Ahad, 6 Oktober 2013

PURA-PURA TULI SELAMA 15 TAHUN




Seorang sufi bernama Hatim Al-Asham pernah menjalani hidup dalam ketulian selama 15 tahun. Bukan betul2 tuli, tapi hanya pura-pura.Ceritanya, pada satu hari dia didatangi seorang perempuan untuk bertanya sesuatu masalah agama. Ketika mulut perempuan itu terkumat-kamit mengajukan pertanyaan, tiba-tiba terdengar bunyi.. "tut" dari tempat duduknya. Ternyata, wanita itu terkentut dengan tidak disengajakan.

Hatim berpura-pura tidak mendengar bunyi itu, kerana dia tidak mahu membuat tetamu wanita itu merasa malu. Untuk meyakinkan wanita itu bahawa bunyi 'letupannya' tidak terdengar, maka dia bersikap seperti orang tuli yang tidak kuat pendengarannya.

"Cakap kuat-kuat! Pendengaranku kurang jelas..!",
kata Hatim sambil meletakkan tangan pada telinganya.

Wanita itu mengulangi pertanyaannya dengan suara yang kuat. Dia gembira kerana menyangka Tuan Guru Hatim tidak mendengar bunyi angin yang terkeluar daripadanya. Kemudian Hatim memberi jawapan atas pertanyaan yang dikemukakan oleh wanita tadi.

Lucunya, selepas peristiwa itu, Hatim terus menerus bersikap seperti orang tuli. Setiap kali ada orang bercakap dengannya, dia selalu memerintahkan:

"Kuat sikit! Pendengaranku tidak jelas."

Demikian juga setiap kali ada orang mengajukan pertanyaan kepadanya, dia sentiasa berkata:

"Ulangi pertanyaanmu dengan kuat, pendengaranku kurang jelas.."

Mengapa Hatim berbuat demikian?

Kerana dia tidak ingin wanita tadi mengetahui bahawa dia tidak tuli sehingga malu untuk datang lagi kepadanya. Lima belas tahun kemudian, wanita itu meninggal dunia. Maka barulah Hatim menjawab pertanyaan yang diajukan kepadanya dengan cepat tanpa meminta agar mengulangi pertanyaannya.

Disebabkan sikapnya itu dia mendapat julukan Hatim Al-Asham yang ertinya Hatim tuli..




Tiada ulasan:

Catat Ulasan