.

Apa halnya dengan orang Timur ?

Pengaruh iklim,muka bumi dan makanan telah membentuk ‘watak mereka sebagai bangsa yang terlembut didunia.Orang Timur dikatakan bangsa yang paling baik (akhlaknya) di dunia.Iklim dan muka bumi tempat tinggal mereka tidak terlalu mencabar mereka. Lalu mereka tidak perlu merancang sesuatu untuk menghadapinya. Mereka tidak tercabar oleh alam sekitar. Maka jadilah bangsa itu orang yang kurang bergaduh dan berperang. Mereka lembut-lembut dan baik-baik Suka hidup bergotong-royong Tapi kerana itu jugalah mereka jadi bangsa yang tidak cerdik, tidak kreatif dan tidak pernah menjadi empayar didunia.

Tapi ada satu janji ALLAH melalui lidah Rasulullah SAW, untuk orang Islam di Timur iaitu kebangkitan Islam kali kedua di akhir zaman akan berlaku di tangan mereka.Untuk itu pemimpin yang mereka perlukan bukan bertaraf nabi atau rasul atau filasuf. Mereka cukup dengan seorang yang soleh kalau pun tidak bertaraf wali.

Demikianlah watak kaum itu ditentukan juga oleh muka bumi dan iklim di samping lain-lain faktor. Tujuan ALLAH membezakan watak manusia dan bangsa-bangsa itu ialah supaya manusia-manusia itu saling tiru-meniru dan saling belajar-mempelajari, lengkap-melengkapi serta sempurna-menyempurnakan antara satu sama lain.

Firman Allah terjemahannya
Dan Kami jadikan kamu berbangsa-bangsa dan berpuak-puak
supaya kamu mengenal satu sama lain.
(Al Hujurat: 13)

Dan lebih besar dari itu ialah supaya manusia mengusahakan lahirnya seseorang atau satu bangsa yang padanya ada berbagai-bagai watak yang baik sebagai gabungan dari watak-watak yang ada pada berbagai bangsa.Usaha ini boleh dibuat dengan merancang dan menjayakan kahwin campur.

Perkahwinan antara bangsa-bangsa dari berbagai-bagai negara di dunia yang beragama Islam, kalau dapat dilaksanakan akan memberi beberapa faedah yang besar
.

Antaranya:
1. Melahirkan generasi baru yang berwatak istimewa yakni gabungan berbagai-bagai watak yang baik. Sebab berkahwin antara dua bangsa yang berbeza, misalnya Melayu dengan Turki, bererti mencantumkan dua jenis darah yang berbeza kandungannya; yang menghasilkan sejenis darah baru yang mempunyai sifat-sifat yang lebih banyak dari sebelumnya.

Dari sana akan lahir anak-anak yang wataknya ialah campuran watak Melayu dan Turki. Di antaranya ramah mesra, cantik cerdik, berani, lemah lembut, dan lain-lain lagi.

Hal ini telah terbukti di dalam sejarah Islam di waktu 3/4 dunia berada di bawah pentadbian Islam.Waktu itu terjadi kahwin campur yang meluas antara umat Islam di berbagai negara. Hasilnya lahir satu generasi Islam yang istimewa. Yang pada mereka itu ada berbagai-bagai watak campuran ibu bapa mereka. Mereka jadi bangsa yang cerdik, berakhlak, berani, pemurah, lemah lembut, memimpin dan lain-lain lagi. Dengan watak watak baik yang semulajadi itu, dididik pula oleh Islam yang sememangnya menggalakkan dan menyuburkan watak-watak baik tersebut, jadilah mereka bangsa yang
dapat menguasai dunia dengan jayanya.


2. Kahwin campur juga dapat menghilangkan sifat asobiah kaumiah (kebangsaan yang sempit) yang ada pada tiap-tiap bangsa.Bila Pakistan berkahwin dengan Arab, anak yang lahir itu bukan lagi Arab dan bukan juga Pakistan. Anak itu tidak lagi ‘menganut’ satu bangsa yang khusus. Maka rasa cinta pada sesuatu bangsa tidak ada dalam hatinya. Ertinya fanatik kebangsaan atau asobiah itu sudah tiada. Yang tinggal padanya itu ialah milik bersama ibu ayahnya iaitu Islam. Islam jadi tempat pergantungan dan identiti dirinya.

Dan dia tidak lagi berkata
“Saya bangsa begian-begian” tapi berkata: “Ana muslim” dan inilah yang kita mahukan bangga dengan Islam bukan dengan bangsa.

3. Apabila tidak ada lagi rasa kebangsaan antara umat Islam, maka sentimen perkauman dan hina-menghina antara umat Islam lenyap dengan sendirinya. Ini mengurangkan ikhtilaf.

Dengan hikmah-hikmah yang demikian itu, maka Islam memang menganjurkan kahwin campur. Rasulullah melarang kahwin antara orang yang terlalu dekat hubungan keluarganya. Misalnya sepupu dengan sepupunya. Hukumnya makruh. Sebab hasil perkahwinan tersebut melahirkan anak-anak yang kurang bermutu sama ada dari segi kecerdikan atau akhlaknya.

Kita boleh buktikan hal ini dengan melihat pada keturunan kebanyakan raja di dunia yang mereka berkahwin sesama puak dan keluarga.Kurang sangat anak-anak raja jadi profesor dan yang mampu mentadbir dengan berjaya. Kebanyakan hanya mampu jadi pemimpin boneka. Saksikan juga hal ini pada rakyat biasa, tentang kualiti anak yang lahir dari perkahwinan di kalangan keluarga.

Di Eropah misalnya sekarang ini ada satu kelompok masyarakatnya yang lahir dari perkahwinan anak dengan bapa, adik dengan abang, ibu dengan anak. Anak-anak haram itu bodoh-bodoh dan jahat, tidak berguna kepada masyarakat.

Hal begini kita lihat tidak pula berlaku dikalangan keturunan Rasulullah yakni Sayid-Sayid dan Syarifah. Mereka walaupun berkahwin sesama keluarga dan puak, namun anak-anak mereka masih berkualiti. Mungkin kerana ALLAH istimewakan keturunan Rasulullah SAW.

Seperkara yang perlu diambil perhatian dalam membincangkan watak ini ialah faktor pendidikan.

Apalagi Pendidikan yang Islamik sangat penting untuk menyuburkan watak atau membendung nya. Tanpa pendidikan, watak yang baik pun akan meliarlah watak yang tidak baik.

Contoh, watak berani.
Ini watak yang baik. Tapi kalau tidak dididik, individu atau bangsa yang berani itu, mungkin keberaniannya dihalakan untuk melakukan maksiat atau mungkin berani membunuh orang, berani mencuri, menipu dan lain-lain lagi. Apa baiknya lagi keberanian bentuk ini?

Berani yang membawa kebaikan itu ialah berani dalam memperjuangkan kebenaran dan hukum ALLAH. Berani menentang musuh-musuh ALLAH dan berani dalam menentang mazmumah (nafsu dan syaitan). Untuk itu hendaklah orang-orang yang berani itu diajar, diasuh, dididik dan dipimpin oleh satu sistem pelajaran dan pendidikan yang benar-benar merujuk kepada Al Quran dan Sunnah Rasulullah SAW, oleh guru-guru yang soleh dan solehah.

Tanpa memenuhi syarat-syarat pendidikan tersebut, belum terjamin akan lahirnya orang-orang berani yang baik. Lihatlah realiti masyarakat kini; hasil dari sistem pelajaran dan pendidikan sama ada formal atau infomal, di rumah atau di sekolah telah melahirkan lebih ramai lagi yang berani rasuah, menipu, berzina, menindas, menyalah gunakan kuasa, berfoya-foya, membazir, berjudi, derhaka kepada guru dan ibu bapa dan lain-lain lagi, daripada berani menegakkan kebenaran dari ALLAH. Ini adalah akibat dari salah didikan terhadap watak yang ada.

Contoh lain ialah watak lemah lembut.Watak ini memanglah watak yang baik.Tapi kebaikannya itu ditentukan pula oleh bentuk pendidikan yang diperolehinya. Kalau tersalah didik, watak ini membuatkan seorang itu berlemah lembut dan bertolak ansur dalam segala hal termasuklah dengan soal-soal yang bercanggah dengan syariat yakni dengan maksiat dan kemungkaran.

Sebaliknya kalau mendapat didikan yang tepat, yakni pendidikan Rasulullah, watak Ini akan subur menjadikan seseorang itu tenang menghadapi masalah dan suasana gawat, lapang dada yakni bersedia menerima dengan senyum akan setiap ragam dan kerenah manusia.Maka tidaklah timbul pergaduhan, ketegangan dan lain-lain dalam rumahtangga atau masyarakat

Demikianlah dengan watak-watak lain yang ada pada manusia itu, hendaklah dididik dengan syariat ALLAH. Barulah nanti melahirkan manusia atau bangsa yang benar-benar berguna.

Sebagai kesimpulannya saya ingin tegaskan bahawa kedua-dua saranan saya itu, iaitu kahwin campur dan pendidikan Islamik adalah dua perkara yang besar yang di perlukan kerjasama dan kesedaran menyeluruh antara semua pihak dan semua kaum terutamanya badan-badan Islam.

Kita mulakanlah dari sekarang. Dan Kalau kita mati, InsyaAllah ada yang menyambungnya.


Peringkat Kematangan Manusia


Di dalam ajaran Islam manusia itu boleh jadi dewasa (baligh)
paling cepat 9 tahun, paling lambat 15 tahun
Ertinya manusia boleh jadi dewasa sekitar 9 – 15 tahun
Maksud dewasa di sini bukan sahaja fizikalnya atau tubuh kasarnya
bahkan keempat anasir di dalam badan
Ikut dewasa sama akalnya, nafsunya dan rohnya

Buktinya fizikal manusia setelah dewasa sekalipun berumur 9 – 15 tahun
jika dia berkahwin sudah ada nafsu dan boleh dapat anak
Akal ikut dewasa kalau mendapat pendidikan yang tepat
9 – 15 tahun sudah boleh menjadi alim dan orang yang bertanggungjawab
Bahkan boleh menjadi profesor atau doktor falsafah,
boleh hafaz Al Quran, dan hafaz ribuan Hadis
Begitu juga nafsunya akan ikut dewasa jika dididik dengan betul dan tepat
Berumur 9 – 15 tahun seseorang boleh memiliki
setidak-tidaknya mendapat nafsu mulhamah

Seterusnya roh manusia boleh dewasa mengikut tubuh kasarnya dewasa
Berumur 9 – 15 tahun kalau cukup asuhannya, rohnya boleh menjadi bercahaya dan boleh mendapat hidayah dan dapat firasat dari Tuhan dan boleh menjadi orang bertaqwa

Selama ini yang sangat dijaga jasad lahirnya sahaja,
tiga anasir lagi tidak diendahkan
Ia diberi makan yang cukup, dijaga kesihatannya,
dijaga kesuburan pertumbuhan badannya
Maka badan lahirnya pun segera subur dan dewasa,
10 atau 12 tahun dia sudah baligh atau matang
Malangnya tiga anasir lagi dibiarkan tidak dididik,
bahkan tidak dipedulikan iaitu akal, nafsu dan rohnya

Oleh yang demikian seseorang itu sudah tidak seimbang lagi di dalam dirinya
Di waktu badan kasar dewasa, badan halus atau rohaninya tidak dewasa,
bahkan masih bersifat keanak-anakan
Akal, nafsu dan rohnya masih keanak-anakan,
badan kasarnya sudah boleh melahirkan anak
dan boleh menjadi ibu dan bapa
Jasad lahirnya sudah boleh membuat tugas besar,
jasad batinnya belum mampu bertugas besar dan penting
Akibat daripada sistem pendidikan yang tidak tepat dan tidak seimbang

Di samping para pendidik, ibu bapa, guru-guru, penjaganya tidak faham
mengimbangkan empat anasir di dalam diri manusia
Maka terjadilah empat anasir di dalam diri manusia
tidak serentak dewasa bersama tubuh kasarnya
Yang punya diri pun rugi, negara dan bangsa pun ikut rugi
kerana manusia itu adalah aset negara dan bangsa

31.5.2003 – 2
Menjelang Maghrib
Allahyarham Ust. Ashaari.

Jika Bangsa Melayu Mahu Berjaya


Orang melayu atas nama bangsa melayu tidak sepatutnya hanya berpuas hati dengan kuasa politik. Kuasa politik tidak memberi erti apa-apa jika orang melayu masih di takuk lama dalam pelbagai bidang, ekonomi dan pendidikan terutamanya.

Mengapa saya berani berkata begini?

Atas nama orang melayu, mereka kena sedar, Tuhan yang menguasai langit dan bumi, yang khazanah alam Dia yang punya, yang Dia itu memegang hati-hati manusia ciptaanNya, hanya akan membantu dan menolong sesuatu bangsa itu atas nama agama Islam. Maksudnya atas nama bangsa, Tuhan tak tolong. Tapi Tuhan nak tolong atas nama Islam. Dalam Islam, jika bangsa itu bersedia mengubah diri mereka menjadi orang yang bertaqwa, maka di situ nanti terbuka segala macam bantuan Tuhan.

Firman Tuhan:
Tuhan sekali-kali tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum itu selagi kaum itu tidak mengubah apa yang ada dalam diri mereka.

Ayat ini jelas memberitahu, Tuhan hanya akan bantu jika sesuatu kaum atau bangsa itu mahu berubah menjadi orang bertaqwa. Bukanlah ayat ini menyeru agar mengubah yang lahir-lahir. Yang lahir-lahir senang nak ubah. Tak ubah pun tak apa. Jika ubah sekalipun, kenalah atas dasar taqwa. Barulah akan mendapat rahmat dari Tuhan.

Kesan daripada sekadar mengubah yang lahir sahaja, telah timbul berbagai side-effect yang negatif. Negara kita, Malaysia sudah 50 tahun membuat perubahan lahir dan sejak 10 tahun kebelakangan ini perubahan berlaku secara drastik dan mega. Namun, apa yang terjadi, di sebalik pembangunan lahir yang terancang, maju dan moden, pembangunan insan menyembah bumi. Jatuh merudum tanpa kasihan. Timbul berbagai masalah sosial yang merosakkan manusia, seperti rasuah, rompakan, pelacuran, permusuhan, penyalah gunaan dadah dan hiburan melampau ala barat. Inilah hasilnya bila kita mengenepikan pembangunan insan. Jangan salah faham dengan pembangunan insan. Ramai orang memperkatakan pembangunan modal insan dan yang difokuskan adalah memajukan akal fikiran dengan ilmu-ilmu keduniaan.

Pembangunan insan yang sebenarnya adalah memajukan rohaniah kita melalui penghayatan sembahyang, penghayatan Al-Quran dan menghiasi hati dengan sifat mahmudah dan membuang sifat mazmumah. Kesannya nanti, jadilah kita orang yang benar-benar bertaqwa. Dengan taqwa ini sahaja, bangsa kita mampu membangun dan berjaya.

Kelemahan ketara bangsa melayu perlu diperhalusi daripada sekarang. Puncanya bukan kerana masalah lahir-lahir ini. Tapi puncanya kerana tidak mengusahakan taqwa. Tidak menjadikan taqwa itu sebagai pakaian kehidupan.,

sudah tiba masanya untuk tidak terus tersilap langkah. Mulakan daripada saat ini untuk mengusahakan taqwa dan kelak anda akan dapati hasilnya bangsa anda akan menguasai bukan sahaja negara tetapi dunia.


Sekian.

Nota tambahan
Pandangan terhadap potensi Islam di Alam Melayu pada abad 21

Mahmud Bajahji
Perdana Menteri Iraq pada tahun 1946 dalam satu majlis perjumpaan dengan pembesar- pembesar Liga Arab di Kaherah ketika proklamasi kemerdekaan Indonesia baru diisytiharkan, beliau berkata

“ kami orang Arab telah letih setelah ribuan tahun berjuang. Saya tidak nampak orang Arab akan kembali membangunkan Islam seperti zaman dahulu . Semua bangsa yang memeluk Islam telah mencapai zaman kegemilangannya kecuali bangsa ini (sambil menunjuk kepada utusan Indonesia yang hadir) .Bangsa inilah yang akan memimpin dunia Islam di belakang hari nanti.“

Turut hadir dalam pertemuan itu ialah Prof. Muchtar Lintang

Malik Bennabi
Pemikir Islam dari Algeria yang banyak menulis mengenai Islam dalam bahasa Perancis berpendapat

“Selepas perang dunia kedua , Islam akan berpusat di Jakarta. Tidak lagi berpusat sama ada di Mekah, Mesir, Turki atau Yaman Selatan”

Alvin Toffeler

Peramal barat yang Masyhur dengan karya seperti Future Shock,The Third Wave dan Power Shift berkata

“ The center of Islam will move from the middle East , Its original locality to this place ( Malaysia and Indonesia )


Bangsa Yang Tidak Mempunyai Cita-cita

Bangsa yang tidak ada cita-cita,
bangsa yang hanya ada cita-cita peribadinya sahaja
Yang difikirkan hanya makan minum, tidur, rehat, kahwin kemudian mati
Bagaimana mahu senang, kalau sudah senang
bagaimana mahu lebih senang lagi
Jika di dalam kesusahan,
bagaimana hendak menghilangkan kesusahannya

Agama, bangsa, negara tidak ada di dalam otak mereka
Pada mereka agama urusan ulama, negara dan bangsa urusan negara
Kalau saya ulama barulah agama urusan saya,
kalau saya pemimpin negara,
negara dan bangsa barulah urusan saya

Hidup individualistik sangat ketara
Hanya memikirkan diri dan keluarga, orang lain begitu juga
Corak pemikiran bangsa yang sedemikian rupa,
tanda bangsa itu tidak akan maju dan bersatu
Untuk mewujudkan kekuatan sendiri pun tidak akan mungkin terjadi
Apatah lagi untuk menjadi satu bangsa yang menguasai dunia

Cita-cita agama, bangsa dan negara
mestilah menjadi cita-cita bersama tidak ada kecuali
Makan, minum, rehat, nikah kahwin itu adalah perkara tabie
Tidak payah diasuh, tidak payah didorong-dorong,
ia keperluan fitrah semulajadi
Cita-cita agama, bangsa dan negara
kenalah dipupuk dari kecil lagi
Ia hendaklah ada di dalam sukatan pendidikan dan pelajaran

Disuburkan setiap masa,
hingga mendarah mendaging dan menjadi fikiran dan jiwa
Hingga bangsa itu sangup mati kerananya
Ia akan dipertahankan, dijaga, diperjuangkan
kerana ia adalah maruah bangsa
Bangsa yang ada cita-cita ini
akan menjadi bangsa yang kuasanya besar,
sekalipun bilangannya kecil

Semangat semacam itulah yang sudah mati
di kalangan bangsa-bangsa
yang beragama Islam

28.2.2004 – 1
Waktu Dhuha / Menjelang Zuhur
Allahyarham Ust. Ashaari.

Sabtu, 30 April 2011

SEMBAHYANG MEMBINA PERIBADI AGUNG


Rasa kehambaan dalam solat

Solat atau sembahyang itu, Tuhan yang menetapkan rukun-rukunnya. Ia bukan ciptaan manusia, bukan direka-reka atau dibentuk oleh manusia. Kalau difahami dan dihayati, sembahyang itu adalah sesuatu yang sangat hebat.

Kita akan dapat merasakan bahawa Tuhan itu hebat. Kita akan dapat bersandar kepada kehebatan-Nya. Satu Zat yang tidak dapat dibayangkan kebesaran-Nya tetapi terasa kebesaran-Nya. Satu Zat yang tidak dapat dibayangkan bagaimana wujud-Nya tetapi terasa wujud-Nya. Satu Zat yang tidak dapat dibayangkan kuasa-Nya tetapi terasa kekuasaan-Nya. Terasa oleh kita akan kesempurnaan Tuhan.

Kita boleh minta apa sahaja dari Tuhan. Tuhan sedia melayannya.

Solat itu adalah satu modul yang lengkap untuk mendidik hati dan jiwa manusia. Dalam solat ada ubat, ada pil, ada tonik dan ada vitamin untuk menyembuhkan penyakit rohani dan membina peribadi yang kuat, gagah dan agung. Boleh timbul berbagai kekuatan bagi individu atau sesuatu bangsa hasil dari solat dengan syarat ada ilmunya, faham dan solat itu benar-benar dijiwai serta dihayati.

Kita di perintah solat kerana kita hamba Maka ibadah Solat yang di jiwai hingga timbul rasa kehambaan akan melahirkan hamba hamba Allah saperti berikiut:

Peribadi yang kuat keyakinannya
Peribadi yang kuat Imannya
Peribadi yang mempunyai akhlak yang tinggi
Peribadi yang berdisiplin
Peribadi yang bersih dari maksiat dan kemungkaran (kecuali sedikit)
Peribadi yang kuat syariatnya
Peribadi yang bersih jiwanya
Peribadi yang kurang sifat sifat mazmumahnya.
Hasil dari solat yang bermutu tinggi maka akan lahirlah masyarakat umat Islam yang mempunyai peribadi peribadi saperti yang saya sebut tadi.Jadilah bangsa ini bangsa yang Agung dan Allah akan angkat darjat bangsa ini hingga bangsa lain tunduk kepadanya.


BAGAIMANA SOLAT BOLEH MEMBINA KEKUATAN KEKUATAN SESUATU BANGSA

Bismillahir rahmanir rahim

Di dalam sejarah tamadun manusia, ada bangsa-bangsa yang telah menempa sejarah yang agung. Bangsa-bangsa itu dianggap agung kerana kedudukan dan martabat mereka yang jauh lebih tinggi dari bangsa-bangsa lain yang sezaman dengan mereka. Mereka itu agung kerana mereka:

1. Bangsa yang berjiwa besar
2. Berwibawa
3. Bertamadun
4. Disegani
5. Dihormati
6. Maju
7. Mengatur
8. Banyak memberi khidmat kepada bangsa lain

Bangsa-bangsa yang lemah dan mundur mempunyai ciri-ciri dan sifat-sifat negatif yang menyebabkan mereka itu tidak boleh maju dan ketinggalan dari bangsa-bangsa lain. Di antara ciri-ciri dan sifat-sifat tersebut adalah seperti berikut:

1. Pemalas
2. Berjiwa kecil
3. Penakut
4. Lemah jiwa. Mudah putus asa dan kecewa
5. Tidak ada keyakinan diri
6. Tidak ada cita-cita untuk bangsanya. Mereka hanya ada cita-cita peribadi, untuk hidup senang dan untuk makan sendiri sama ada pemimpin dan orang besarnya ataupun rakyatnya.

Bangsa-bangsa yang kuat dan agung pula mempunyai ciri-ciri dan sifat-sifat yang jauh berbeza. Mereka sebaliknya mempunyai berbagai-bagai sifat positif yang dapat memberi kekuatan kepada mereka. Sifat-sifat itu termasuklah:

1. Rajin
2. Berjiwa besar
3. Berani
4. Tidak suka meminta-minta dan sangat berdikari
5. Kuat jiwa. Tidak mudah putus asa atau kecewa
6. Yakin diri
7. Ada cita-cita untuk bangsanya, sama ada cita-cita itu pada pemimpin, pada orang besarnya atau pada rakyatnya.

Di samping sifat-sifat di atas, ada lagi sifat-sifat positif yang sangat meneguhkan dan menguatkan peribadi mereka. Ini termasuklah sifat-sifat:
1. Berdisiplin
2. Sabar

Agungnya peribadi itu pula dapat dilihat pada:

1. Akhlaknya
2. Imannya
3. Keyakinannya
4. Disiplin hidupnya
5. Kebersihan hatinya
6. Jauhnya mereka daripada melakukan maksiat dan dosa
7. Kemas syariatnya

Bukan mudah untuk mengubah bangsa yang lemah dan mundur supaya menjadi bangsa yang kuat dan agung. Segala ciri dan sifat-sifat mereka itu perlu diubah. Sifat pemalas mesti diubah menjadi rajin. Jiwa yang kecil mesti diubah menjadi jiwa yang besar. Sifat suka meminta-minta dan sentiasa mengharapkan bantuan dan subsidi, mesti dikikis dan dibuang. Mesti ditanam dengan sifat berdikari. Jiwa yang lemah mesti dikuatkan. Tidak boleh mudah kecewa dan berputus asa. Sifat penakut mesti ditukar kepada sifat berani. Mereka mesti kuat keyakinan.

Cita-cita bangsa perlu ditanam di dalam hati sanubari setiap anak bangsa. Sifat suka mementingkan diri dan bekerja hanya untuk kesenangan diri sendiri mesti dihapuskan. Ini sesuai dengan firman Allah SWT:Maksudnya:

"Sesungguhnya Allah tidak mengubah nasib sesuatu kaum melainkan kaum itu mengubah apa yang ada dalam diri (hati atau jiwa) mereka." (Ar Ra'd: 11)


Bangsa kuat bangsa yang ada cita-cita

Satu bangsa yang kuat lagi berdaulat,
sekalipun tidak ramai bilangannya ialah bangsa yang ada cita-cita
Satu bangsa yang ada cita-cita
sekalipun batil semangat juangnya
pengorbanannya luarbiasa

Cita-cita itu ialah kerana agama yang dihayati oleh bangsa itu
Selepas itu kerana bangsa, negara dan ideologi
Bangsa yang ada cita-cita
seperti yang tersebut sanggup berkorban apa sahaja kerana cita-citanya
Sekalipun terpaksa korbankan nyawa

Kerana itulah bangsa-bangsa yang pernah menjadi empayar di dalam sejarah
mereka berjuang di atas cita-cita yang tersebut
Sekalipun bangsa-bangsa itu kecil bilangannya
Seperti bangsa Arab, Kurdi dan Uthmaniah Turki dengan cita-cita Islam
Bangsa Jerman dengan cintakan bangsa Arya, Itali cintakan negara,
Sepanyol kerana Kristian, Rusia cintakan ideologi Komunis

Bangsa yang mementingkan diri sendiri
kerana cinta pada diri biasanya menjadi hamba
Hamba kepada bangsa yang ada cita-cita empat perkara tadi
Bangsa yang tidak ada cita-cita
hanya memikirkan makan, minum, kekayaan, nikah, kahwin, hiburan
Sekalipun bangsa itu ramai orang yang pandai
Kepandaian hanya untuk diri sendiri
Bukan untuk cita-cita agama, bangsa, negara atau ideologi

Untuk kedaulatan dan seterusnya untuk menjadi empayar
Marilah kita orang Melayu ini berjuang atas cita-cita agama
Berjuang atas cita-cita agama lebih kuat daripada segala cita-cita yang ada
Marilah kita berjuang dan berkorban untuk cita-cita agama

Kalaupun tidak menjadi empayar
Setidak-tidaknya kita akan berdaulat di dalam negara sendiri
Terlepas kita daripada dipermainkan oleh bangsa lain di dunia

Menjelang Tidur
23.8.2001
Allahyarham Ust. Ashaari.

Bagaimana Solat Boleh Membina Kekuatan (Sifat Rajin)


Rajin Sifat yang berlawanan dengan rajin ialah pemalas. Pemalas sangat dibenci Tuhan. Untuk menjadi bangsa yang kuat, kita kena rajin. Sifat rajin ini tidak boleh dilakon-lakon atau dibuat-buat. Mesti ada pemangkin atau pendorong yang bersifat rohaniah.

Dalam sembahyang kita memuja dan memuji Tuhan. Kita kata Tuhan Maha Besar. Kita akui Tuhan pentadbir dunia dan Akhirat. Hati kita rasa berTuhan, rasa Tuhan itu besar. Kita rasa Tuhan Maha Melihat, Tuhan itu ada dan Tuhan sentiasa berperanan dalam hidup kita.

Kita juga membuat janji dan ikrar bahawa semua solat, ibadah, hidup dan mati kita hanya untuk Tuhan. Solat dan ibadah dipisahkan walhal solat pun ibadah juga. Itulah tandanya solat itu ibadah yang penting, utama dan pertama dari ibadah-ibadah yang lain sama ada yang wajib atau yang sunat. Kita bertungkus lumus membuat semua ibadah. Hidup dan mati itu pula merangkumi aktiviti yang tidak ditentukan. Bolah jadi ianya perkara ibadah, boleh jadi tidak. Makan, rehat dan tidur boleh dijadikan ibadah atau pun tidak. Kita berikrar, perbuatan yang harus pun hendak kita jadikan ibadah. Jadi mana boleh rehat-rehat.

Kita kena aktif, sentiasa bertenaga dan bergerak. Inilah dia perkara dalam solat yang membuatkan kita cergas dan aktif, rajin dan sentiasa bergerak. Segala macam perkara yang jadi ibadah kita buat. Perkara yang harus pun kita jadikan ibadah.

Maknanya solat itu membunuh kemalasan.

Kalau satu kelompok itu ibadahnya banyak, baca Quran banyak, wirid dan zikir banyak, kita kata mereka hebat. Itu salah tafsir sebenarnya. Kita sangka mereka baik sebab mereka tidak tegur orang dan hanya beriktikaf sahaja. Tapi mereka tidak rajin dan tidak berkhidmat kepada masyarakat. Di sini konsep ibadah itu sudah silap. Itu menunjukkan mereka hanya ada ilmu tetapi tidak faham dan ilmu itu tidak dihayati.

Pada orang ramai, mereka orang baik. Ini satu kesalahan yang besar. Orang yang baik itu bukan setakat boleh beribadah dan tidak menganggu orang. Orang baik itu selepas ibadah mesti aktif dan mesti berkhidmat kepada orang lain dengan tenaga, nasihat dan wang ringgit.

Ada Hadis yang bermaksud:
''Yang paling baik di antara kamu ialah kamu yang paling banyak memberi manfaat kepada manusia lain''.

Sebab itu para salafusoleh, kerana ibadah mereka dihayati dan berperanan pada diri mereka, kalau selepas Subuh, walaupun mereka tidak ada kerja yang khusus, mereka sengaja keluar cari-cari pasal (untuk buat kebaikan) dan cari-cari kerja. Mereka pergi tolong petik gandum, tolong mencangkul tanpa disuruh atau diminta. Kalau mereka melihat ada rumah yang bumbungnya bocor, mereka minta izin tuan rumah untuk membaikinya. Inilah solat yang melahirkan orang yang aktif.

Tapi hari ini, orang banyak solat, banyak ibadah, tetapi mereka menjadi beku dan jumud. Bahkan nasib mereka pun ditentukan oleh orang lain. Bukankah ini satu kesilapan yg besar?

Hanya kerana mereka itu nampak lembut, tidak ganggu orang, kuat ibadah, maka orang anggap mereka itu baik dan bagus.

Orang yang kuat hubungannya dengan Tuhan, dia mesti banyak berhubung dengan manusia. Orang yang banyak berkhidmat dengan Tuhan mesti banyak berkhidmat dengan manusia. Kalau betul takut dan cinta Tuhan, akan bertambah cinta kepada manusia. Itulah sepatutnya natijah atau hasil dari solat atau sembahyang.

Ampun maaf


Islam Membawa Kasih Sayang

Islam adalah hubungan dengan Allah
dan hubungan sesama manusia
Hubungan dengan Allah banyak berlaku
di masjid dan di surau-surau
secara fizikal dan rohani

Yang bersifat rohaniah ini berlaku di mana-mana
kerana ia adalah kerja hati
Hubungan sesama manusia tidak kira kafir
atau Islam berlaku di mana-mana sahaja
Berlaku di jalan raya, di rumah,
di kedai makan, di dalam kenderaan,
di sekitar jiran tetangga

Disiplin waktu berhubung, bertemu,
waktu bermesyuarat, bermuzakarah, berceramah
Di dalam keluarga, waktu bekerja,
bermusafir, berjuang dan ziarah
Di sini dibawa beberapa contoh,
yang tidak disebutkan kiaskan sahaja

Di jalan raya utamakan orang lain dahulu,
sekalipun jalan kita
Bertanya-tanyalah hal jiran
sama ada Islam atau kafir,
kesusahannya dibantu, sakitnya diziarah,
ketiadaannya jaga rumahnya
Waktu makan di kedai
bayarkan yang di kiri kanan kita
Ketika ke pasar, bayarkan untuk orang yang di sebelah kita
setakat termampu

Apabila naik bas, utamakan orang lain duduk,
lebih-lebih lagi orang tua atau kaum ibu
Kalau kita berjalan berkenderaan sendiri,
terjumpa orang menunggu bas,
pelawa dia naik kenderaan kita
Berjumpa orang di mana-mana
sama ada dikenali atau tidak
berilah salam kepada mereka

Di dalam majlis, ada peluang bermesralah,
ada orang bercakap dengarlah,
jagalah tata-susila
Ada orang yang susah meminta,
berilah jangan dikecewa,
kita berhutang kerananya pun tidak mengapa
Hutang orang kepada kita jangan dipinta
Kalau boleh bayarkan hutang orang setakat termampu,
jadikan budaya
Kalau mereka bayar, Alhamdulillah,
jika tidak, halalkan sahaja

Jika kita bersalah dengan siapa sahaja
minta maaflah,
orang bersalah maafkan sahaja
sekalipun tidak meminta
Berkawan hendaklah setia,
berjemaah sama-sama berkorban
dan menjaga keutuhannya
Pengutip-pengutip sampah kenalah beri hadiah
atau apa-apa sahaja yang makanan yang munasabah

Berani jangan melulu, biarlah berstrategi,
takut juga jangan terlalu, nanti Tuhan benci
Bekerja biarlah berdasarkan ilmu,
bersungguh-sungguh,
bekerja secara jemaah hendaklah bekerjasama
Kalau makan jangan seorang dibedal,
biarlah ada orang lain sama

Orang yang menentang kita, janganlah dilayan,
Kalau boleh buat baik dengan mereka
Kalau mereka fitnah,
tidak salah kita menghilangkan fitnah,
tapi biarlah bijaksana

Itulah dia sebahagian daripada ajaran Islam yang global
Yang tidak diceritakan kiaskan sahaja
Itulah dia Islam cara hidup,
bukan berpusat di masjid sahaja
Islam macam itulah
yang kita sedang memperjuangkannya
Apa yang kita lihat tadi nyatalah Islam itu
membawa kasih sayang sesama manusia

Selepas Subuh
14 – 12 – 2002
Allahyarham Ust. Ashaari.

Bagaimana Solat Boleh Membina Kekuatan (Berjiwa Besar)


Bismillahir Rahmanir Rahim

Berjiwa Besar Hasil dari solat ialah rasa beriman dan bertaqwa. Kalau itulah yang kita rasa maka akan timbullah rasa berjiwa besar. Sebab orang yang beriman dan bertaqwa itu Tuhan kata,''Dia orang Aku.'' Kalau seseorang itu sudah menjadi orang Tuhan, Tuhan janjikan untuknya berbagai-bagai perkara dan Tuhan tidak mungkir janji. Janji Tuhan pasti Tuhan tepati.

Apakah janji Tuhan kepada orang mukmin, orang bertaqwa dan orang yang sudah menjadi orang Tuhan?

Tuhan janjikan kepadanya:

a. Keselamatannya
b. Kewangannya
c.Kehidupannya
d.Kepandaiannya
e.Kemenangan
f.Tuhan bertanggungjawab dan akan mengalahkan musuh-musuhnya

Tuhan mempunyai ramai rijal yang ghaib. Angin, air dan bermacam-macam lagi adalah tentera Tuhan. Tuhan boleh arah mereka bertindak. Kalau begitulah keyakinan kita dari hasil solat, maka dari solat itulah kita akan beroleh jiwa yang besar.

Orang yang sudah jadi orang Tuhan, ada sesuatu yang paling besar pada dirinya yang tidak ada pada ciptaan lain. Orang tengok gunung, tidak ada orang yang masuk Islam. Orang tengok laut, tidak ada yang menangis kerana merasa insaf dengan kebesaran Tuhan. Tetapi dengan melihat orang Tuhan dan orang yang bertaqwa, manusia boleh masuk Islam tanpa banyak hujah.Bila tengok sahaja orang yang bertaqwa, tergerak hati mereka hendak bertaubat kepada Allah.

Orang bertaqwa itu adalah ciptaan Tuhan yang paling hebat. Orang boleh terpukau dengannya. Dia pemaaf, berkasih sayang, suka mengutamakan orang lain, belas kasihan dan kalau ada orang buat jahat padanya, dibalasnya dengan kebaikan. Dia tidak boleh tengok orang susah. Pasti dibantunya.

Orang yang berjiwa besar sentiasa mahu melahirkan tanda kebesaran Tuhan pada dirinya. Tuhan Maha Pemurah, dia pun jadi pemurah. Tuhan buat baik pada orang yang buat jahat pada-Nya, dia pun mahu buat baik pada orang yang buat jahat padanya. Betapa tidak, orang sekutukan Tuhan, maki Dia, mengata Dia, tolak suruhan-nya, tidak solat, berjudi, minum arak tapi Tuhan tetap layan mereka. Tuhan tetap bagi makan minum, anak isteri pada mereka.

Maha Besar Tuhan yang menghadiahkan solat. Siapa yang menghayatinya, dia akan berjiwa besar. Bangsa yang menghayatinya akan menjadi bangsa yang berjiwa besar.


Ciri Orang Yang Lemah jiwa

Di antara ciri-ciri orang yang lemah jiwa banyak macamnya
Memuji diri termasuk orang lemah jiwa kerana hendak menghibur hatinya
Termasuk juga ingin dipuji tanda lemah jiwa
Kalau tidak dipuji terseksa jiwanya

Termasuk yang lemah, jiwa rasa bangga, hati selalu berbunga apabila berjaya
Hairankan diri termasuk juga lemah jiwa
Ego atau sombong lebih-lebih lagilah lemah jiwa
Dia ambil sifat yang bukan sifatnya
Itu adalah sifat Tuhan yang Maha Agung lagi Maha Berkuasa

Rupanya lemah jiwa orang yang berjaya dengan orang yang tidak berjaya tidak sama
Orang yang tidak berjaya rasa kecewa, kemuncaknya putus asa begitulah lemah jiwanya
Yang berjaya seperti yang telah dicerita
Orang yang tidak lemah jiwa biasa sahaja, tenang hidupnya
Samada hidupnya berjaya mahupun hidupnya tidak berjaya

Orang yang kuat jiwanya macam mana pula agaknya?
Bagaimana pun keadaan hidupnya tenang sahaja
Di dalam keadaan apa pun sama sahaja
Mengapa seseorang itu kuat jiwanya

Apakah rahsianya kuat jiwanya?
Kerana dia kuat dengan Tuhannya
Dia tahu rahsia Tuhan mengapa dia diperlakukan oleh Tuhannya
Kerana Tuhannya dia tenang sahaja
Itulah dia orang yang kuat jiwanya
Kerana pautan dengan Tuhanlah menjadikan kuat jiwanya

7.9.2004 – 2
Menjelang tidur
Allahyarham Ust. Ashaari.

Bagaimana Solat Boleh Membina Kekuatan (Sifat Berani)



Bismillahir Rahmanir Rahim

Dalam solat, ada ubat atau pil untuk menjadikan orang penakut itu berani. Malahan sebelum mengangkat takbir solat pun, sudah dirasakan betapa hebantnya kekuasaan Tuhan dan betapa lemahnya makhluk ini.Datang kesedaran bahawa makhluk tidak ada kuasa langsung. Malaikat, jin, harimau dan manusia lain semuanya setaraf, setitik pun tidak ada kuasa dan kekuatan. Cuma kalau ada perbezaan antara satu sama lain adalah kerana Tuhan bagi sedikit kelebihan kepada dia. Tuhan bagi kelebihan tidak sama kepada setiap makhluk.

Yang kuat dan berkuasa itu Tuhan, bukan makhluk. Bukan malaikat, bukan jin, bukan manusia dan bukan harimau. Yang patut dan layak ditakuti ialah Tuhan. Bila Tuhan sebenar-benarnya ditakuti, maka akan lenyaplah takut dan akan timbullah rasa berani terhadap sesama makhluk.

Ini termasuk juga takut kepada miskin, sakit, hilang pangkat dan jawatan, hilang pengaruh, mati dan sebagainya. Kalau kita sedar semua itu adalah dari Tuhan, maka takut itu akan berpindah dari perkara-perkara tersebut kepada Tuhan.

Begitu juga takut kepada bencana alam seperti banjir besar, gunung berapi, gempa bumi dan wabak penyakit. Tuhan kata jadi maka jadilah. Tuhan kata tidak maka tidaklah.Akan datang rasa takut kepada Tuhan lebih takut dari bencana alam itu.Takut pada Tuhan itu adalah takut yang hak dan mesti dikekalkan. Takut pada makhluk adalah takut yang batil. Ia mesti dibuang.


Robeklah Hatiku Dengan Takutkan-Mu

Tuhan! Robek-robeklah hatiku ini dengan takutkan-Mu
Pecah-pecahkanlah hatiku dengan kehebatan-Mu
Hancur luluhkanlah hatiku dengan Jabbar dan Qahhar-Mu
Hiris-hirislah hatiku dengan Rahim dan Rahman-Mu
Kecut dan reput-reputkanlah hatiku dengan Qudrah dan Iradah-Mu

Agar jangan manusia dan kuasanya merobek-robek hatiku
Supaya kebesaran manusia tidak pecah-pecahkan hatiku
Jangan sampai zalim dan kezaliman manusia menghiris-hiris hatiku

Aku berlindung dengan-Mu daripada makhluk yang merosakkan hatiku
Juga aku berlindung dengan-Mu jangan sampai dunia dan nikmatnya merosak hatiku
Tuhan, selamatkanlah hatiku daripada dirosakkan oleh pujian
Peliharalah hatiku daripada nikmat dunia dan keindahannya

Tuhan apalah ertinya aku cintakan Syurga-Mu padahal hatiku tidak mencintai-Mu
Apalah ertinya aku takutkan Neraka-Mu sedangkan hatiku tidak takut dengan-Mu
Tuhan! Hidayah-Mu yang aku pinta
Taufiq-Mu yang aku mahu
Selamatkanlah aku Tuhan!
Peliharalah aku

Pimpinlah aku ke jalan keselamatan
Engkau adalah Tuhanku, pelindungku

Selepas ekspedisi
3.9.99
Allahyarham Ust. Ashaari.

Bagaimana Solat Boleh Membina Kekuatan (Disiplin)


Dalam sembahyang kita berikrar dan berjanji bahawa hidup dan mati kita pun untuk Tuhan. Kalau pengakuan macam ini boleh dibuat dan dihayati dengan sepenuh hati, kita akan jadi seorang manusia yang penuh disiplin. Kalau satu bangsa boleh buat pengakuan yang seperti ini, maka bangsa itu akan menjadi satu bangsa yang berdisiplin.

Bila disebut mati, semua orang yakin akan mati.Bila mati ertinya kembali kepada Tuhan. Kembali ertinya pulang ke tempat asal. Maksudnya, asal kita adalah dari Tuhan. Datang dari Tuhan, kembali pun kepada Tuhan. Maka perlulah kita hidup dan mati kerana Tuhan.

Bila datang dari Tuhan dan kembali pun kepada Tuhan maka mesti ada jalan dari dan kepada Tuhan. Bila hidup dan mati kita ikrarkan untuk Tuhan maka sudah tentu kita ikut jalan ini. Jalan ini ialah syariat Tuhan. Kita akan ikut syariat Tuhan. Taat dan patuh kepada syariat ini ialah disiplin.

Disiplin termasuk ciri satu bangsa yang agung. Sebaliknya, bangsa yang tidak berdisiplin, siapa sahaja yang melihat akan mentertawakan bahkan akan memperlecehkan mereka. Tidak ada disiplin disudut manapun akan jadi bahan kelakar bagi orang Yahudi. Ini dapat kita lihat pada bangsa yang di Timur Tengah. Mereka sungguh tidak berdisiplin. Naik bas pun berebut-rebut, tidak tahu beratur. Itu sebab bangsa Yahudi tidak hormat, tidak takut dan tidak gerun dengan mereka. Itu sebab Yahudi berani memperkotak katik dan menzalimi mereka.

Ampun maaf


Tabiat Orang Mukmin

Tabiat orang mukmin itu dia tidak malas
Tidak juga agresif
Tapi cergas dan tenang

Cergas tapi tidak merempuh orang
Cergas dengan agresif tidak sama
Cergas, aktif membuat kebaikan tapi berdisiplin
Cergas membuat khidmat
tapi tidak melanggar tata-susila

Agresif, cergas yang melulu
Aktif yang tidak berdisiplin
Cergas disertai dengan kekasaran
dan merempuh orang
Sekalipun niatnya baik
Orang mukmin itu walaupun cergas
tapi tidak gopoh
Sekalipun rajin tapi berdisiplin
Cergasnya penuh dengan hikmah dan berstrategi
Aktifnya tidak merosakkan orang

Agresif, cergas merempuh orang
Orang melihat menjadi benci dan tidak senang
Cergas membawa kepada gopoh-gapah
Hilang sopan-santun di dalam bertindak
Selalunya tindakan tidak berpandukan ilmu pengetahuan
Mengikut nafsu yang melulu dan perasaan barannya
Sibuknya tidak sedap mata memandang

07 – 10 – 1999
Allahyarham Ust. Ashaari.