Ahad, 16 September 2012
PERANAN JEMAAH ISLAM 2
Tertib dalam memperjuangkan Islam mesti ikut kaedah syariat
Dalam ajaran Islam, perkara wajib yang menjadi rukun Islam lebih besar daripada perkara wajib yang tidak menjadi rukun. Wajib yang tidak menjadi rukun itu banyak. Berjuang itu wajib, memberi nafkah pada anak isteri itu wajib, taat kepada ibu ayah wajib, taat kepada pemimpin itu wajib, meninggalkan yang haram itu wajib dan masih banyak wajib-wajib yang lain. Tetapi wajib-wajib yang bukan rukun ini tidak lebih besar dari wajib yang menjadi rukun Islam.
Jadi kalau ada orang yang berjuang untuk menegakkan dan membesarkan perkara wajib yang bukan rukun sampai meninggalkan atau melalaikan perkara wajib yang menjadi rukun, itu sudah tidak betul. Dia sudah tertipu.
Dalam masyarakat, kita lihat ada orang yang begitu bersemangat memperjuangkan hudud. Apakah hudud itu rukun Islam ?
Mengapa kerana hendak memperjuangkan hudud sampai lalai mengerjakan puasa, solat, membayar zakat dan naik haji.Jangan sampai hudud sudah dijadikan lebih penting dari rukun Islam.
Jadi dalam memperjuangkan syariat Islam mesti mengikut tertibnya iaitu:
1. Mesti memperjuangkan Tuhan pemilik syariat lebih dahulu agar Tuhan dikenal, dicintai, dibesarkan, disucikan, dijadikan sandaran, ditakuti dan lain-lain
2. Setelah itu memperjuangkan rukun Islam yang lima yang menjadi asas agama. Setelah Tuhan dikenal maka dia akan melaksanakan rukun Islam yang lima atas dasar cinta dan takutkan Tuhan. Bukan semata-mata atas dasar kewajipan saja.
3. Setelah itu barulah memperjuangkan wajib-wajib yang lain. Wajib yang lain itupun ada yang fardhu ain, ada yang fardhu kifayah. Yang fardhu ain pada setiap individu mesti didahulukan.
Bila dikerjakan, maka akan mendapat pahala, dan bila tidak kerjakan, dia akan menanggung dosa. Ada wajib fardhu kifayah yang berbentuk umum misalnya menyediakan makanan halal, yang mana kalau ada sekelompok umat Islam yang sudah membuatnya, maka yang lain akan terlepas dari dosa. Tapi kalau tidak ada sekelompok yang melakukannya, semua umat Islam di situ berdosa.
Kalau begitu, sebelum memperjuangkan suatu wajib kifayah, mesti dinilai dulu taraf wajib kifayah tersebut, mana yang nombor satu, dua, tiga, empat dan seterusnya. Mana yang lebih wajib, memperjuangkan hudud atau memperjuangkan adanya satu kedai atau warung makan dalam masyarakat Islam?
Menurut saya memperjuangkan adanya satu kedai atau warung makan dalam masyarakat Islam lebih wajib dan lebih utama sebab itu keperluan umum. Sedangkan hudud itu keperluan untuk orang jahat saja. Kedai atau warung makan dalam masyarakat Islam keperluan umum untuk semua, keperluan setiap hari. Kalau tidak ada kedai atau warung makan di satu masyarakat Islam itu akan menyusahkan semua orang, semua umat Islam menanggung dosa.
Kemudian soal fardhu kifayah, jangan kerana ada benda yang belum dapat dibuat, maka yang dapat kita buat kita tinggalkan atau tidak usahakan.
Kalau kita ingin memperjuangkan syariat, sebagai pejuang syariat mesti mengikut kaedah syariat, iaitu jika tidak atau belum dapat membuat semua, jangan tinggalkan semua. Ertinya kalau belum dapat menegakkan hudud dalam negara jangan tinggalkan pendidikan, jangan tinggalkan membangunkan ekonomi Islam, kedai, restoran, klinik atau hospital, kebudayaan Islam dan aspek-aspek kehidupan Islam lainnya dalam jemaah kita yang kita ada kuasa di dalamnya dan pemerintah tidak melarangnya. Pemerintah tidak melarang bahkan mendorong jemaah jemaah Islam untuk membantu pemerintah membangun ekonomi Islam, klinik Islam, pendidikan Islam, kebudayaan Islam dan sebagainya.
Jadikanlah jemaah kita itu sebagai gelanggang dan tempat laluan untuk menegakkan syariat Islam yang sangat kita kehendaki itu dalam bidang ekonomi, kedai, restoran, klinik atau hospital, kebudayaan Islam dan aspek-aspek kehidupan Islam lainnya. Setelah orang nampak keindahannya, kemakmuran dan kedamaiannya se-hingga masyarakat merasakan jemaah kita membawa rahmat bagi mereka, mudahlah kita meyakinkan masyarakat termasuk golongan pemerintahan untuk mengamalkan syariat Islam di seluruh negara.
Tanpa kita suruh-suruh mereka akan meniru-niru sistem hidup Islam dalam jemaah kita yang cantik. Mereka akan meniru ekonomi Islam kita, kebudayaan Islam, kesihatan Islam, pendidikan Islam dan aspek-aspek lain yang sudah kita amalkan dengan begitu cantik dalam jemaah kita.
Kalau kita tidak dapat mengamalkan dengan cantik sistem hidup Islam tersebut dalam jemaah kita yang kita ada kuasa di dalamnya, apa jaminannya kita dapat mengamalkannya dengan cantik di peringkat negara?
Memperjuangkan syariat Islam tidak sama dengan memperjuangkan ideologi dan undang-undang ciptaan akal manusia. Orang yang memperjuangkan syariat dahulu padahal masyarakat belum lagi kenal, cinta dan takutkan Tuhan pemilik syariat, sebenarnya mereka tidak mengikut Sunnah dan jalan yang pernah ditempuh oleh Rasulullah SAW. Mereka mengikut jalan yang telah ditempuh oleh pejuang-pejuang ideologi yang sekular.
Sejarah Rasulullah SAW yang berjuang selama 23 tahun itu, 13 tahun pertama baginda mengenalkan Tuhan kepada manusia agar Tuhan dikenal dicintai dan ditakuti. Kemudian barulah baginda memperjuangkan syariat Tuhan selama 10 tahun.
Padahal perjuangan mengenal Tuhan itu hanya satu, sedangkan syariat Tuhan beribu-ribu banyaknya, tapi waktu yang diambil untuk memperjuangkan Tuhan lebih banyak.
Sebab, apa erti berjuang bila tidak kenal dan cinta Tuhan. Apa erti solat, zakat, puasa, haji, menutup aurat, bila tidak kenal, cinta dan takutkan Tuhan. Apa erti menolong orang tua dan kawan-kawan bila tidak dibuat atas dasar hendak mencari redha Tuhan. Mengerjakan satu amalan syariat, suatu kebaikan atau meninggalkan suatu larangan bila dibuat bukan atas dasar Allah, maka dia mungkin riyak atau munafik. Dosa riyak atau munafik ini lebih besar daripada dosa tidak menutup aurat, menipu atau mencuri.
KEBENARAN APA YANG WAJIB DI PERJUANGKAN ?
Jelaslah bahawa untuk memperjuangkan agama, Tuhan mesti diperjuangkan dahulu. Tuhanlah matlamat kita dan Tuhan lah yang akan memimpin dan menolong kita. Syariat bukan matlamat.
Syariat adalah cara, jalan dan kaedah. Apa gunanya kita memperjuang kan cara dan kaedah kalau ia tidak membawa kita kepada Tuhan. Bukankah tujuan kita beragama untuk mendapat Tuhan ?
Disamping itu, perjuangan agama bukan sahaja untuk umat yang sudah Islam. Ia juga untuk manusia yang belum Islam. Oleh itu, kalau syariat sahajalah yang kita perjuangkan, bagaimanakah orang bukan Islam dan orang-orang kafir akan tertarik dengan Islam ?
Fitrah manusia tidak tertarik dengan syariat. Malah sesetengah syariat itu dipandang payah, susah dan menakutkan. Fitrah manusia inginkan Tuhan. Setelah betul hubungan manusia dengan Tuhan dan setelah manusia benar-benar kenal, cinta, takut dan beriman dengan Tuhan, barulah mereka akan mampu menerima syariat walaupun payah dan susah. Bukan senang hendak sembahyang, bukan senang hendak bayar zakat, bukan senang hendak menerima hukum hudud dan sebagainya. Hatta berkhatan pun ramai orang bukan Islam takut.
Kalau memperjuangkan syariat salah dan memperjuangkan Islam pun salah, jadi apakah sebenarnya yang patut kita perjuangkan?
Tuhan mahu kita perjuangkan kebenaran.
Rasulullah juga mengajar kita memperjuangkan kebenaran.
Yang perlu kita tegakkan bukan setakat syariat, bukan setakat Islam tetapi kebenaran.
Apakah maksud memperjuangkan kebenaran ?
Memperjuangkan kebenaran bermula dengan memperjuangkan Tuhan. Mengajak manusia kepada Tuhan. Mengajak manusia merasa kebesaran dan keagungan Tuhan. Mengajak manusia kepada rasa bertuhan dan rasa kehambaan. Mengingatkan manusia bahawa Tuhan itu adalah segala-galanya. Kita perlu wujudkan dan betulkan hubungan kita dengan Tuhan. Di antara lain kita perlu kenal, beriman, yakin, tawakal,bergantung harap, berserah diri, taat, patuh, baik sangka, cinta dan takut dengan Tuhan.
Termasuk juga memperjuangkan kebenaran ialah memperjuangkan segala perintah Tuhan baik yang berbentuk suruhan ataupun larangan, hukum hakam, peraturan dan segala sistem yang Tuhan telah tetapkan di dalam semua aspek kehidupan hubungan kita dengan manusia. Ini termasuklah dalam ibadah, pentadbiran, perundangan, pendidikan, ekonomi, kebudayaan dan sebagainya.
Ketiga ialah memupuk perpaduan, kasih sayang, rasa bersama dan bekerjasama, keharmonian, saling bertolong bantu dan bela-membela sesama manusia. Juga kita perlu perjuangkan akhlak dan budi pekerti manusia.
Inilah kebenaran dan inilah yang mesti diperjuangkan.
Bila disebut kebenaran,
ada Iman didalamnya,
ada Islam di dalamnya,
ada Ihsan di dalamnya.
Dalam erti kata yang lain, ada aqidah didalamnya, ada syariat didalamnya dan ada tasawuf di dalamnya.
Maka lengkap dan syumullah perjuangan itu.
Kalau agama diperjuangkan secara serpihan dan tidak mengikut cara dan kaedah perjuangan Rasulullah, sudah pasti ia akan gagal. Yang lebih bahaya lagi, ia akan melahirkan lebih banyak kerosakan dari kebaikan. Orang yang memperjuangkan syariat tanpa Tuhan,
kalau dia berwatak pasif, dia akan jadi beku dan jumud.
Kalau dia berwatak agresif, dia akan jadi kasar dan militan.
Walau apa pun, kedua-duanya tidak betul dan menyalahi kehendak Tuhan.
Agama Islam itu agama kebenaran.
Memperjuangkan agama Islam itu adalah memperjuangkan kebenaran. Kebenaran adalah dari Tuhan. Oleh itu dalam hendak menegakkan agama Islam, Tuhan tidak boleh diketepikan.
Tidak akan ada kebenaran kalau tidak ada Tuhan.
Engkau Ingin Berjuang
Engkau ingin berjuang, tapi tidak mampu menerima ujian
Engkau ingin berjuang, tapi engkau rosak oleh pujian
Engkau ingin berjuang, tapi tidak sepenuhnya menerima pimpinan
Engkau ingin berjuang, tapi tidak begitu setia dengan kawan
Engkau ingin berjuang, tapi tidak sanggup berkorban
Engkau ingin berjuang, tapi ingin jadi pemimpin
Engkau ingin berjuang, menjadi pengikut agak segan
Engkau ingin berjuang, tolak ansur engkau tidak amalkan
Engkau ingin berjuang, tapi tidak sanggup menerima cabaran
Engkau ingin berjuang, kesihatan dan kerehatan tidak sanggup engkau korbankan
Engkau ingin berjuang, masa tidak sanggup engkau luangkan
Engkau ingin berjuang, kerenah isteri engkau tidak tahan
Engkau ingin berjuang, rumahtangga lintang-pukang
Engkau ingin berjuang, diri engkau tidak engkau tingkatkan
Engkau ingin berjuang, disiplin diri engkau abaikan
Engkau ingin berjuang, janji kurang engkau tunaikan
Engkau ingin berjuang, kasih sayang engkau cuaikan
Engkau ingin berjuang, tetamu engkau abaikan
Engkau ingin berjuang, anak isteri engkau lupakan
Engkau ingin berjuang, ilmu berjuang engkau tinggalkan
Engkau ingin berjuang, kekasaran dan kekerasan engkau amalkan
Engkau ingin berjuang, pandangan engkau tidak diselaraskan
Engkau ingin berjuang, rasa bertuhan engkau abaikan
Engkau ingin berjuang, iman dan taqwa engkau lupakan
Yang sebenarnya apa yang engkau hendak perjuangkan ?
Ust Hj Ashaari Muhammad
Menjelang Tidur
14.9.99
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan